1.0 Pengenalan
Dalam kajian ini,
masyarakat Cina di Malaysia telah dipilih sebagai subjek kajian. Ruang lingkup
kajian ini meliputi adat dan pantang larang semasa perayaan, perkahwinan dan
kematian. Secara umumnya, masyarakat Cina merujuk kepada sekumpulan orang yang
hidup bersama di sesuatu tempat dengan cara-cara dan peraturan-peraturan
tertentu yang mana identiti orang Cina itu sendiri boleh didefinisikan sebagai suatu
situasi mental dan emosi orang Cina ketika mereka berhubung dengan subjek
luaran di alam sosial mereka. Manakala pantang larang sesuatu kaum adalah
sebagai panduan dan juga untuk mendidik setiap insan tidak kira tua atau muda
ke arah yang lebih baik. Kebanyakannya bertujuan untuk mendidik masyarakat agar
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
2.0 Sorotan Kajian
Secara ringkasnya, orang
Cina di Malaysia ialah orang Cina luar negara yang menjadi warganegara atau
penduduk tetap di Malaysia. Kebanyakan mereka berketurunan pendatang dari China
yang tiba di Malaysia sekitar abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20. Di
Malaysia, secara lazimnya kaum ini dirujuk sebagai orang Cina dalam semua bahasa.
Masyarakat Cina di
Malaysia mengekalkan identiti komuniti yang amat ketara bezanya dengan kaum
lain serta jarang berkahwin campur dengan orang Melayu atas sebab agama dan
budaya. Hal ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Di bawah
undang-undang Malaysia, perkahwinan sedemikian memerlukan pihak bukan beragama
Islam untuk memeluk agama pasangannya. Kebanyakan orang Cina Malaysia
menganggap "kecinaan" mereka sebagai satu identiti etnik, budaya dan
politik.
Etnik Cina di Malaysia
terdiri daripada beberapa suku dialek. Terdapat enam kumpulan dialek utama
iaitu Hakka, Kantonis, Hokkien, Teochew, Hainan dan Hokchiu. Adalah terbukti
bahawa orang yang tergolong dalam golongan suku dialek tertentu tertumpu dalam
bahagian komuniti berbeza di Malaysia.
Masyarakat Cina
mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian
mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan
mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik
mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal kelahiran,
perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara
berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang
diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara
keseluruhannya.
Berdasarkan kajian
lapangan kami, terdapat pelbagai permasalahan yang menjadi tanda tanya
berkenaan adat dan pantang larang masyarakat Cina di Malaysia ini. Menurut
Wynne (2002), budaya Tahun Baru Cina merupakan adat dan pantang larang yang
diamalkan oleh masyarakat Cina semasa Tahun Baru Cina seperti memberi angpau kepada kanak-kanak, berkumpul
untuk hidangan malam pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan sebagainya. Namun,
adakah remaja-remaja kini mengetahui makna sebenar bagi menyambut Tahun Baru
Cina atau Tahun Baru Cina hanya merupakan salah satu peluang cuti am untuk
rehat atau pergi melancong dalam atau ke luar negara sahaja bagi mereka?
Selain itu, adakah
remaja-remaja kini memahami fungsi atau makna sebenar mengapa ibu bapa atau
orang tua memberi angpau hanya
merupakan satu peluang untuk mereka memungut duit raya tanpa menyedari fungsi
sebenar di sebaliknya? Adakah mereka memahami mengapa Tahun Baru Cina dirayakan
dan asal usul kedatangan Tahun Baru Cina dan bagaimana generasi kini
mengamalkan dan menjalankan budaya Tahun Baru Cina, adakah mereka mengikut
tradisi lama atau tidak mempedulikannya?
Justeru itu, semua
persoalan yang menjadi tanya ini telah dirumuskan melalui satu kajian lapangan
agar dapat mengetahui dengan lebih lanjut apakah adat-adat dan pantang larang
serta bagaimana pelaksanaannya oleh masyarakat Cina, dan juga mengkaji
cabaran-cabaran orang muda dalam mematuhi pantang larang tersebut.
