Friday, September 14, 2007

Ramai pelajar perempuan, di mana silapnya?

Universiti di negara ini memperlihatkan dominasi pelajar perempuan dalam pelbagai jurusan pengajian. Mengapa situasi ini berlaku? Apakah pelajar lelaki tidak sebijak pelajar perempuan? Atau pelajar lelaki lebih suka membuang masa daripada memberi perhatian ke atas pelajaran? Di mana jawapannya?

Terdapat anggapan dalam masyarakat bahawa pelajar lelaki kurang bijak, kurang berjiwa akademik, kurang bermotivasi dan tidak berminat menjadi pelajar cemerlang. Faktor-faktor lain yang dikaitkan ialah lebih ramai pelajar lelaki yang cenderung dalam bidang teknologi dan kemahiran dikatakan tidak memerlukan mereka belajar ke tahap yang lebih tinggi. Ini kerana bidang berkenaan menawarkan gaji yang lebih lumayan, lebih sesuai dengan pelajar lelaki. Mereka juga dikatakan kurang tekun dengan pengajian yang memerlukan kesabaran yang tinggi.

Pelajar-pelajar lelaki lebih aktif berbanding perempuan dan dapat diperhatikan penyertaan mereka dalam persatuan dan aktiviti sukan. Dalam erti kata lain, mereka sukakan aktiviti pembelajaran yang berbentuk pembentangan, projek dan berkumpulan. Jika keadaan ini dapat dijadikan sebagai konsep pengajaran, keseimbangan pelajar dapat dikembalikan.

Banyak cadangan yang diberikan bagi menstabilkan keadaan ini. Antaranya ialah melonggarkan syarat-syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi. Walau bagaimanapun cadangan ini tidak praktikal kerana kejayaan akademik dalam sistem pendidikan di Malaysia berasaskan peperiksaan. Ciri-ciri pelajar dalam sistem seperti ini sangat berkait rapat dengan usaha keras, rajin dan berfokus. Tambahan pula, persaingan dalam hidup berkait dengan keupayaan seseorang, jadi program memperkasakan pelajar lelaki di peringkat sekolah menengah hendaklah difikirkan.

Keadilan sosial masyarakat meletakkan lelaki sebagai pemimpin. Tetapi keadaan ini tidak bererti perempuan tidak boleh dilantik sebagai pemimpin yang berkesan. Di sebalik kegusaran bilangan pelajar lelaki yang semakin berminat ke universiti, ia tidaklah menjejaskan secara besar-besaran fungsi kepimpinan negara kerana sehingga kini Malaysia belum lagi mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kelompok pembuat dasar negara. Bilangan wanita dalam Dewan Rakyat juga masih berkurangan.

Faktor-faktor lain ialah pendidikan peringkat menengah yang kurang menitikberatkan elemen kemahiran. Pelajar-pelajar lelaki perlu dibimbing untuk belajar dengan lebih kuat. Program jangka masa panjang bagi memberi ruang kepada pelajar lelaki meneruskan pelajaran ketika bekerja wajar diserlahkan supaya konsep sepanjang hayat dapat dilaksanakan dengan jaya.

Pendedahan ke atas kursus-kursus tertentu yang memerlukan penyertaan ramai pelajar lelaki patut dirancang di peringkat sekolah menengah. Program ceramah, kempen kesedaran dan lawatan ke institusi boleh dilakukan dari semasa ke semasa supaya pelajar berminat dengan pengajian peringkat tinggi. Kurikulum sedia ada yang diguna pakai dalam sistem pendidikan telah terbukti melahirkan pelajar yang berjaya dalam akademik dan golongan yang mendapat faedah terbesar ialah pelajar perempuan kerana sifat rajin, berdedikasi dan mempunyai aspirasi hidup yang lebih tinggi.

Kenapa fenomena ramai pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi tidak berlaku di Eropah, Jepun atau Amerika Syarikat? Ketika Malaysia menumpukan peperiksaan sebagai syarat untuk masuk ke universiti, negara-negara tersebut sedang menumpukan usaha untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, berupaya menyelesaikan masalah dan berani kehadapan.

No comments:

Post a Comment