Saturday, September 29, 2007

Prestasi Malaysia dalam indeks persepsi rasuah 2007

Rasuah kembali menjadi perhatian apabila Transparency International mengeluarkan indeks persepsi rasuah 2007. Kedudukan Malaysia baik sedikit daripada tahun lepas iaitu berada pada kedudukan ke-43.

Perubahan yang sedikit ini menggambarkan usaha-usaha yang dilakukan sepanjang tahun menunjukkan penambahbaikan. Pendedahan media terhadap beberapa kes rasuah sebelum ini membantu masyarakat menilai langkah-langkah kerajaan bagi menangani penyalahgunaan kuasa khususnya di kalangan kakitangan awam.

Azmi Osman, pegawai kanan polis berpangkat supritendan, telah dituduh menerima wang sebanyak RM3.995 juta hasil daripada aktiviti haram. Kes yang melibatkan kakitangan awam dari agensi penguatkuasaan ini amat mengejutkan kerana keupayaannya "menyelam sambil minum air" sedangkan amanah yang diberikan kepadanya diabaikan. Dengan jumlah wang sebanyak ini, dia telah mengkhianati tugasnya sebagai anggota polis.

Bukan sahaja polis, seorang peguam syarie di Perak juga dituduh menerima rasuah dengan balasan tidak mendakwa pasangan yang bukan muhrim melakukan khalwat.

Banyak lagi kes seperti ini yang telah dilaporkan di media dan ianya semakin bertambah.

Transparency International seringkali menyatakan bahawa rasuah tidak ada kaitan dengan agama dan bangsa. Ia berkait dengan kemiskinan dan taraf hidup sesebuah negara.

Faktor utama yang menyumbang kepada pengurangan amalan rasuah di sesebuah negara ialah kecekapan kerajaan melaksanakan program anti rasuah. Ia boleh jadi dalam bentuk pengenalan akta yang lebih tegas atau pembentukan polisi yang lebih menyeluruh. Singapura dan Hong Kong sangat berjaya memerangi rasuah di Asia kerana komitmen yang kuat daripada kerajaan.

Walaupun Singapura tidak mempunyai kesatuan awam yang aktif dan media yang sentiasa dikawal, kejayaan mengawal rasuah disebabkan oleh keinginan politik yang kuat oleh pemerintah dan kerangka kerja anti rasuah yang cekap dan berkesan.

Manakala Hong Kong, kesatuan awam dapat bergerak bebas di mana mereka dapat menyuarakan sebarang kelemahan pentadbiran kerajaan dengan berani.

Memandangkan kedua-dua buah negara merupakan bekas jajahan British, mereka menolak untuk menggunakan kuasa polis bagi memerangi rasuah sebaliknya merangka agensi anti rasuah sendiri. Di samping itu, amalan meritokrasi dalam pentadbiran kerajaan membantu membersihkan amalan rasuah.

Sebuah lagi negara yang berjaya memerangi rasuah dalam pentadbiran ialah Jepun. Bagaimanapun situasi di Jepun lebih unik kerana amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan sangat sedikit tetapi berleluasa dalam politik dan perniagaan. Kajian oleh National Integrity Systems mendapati kerajaan tidak bersungguh-sungguh melawan rasuah di peringkat institusi dan sektor swasta. Kerajaan Jepun juga tidak mewujudkan tugas memerangi rasuah kepada mana-mana agensi sebaliknya berpuas hati dengan langkah-langkah sedia ada.

Negara yang agak bermasalah dengan rasuah di Asia ialah Filipina yang berada pada kedudukan ke-131. Usaha-usaha kerajaan Filipina selama ini tidak menunjukkan keberkesanan kerana mereka menghadapi dua masalah besar iaitu undang-undang yang ada lebih cenderung untuk tidak dilaksanakan dan kedua, banyak gangguan dalam pelaksanaan undang-undang di mana hanya "ikan besar" yang terlepas manakala yang ditangkap adalah "anak-anak ikan."

Usaha kerajaan Malaysia memerangi rasuah boleh digerakkan segera dengan mencontohi model Singapura dan Hong Kong. Menubuhkan agensi anti rasuah adalah satu langkah yang baik tetapi harus diiringi dengan kesungguhan politik. Bagaimanapun kewujudan agensi seperti ini tidak dapat menjamin kejayaan sepenuhnya dan perlu disertakan bersama:

1. keinginan politik termasuk strategi berkesan anti rasuah, kakitangan yang cekap dan mencukupi serta undang-undang penguatkuasaan yang tegas.

2. pegawai dan kakitangan agensi mesti sentiasa mengekalkan kejujuran, cekap dan bebas daripada kawalan polis atau pengaruh politik.

3. siasatan menyeluruh tanpa mengira status atau kedudukan.

Menambah bilangan agensi anti rasuah hanya akan melemahkan gerakan melumpuhkan aktiviti rasuah kerana pertindihan tugas, koordinasi yang lemah, saingan mendapatkan sumber dan mencairkan usaha membasmi rasuah.

Harapan rakyat Malaysia ialah meilhat kembali kedudukan rasuah bertambah baik dan dapat membentuk daya saing yang lebih kuat khususnya dalam perkhidmatan awam. Orang ramai tidak akan menaruh kepercayaan jika masih ada lagi anggota polis atau kakitangan awam yang lain mengumpul harta berjuta-juta ringgit. Jika hendak mencari wang, bekerja dan berniagalah dengan cara yang betul.
Post a Comment