Hari Antarabangsa Bagi Pembasmian Kemiskinan disambut setiap tahun pada 17 Oktober. Bagaimanapun, sambutan tahun ini lebih menyerlah kerana ia ulang tahun ke-20 hari berkenaan. Berikutan itu, pelbagai pihak di seluruh dunia cuba memeriahkannya dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran.
Sambutan Hari Kemiskinan (secara ringkas digelar sedemikian) diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1992. Namun, ia mula disambut pada 1987 di Paris dengan lebih 100,000 orang berhimpun di Plaza Hak Asasi dan Kebebasan Manusia di Trocadéro, berhampiran Menara Eiffel bagi mengingati jutaan mangsa kemiskinan, kebuluran, keganasan dan penindasan. Di manakah kita hari ini selepas 20 tahun perhimpunan Trocadéro itu?
Pada akhir program pertama Dekad Pembasmian PBB (1997-2006), perangkaan global berhubung kemiskinan menunjukkan kemajuan memberangsangkan. Bagaimanapun, golongan paling terancam di seluruh dunia masih dicengkam kemiskinan tanpa banyak peluang untuk membebaskan diri daripadanya.
Menurut Unesco, hampir satu bilion penduduk dunia masih terjerat dalam kancah kemiskinan. Kebanyakannya terpaksa hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$1 (RM3.44) sehari. Lebih satu daripada empat dewasa, dua pertiga daripadanya wanita yang masih tidak boleh membaca atau menulis. Lebih dahsyat lagi dalam pada kebanyakan kita dihidangkan juadah istimewa pada Aidilfitri ini, setiap hari 50,000 orang di seluruh dunia mati akibat kebuluran.
Apakah keadaan ini tidak boleh diubah?
Ketika kemunculan milenium baru pada 2000, 189 negara bertekad mengurangkan sebanyak 50 peratus kadar kemiskinan di negara masing-masing menjelang 2015.
Sasaran berkenaan hanya tinggal lapan tahun saja dan di beberapa negara matlamat milenium itu hampir pasti tidak dapat dipenuhi. Dalam kebanyakan kes punca keadaan malap ini ialah kerana hak asasi manusia di negara terbabit terus dicabul tanpa sebarang pembelaan bagi mangsa. Apabila hak asasi dicabul, kemiskinan akan muncul.
Pejuang kebebasan, Nelson Mandela, pernah berkata: "Pembasmian kemiskinan bukanlah usaha amal. Ia adalah usaha melindungi hak asasi manusia iaitu hak untuk hidup penuh bermaruah dan sempurna."
Tidak ramai pemimpin dunia mempunyai kredibiliti dalam membicarakan mengenai hak asasi dan kemiskinan seperti bekas Presiden Afrika Selatan ini. Beliau dan rakyat kulit hitam negara terkaya benua Afrika itu ditindas dan hidup merempat daripada 1948 hingga 1993 di negara sendiri oleh pendatang kulit putih di bawah sistem pemisahan kaum aparteid.
Kini, aparteid sudah berkubur dan Afrika Selatan mula mampu menangani masalah kemiskinannya.
Namun masih ada lagi rejim yang mencabul hak asasi dan penduduk negara terbabit hampir pasti akan kekal dicengkam kemiskinan, walaupun 2015 menjelang tiba. Antaranya ialah rakyat Palestin yang keadaan hidupnya lebih teruk lagi berbanding penduduk negara termiskin di Afrika.
Punca kemiskinan rakyat Palestin ialah pencabulan hak asasi mereka oleh rejim Zionis di Israel yang tidak langsung menghormati prinsip keadilan. Bayangkan hidup tanpa pembelaan apabila diusir dari rumah sendiri dan disumbatkan ke kem pelarian yang sempit. Bukan setakat itu, mereka ditindas ini pula dipanggil pengganas, manakala yang menindas (Israel), dibela pula oleh kuasa besar sebagai mangsa.
Di manakah lagi di dunia dengan penindas mendapat sokongan kuasa besar untuk terus menindas golongan yang ditindas? Mungkin rakyat di negara yang diperintah kuku besi boleh dianggap bernasib lebih baik sikit daripada penduduk Palestin, kerana sekurang-kurangnya mereka mendapat pembelaan masyarakat antarabangsa.
Bagi penduduk Palestin, jauh daripada pembelaan, mereka pula diperangi. Selagi kata-kata Mandela tidak dihiraukan, selagi itulah hak asasi rakyat Palestin akan terus dicabul dan selagi itulah mereka akan hidup dalam kemiskinan.
PBB dan badan bukan kerajaan yang mempelopori sambutan Hari Kemiskinan setiap tahun harus menyedarkan kuasa besar bahawa isu Palestin bukan semata-mata isu politik. Ia juga adalah isu kemiskinan yang dicetuskan oleh pencabulan hak asasi rakyat Palestin oleh Israel.
[Berita Harian Online]
No comments:
Post a Comment