Tuesday, December 15, 2015

Pembangunan sektor pelancongan di Melaka








1.0       Pengenalan

Pelancongan adalah gerakan sementara manusia dari destinasi ke destinasi seperti di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang biasa, kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka. Pelancongan dianggap sebagai satu kemewahan kerana hanya segelintir orang yang mempunyai masa dan wang yang mampu untuk melancong. Waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan pengangkutan yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang pergi melancong.

Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan dan sumber ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat. Malahan, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara. Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam.

Dalam konteks malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM18.1 bilion kepada pendapatan negara. Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara lebih teliti.

Perkembangan industri pelancongan di Melaka menarik pelaburan dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Kerajaan Melaka lebih fokus dalam usaha memperbaharui kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan luar negara utama. Di samping meningkatkan usaha-usaha yang berterusan bagi mempromosikan pelancongan tempatan. Pelaung ini terbuka luas kepada para usahawan, pemilik perniagaan dan pelabur yang menyokong sasaran kerajaan.

Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa yang mampu menarik minat pelancong asing.

1.1       Latar Belakang  Kajian

Zaman kegemilangan Melaka yang berlatarbelakangkan pelbagai kisah dan kesan sejarahnya telah meletakkan Melaka sebagai tempat yang perlu dilawati dalam kalangan pelancong terutamanya pelancongan dalam negara. Sejarahnya yang melangkaui 600 tahun jelas terbukti dengan kewujudan bangunan-bangunan lama peninggalan penjajah, jalan-jalan yang menarik, kelazatan makanan seperti asam pedas dan warisan pelbagai budaya yang menarik. Melaka juga terkenal sebagai pusat perdagangan maritim utama di rantau ini pada abad ke 16. Melaka menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari Arab, China, India dan Eropah yang datang berdagang pelbagai barangan seperti emas dan perak, rempah-ratus, tembikar dan juga sutera. Melaka menjadi rebutan kuasa-kuasa besar Eropah seperti Portugal, Belanda dan juga Inggeris yang telah menjajah negeri ini sehinggalah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 31 ogos 1957.

Hanya dengan menziarahi Melaka barulah anda dapat merasai perjalanan nostalgia bukan sekadar menambah pengetahuan mengenai zaman kegemilangan negeri ini malah akan menjadi kenangan yang amat bermakna. Melaka moden ditubuhkan berlandaskan pembangunan industri setelah dua dekad selepas kemerdekaan dan terus berkembang menuju wawasan untuk menjadi negeri industri dengan penekanan diberikan kepada industri teknologi hijau.

Pelancongan merupakan sektor kedua terpenting selepas sektor perindustrian di dalam pembangunan ekonomi negeri melaka. Negeri Melaka yang kaya dengan sumber sejarah, kebudayaan dan kesenian menjadikan negeri melaka tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri. Slogan Melaka iaitu “Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia” secara ringkas sudah dapat memberi gambaran apa yang dapat disajikan kepada pelancong oleh penduduk berbilang kaum di sini. Kelainan ini meletakkan negeri melaka sebagai salah sebuah destinasi pelancong yang terbilang di rantau Asia. Pada 7 Julai 2008, Melaka juga telah diiktiraf oleh Unesco sebagai sebuah bandaraya warisan dunia dan kini dikenali sebagai “Melaka Bandaraya Warisan Dunia Unesco”. Ini disokong dengan 12 sub sektor pelancongan negeri melaka yang terkenal iaitu sejarah, budaya, rekreasi, sukan, membeli-belah, konvensyen, kesihatan, pendidikan, agro, makan-makan, Melaka rumah keduaku dan belia.

1.2       Objektif Kajian 

Objektif kajian ini adalah mengkaji faktor yang menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan di Melaka, mengenal pasti kesan hasil daripada pembangunan sektor pelancongan di Melaka dan mengetahui tahap kualiti negeri melaka sebagai tempat pelancongan.


2.0       Sorotan Literatur

Persepsi didefinisikan sebagai satu proses di mana seseorang individu dapat menerima memilih, menyusun dan menginterpretasi untuk mencipta sesuatu gambaran yang bermakna (Mayo & Javis, 1981). Persepsi bergantung kepada dorongan atau sikap individu yang bertindak melalui penilaian, kehendak, ingatan, perasaan hati, keadaan sosial dan harapan (Saarinen, 1976). Persepsi akan mempengaruhi individu untuk melakukan  keputusan melancong. Persepsi adalah penting kepada perancang dan pengurus destinasi pelancongan untuk menggalakkan imej baik sesuatu destinasi pelancongan kepada orang ramai (Boniface dan Cooper, 1994). Persepsi pelancong boleh didefinisikan sebagai suatu proses menginterpretasi  maklumat yang dialami dari dunia fizikal ke dunia dalam mental (Decrop, 1999). Maklumat yang diterima akan menjadikan sebagai pengetahuan dan kemahiran yang baru terhadap respon dengan persekitaran yang menghasilkan kepercayaan dan perasaan. Contohnya, destinasi pelancongan mungkin akan berhubung dengan beberapa ciri seperti iklim, kebudayaan, alam sekitar dan sebagainya yang mana pelancong mempunyai emosi terhadap sifat tersebut (Decrop, 1999). 

Sikap dan persepsi itu sendiri tidak dapat menjelaskan bahawa mengapa seseorang individu ingin melancong. Individu yang mempunyai inisiatif permintaan melancong kerana adanya desakan daripada motivasi (Boniface & Cooper, 1994). Motivasi wujud apabila individu ingin memenuhi kepuasan sendiri  (Mill & Morrison, 1992). Pelancong dimotivasi melalui dua faktor iaitu keinginan untuk mengembara yang mana individu ingin melihat sesuatu orang, lokasi dan budaya yang lain dan ingin melawat tempat yang lebih selesa dari rumah. (Boniface & Cooper, 1994; Walmsley & Lewis, 1993; Pearce, 1987). Lucas menyatakan bahawa terdapat banyak persepsi yang berlainan bergantung kepada mod pelancongan yang dijalankan (Saarinen, 1976). Cohen telah mengenal pasti bahawa terdapat lima jenis mod pelancongan iaitu mod rekreasi, mod pelancongan, mod pengalaman, mod eksperimen dan mod kewujudan (Walmsley & Lewis, 1993).

Perkataan ‘tour’ berasal dari bahasa latin  yang bermaksud pergerakan yang mengelilingi titik pusat (axis). Imbuhan akhiran ‘ism’ ditakrifkan sebagai satu pergerakan dan proses, perlakuan biasa atau kuantiti. Ganbungan anatara perkataan ‘tour’ dan ‘ism’ digabungkan ia bermaksud perlakuan bergerak mengeliling satu pusingan yang akhirnya akan berpatah balik kepada garis permulaan (Theobald, 1994).


3.0       Metodologi

Kajian ini telah menggunkan beberapa kaedah untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar.

Kaedah temu bual. Kaedah ini merupakan lebih terbuka kerana responden bebas mengeluarkan pandangan mereka tentang soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh penyelidik. Sasaran temu bual termasuklah mahasiswa dan mahasiswi UteM.

Kaedah soal selidik. Borang soal selidik diperlukan untuk memudahkan kajian yang hendak dilaksanakan. Borang soal selidik diedarkan secara online atau secara rawak kepada responden kajian. Maklumat yang terdapat dari borang soal selidik itu telah menjadi pengumpulan data kajian.

Kaedah permerhatian. Beberapa tempat pelancongan terkenal seperti jonker walk dan kota A’Farmosa untuk memperoleh maklumat secara langsung tentang keadaan sekarang sector pelancongan di Melaka.


4.0       Hasil Kajian


Rajah 1: Faktor yang menarik minat pelancong untuk datang ke Melaka.

