Salah satu perkara yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak mengambil alih pemerintahan negara hampir empat tahun lalu ialah pentingnya Malaysia mengambil langkah serius membangunkan modal insan untuk membolehkan negara kekal berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Semua orang tahu bahawa pekerja atau tenaga sumber manusia, kini disebut modal insan adalah salah satu faktor penting pengeluaran dalam kegiatan ekonomi konvensional di samping bahan mentah, modal kewangan, tanah, jentera dan teknologi.
Tanpa modal dalam apa juga bentuk, seseorang usahawan tidak akan mampu mengeluarkan apa jua produk walaupun beliau mungkin menguasai sektor pengeluaran lain. Modal itu pula perlu diuruskan secara efisien untuk menghasilkan output yang optimum bagi membolehkan produk berkenaan bersaing dengan produk sama keluaran pengusaha lain. Sekiranya produk itu gagal dalam persaingan di pasaran terbuka, pengeluarnya lambat laun boleh gulung tikar.
Oleh kerana Malaysia adalah negara perdagangan mengamalkan dasar ekonomi bebas, kesejahteraan masa depan ekonomi bergantung sepenuhnya kepada kemampuan bersaing di peringkat global. Tahap kemampuan bersaing ini pula bergantung kepada keupayaan produk keluaran negara bersaing dengan produk sama keluaran negara lain.
Walaupun kegagalan negara bersaing pada peringkat antarabangsa mungkin tidak sampai memaksanya gulung tikar seperti pengeluar individu yang disebutkan tadi, kesengsaraan yang dialami rakyat dan implikasi yang menyusul akibat barangan keluaran negara tidak laku di peringkat antarabangsa, boleh jadi lebih perit daripada nasib yang menimpa pengeluar individu tadi.
Inilah sebabnya kenapa tahap daya saing ekonomi negara bukan saja perlu dikekalkan tetapi ditingkatkan dan jika boleh lebih tinggi daripada tahap negara pesaing lain.
Dalam konteks kegiatan ekonomi dunia moden sekarang yang lebih tertumpu kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan k-ekonomi atau ekonomi bersumberkan ilmu pengetahuan, peranan modal insan dan kesannya terhadap kesejahteraan ekonomi sesebuah negara itu makin menyerlah.
Sesebuah negara yang tidak mempunyai bekalan tenaga manusia atau modal insan yang dilengkapi kepakaran, kemahiran, sikap dan kesediaan minda yang sesuai dengan keperluan masa kini pasti akan tercicir dalam persaingan pada peringkat global.
Di sini letaknya rasional di sebalik seruan berulang-ulang yang dibuat Perdana Menteri mengenai pentingnya Malaysia membangunkan modal insan yang mempunyai mentaliti kelas pertama iaitu kelas paling atas. Tentulah hanya dengan menduduki posisi teratas saja sesuatu negara boleh bersaing dengan pihak lain secara mudah.
Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun lalu, Abdullah menjelaskan langkah yang perlu diambil untuk melahirkan individu yang boleh memenuhi syarat modal insan berkualiti yang diperlukan.
“Pendekatan yang diambil hendaklah holistik dan penekanan perlu diberi kepada pembangunan ilmu, kemahiran, modal intelektual dalam sains, teknologi dan keusahawanan. Pada masa sama, kita hendaklah membangunkan satu budaya progresif di kalangan masyarakat dengan nilai moral dan etika yang tinggi,” katanya.
Tidak syak lagi bahawa tanggungjawab melahirkan modal insan sedemikian tentulah tanggungjawab institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti di samping ibu bapa dan masyarakat. Sesungguhnya inilah matlamat ulung Kementerian Pengajian Tinggi apabila mereka menyediakan dua dokumen penting berhubung masa depan institusi pengajian tinggi negara, baru-baru ini.
Dokumen itu - Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara (2007-2010) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara - yang dilancarkan Perdana Menteri, akhir bulan lalu menggariskan langkah yang perlu diambil mulai sekarang sehingga 2010 serta strategi jangka panjang sehingga melangkaui tahun 2020 untuk melahirkan modal insan yang diperlukan negara.
Ada empat fasa yang ditetapkan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama dan pada masa sama menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.
Matlamat kedua itu bertujuan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing - khususnya dalam menarik kemasukan pelajar antarabangsa. Keempat-empat fasa yang dimaksudkan ialah fasa peletakan asas (dari 2007 hingga 2010); fasa pemerkasaan dan peningkatan (2011-2015) fasa kecemerlangan (2016-2020) serta fasa kegemilangan dan pelestarian pengajian tinggi (selepas 2020).
Berdasarkan kepada saranan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi menggariskan profil lengkap modal insan mentaliti kelas pertama yang mahu dilahirkan. Selepas meneliti ciri-ciri individu modal insan kelas pertama yang dihuraikan, satu soalan yang mungkin terlintas dalam fikiran ialah, apakah negara sudah mempunyai modal insan yang dikehendaki itu.
Jawapannya tentulah sudah ada. Jika tidak masakan beberapa syarikat tempatan termasuk konglomerat negara seperti Petronas mampu memenangi tender terbuka di peringkat antarabangsa dalam pelbagai negara di seluruh dunia.
Yang perlu diusahakan sekarang dan pada masa akan datang menambah bilangan mereka serta mengekalkan daya saing yang ada pada mereka. Inilah cabaran terbesar yang perlu disahut institusi pengajian tinggi tempatan kini dan akan datang.
Sumber: Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment