Penulis : Napoleon Hill
Tahun : 2005
Penerbit : Napoleon Hill Associates Creative Vision Sdn Bhd, Kuala Lumpur
Muka surat : 372
Diterbitkan di seluruh dunia, buku karya Napoleon Hill dianggap sebagai literasi klasik dalam motivasi pembangunan diri. Think and Grow Rich adalah hasil daripada kajian lebih 20 tahun ke atas lebih 500 orang yang telah berjaya mencetuskan sejarah dan meninggalkan warisan yang sangat bermakna kepada kita.
Kandungan buku ini menarik, segar dan memberi impak sehingga kini seperti mana kajian yang dilakukan oleh Hill dahulu. Ia telah merubah kehidupan berjuta-juta orang dalam perniagaan, sektor awam dan swasta.
Salah seorang pembaca yang mendapat manfaat daripada buku ini ialah Mary Kay Ash, pengasas Mary Kay Cosmetics, Amerika Syarikat. Beliau menyatakan, "Saya tidak akan berada dalam kedudukan sekarang jika tidak kerana buku Napoleon Hill ini."
Buku edisi abad ke-21 yang diterbitkan di Malaysia ini telah dikemas kini dengan mengambil kira tokoh-tokoh terkenal seperti Bill Gates, Mary Kay Ash, Dean Kamen dan Steve Jobs. Pengalaman mereka diceritakan dengan permulaan yang sukar, harapan yang tidak menentu sehinggalah menjadi kaya-raya. Dimuatkan juga falsafah mencari wang iaitu apa yang patut dibuat dan bagaimana melakukannya. Ia juga menghidangkan resepi bagaimana menjual perkhidmatan yang disediakan oleh seseorang peniaga.
Membaca buku ini tidak terasa sehinggalah kita bergerak ke topik yang seterusnya. Ada bahagian yang memberikan tunjuk ajar kepada pembaca untuk melihat sistem menyeluruh bagi menganalisis diri dan dapat merapatkan jurang di antara diri pembaca dan mereka yang telah berjaya.
Buku Napoleon Hill ini memuatkan 13 prinsip menjadi kaya iaitu perkara yang sangat mustahak bagi setiap orang untuk mengumpul sejumlah wang bagi mengecap kebebasan kewangan. Di samping usaha yang keras, 25 tahun masa untuk membuat kajian tidak sama dengan harga RM100,000. Malah ilmu pengetahuan yang terdapat di dalam buku ini jauh lebih berharga.
"Kekayaan tidak dapat diukur dengan wang" kerana wang dapat melapangkan hati dan fikiran dalam masa yang singkat tetapi tidak dapat membeli persahabatan yang berkekalan, hubungan keluarga yang harmoni, simpati dan persefahaman seterusnya kedamaian jiwa yang diperolehi melalui amalan spiritual.
Seterusnya buku ini memberi panduan kepada pembaca untuk melaksanakan falsafah hidup yang memberi kesan serta-merta ke atas kehidupan. Daripada 15 topik, tajuk "Thoughts Are Things" sangat menarik kerana dapat membuka minda pembaca yang beku dan bengap ke arah melihat kembali potensi diri yang lebih hebat.
Ulasan Editor: Buku-buku Napoleon Hill yang lain ialah Law of success, The master plan to success, Magic ladder to success dan How to sell your way through life. Semua buku ini memberi inspirasi kepada pembaca yang inginkan semangat dalam hidup. Nilai-nilai yang dikongsi bersama penulis boleh diguna pakai dalam semua keadaan.
No comments:
Post a Comment