Bajet 2008 yang bertemakan Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran, adalah 10.9 peratus lebih tinggi daripada Bajet 2007 iaitu dengan peruntukan sebanyak RM176.9 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak RM128.8 bilion bagi belanja mengurus dan RM48.1 bilion untuk pembangunan.
Ulasan dan maklum balas sebahagian besar masyarakat amat menggalakkan. Dari menteri hinggalah ke peniaga dan suri rumah, mereka menyambut baik beberapa aspek yang diberi penekanan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Menteri Kerja Raya yang juga Presiden MIC, YB Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, "Bajet yang menggembirakan," manakala YB Datuk Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden MCA menyifatkannya sebagai "memfokus kepada golongan berpendapatan rendah."
Golongan yang paling gembira dengan Bajet 2008 ialah ibu bapa yang melihat insentif dalam sektor pendidikan dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi setiap kali musim persekolahan tiba.
Analisis dari Bajet 2005 hingga 2008 menunjukkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi perhatian yang sangat istimewa kepada sektor sosial. Pada 2005, sebanyak RM7.6 bilion diperuntukkan kepada sektor ini, meningkat kepada RM9.9 bilion pada 2006 seterusnya naik secara mendadak pada Bajet 2007 iaitu RM14.2 bilion. Bagi Bajet 2008, sektor sosial mendapat RM15.6 bilion. Peningkatan berterusan bagi sektor berkenaan memperlihatkan kesungguhan Perdana Menteri menjadikan isu-isu sosial sentiasa diberi perhatian dan diambil kira bagi pertumbuhan ekonomi negara. Dalam pada itu, jumlah yang semakin meningkat memberi mesej bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan berkhidmat untuk rakyat bagi pembangunan sosial negara.
Sektor sosial sangat luas dan merangkumi pendidikan dan latihan, perumahan dan kesihatan. Perhatian yang diberikan dalam Bajet 2008 mengaitkan secara langsung golongan miskin dan berpendapatan rendah, warga tua, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya.
Dalam pendidikan umpamanya, insentif bagi membentuk masyarakat yang berilmu menjadi tumpuan. Buku teks percuma kepada semua pelajar, pemansuhan yuran sekolah dan yuran peperiksaan, pertambahan elaun sara hidup dan elaun guru ganti berijazah adalah pembakar semangat kepada masyarakat pelajar, ibu bapa dan guru. Kesan satu-satu insentif ini akan dirasai serta-merta oleh mereka dan hasrat melahirkan modal insan yang berkualiti dapat dipercepatkan.
Kementerian Pelajaran adalah peneraju bagi memperkasa sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Program penambahan sekolah kluster (kelompok), tadika dan penambahbaikan peralatan sekolah adalah bagi menjayakan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan sehingga 2010. Peruntukan RM500,00 kepada setiap sekolah kluster dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik, kegiatan kokurikulum, latihan dan penggunaan alat bantu belajar. Penubuhan 60 buah sekolah kluster pada 2008 dapat menjadi perintis besar-besaran bagi menjana kualiti modal insan negara kelak.
Malaysia dengan jumlah penduduk 26.6 juta orang sedang berkembang dari segi keupayaan dan potensi setiap rakyatnya. Kadar celik huruf yang tinggi iaitu 93.5 peratus akan semakin baik jika usaha memperkasakan pendidikan luar bandar dapat dijayakan sepenuhnya. Peluasan program pendidikan prasekolah jelas dipertingkatkan kali ini dengan pertambahan 7,600 buah tadika yang dapat menempatkan 300,000 kanak-kanak di seluruh negara. Bagaimanapun dengan jawatan kontrak yang masih disandang oleh kakitangan Kebajikan Masyarakat (KEMAS), biar pun pertambahan elaun diberi, ianya tidak dapat memaksa mereka untuk memberi perhatian kepada kebajikan hidup masa depan melainkan kerajaan mengiktiraf peranan mereka dengan cara menyerapkan ke dalam jawatan tetap. Ini memandangkan bilangan tadika dan pendidikan prasekolah bertambah penting dalam jangka masa 10 tahun dari sekarang. Jika kerajaan serius ingin membina modal insan sejak dari umur awal lagi, perkara seperti ini wajar diberi perhatian.
Di institusi pengajian tinggi, bayaran royalti kepada penyelidik yang dinaikkan kepada 80 peratus dapat memacu kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara yang masih jauh ketinggalan. Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan adalah negara yang memperuntukkan bajet yang besar dalam R&D kerana mereka amat menghargai peranan penyelidik. Pada masa yang sama, Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai dasar yang lengkap ke atas harta intelek di Asia. Malaysia yang menjadi ahli bagi Paris Convention and Patents dan sejak 1990 telah menjadi ahli kepada Berne Convention on Copyrights.
Dari semasa ke semasa, Malaysia telah meningkatkan rantaian nilai khususnya dalam R&D yang memperlihatkan peningkatan yang signifikan. Pada 2002, perbelanjaan untuk R&D ialah 0.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding Jepun (3.1%), Amerika Syarikat (2.7%) dan Korea Selatan (2.5%). Data terkini menunjukkan perbelanjaan R&D Malaysia adalah 1 peratus berbanding Amerika Syarikat (2.76%) dan Korea Selatan (3.1%). Bagaimanapun bilangan penyelidik per 10,000 tenaga kerja ialah 18 berbanding Denmark (120), Jepun (113) dan Australia (99).
Peningkatan royalti dalam bajet kali ini diharap dapat memberi nafas baru kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan supaya lebih ramai saintis negara berminat dengan penyelidikan dan pembangunan. Penemuan-penemuan baru juga harus dikumpul supaya bayaran royalti tidak berhenti setakat membuat penyelidikan tetapi dipanjangkan lagi melalui royalti yang diperolehi melalui penerbitan buku, jurnal dan bahan bercetak yang lain. Keadaan ini, jika dapat diperkenalkan pasti merancakkan industri buku ilmiah di Malaysia.
Malaysia, sebuah negara yang mempertahankan rekod dalam pelaksanaan keselamatan awam diakui sebagai salah sebuah negara yang selamat di dunia untuk didiami dan bekerja. Rakyat Malaysia sebahagian besarnya dapat mencapai perkhidmatan dan kemudahan berbanding negara-negara membangun yang lain. Justeru ketika aman dan makmur ini, pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara diberi kenaikan elaun dari 23 hingga 84 peratus. Selepas ini diharap tidak ada lagi rungutan daripada pelajar bahawa mereka tidak dapat belajar kerana elaun sara hidup yang rendah. Setiap tahun kerajaan Malaysia menghantar 50,000 pelajar ke luar negara (seperti Amerika Syarikat, Australia dan Britain sera Eropah) yang melibatkan kos sebanyak RM2.5 bilion setahun.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapat RM782 juta bagi melaksanakan program-program pembangunan kepada kumpulan sasar. Keempat-empat agensi di bawah kementerian berkenaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Jabatan Pembangunan Wanita dan Institut Sosial Malaysia bertanggungjawab melaksanakan program-program yang dirancang bagi membentuk masyarakat yang lebih prihatin ke atas diri mereka sendiri. Program-program yang bersifat "cantik di luar" wajar dikurangkan tetapi fokus harus diberi kepada faedah kepada golongan sasar seperti wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua.
Warga emas contohnya, semakin terhimpit dengan peningkatan kos hidup. Kenaikan elaun Bantuan Orang Tua sebanyak RM100 kepada RM300 sebulan amat bermakna kepada mereka kerana selain harga makanan dan barang keperluan hidup yang meningkat, penjagaan kesihatan juga memerlukan mereka membelanjakan wang untuk membeli ubat-ubatan.
Kos hidup juga memaksa anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua kendalian kerajaan kerana di situ terdapat kemudahan penjagaan dan pemeriksaan kesihatan yang sempurna. Mungkin dalam bajet yang akan datang, aspek ini wajar diambil kira kerana nilai dan pegangan anak-anak hari ini terhadap kehidupan telah banyak berubah.
Selain warga tua, orang kurang upaya (OKU) juga melirik senyum kerana Elaun Pekerja Cacat turut dinaikkan dari RM200 kepada RM300 sebulan. Pertambahan ini diyakini dapat mengubah hidup golongan OKU dan sebagai pendorong untuk bekerja dengan lebih gigih. Sebagai contoh, orang buta tidak akan membeli kereta atau motosikal sebaliknya mereka akan membeli peralatan yang memudahkan hidup seperti telefon bimbit atau komputer peribadi yang canggih. Justeru, wang yang banyak dapat memberi keselesaan dalam hidup golongan OKU ini.
Kualiti hidup rakyat Malaysia semakin baik dan ada yang setanding dengan negara-negara maju. Dalam kata-kata aluan Perdana Menteri semasa membentangkan Laporan Ekonomi 2007/2008, beliau menegaskan bahawa agenda sosial kekal sebagai komponen utama penggubalan dasar ekonomi kerana pencapaian sebenar kejayaan ekonomi ialah taraf hidup yang lebih tinggi dan masyarakat dari semua lapisan dapat hidup dalam kesejahteraan.