3.0 Metodologi Kajian
Kajian tinjauan ini
menggunakan soal selidik. Oleh yang demikian, borang soal selidik telah
dihasilkan bagi menguji kefahaman masyarakat tentang adat dan pantang larang
masyarakat Cina di Malaysia. Kajian dijalankan di sekitar kawasan Batu
Berendam, Melaka serta Kampus Teknologi Universiti Teknikal Malaysia Melaka
(UTeM). Borang soal selidik diagihkan secara rawak kepada responden Cina tidak
kira golongan muda ataupun tua. Jumlah responden seramai lima orang iaitu empat
untuk soal selidik dan seorang untuk temu bual. Selepas itu, borang soal
selidik dikumpulkan untuk analisis seterusnya. Responden berumur dalam
lingkungan 20 tahun dan ke atas.
4.0 Dapatan Kajian
Soalan 1: Bagaimanakah pelaksanaan kematian
mengikut agama
dalam masyarakat Cina?
Berdasarkan soalan pertama, menurut kelima-lima
responden, pelbagai cara pelaksanaan yang dilakukan sewaktu kematian. Antaranya
ialah apabila berlaku kematian, kebanyakan responden memberitahu bahawa mayat
akan dibakar dan kemudiannya diletakkan di tokong. Upacara kematian yang
melibatkan penziarahan dan penjagaan mayat biasanya berlangsung selama tiga
hingga tujuh hari. Hal ini bagi membolehkan sanak saudara dan rakan taulan
memberi penghormatan terakhir di samping menghadiri upacara pengebumian. Selain
itu, mereka juga percaya bahawa roh itu akan datang semula ke tokong untuk
melihat ahli keluarganya.
Menurut responden
pertama iaitu Encik How, beliau ada menyatakan bahawa tidak semua mayat akan dibakar
kerana terdapat kes si mati memberitahu bagaimana mayatnya harus disemadikan.
Contohnya sebelum meninggal, si mati akan terlebih dahulu menulis satu wasiat
kepada keluarganya tentang cara pengurusan mayatnya. Selalunya mereka akan meminta
mayat dibakar kemudian diletakkan di tokong. Ada sesetengah mayat tidak dibakar
sebaliknya diletakkan di dalam keranda.
Golongan muda juga
maklum perkara ini dan ingin meneruskan amalan itu dengan mayatnya dibakar dan
abunya diletakkan di tokong atau diletakkan di dalam keranda.
Soalan 2: Apakah pantang larang dan adat semasa
kematian dalam masyarakat Cina?
Berdasarkan soalan
kedua, menurut responden yang lebih tua iaitu Encik Cheam, selepas majlis
pengebumian, ketika meninggalkan rumah si mati, pelawat biasanya diberikan
seutas benang merah atau gula-gula berikat benang merah sebagai tanda terima
kasih. Warna merah itu warna yang membawa nasib baik dan menghalang hantu
syaitan yang cuba membuat kacau. Menurut Abum Anas (2013), sumbangan wang dalam
sampul putih biasanya disampaikan kepada keluarga si mati oleh mereka yang
datang menziarahi. Jumlahnya pula perlu berupa wang dalam bentuk angka yang ganjil.
Selain itu, pakaian kaum Cina sewaktu pengebumian ialah berwarna putih, hitam
atau kelabu. Warna lain tidak digalakkan apatah lagi warna merah yang dikatakan
mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dipakai
semasa kematian.
Soalan ini juga ditujukan
kepada responden yang muda iaitu adakah mereka masih mengamalkan adat memberi
benang ini. Ketiga-tiga responden muda menjawab mereka kurang pasti tentang
adat memberi benang ini. Berdasarkan pemerhatian ini, konklusinya generasi muda
zaman sekarang sudah kurang mengamalkan adat memberi benang ini. Manakala
pakaian berwarna putih, kelabu atau hitam masih diteruskan jika berlaku
kematian.
