Kemiskinan bandar dan luar bandar adalah antara perkara yang akan dinilai semula dan dimasukkan dalam kriteria baru bagi penentuan serta kelayakan untuk seseorang menerima bantuan kebajikan mulai Januari depan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ketika ini pemberian bantuan kebajikan tidak mempunyai perbezaan antara penduduk miskin di bandar dan luar bandar.
Katanya, semua bantuan diberi sama rata mengikut kriteria yang tidak pernah diubah sejak 30 tahun lalu. "Sudah sampai masa untuk melihat semula kriteria yang diguna pakai ketika ini untuk disesuaikan dengan keadaan semasa," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan akhbar New Straits Times (NST) di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Faizah Tahir; Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Kumpulan NST, Datuk Syed Nadzri Syed Harun.
Shahrizat diminta mengulas sama ada kementerian akan mengambil kira kemiskinan di bandar dalam menentukan kriteria baru untuk memberi bantuan kebajikan.
Dalam laporan khas Berita Harian semalam, Pengarah Institut Pembangunan Malaysia (MDI) di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Profesor Dr Noor Azlan Ghazali, menyarankan supaya agensi khas ditubuhkan untuk memantau kualiti hidup penduduk bandar yang sebahagiannya lebih teruk daripada golongan miskin di luar bandar.
Beliau juga mahu mekanisme khas diwujudkan bagi mendalami masalah sebenar masyarakat bandar serta menilai kembali takrifan kemiskinan bagi penduduk bandar.
Dr Noor Azlan berkata, takrifan berhubung isu kemiskinan sangat sempit kerana masyarakat memandang secara lahiriah, iaitu faktor tempat tinggal dan pakaian tanpa mengambil kira elemen lain yang turut menyumbang kepada kepayahan hidup.
Shahrizat berkata, penetapan kriteria baru itu bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan, menerima bantuan dan bukannya dinilai menerusi peralatan elektrik di rumah mereka, seperti televisyen, peti sejuk dan mesin basuh.
Katanya, penilaian akan dibuat mengikut tanggungan, selain menilai sama ada isi rumah dihuni oleh orang kurang upaya, orang tua dan ibu tunggal.
"Semua ini diambil kira bagi memastikan yang susah dibantu dan dibela serta kita tidak mahu bantuan sampai kepada mereka yang salah," katanya.
Beliau juga berkata, pegawai kebajikan kini melakukan pemantauan ke peringkat akar umbi untuk mengumpul maklumat mengenai orang miskin yang layak menerima bantuan. Katanya, pemantauan itu dijalankan dengan kerjasama pemimpin masyarakat dan Majlis Masyarakat Penyayang (Mayang) supaya hanya yang layak dibantu.
"Sebelum ini, pegawai kita tidak turun padang, sebaliknya hanya duduk di pejabat. Jika ada permohonan dan disiasat, pemohon layak bantuan akan diberikan. Dalam sesetengah kes pemimpin masyarakat setempat merujuk orang miskin kepada JKM untuk diberikan bantuan.
"Tindakan hanya menunggu orang miskin memohon bantuan menyebabkan kegagalan kerajaan mengesan mereka yang susah dan bantuan kebajikan tidak sampai kepada kumpulan yang memerlukan," katanya.
Shahrizat berkata, tempoh penilaian semula pemberian bantuan yang dilakukan setiap enam bulan sekali turut dikaji.
"Tempoh enam bulan tidak praktikal kerana ia terlalu singkat dan JKM juga kekurangan pegawai," katanya. Mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Akta Pekerja Sosial, beliau berkata, kementerian akan membentangkan Rang Undang-Undang Orang Kurang Upaya terlebih dulu sebelum meneliti akta berkenaan.
Ditanya mengenai hukuman penjara kepada ibu bapa yang cuai menjaga anak seperti termaktub dalam Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, beliau berkata, penguatkuasaannya perlu dijalankan dengan teliti bagi memastikan hanya ibu bapa yang benar-benar cuai dikenakan tindakan.
"Dalam kes kehilangan Nurin (Jazlin Jazimin), kita dapati kanak-kanak itu hilang di kawasan yang dia biasa bermain. Malah, pasar malam terletak di kawasan perumahan.
"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan hukuman terhadap ibu bapa yang cuai kerana ia bergantung kepada fakta kes dan bentuk kesalahan yang dilakukan," katanya.
Oleh Rohaniza Idris , Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment