Kumpulan bekas penjawat awam atau G25 dilapor membuat
cadangan hukuman ke atas perbuatan khalwat dimansuhkan kerana melanggar hak
kebebasan seseorang seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Alasannya ialah perbuatan khalwat yang dilakukan di rumah persendirian adalah
hak dan privasi individu di samping berfikir perbuatan khalwat di tempat
peribadi adalah dosa peribadi antara pelaku dengan Allah swt.
Jurucakap G25, Datuk Noor Faridah Ariffin dipetik sebagai
berkata pelaksanaan undang-undang syariah menjadi masalah apabila ia melanggar
Perlembagaan sehingga menjadikan dosa peribadi seseorang sebagai satu kesalahan
jenayah.
Isu ini menarik perhatian masyarakat yang memberi pandangan
mereka di media sosial. Antaranya ialah pandangan tentang “jangan dekati zina”
merupakan sebahagian daripada saranan di dalam al-quran, justeru khalwat adalah
perbuatan yang perlu ditegah. Ada juga yang menyifatkan pandangan kumpulan itu
menunjukkan mereka tidak tahu hukum-hukum Islam.
Sebelum itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) turut
tidak bersetuju dengan tindakan G25 yang mempertikai Mahkamah Syariah dan
peranan Majlis Fatwa. Justeru mereka menyifatkan G25 “perlu dimengajikan semula”.
Hala tuju kumpulan ini menyasarkan isu-isu berkaitan agama
Islam seperti sistem perundangan Malaysia, hak institusi agama, pentafsiran
hukum fiqh dan teks tanpa sempadan serta menghidupkan budaya debat dalam urusan
agama. Bagaimanapun kita tidak pasti apakah dasar perjuangan mereka.
Ahli-ahli G25 terdiri daripada bekas penjawat awam.
Antaranya bekas naib canselor, bekas duta dan bekas dekan.
Tahap pengetahuan antara bekas dan orang muda amat jauh
bezanya. Anak-anak muda di semua peringkat lebih banyak terdedah kepada ilmu
dan amalan agama sebaliknya pandangan “bekas” masih berkisar terhadap kefahaman
mereka pada masa lepas. Disuruh mengaji tidak mahu, diminta pendapat melulu-lulu.
Kefahaman anak muda terhadap Islam sangat baik pada hari
ini. Ceramah agama mendapat sambutan, ustaz dan lebai sudah mendapat ruang di
media dan buku berkaitan Islam berada di medan hadapan rak pameran kedai-kedai
buku malah menjadi “best seller”.
Apakah G25 yang
terdiri daripada bekas-bekas ini menyedari perubahan yang berlaku?
Kecenderungan masyarakat Islam untuk mengenali agama mereka
bertambah rancak. Selepas kenal, tentulah mereka hendak mempraktikkan amalannya
supaya wujud keindahan Islam dalam rumah tangga mereka.
Saya melihat perjuangan G25 mengulangi apa yang telah
dikatakan oleh Syed Qutb dalam buku Petunjuk Sepanjang Jalan iaitu mengenai
nilai-nilai Barat yang telah muflis. Nilai-nilai yang cuba dibawa oleh G25
tidak jauh beza dengan pandangan Syed Qutb dan lama-kelamaan masyarakat akan
meninggalkan nilai-nilai bankrap ini kerana Barat sudah pun tidak menawarkan
apa-apa nilai kepada manusia.
No comments:
Post a Comment