Terasa benar kegelisahan sebahagian ahli masyarakat apabila berbincang tentang keluarga di Malaysia. Penceraian, pergaduhan dan pembunuhan yang melibatkan kanak-kanak hinggalah orang tua boleh dikatakan berlaku setiap hari. Jika tidak bercerai, ada cerita pergaduhan. Setelah bergaduh akan ada kecederaan dan kematian.
Keadaan ini jarang kita alami 20 tahun yang lalu. Selepas melalui fasa pembangunan negara yang pesat sekitar awal tahun 1980-an, kes yang melibatkan keluarga semakin ketara dan mula menimbulkan kegelisahan.
Dalam alam haiwan, pembunuhan untuk hidup adalah perjuangan. Tetapi tidak dalam kehidupan manusia yang berfikiran dan berkasih-sayang. Nilai-nilai yang menjadi teras kepada kehidupan manusia yang hidup bermasyarakat menghalang pembunuhan daripada berlaku secara berleluasa. Orang kaya tidak membunuh manusia lain semata-mata menjadi kaya dan orang miskin tidak membenci yang kaya semata-mata kerana miskin. Justeru, jika hendak diberi kredit kepada keadaaan yang berlaku pada hari ini, jawapan yang paling tepat ialah krisis nilai yang semakin bercelaru.
Krisis keluarga yang berlaku hari ini, di manakah harus ada intervensinya? Sekolah, tempat kerja atau di rumah?
Peranan nilai hidup yang murni dan luhur boleh diserap melalui pelbagai cara seperti sekolah, ikatan puak atau agama. Sekitar tahun 1990-an, Finland mula menjadi terkenal kerana kualiti pendidikan dan masyarakat yang sangat prihatin terhadap kualiti hidup. Salah satu jenama yang dikaitkan dengan Finland ialah Nokia yang merupakan jenama kelima terkenal di dunia. Negara Finland melalui fasa-fasa pembangunan yang teratur tanpa menghadapi krisis keluarga yang hebat walaupun wujud masalah berkenaan yang dapat mengganggu pembangunan negara.
Masyarakat Afghanistan yang sangat kuat terikat dengan ikatan terhadap puak meletakkan hubungan kekeluargaan sebagai teras kepada keakraban keluarga. Justeru, institusi keluarga tetap dipelihara. Walau bagaimanapun kekuatan kekeluargaan kaedah ini tidak dapat menghalang negara itu daripada "seronok" untuk berperang; lepas satu perang ke satu perang.
Manakala peranan agama bagi mengatur hidup masyarakat Arab disempurnakan oleh Nabi Muhammad SAW dengan baik selepas hadirnya agama Islam. Sepanjang 23 tahun, baginda mengubah nilai dan pemikiran Arab kepada realiti hidup baru.
Jadi, apa yang tidak kenanya dengan institusi keluarga di Malaysia sama ada Melayu, Cina atau India?
Kabinet kerja kerajaan Malaysia lengkap dengan portfolio pembangunan belia, wanita, masyarakat dan pelajar, malah mengambil kira kemurniaan amalan beragama. Setiap kementerian yang terlibat pula merangka dasar dan program yang membantu kerajaan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Setiap bulan ada sahaja pelancaran program bagi kumpulan sasar yang mencakupi pelbagai bidang termasuk orang kurang upaya.
Setiap kali program berkenaan dilancarkan, acaranya sangat meriah. Bagaimanapun kehangatan pelancaran menjadi "sejuk" dan tidak lagi mempunyai aura selepas tiga bulan dilancarkan kerana pekerja kementerian sibuk pula dengan pelancaran program baru yang lain. Belanja untuk menguruskan pelancaran ini kadangkala mencecah ribuan ringgit.
Corak berfikir pemimpin adalah cara berfikir rakyat. Menghabiskan wang bagi acara yang kurang penting hanya akan memberi imej negatif kepada agensi berkenaan. Adalah lebih baik jika usaha ditumpukan kepada pencapaian matlamat program daripada bersorak-sorai ketika majlis pelancaran diadakan.
Amerika Syarikat adalah antara negara yang paling tinggi kadar perkahwinan dan penceraian. Rogol dan bunuh tidak dikira berlaku setiap hari tetapi setiap minit. Keadaan ini berleluasa kerana masyarakat Amerika sendiri yang membuka ruang kepada berlakunya maksiat dan kematian. Arak dijual secara bebas, penzinaan diberi lesen dan mencegah mungkar hanya berada di hati individu, tidak menjadi usaha masyarakat. Oleh itu, mereka sudah lali dengan nikah dan cerai, rogol dan bunuh ini.
Sama ada di Amerika, Afrika, Asia atau Timur Tengah, keluarga adalah pusat kepada segala krisis. Bezanya cuma besar atau kecil. Bagi mengatasi krisis keluarga ini, di Malaysia, kita mempunyai beberapa "pintu" yang boleh digerakkan untuk mengatasinya. Kita ada masyarakat beragama, sistem pendidikan yang sangat baik, dasar yang proaktif dan undang-undang yang mantap.
Tetapi, dengan adanya semua di atas, kenapa masih banyak krisis keluarga yang berlaku?
Cuba kita lihat komposisi keluarga sebahagian besar masyarakat sekarang. Keluarga jenis nukleus semakin bertambah. Amalan komunikasi di dalam keluarga jenis ini berbeza dengan keluarga besar. Komunikasinya lebih rapat tetapi tidak kukuh. Ibu bapa adalah rujukan utama dan perjalanan keluarga jenis ini bergantung sepenuhnya kepada mereka. Kalau ketua keluarga hebat dan cemerlang, baiklah keluarga itu. Jika tidak, akan ada anak-anak yang masuk ke pusat serenti, menjadi pengemis dan sebagainya.
Keluarga besar melibatkan amalan komunikasi yang berperingkat dan didominasi oleh nenek atau datuk yang menjadi pemandu arah. Mereka dihormati dan menjadi rujukan serta pendamai jika ada krisis anak-beranak. Keadaan ini tidak wujud dalam keluarga nukleus.
Disebabkan pembangunan dan perbandaran, keluarga nukleus menjadi pilihan. Rapuhnya amalan yang menyokong suburnya nilai-nilai pengukuh kekeluargaan pasti mendorong kepada keadaan krisis keluarga yang lebih parah.
No comments:
Post a Comment