Wednesday, September 19, 2007

Menghalusi definisi kemiskinan

Kereta, motosikal, televisyen dan telefon bimbit dianggap barang keperluan dalam hidup hari ini. Mempunyai sebuah rumah untuk menumpang teduh juga merupakan satu keperluan. Dalam erti kata yang lain, barang-barang yang dulunya dianggap sebagai mewah kini telah menjadi satu kemestian untuk dimiliki.

Sejak merdeka hinggalah ke hari ini, masyarakat Malaysia telah menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Pada tahun 1960-an dan 70-an, masyarakat yang hidup dengan makmur dan bahagia di kalangan negara-negara ASEAN ialah Filipina. Malaysia yang baru merdeka dan berhadapan dengan pelbagai cabaran terpaksa merancang pelbagai dasar untuk mempastikan kemerdekaan negara tidak hilang begitu sahaja. Pelaksanaan Rancangan Malaysia setiap lima tahun telah menyerlahkan pembangunan pesat negara sehingga kini.

Kejayaan ketara dalam pembangunan negara ini ialah pengurangan kadar kemiskinan kurang daripada lima peratus. Sukar bagi mana-mana negara yang hidup pelbagai kaum untuk merancang bagi mengurangkan kadar kemiskinan jika tidak ada dasar yang berkesan. Dalam tempoh 50 tahun, Malaysia berkembang pesat dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan. Kejayaan ini dapat dilihat melalui laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia di mana dalam tempoh 1973-1995, purata pendapatan per kapita sebenar rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak 2.5 kali ganda. Pembangunan ini menjadi contoh kepada negara-negara lain dan buah mulut pemimpin negara-negara membangun.

Hari ini Malaysia menikmati kualiti hidup yang lebih baik daripada Filipina. Perubahan ini berlaku dalam tempoh 25 tahun sahaja setelah Malaysia melaksanakan dasar yang komprehensif dan berkesan bagi menarik pelaburan luar negara untuk melabur di sini.

Usaha berterusan kerajaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan dilihat lebih ketara apabila pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan pada awal 1980-an dahulu dan pengembangan aktiviti ekonomi yang menyaksikan banyak kawasan baru dibuka.

Proses perbandaran yang semakin pesat menyaksikan penduduk bandar meningkat daripada 62 peratus pada tahun 2000 kepada 63 peratus dan dijangka meningkat kepada 63.8 peratus pada tahun 2010 (Malaysia,2006:381). Sebanyak enam negeri telah mengatasi purata kadar perbandaran perangkaan nasional (63 peratus) iaitu Pulau Pinang (79.8 peratus), Melaka (70.6 peratus), Selangor (88.4 peratus), Kuala Lumpur (100 peratus), Johor (66.5 peratus) dan Labuan (77.6 peratus).

Kawasan tumpuan ekonomi yang bergerak ke arah pinggir bandar membawa sekali pembinaan jalan raya untuk laluan pengangkutan. Kegiatan ekonomi di sepanjang laluan lebuh raya berkembang selaras dengan kepesatan pembangunan yang melonjakkan pembukaan kedai, kawasan penempatan dan pembukaan kilang-kilang industri. Pekan lama yang terkeluar dari lingkaran lebuh raya ini sedikit demi sedikit menjadi lesu dan tidak aktif manakala bandar baru yang lebih moden, terancang dan lengkap mula mengambil tempat.

Kegiatan ekonomi yang pesat memberi gambaran bahawa terdapat penawaran kerja yang banyak di bandar dan kawasan industri. Keperluan terhadap tenaga buruh juga bertambah. Oleh itu penduduk kampung dan kawasan pedalaman mula berhijrah ke bandar untuk mengisi kekosongan tenaga buruh berkenaan. Anak-anak muda yang tinggal di kampung kini memilih bandar sebagai tempat mencari kerja dan meninggalkan kerja-kerja tradisional di kampung.

Migrasi dari kampung ke bandar amat ketara pada awal tahun 1980-an dahulu apabila kerajaan membuka kawasan kilang yang berorientasikan buruh. Ketika ini gelaran "Minah kilang" menjadi bualan kerana ramai kaum wanita yang diambil bekerja. Persepsi umum ialah bekerja di kilang adalah pekerjaan yang tidak ada kelas.

