Dalam tempoh dua minggu ini, kejadian membunuh
dan bunuh diri kerap dilaporkan. Bermula dari seorang pelajar sekolah menengah
yang kecewa tidak dapat menjawab soalan peperiksaan, pembunuhan ke atas dua
orang kanak-kanak oleh ibu sendiri amat mengejutkan.
Mengambil nyawa sendiri atau membunuh orang
lain kerana kecewa semakin menjadi trend yang sedang meningkat naik dalam
masyarakat hari ini. Ia berlaku di semua peringkat. Jika dulu kita pernah
mendengar pelajar sekolah rendah yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam
peperiksaan utama membunuh diri, kini ia menular dalam pelbagai keadaan.
Dalam kalangan orang dewasa, banyak faktor
yang menyebabkan mereka cenderung membunuh diri. Antaranya seperti berhutang,
tekanan jiwa, konflik peribadi atau tekanan kerja. Antara bentuk bunuh diri
yang sering menjadi pilihan ialah gantung diri, lemas kerana asap kenderaan di
dalam kereta, menggelar pergelangan tangan dan terjun bangunan. Ada juga kes
melibatkan terjun laut, mengambil pil tidur berlebihan dan terlebih dos
pelbagai jenis dadah.
Kematian bunuh diri yang melibatkan masyarakat
Islam juga semakin kerap dilapor oleh media. Sudah tentulah keadaan ini
membimbangkan kerana kejadian bunuh diri dalam Islam merupakan satu tegahan.
Pelaku yang mengambil tindakan berkenaan sudah tentu menghadapi suatu keadaan
yang menyukarkan sehingga tidak berupaya mencari penyelesaian yang berkesan.
Bagi mengatasi kejadian bunuh diri ini,
peranan keluarga dan rakan-rakan amat penting. Keluarga dan rakan merupakan orang
paling akrab dengan mangsa dan bertanggungjawab memberi panduan dan sokongan
hidup. Perbincangan dan nasihat yang berterusan dapat membuka minda mangsa
untuk memikirkan lebih banyak pilihan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Pada masa yang sama, komuniti wajar lebih
prihatin terhadap jiran dan komuniti setempat supaya simptom kemurungan dan
kekecewaan yang hadir dalam komuniti dalam dikesan lebih awal.
Badan dan institusi kebajikan juga perlu lebih
proaktif mempromosi perkhidmatan mereka supaya masyarakat dapat menyalurkan
informasi berkaitan mangsa.
No comments:
Post a Comment