Monday, September 10, 2007

Komunikasi asas kesejahteraan keluarga

Hubungan di antara ibu bapa dan anak sangat penting di dalam mana-mana keluarga. Salah satu peranan komunikasi ialah dapat mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hubungan sesama ahli keluarga. Komunikasi merupakan aspek yang terpenting untuk mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan anak, sehinggakan di kalangan kebanyakan penyelidik keluarga berpendapat untuk melihat kefungsian sesebuah keluarga, aspek yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana komunikasi berlaku dalam sesebuah keluarga tersebut. Ini kerana komunikasi mampu menjelaskan apa yang sebenar berlaku dalam keluarga.

Kajian di kalangan keluarga di Barat mendapati kelemahan institusi keluarga adalah merupakan penyumbang kepada kelemahan dan kegagalan institusi lain dalam masyarakat. Tidak dapat diketepikan, keluarga sebagai ejen sosialisasi, ahli keluarga akan diajar mengenai norma masyarakat, nilai, kepercayaan, bahasa, ideologi, artifak dan kemahiran untuk hidup. Sokongan emosi diperoleh melalui penerimaan kasih-sayang, saling memahami, keselamatan, keintiman dan persahabatan.

Kepentingan komunikasi keluarga dibahagikan kepada dua iaitu, pertama, tidak seperti dalam bentuk hubungan interpersonal yang lain, hubungan keluarga terbentuk melalui secara bukan sukarela iaitu individu tidak berpeluang untuk memilih keluarga mana yang dikehendaki. Kedua, ikatan kekeluargaan berlaku dalam tempoh tertentu dan berlanjutan. Interaksi di antara ahli keluarga sarat dengan emosi dan sejarah yang begitu kompleks.

Instrumen yang digunakan oleh penyelidik komunikasi keluarga ialah Revised Family Communication Pattern (RFCP) oleh Ritchie dan Fitzpatrick (1990). Pengukuran ini adalah berdasarkan persepsi atau interpretasi responden terhadap norma interaksi harian mereka.

Perbincangan mengenai peranan komunikasi menemui dua pola komunikasi dalam keluarga iaitu jenis orientasi konformiti dan jenis orientasi perbualan. Orientasi konformiti menekankan amalan penggunaan kuasa ibu bapa untuk menggalakkan anak bersetuju dengan pandangan ibu bapa dan berkait dengan penggunaan autoriti, mengelak kontroversi dan berorientasi untuk mewujudkan keselarasan di kalangan ahli keluarga, memberi fokus kepada komunikasi inter-keluarga berbanding topik luaran serta menekankan nilai tradisional, patuh kepada kuasa dan mengelak konflik.


Orientasi perbualan pula menggalakkan autonomi dan kebebasan anak-anak meluahkan idea dan perasaan, berkait rapat dengan keharmonian hubungan interpersonal, keterbukaan komunikasi di luar rumah, termasuk minat dan penglibatan dalam politik dan ia membolehkan anak-anak membina pandangan mereka sendiri mengenai dunia. Keluarga ini menunjukkan minat terhadap politik, hubungan luar dan pendedahan kepada surat khabar, pengetahuan kepenggunaan dan perbualan politik serta menekankan kebebasan aliran maklumat.

Instrumen RFCP mengkategorikan keluarga kepada empat jenis iaitu; 1) pluralistik, 2) protektif, 3) konsensual, dan 4) laissez faire. Keempat-empat keluarga ini dibeza berdasarkan ideologi terhadap peranan gender, tret tanggapan diri berkait dengan maskuliniti dan feminiti serta gaya interaksi perkahwinan. Karektor ini memberi impak kepada anak-anak dengan tiga cara iaitu ;1) jenis keluarga menentukan strategi interaksi yang didedahkan kepada anak-anak, 2) jenis keluarga menentukan jangkaan terhadap peranan gender dan bagaimana kesediaan untuk memenuhi jangkaan tersebut, dan 3) jenis keluarga menentukan peranan yang dimainkan kepada anak-anak untuk meningkatkan peluang kejayaan sosial mereka.

Kesimpulannya, ahli keluarga wajar mempelajari dan meningkatkan tahap pengetahuan mereka dalam berkomunikasi ke arah membina keluarga yang harmoni dan memberi kepuasan dalam hidup. Bidang kajian komunikasi keluarga perlu dikembangkan kerana sumbangannya yang banyak dan boleh diaplikasikan kerana setiap orang mempunyai keluarga dan ada di antaranya yang mengalami kekecewaan.

No comments:

Post a Comment