Malam ini impian untuk melihat angkasawan pertama Malaysia diterbangkan ke ruang angkasa lepas menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan akan menjadi kenyataan.
Kita amat berbangga akhirnya seorang anak Melayu berjaya mengharungi rintangan untuk menyahut cabaran menjadi angkasawan pertama negara.
Kejayaan angkasawan kita yang akan berada di angkasa lepas secara tidak langsung turut meletakkan Malaysia ke satu tahap lagi.
Misi Malaysia meneroka ruang angkasa lepas bukan semata-mata perjanjian timbal balik pembelian jet pejuang Sukhoi SU-30 dengan Rusia. Banyak juga negara yang berurus niaga dengan Rusia tetapi tidak pula mendapat kesempatan untuk menghantar rakyatnya ke angkasa.
Malah ada negara Islam yang lebih kaya daripada negara kita, juga tidak dapat berbuat demikian.
Sesungguhnya usaha negara menghantar rakyat kita menjalani latihan menjadi angkasawan adalah hasil pandangan jauh pemimpin negara. Tanpa pemimpin yang berwawasan dan menyokong misi ini, rakyat kita tidak akan menjadi angkasawan.
Misi ke angkasa lepas adalah kesinambungan daripada apa yang kita telah jayakan selama ini.
Menghantar rakyat Malaysia ke angkasa bukan semata-mata untuk mencipta nama rakyat pertama negara ini dalam senarai angkasawan tetapi sebenarnya membawa mesej yang lebih besar daripada itu.
Mesej yang tersirat selama ini ialah mengikis sikap rendah diri bangsa kita apabila dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Angkasawan kita membuktikan keyakinan yang tinggi membolehkan beliau menjadi orang Islam kedua berada di angkasa lepas.
Negara mampu menunjukkan bahawa anak Melayu yang selalu dianggap gemar merendah diri, sebenarnya punya keyakinan dan keberanian yang amat tinggi.
Kita mahu rakyat negara ini turut merasai semangat Malaysia Boleh dalam melakukan apa sahaja jika mempunyai keazaman yang kuat.
Misi ke angkasa ini tidak patut terhenti begitu sahaja. Walaupun ia menelan belanja yang besar, manfaatnya juga cukup besar kepada rakyat dan negara.
Kita mahu program membina lebih ramai lagi anak watan sebagai angkasawan dijalankan. Jangan dipersoalkan tentang kos, jika hasil jangka panjangnya memanfaatkan negara dan bangsa.
Lupakah kita pada projek mega yang dianggap membazir pada masa lalu. Lihat pembinaan Projek Lebuh Raya Utara Selatan, pembinaan Menara Berkembar Petronas dan perlumbaan kereta F1 yang menjadi pemangkin kemajuan dan meletakkan Malaysia dalam kelas dunia yang tersendiri.
Apa yang negara ini lakukan tidak akan terhenti begitu sahaja. Kita perlu ada program susulan.
[Utusan Online]
No comments:
Post a Comment