Sunday, December 20, 2015

Sifat tamak rosakkan perniagaan







Plaza Kota Raya menjadi perhatian baru-baru ini kerana seorang lelaki dikurung akibat enggan membeli telefon bimbit yang berharga RM10,000. Beliau enggan membeli kerana harga tersebut terlalu mahal berbanding harga sebenar iaitu RM800 sahaja.

Kenapa wujud perbezaan harga yang begitu ketara?

Sudah tentu kerana peniaga yang tidak jujur. Sesuatu yang tidak logik apabila empat buah telefon bimbit yang berharga RM200 sebuah meningkat kepada RM10,000!

Bisnes merupakan satu inisiatif yang amat digalakkan Rasulullah saw. Semasa muda, baginda turut berusaha sendiri dan barang jualannya sentiasa mendapat untung. Majikannya, Khadijah r.a berasa janggal apabila bisnes yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw bertambah maju. Selepas itu barulah diketahui bahawa satu ciri yang diamalkan oleh Rasulullah saw semasa berniaga ialah jujur.

Berniaga dengan jujur kerap kali mendapat pujian dan dikenang sepanjang masa. Justeru, ada kedai yang mempamerkan pernyataan tentang ketulenan produk yang dijual dan mengamalkan konsep kedai harga patut.

Jujur berniaga tiada kaitan dengan mana-mana bangsa tetapi lebih kepada sifat tamak haloba peniaga untuk mendapat untung dengan cara menekan pembeli. Peniaga yang mahu mendapat untung lebih banyak akan menggunakan apa sahaja kaedah untuk meraih untung walaupun dengan cara tidak munasabah.

Dalam kes ini, peniaga telefon bimbit ini berbangsa Cina dan pembelinya pula adalah Melayu. Ia sekali lagi menjadi konflik apabila dikaitkan dengan perkauman.

Media dan penguatkuasa harus memastikan isu kepenggunaan ini tidak melangkaui sempadan perniagaan semata-mata. Jika tidak, Plaza Kota Raya mengulangi sejarah Plaza Low Yat yang menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. Bakal pembeli tentu berfikir dua tiga kali untuk pergi ke sana kerana mereka tidak mahu ditipu oleh jurujual yang korup dan peniaga yang tamak.

Kita harus mendidik masyarakat kita untuk menghargai kejujuran dalam perniagaan. Sudah tentu sifat jujur ini bermula di rumah dan diteruskan di sekolah. Sepatutnya amalan jujur yang dianjurkan oleh Islam boleh menjadi medan dakwah terbaik kepada peniaga yang tamak ini supaya menghargai kesetiaan pembeli mereka.

Imej Plaza Kota Raya mungkin tercemar namun boleh diatasi dengan kempen jujur di premis perniagaan di situ.



No comments:

Post a Comment