Berdasarkan Rajah 1, 66% responden bersetuju nilai kesenian dan warisan sejarah menjadi penarik pelancong ke Melaka manakala 14% dan 11% telah memilih tahap keselamatan yang baik dan tahap kebersihan yang tinggi sebagai faktor kedatangan pelancong ke Melaka. Seterusnya, baki 9% lagi memilih kemudahan pengangkutan awam sebagai faktor yang menjadi tarikan pelancong ke Melaka. Konklusinya, lebih daripada separuh responden menyatakan bahawa nilai kesenian merupakan tarikan utama kedatangan pelancong ke Melaka.


Rajah 2: Jenis pengangkutan yang sering digunakan oleh para pelancong semasa bercuti di Melaka.

Daripada Rajah 2, majoriti iaitu seramai 60% responden memilihi bas sebagai kenderaan yang sesuai dinaiki ketika melancong. Seterusnya, 29% responden lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri dan bakinya iaitu seramai 11% responden memilih menaiki kenderaan sewa ketika melancong. Kesimpulannya, secara keseluruhannya, responden lebih selesa menaiki bas ketika keluar melancong.


Rajah 3: Empat tempat pelancongan yang paling terkenal yang boleh dikunjungi oleh pelancong di Melaka.

Mengikut Rajah 3, Kota A’Famosa dipilih seramai 43% responden, Muzium Baba Nyonya dipilih seramai 23% responden, Menara Taming Sari dipilih seramai 15% dan Melaka dipilih seramai 14% responden sebagai tempat menarik untuk dikunjungi semasa melancong di Melaka. Konklusinya rata-rata responden telah memilih Kota A’ Famosa sebagai tempat yng seharusnya dilawati sekiranya pelancong datang ke Melaka.


Rajah 4: Jenis penginapan yang menjadi pilihan pelancong untuk bermalam semasa  lawatan mereka ke Melaka.

Rajah 4 menerangkan 40% reponden memilih untuk menginap di homestay, 31% memilih untuk bermalam di hotel dan 29% responden memilih untuk tinggal di resort semasa bercuti. Secara umumnya para pelancong lebih selesa untuk menginap di homestay semasa percutian mereka di Melaka.


Rajah 5: Sumbangan utama pembangunan sektor pelancongan.

Menurut Rajah 5, 46% responden bersetuju sumbangan utama pembangunan sektor pelancongan adalah pembangunan ekonomi yang pesat manakala masing-masing 22% dan 21% responden memilih membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan pemasyhuran budaya dan sejarah di sesuatu tempat pelancongan sebagai sumbangan utama pembangunan sektor pelancongan. Akhir sekali, 11% responden memilih pemeliharaan dan pemuliharaan nilai estetika sebagai sumbangan utama pembangunan sektor pelancongan. Kesimpulannya, majoriti bersetuju sumbangan utama pembangunan sektor pelancongan adalah pembangunan ekonomi yang pesat.

  
Rajah 6:  Cara pelancongan yang menjadi pilihan responden.

Rajah 6 di atas menunjukkan daripada 35 responden tersebut, terdapat responden seramai 31% yang berpendapat bahawa pelancongan secara bersama keluarga adalah lebih baik berbanding dengan cara lain. Mereka berasa melancong bersama keluarga boleh mengeratkan hubungan antara keluarga dengan baik.

Cara pelancongan bersama rakan-rakan juga menunjukkan peratusan yang sama dengan cara pelancongan secara bersama keluarga, iaitu 31%. Mereka berasa melancong dengan rakan adalah lebih baik, kerana mereka berasa melancong bersama-sama rakan yang mempunyai minat yang sama akan menjadikan pelancongan lebih menarik.

Selain itu, terdapat juga responden seramai 25% yang lebih suka pelancongan secara sendirian. Para responden berasa dengan cara ini mereka boleh menjadi lebih berdikari. Kebaikan lain pelancongan secara sendirian ialah, jadual pelancongan menjadi lebih bebas dan elastik, kerana mereka tidak perlu bimbang tentang fikiran rakan atau keluarga.

Akhirnya hanya 12% responden yang memilih cara pelancongan secara bersama agensi pelancongan atau rombongan. Pada pendapat mereka, mereka lebih suka cara ini kerana mereka tidak perlu merancang dengan teliti tentang tempat perlancongannya dan harganya adalah lebih murah.


Rajah 7: Pandangan tentang kebersihan Bandar Melaka.

Rajah 7 menunjukkan pandangan tentang kebersihan Bandar Melaka pada hari ini. Dikenali sebagai sebuah bandar yang bersejarah, Melaka merupakan tempat pelancongan pilihan pertama dalam pandangan para pelancong baik dari dalam atau luar negara.

Pada pendapat para responden, hanya 7%  yang berasa Melaka adalah “amat bersih”. Mereka berasa tahap kebersihan di Bandar Melaka telah melayakkan bandar ini untuk bersaing dengan bandar-bandar terkenal seperti London, New York, Beijing dan sebagainya. Kebanyakan responden, iaitu 77%, berpendapat bahawa kawasan pelancongan Bandar Melaka adalah “bersih”. Mereka berasa tahap kebersihan dalam bandar adalah memuaskan, namun mereka juga mengatakan masih ada tempat-tempat yang boleh meningkatkan tahap kebersihan.

Daripada para  responden, terdapat 11% dan 5% yang berasa tidak puas hati dengan tahap kebersihan dan menganggap bandar melaka sebagai”kotor” dan “amat kotor” masing-masing. Mereka membandingkan bandar melaka dengan negara moden lain seperti Amerika Syarikat dan England dan berasa Bandar Melaka sebagai tempat pelancongan utama dalam Malaysia seharusnya mempunyai tahap kebersihan yang lebih baik.


Rajah 8: Pandangan respoden terhadap keselamatan di Melaka.

Rajah 8 menunjukkan pandangan responden terhadap keselamatan di Melaka. Majoriti responden iaitu sebanyak 60% berasa tahap keselamatan di Melaka adalah “baik”. Mereka berasa melaka mempunyai tahap keselamatan yang cukup baik untuk berbanding dengan negara-negara canggih lain seperti Amerika Syarikat dan England serta lain-lain.

Selain itu, terdapat juga 29% responden yang menganggap tahap keselamatan di melaka “sederhana”. Mereka mengatakan, walaupun mereka berpuas hati dengan keselamatan di Melaka, mereka masih berasa terdapat tempat-tempat yang memerlukan peningkatan.

Akhirnya, terdapat 11% responden yang kecewa dengan tahap keselamatan di melaka dan menganggap keselamatan “tidak memuaskan”. Mereka berasa kecewa dengan kekurangan pondok polis di tempat pelancongan dan tidak berpuas hati dengan kecekapan polis-polis di Melaka. Mereka juga berpendapat, jika Malaysia betul-betul ingin menjadi satu negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang, keadaan ini tidak harus berlaku dan memerlukan peningkatan dengan kadar segera.


Rajah 9: Tahap kepuasan reponden terhadap sistem jaringan jalan raya di Melaka.

Rajah 9 menunjukkan tahap kepuasan responden terhadap sistem jaringan jalan raya di Melaka. Sistem jalan raya adalah elemen yang paling penting dalam sesuatu bandar. Satu bandar yang canggih mestilah mempunyai satu sistem jaringan jalan raya yang cukup baik. Dapatan kajian ini menunjukkan 43% daripada para responden berasa sistem jaringan jalan raya di Melaka adalah ”baik”.

 Selebihnya, 34% berasa sistem jaringan jalan raya adalah memuaskan dan menganggap sistem ini sebagai “sederhana”. Mereka berasa terdapat beberapa kekurangan yang boleh dipertingkatkan oleh pihak berkuasa dan hanya sampai masa itu sistem ini baru boleh menjadi sempurna.

Namun, terdapat juga 23% responden yang berasa langsung tidak suka sistem sekarang dan menganggap ”tidak memuaskan”. Mereka berasa untuk Malaysia mencapai Wawasan 2020 dan menjadi satu negara canggih sebelum tahun 2020, perkara pertama yang perlu diambilberatkan ialah sistem jaringan jalan raya kerana sistem tersebut mampu menjejaskan imej dan pandangan setiap pelancong yang datang melawat.