Namun begitu, hakikatnya sebaliknya ialah "Minah kilang" inilah yang menjana pendapatan keluarga di kampung mereka sekali gus mengeluarkan masyarakat kampung daripada cengkaman kemiskinan. Sedikit demi sedikit kualiti hidup masyarakat semakin baik. Anak-anak dapat belajar ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya menjadi nadi kepada punca rezeki keluarga.

Hari ini istilah "Minah kilang" tidak lagi kedengaran walaupun masih ramai kaum wanita yang bekerja di situ. Pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk juga semakin kurang kerana dasar industri yang diguna pakai oleh kerajaan Malaysia ketika ini berorientasikan teknologi tinggi yang tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai. Sektor yang masih memerlukan penggunaan tenaga buruh yang ramai ialah perladangan.

Justeru apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan pemberian bantuan kebajikan tidak mempunyai perbezaan antara penduduk miskin di bandar dan luar bandar (BH, 18 Oktober 2007), ia memberi tafsiran yang bercampur-aduk.

Utusan Malaysia pada hari yang sama mencadangkan beberapa kriteria yang wajar dinilai oleh kerajaan seperti jumlah pendapatan seisi keluarga, sumber pendapatan, bilangan anak terutama yang bersekolah, kos sara hidup dan tempat tinggal supaya hanya mereka yang layak mendapat bantuan.

Beliau juga mencadangkan agar semua pihak menggunakan kayu ukur definisi garis kemiskinan yang sama supaya si miskin sahaja yang mendapat bantuan.

Chamhuri Siwar & Mohd Haflah Piei (1988) menyatakan terdapat berbagai-bagai dimensi bagi menjelaskan konsep kemiskinan kerana isu-isu kemiskinan ini adalah hal sejagat masyarakat seluruh dunia. Keadaan hidup masyarakat di Malaysia berbeza dengan Indonesia dan negara-negara lain yang tentunya memberikan tafsiran yang berbeza terhadap konsep kemiskinan.

Apa yang boleh dilihat ialah idea tentang kemiskinan tidak hanya terbatas kepada kegagalan memenuhi keperluan material tetapi juga keperluan psikologi dan politik. Oleh yang demikian, tidak ada satu takrif kemiskinan yang boleh diterima dan diguna pakai oleh semua negara pada setiap masa dan ketika tanpa mengambil kira struktur masyarakat dan tahap pembangunan di negara tersebut (Mohd. Taib Dora,2000).

Konsep kemiskinan adalah sensitif kepada kaedah pengukuran yang berbeza sama ada dari segi ekonomi, sosial ataupun politik yang boleh menghasilkan keputusan yang berbeza tentang insiden kemiskinan.

Justeru cadangan Awang Selamat sangat sukar untuk dilaksanakan kerana definisi miskin sangat subjektif walaupun ketika ini tumpuan lebih terarah kepada miskin dari segi ekonomi. Banyak perbincangan mengenai pembasmian kemiskinan meletakkan gaji minimum sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Bagaimanapun keadaan ini tidak dapat menyelesaikan isu jika infrastruktur sosial seperti klinik, sekolah, kemudahan jalan raya dan sebagainya tidak disediakan kerana masyarakat akan tetap membayar untuk menggunakan kemudahan yang diberi.

Sebuah keluarga dari kampung terpaksa berbelanja lebih untuk ke hospital di bandar dan begitu juga keluarga di bandar akan terpaksa membayar pelbagai perkhidmatan yang disediakan yang juga melibatkan penggunaan kos yang tinggi. Dalam erti kata lain kedua-dua pihak tetap akan miskin kerana penyediaan kemudahan infrastruktur sosial yang tidak mantap ini.

Cadangan melihat kembali kriteria penerima bantuan perlu mengambil kira pelbagai aspek lebih-lebih definisi yang diguna pakai ketika ini. Keutamaan memberi bantuan melalui Bantuan Orang Tua, Bantuan Am, Elaun Pekerja Cacat dan Bantuan Kanak-kanak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat hendaklah diperhalusi supaya golongan miskin tidak merempat di negara sendiri.

Kejayaan Jabatan Kebajikan Masyarakat ialah bukannya berbangga dengan kadar jumlah bantuan yang meningkat setiap tahun sebaliknya kejayaan yang boleh dibanggakan oleh organisasi ini ialah pada satu hari nanti tidak ada lagi orang yang layak menerima bantuan dan JKM akan ditutup buat selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment