Institusi pendidikan di Malaysia memberi peluang yang luas dan saksama kepada pelajar lelaki dan perempuan untuk berjaya sehingga ke institusi pengajian tinggi. Keadaan ini sangat berbeza jika dibandingkan zaman sebelum merdeka. Kini, persaingan untuk mendapat tempat di kolej atau institusi pengajian tinggi semakin sengit kerana pelajar yang lebih bijak dan mempunyai keupayaan intelek yang lebih baik.
Kelompok pelajar atau mahasiswa yang rata-ratanya di bawah umur 25 tahun berkembang sebagai kelompok yang sangat istimewa di dalam masyarakat kerana mereka bakal menentukan hala tuju baru dalam era kepimpinan Malaysia 50 tahun yang akan datang. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika membentangkan impiannya bagi 50 tahun kehadapan turut ingin melihat masyarakat Malaysia yang lebih maju, dinamik dan mampu meraih kejayaan. Harapannya kini sebenarnya berada di bahu mahasiswa yang disediakan dengan pelbagai kemudahan, sama ada secara fizikal, mental ataupun spiritual melalui bantuan kewangan, infrastruktur yang selesa dan motivasi dari semasa ke semasa.
Mohamad Sofee Razak (Berita Harian, 20 Jun 2007) ketika mengulas keadaan mahasiswa berkata:
"Kelompok masyarakat ini sebenarnya masih ada yang keliru dan hilang arah tujuan serta masih lagi mencari-cari identiti dan entiti mereka sebagai mahasiswa sebenar di mana mereka menjadi insan harapan nusa dan bangsa. Mereka kadangkala seolah-olah tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dan mungkin juga ada yang langsung tidak mengambil berat dan endah tak endah berkenaan perkara itu sehinggakan terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan. Keadaan ini menyebabkan mereka masih tidak yakin pada diri sendiri; hilang rasa bangga sebagai seorang mahasiswa; malu berhadapan masyarakat; takut kepada cabaran; kurang persediaan dan persiapan yang amat ala kadar; tidak bersungguh di dalam melaksanakan sesuatu tugasan; hilang arah tujuan dan matlamat hidup; semangat kerja yang mundur dan tiada motivasi serta pelbagai lagi sikap negatif yang sering kali menghantui mahasiswa semasa pengajian dan selepas tamat pengajian."
Peringkat hidup mahasiswa juga ada identiti tersendiri. Agak malang jika di peringkat ini mereka masih lagi tidak dapat membentuk identiti yang mantap sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Kematangan amat penting bagi menjamin kejayaan dalam pencarian kerja selain daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Kerisauan ramai pihak mengenai jumlah pelajar perempuan yang lebih ramai di universiti adalah cabaran kepada masa depan negara. Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini dan memerlukan tindakan konkrit untuk menstabilkan keadaan. Walau bagaimanapun sebab musabab kepada keadaan ini tidak susah untuk difikirkan.
Keupayaan mahasiswa perempuan berhadapan halangan dalam kursus seperti ini mendedahkan realiti betapa pelajar perempuan di peringkat sekolah menengah lebih matang, sedia menempuh cabaran dan enggan mengalah. Manakala pelajar lelaki masih lagi dibuai mimpi indah mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah menengah sedangkan realiti belajar di universiti sangat berbeza.
Perbezaan pelajar lelaki dan perempuan di universiti sangat ketara lebih-lebih lagi apabila diminta untuk membentangkan hasil kerja kumpulan. Ketika mahasiswi bersungguh-sungguh untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan, mahasiswa lebih banyak mencari dalih dan hilang tumpuan apabila diminta menjawab soalan yang berada di luar daripada kursus seperti isu-isu semasa.
Apa yang difikirkan oleh mahasiswa juga agak sukar diramal. Jika dikatakan mereka tidak punya idealisme, susah juga diramal kerana keadaan persekitaran yang semakin bersifat global mendedahkan mereka kepada pelbagai sumber maklumat. Apakah ketiadaan sensitiviti dan kesedaran terhadap dunia luar kampus menjadikan mereka kaku, tidak sedar dan leka dengan dunia sendiri.
Semakin ramai pelajar yang dapat menjejakkan kaki ke universiti bererti persaingan dalam pekerjaan akan bertambah. Jika mahasiswa masih hanya dengan bidang pelajarannya tanpa ada nilai tambah, sukar bagi mereka untuk bersaing. Kemahiran yang ada, sama ada ditambah atau ditingkatkan, bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Keputusan kerajaan untuk mengkelaskan empat buah universiti menjadi universiti penyelidikan membantu Malaysia melahirkan lebih ramai bijak pandai yang lebih dinamik. Justeru, bersediakah mahasiswa hari ini untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi?
Cabaran yang hebat sedang menunggu mahasiswa yang memenuhi institusi pengajian tinggi hari ini. Perancangan masa depan wajar dibuat ketika hari pertama melangkah ke universiti dan secepat mungkin mencari nilai tambah yang bersesuaian. Tidak ada siapa yang akan mengambil tahu nasib diri mahasiswa jika diri sendiri tidak bersedia untuk mencarinya.
Teringat masa saya belajar di UK dulu... semua bergantung kepada diri sendiri. JPA hanya beri duit, itu saja. Nak ke kelas, nak ponteng, nak jadi jahat, nak jadi baik, JPA tak ambil tahu. Mungkin sebab tu ada di antara rakan-rakan kami yang dulunya best students sebelum ke UK, masuk tahun 2 dah kena bungkus, failed. Alhamdulillah ramai juga yang jadi semakin berkarisma; dengan jatidiri yang tinggi, kegigihan, pemikiran yang matang... akhirnya bukan saja menjadi baik untuk diri sendiri, malahan berkorban memperbaiki rakan-rakan yang lain. Moral kepada coretan saya? Semuanya dalam diri kita. Terlalu banyak cara untuk jadi baik, dan ianya tidak susah. Carilah rakan yang baik, jadilah orang yang baik, perbaikilah orang lain.
ReplyDelete