Saturday, October 06, 2007

Ahli antropologi dan sains sosial dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Afghanistan dan Iraq




Antropologi adalah kajian mengenai kemanusiaan. Ia juga menjadi salah satu cabang ilmu pengetahuan sosial yang mempelajari tentang budaya masyarakat sesuatu kaum
[1]. Ahli antropologi akan mengkaji ciri-ciri fizikal, adat-istiadat dan budaya yang berbeza dari apa yang dilihat secara mata kasar atau dibaca di dalam buku atau jurnal.

Peperangan Amerika Syarikat dengan tentera-tentera Taliban dan penentang kerajaan Iraq mengundang kaedah terbaru bagi mencegah pemberontakan yang mengakibatkan kematian ramai nyawa.

Kini, Pentagon sedang menimbang untuk menempatkan ahli-ahli antropologi dan sains sosial di dalam unit tempur tentera Amerika Syarikat di kedua-dua negara berkenaan. Tujuan utama penyerapan mereka ialah membantu pihak tentera meraih sokongan penduduk tempatan tanpa menggunakan kekerasan atau kuasa tentera. Dalam erti kata lain, pihak tentera Amerika Syarikat sedang menggunakan perang psikologi untuk mendapatkan sokongan penduduk tempatan.

Di Afghanistan, unit tempur tentera telah dikurangkan sehingga 60 peratus sejak kehadiran ahli-ahli antropologi ini. Fokus sekarang telah berubah daripada bertempur kepada meningkatkan tahap keselamatan, penjagaan kesihatan dan memberikan pendidikan kepada para penduduk.

Kaedah ini memberi perhatian daripada perspektif kemanusiaan iaitu dari sudut pandangan sains sosial. Musuh tidak lagi menjadi keutamaan kerana yang penting ketika ini ialah mendekatkan rakyat dan masyarakat kepada kerajaan sedia ada.

Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat telah memperuntukkan US$40 juta bagi meluaskan program ini yang akan meletakkan pasukan antropologi dan ahli sains sosial pada kadar seorang bagi setiap 26 orang tentera dalam unit tempur di Iraq dan Afghanistan.

Kesannya, pegawai-pegawai tentera tercari-cari pakar sains sosial yang bersedia untuk bersama-sama dalam pasukan tempur ini ke medan peperangan bagi menterjemahkan struktur kaum dan menerangkan perbezaan budaya yang wujud dalam kaum berkenaan.

Bagaimanapun muncul beberapa kritikan baru di pihak akademik. Penyalahgunaan sains sosial pada masa lampau untuk kempen peperangan adalah bersifat "mata duitan" iaitu kehadiran mereka ini adalah semata-mata untuk kepentingan politik. Pengkritik berkata, mereka khuatir para sarjana berkenaan akan memberi mesej bahawa ahli antropologi dan sains sosial bekerja mencari maklumat untuk operasi ketenteraan Amerika Syarikat.

Hugh Gusterson, seorang profesor antropologi di George Mason University dan 10 orang lagi rakannya membantah usaha berkenaan dan mengambil inisiatif untuk menyeru semua ahli antropologi memboikot cadangan ini khususnya di Iraq.

Di Afghanistan, ahli-ahli antropologi hadir bersama 6,000 orang tentera yang mana jumlah ini adalah dua kali ganda kekuatan tentera Amerika Syarikat di timur negara berkenaan.

Strategi baru ini nampaknya telah menunjukkan hasil di mana ianya dijadikan satu pendekatan baru dalam peperangan. Tentera-tentera Amerika juga turut memuji pendekatan ini dengan berkata ahli antropologi dan sains sosial membantu mereka melihat situasi daripada perspektif Afghanistan dan mengurangkan operasi tempur yang sering dilakukan selama ini.

Matlamat akhir strategi ini sangat jelas iaitu menambah baik prestasi pegawai-pegawai kerajaan, memberi galakan kepada ketua-ketua puak untuk menyertai pasukan polis, memudahkan program pembasmian kemiskinan dan melindungi penduduk tempatan daripada pengaruh Taliban dan aktiviti-aktiviti jenayah.

Bagaimanapun bagi jangka masa panjang, proses ini belum dapat dipastikan kejayaannya kerana keadaan politik dan ekonomi yang stabil adalah prasyarat kejayaan yang sebenar. Justeru itu, pendekatan operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan pada masa sekarang sangat berbeza dan kadangkala para pegawai tentera mengakui bahawa pertempuran bukanlah cara untuk memenangi peperangan di sana.

Dengan menghantar pasukan-pasukan kecil ke kaawasan pedalaman, mereka cuba menyelesaikan konflik yang wujud di kalangan puak bertelagah berdekad-dekad lamanya. Peranan ahli antropologi dan sains sosial ketika meredakan pertikaian ini amat diperlukan dan digelar "cabang kerja sosial" di dalam unit berkenaan.

Ketibaan ahli-ahli antropologi dalam kubu Taliban ini adalah sebahagian dari Operasi Khyber. Ia adalah operasi 15 hari yang melibatkan seramai 500 orang rakyat Afghanistan dan 500 orang tentera Amerika Syarikat cuba untuk membersihkan 200 hingga 250 orang pemberontak Taliban di daerah Paktia.

Kawasan berkenaan seringkali menjadi medan serang hendap dan letupan bom yang disasarkan kepada anggota tentera Amerika dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Afghanistan.

Pembentukan strategi ini telah bermula sejak 2003 apabila pegawai-pegawai Amerika Syarikat di Iraq merungut bahawa mereka sukar mendapatkan maklumat daripada penduduk tempatan. Seorang ahli antropologi dari Universiti Yale, Montgomery McFate dijemput oleh Pentagon bagi merangka program komputer yang menyediakan maklumat dan arahan lengkap mengenai maklumat penduduk tempatan.

Tahun 2004, Steve Fondacaro, seorang pesara Operasi Khas berpangkat kolonel menyertai pasukan baru ini dan digandingkan dengan pakar sains sosial di dalam unit tempur tentera Amerika.

Sehingga sekarang operasi ketenteraan Amerika Syarikat di negara yang diserangnya berubah kepada pendekatan yang bersifat kemanusiaan setelah sukar menewaskan musuh dengan cara pertempuran.


 
Post a Comment