Rajah 10: Fungsi kemudahan awam yang disediakan di sekitar Melaka.

Rajah 10 menunjukkan pandangan responden terhadap kualiti kemudahan awam di sekitar Melaka. Merujuk kepada statistik tersebut, terdapat 26% responden berasa kualiti kemudahan awam di negeri melaka adalah “baik”. Mereka berpuas hati dengan kelayanan dan sikap bersopan-santun para pemandu bas di Melaka. Namun, terdapat juga 43% responden yang berasa kelayanan dan sikap bersopan-santun adalah tidak mencukupi untuk memanggil “servis kelas pertama”. Mereka berasa masih terdapat beberapa kekurangan yang memerlu dberikan perhatian. Oleh itu, mereka hanya menganggap kualiti kemudahan awam “sederhana”.

Akhirnya, 31% responden berasa kecewa dan menganggap kualiti kemudahan awam “teruk”. Mereka tidak berpuas hati dengan kekurangan jadual waktu di stesen bas dan mereka terpaksa menunggu selama selama setengah jam sampai satu jam untuk menunggu bas muncul. Mereka berasa hal ini telah membazirkan masa mereka dan menjejaskan perancangan mereka untuk melawat ke tempat lain.


5.0 Kesimpulan

Terdapat pelbagai jenis pelancongan yang ada. Antaranya adalah pelancongan pendidikan, sukan, kesihatan dan ekopelancongan. Sejak dahulu lagi sektor pelancongan mendapat perhatian umum. Kebanyakan daripada kita gemar untuk keluar melancong bagi merehatkan minda daripada kebiasaan aktiviti harian. Peluang untuk mengurangkan tekanan melalui pelancongan amat tinggi.

Bagi Melaka, sektor pelancongan telah lama menjadi penyumbang utama dalam pertumbuhan ekonomi. Pembangunan ekonomi kesan daripada pembangunan sektor pelancongan bukan sahaja tertumpu kepada ekonomi negeri tetapi juga masyarakat setempat. Pendapatan negeri boleh meningkat apabila memperolehi cukai daripada perkhidmatan yang digunakan oleh para pelancong. Sesebuah tempat pelancongan yang terkenal mampu menjana peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan seperti peluang perniagaan dan perkhidmatan. Seterusnya, pembangunan sektor pelancongan juga dilihat mampu membantu memperkenalkankan budaya tempatan dan nilai kesenian kepada masyarakat luar. Melaka amat terkenal dengan tempat-tempat bersejarah. Bangunan-bangunan yang bersejarah ini mempamerkan kesenian yang berbeza antara satu sama lain kerana struktur-struktur binaan ini telah didirikan oleh kuasa-kuasa besar Barat ketika mereka menjajah Melaka.

Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau busuk selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini. Tegasnya, keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar industri ini dapat dibangunkan.
        
Selain itu, kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan kewujudan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada suatu ketika dahulu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak. Pendek kata, komitmen kerajaan dengan badan-badan tertentu dalam menyebarkan keunikan negara kita ke peringkat global turut merancakkan perkembangan industri ini.


Rujukan

Abdul Rahman Aripin. (1997). Melaka bumi bersejarah. Dewan Budaya 19 (7), 34-35.

Mohmadisa Hashim, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah .(2010). Isu pembangunan pelancongan ekologi di Malaysia. Dalam Pembangunan dan alam sekitar di Malaysia. Penerbit UPSI, Tanjong Malim.

http://jakmashomestay.blogspot.com/2012/10/mengapa-pilih-melaka-sebagai-destinasi.html


MZ Zainudin, Lim Chun Heng, Ahmad Nazri Ishak, Mohd Iszul Naim Jaafar, Chan Lek Ho, Muhamad Abdullah.



No comments:

Post a Comment