Thursday, October 18, 2007

Lelaki suka belajar secara santai: Kajian

Kemerosotan prestasi akademik pelajar lelaki yang dikenal pasti berlarutan sejak 20 tahun lalu memerlukan pendekatan khusus untuk mengatasinya bagi mengelakkan wujud ketidakseimbangan sosioekonomi sesebuah keluarga.

Ketua Pusat Pendidikan Kepelbagaian Pelajar, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Rohaty Mohd Majzub, berkata masalah itu sudah menampakkan kesannya apabila pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi (IPT) melebihi lelaki dengan nisbah 65:35.

Sambil menjelaskan keadaan sedemikian menyebabkan persaingan pelajar perempuan menjadi semakin sengit berbanding lelaki, katanya, mereka juga terpaksa meningkatkan usaha mencapai markah cemerlang selain aktif kokurikulum untuk mendapatkan tempat di IPT.

Beliau berkata, permasalahan itu mendorong sekumpulan penyelidik membuat kajian menyeluruh dan mencari penyelesaian mengatasinya.

"Analisis awal mendapati sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan memberi kelebihan kepada pelajar perempuan berbanding lelaki."

Sifat pelajar perempuan lebih tekun, teliti dan sensitif sesuai dengan proses pembelajaran yang menjurus ke arah kecemerlangan dalam peperiksaan. Faktor ini membantu mereka terus cemerlang dalam peperiksaan.

"Kesan sifat tidak teliti pelajar lelaki pula menyebabkan mereka sukar mencapai keputusan cemerlang. Jika keadaan ini berlarutan, ia bakal menimbulkan pelbagai masalah sampingan sebaik mereka meninggalkan alam persekolahan," katanya ketika ditemui di Bangi, baru-baru ini.

Rohaty berkata, sistem pendidikan sedemikian tidak serasi dengan sifat pelajar lelaki yang sukar memberi perhatian lebih lama kepada pelajaran.

Pelajar lelaki, katanya, lebih selesa belajar dalam suasana santai dan meneliti sesuatu pengetahuan itu secara menyeluruh.

Beliau berkata, mereka juga tidak fokus kepada pelajaran kerana lebih mudah dipengaruhi faktor persekitaran dan rakan sebaya yang cenderung kepada aktiviti luar bilik darjah serta kegiatan fizikal.

"Kajian dijalankan turut mengambil kira faktor lain, termasuk latar belakang pelajar merangkumi faktor seperti status sosial dan ekonomi serta tahap kematangan mereka.

"Sistem biologi kedua-dua golongan pelajar ini membuktikan perempuan lebih matang dua tahun ke depan berbanding lelaki," katanya.

Mengenai cadangan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan dihapuskan, Rohaty berkata, ia belum relevan kerana persepsi masyarakat begitu teguh mengukur kejayaan seseorang berdasarkan kecemerlangan akademik.

[Berita Harian Online]

No comments:

Post a Comment