“Malaysia Hari Ini, hai...hai...hai” sangat
sinonim dengan Aziz Desa, pengacara TV3 yang terkenal kira-kira 20 tahun lalu.
Beliau meninggal dunia baru-baru akibat kompilasi kencing manis dan buah
pinggang.
Ketika era kemuncak pakar motivasi, Datuk Dr
Mohd Fadzillah Kamsah, Aziz Desa sering kali menjadi moderator rancangan
“Cermind Diri” yang kerap disiarkan secara langsung pada setiap pagi Ahad.
Cermin Diri merupakan siri rancangan motivasi keluarga yang menampilkan Mohd
Fadzillah sebagai motivator yang membantu ramai orang menyelesaikan masalah
hidup mereka.
Saya masih ingat sekitar tahun 1995, rancangan
Cermin Diri disiarkan secara langsung dari Kolej kediaman Ketujuh, Universiti
Pertanian Malaysia. Dua hari sebelum ke udara, krew yang bertugas datang lebih
awal untuk membuat persiapan pentas di samping menyiapkan pentas persembahan.
Banyak persiapan yang perlu dilakukan seperti
pendawaian, sambungan kabel, hiasan pentas, jentera elektrik dan susunan kerusi
audien.
Pada pagi hari rancangan tersebut, kelibat
Aziz Desa mula kelihatan. Beliau nampak segak dan bergaya apabila mengenakan
kot, tali leher dan sedikit “touch-up” di mukanya. Cermin Diri diadakan di
Kolej Kediaman Ketujuh kerana di sini berlangsungnya progam cuti sekolah iaitu
Supercamp dan Superkids anjuran syarikat Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah, Excel
Training & Consultancy Sdn Bhd. TV3 perlu mengikut jadual pakar motivasi
itu supaya rancangan mereka dapat disiarkan seperti yang dijadualkan.
Saya juga terlibat dalam kedua-dua program itu
sebagai fasilitator yang bertugas mendidik pelajar di samping memudahkan
perjalanan program sehingga ke akhirnya.
Melihat Aziz Desa secara dekat merupakan
peluang besar kerana sukar bagi orang awam untuk melihat selebriti media ketika
itu. Kepetahan bercakap dan kupasan idea yang meluas menjadikan persembahan
Cermin Diri lebih ceria dan semakin diminati.
Keupayaan Aziz Desa bercakap di khalayak
menjadikan anak-anak muda mula melihat bidang penyiaran sebagai kerjaya
pilihan. Sumbangan Aziz Desa ialah mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang
penyiaran yang boleh dijadikan sebagai “bidang kerja yang boleh cari makan”.
Tahun-tahun hujung 1990-an adalah tahun yang
mencabar kerana berlakunya krisis ekonomi yang mana ramai siswazah tidak dapat
pekerjaan. Inspirasi yang diberikan oleh Aziz Desa sedikit sebanyak menyumbang
kepada minat siswazah untuk menceburi bidang penyiaran walaupun bukan bidang
pengajian mereka di universiti.
Walaupun kerjaya Aziz Desa berakhir dalam
bidang politik dan pengurusan acara, penampilannya dalam rancangan Malaysia
Hari Ini dan Cermin Diri masih segar dalam ingatan saya.
Semoga Allah swt menempatkan roh beliau dalam
kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Al fatihah.
No comments:
Post a Comment