Bajet 2008 merupakan rentetan pengisian bagi pencapaian Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang antara lain menghapuskan kemiskinan tegar dan memperkasa modal insan. Elemen-elemen pengukuh bagi kejayaan tersebut dapat dilihat pada indikator ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan perpaduan. Kejayaan pada indikator-indikator berkenaan adalah lambang kepada pencapaian RMK-9 secara keseluruhannya.
Kejayaan pelaksanaan Bajet 2008 tidak terletak pada angka-angka kerana lebih banyak angka bererti lebih tinggi pembaziran sepertimana yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara mengenai prestasi kewangan sektor perkhidmatan awam Malaysia baru-baru ini. Berlaku pembaziran adalah kerana kecuaian, tidak peka dan mengamalkan budaya acuh tak acuh dalam pengurusan wang rakyat.
Nilai utama pada pelaksanaan bajet ini ialah kesungguhan untuk meraih keunggulan modal insan yang diterapkan melalui pembangunan fizikal, pembinaan intelektual dan pengisian roh. Kejayaan bangsa-bangsa terdahulu adalah kerana kesungguhan modal insan yang dijelmakan dalam pembudayaan ilmu. Antara bangsa yang telah menunjukkan ketinggian ilmu ini ialah bangsa Yunani yang suatu masa pernah menjadi rujukan kepada tamadun dunia yang lain.
Kekaguman tradisi ilmu bangsa Yunani ini pernah disuarakan oleh Robert M. Hutchins iaitu bekas Presiden dan Canselor University of Chicago. Beliau berkata, "Di Athens, pendidikan bukanlah satu kegiatan yang terbatas pada masa-masa tertentu atau pada peringkat umur tertentu. Pendidikan merupakan matlamat utama masyarakat. Kota raya mendidik manusia. Manusia dididik oleh budaya."
Bangsa Malaysia, sama seperti bangsa Yunani, ingin merasai persekitaran yang mendidik. Banyak lagi usaha oleh kerajaan bagi menggalakkan pembangunan modal insan rakyat Malaysia yang boleh dilaksanakan seperti pengurangan harga buku dan insentif kepada penerbit buku tempatan. Negara-negara Scandinavia seperti Finland dan Norway bukanlah berpenduduk ramai tetapi dapat memberi perkhidmatan pendidikan percuma kepada rakyat mereka di samping galakan budaya membaca yang berterusan. Dengan pendidikan, rakyat mereka tidak hidup merempat. Rakyat mereka juga terkenal dengan barangan berkualiti dan meletakkan persekitaran pendidikan sebagai teras kepada pembangunan negara.
Ketika melancarkan Misi Nasional, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, "Pembangunan modal insan yang mantap akan menyokong pergerakan ekonomi negara dalam rantaian nilai tambah yang lebih tinggi serta menjadi pemangkin bagi pewujudan sumber pertumbuhan negara."
Kita yakin dan percaya, modal insan adalah asas kepada negara maju. Perdana Menteri tidak lupa kepada agenda sosial dan pendidikan negara kerana itulah slogan "Cemerlang, Gemilang, Terbilang" sentiasa beliau ulangi supaya rakyat Malaysia sedar, faham dan memberi reaksi positif ke atas program dan Wawasan 50 Tahun yang diungkapkan baru-baru ini.
Bajet 2008 adalah bajet modal insan tahun keempat. Perhatian terhadap sektor sosial wajar diteruskan tanpa pengabaian ke atas sektor-sektor lain seperti keselamatan awam, alam sekitar dan pengangkutan awam. Antara aspek yang boleh diberi perhatian pada bajet yang akan datang ialah galakan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). Dengan persaingan yang semakin banyak dan sengit, pendekatan memajukan rakyat supaya berilmu tidak dapat dilengahkan lagi. Isu ilmu pengetahuan adalah isu sejagat. Tambahan pula semakin ramai rakyat Malaysia yang dapat hidup lebih lama menyebabkan jumlah warga tua semakin bertambah. Salah satu ciri sebuah negara maju ialah masyarakatnya sentiasa ingin belajar.
Kesimpulan kepada Bajet 2008 ini sangat sesuai dipetik ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyifatkan: "Bajet 2008 adalah satu belanjawan yang memberikan suntikan kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kualiti hidup rakyat."
No comments:
Post a Comment