Soalan 3: Bagaimanakah cara masyarakat Cina
mengamalkan adat dan pantang larang semasa menyambut sesuatu perayaan?
Berdasarkan soalan yang
ketiga, kesemua responden berkata bahawa perayaan kaum Cina agak sama dengan
perayaan kaum Melayu. Pada hari raya pelbagai makanan yang disediakan dan
dihidangkan kepada tetamu yang akan datang. Selain itu, saudara mara akan
datang ke rumah untuk meraikan hari perayaan Tahun Baru Cina. Pada hari
perayaan, orang yang lebih tua akan memberi duit raya kepada orang yang lebih
muda. Duit ini dipanggil angpau.
Pemberian angpau adalah untuk
melambangkan kegembiraan, selain merupakan semacam restu untuk kehidupan makmur
serta untung nasib yang baik sepanjang tahun.
Menurut Abum Anas
(2013), pada tahun baru juga terdapat buah yang sinonim dengan orang Cina iaitu
limau. Juga menjadi amalan baik untuk membawa dua atau empat biji limau mandarin
untuk diberikan kepada tuan rumah oleh tetamu semasa menziarahi pada perayaan
tahun baru. Pemberian limau itu diibaratkan sebagai pemberian emas. Hal ini
kerana dalam bahasa sukuan Cina kantonis, nama atau sebutan untuk limau
menyerupai nama atau sebutan untuk emas. Di samping itu, semasa perayaan kaum
Cina mereka digalakkan memakai baju yang terang seperti merah kerana warna
merah dikatakan membawa tuah kepada mereka.
Pantang larang semasa
perayaan ialah mereka dilarang menyapu sampah semasa hari raya. Menurut
responden seterusnya iaitu Encik Goh, semasa hari raya, mereka juga dilarang
mencuci rambut. Hal ini berkaitan dengan ‘tuah’ mereka pada tahun itu. Sebagai
contoh, jika mereka menyapu sampah, tuah tidak akan datang pada tahun tersebut.
Sewaktu perayaan mereka tidak boleh bercakap perkara yang buruk. Semua responden
memberi jawapan yang sama tentang pantang larang dan adat semasa perayaan.
Generasi tua dan muda masih mengamalkan amalan-amalan ini sewaktu perayaan.
Soalan 4: Adakah upacara perkahwinan mempunyai
adat dan pantang larang dalam masyarakat Cina?
Berdasarkan jawapan yang
diberikan kesemua responden, mereka mengatakan pada asasnya adat resam
perkahwinan masyarakat Cina merangkumi peringkat sebelum berkahwin iaitu
merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan. Antara pantang larang
sebelum perkahwinan pula, sebelum tiba hari perkahwinan, sekiranya terdapat
kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti
ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak
sesuai mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan.
Adat dan pantang larang
semasa hari perkahwinan ialah baju pengantin sebaik-baiknya berwarna putih,
merah atau kuning dan dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana
dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. Selain
itu, wanita yang mengandung dan orang yang baru kematian saudara-mara tidak
boleh terlibat dengan majlis perkahwinan atau menyentuh pakaian pasangan
pengantin dan sebagainya di rumah baru pasangan tersebut untuk mengelakkan sebarang perkara buruk
daripada berlaku.
Manakala adat dan
pantang larang selepas berkahwin pula untuk menggambarkan pengantin berkenaan
diasuh dengan baik dan layak untuk menjadi isteri kepada pengantin lelaki,
sehari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan perlu bangun lebih awal
dan menyediakan makanan untuk keluarga pengantin lelaki. Isteri tidak dibenarkan untuk pulang ke
rumahnya sendiri dan harus menetap di rumah suaminya bersama keluarga suaminya.
Tiga hari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan akan pulang melawat keluarganya
bersama-sama suami.
Kesimpulannya,
masyarakat Cina juga mempunyai adat dan pantang larang ketika perkahwinan yang
banyak dan diamalkan semenjak zaman dahulu lagi. Mereka mempunyai adat dan
pantang larang sebelum, semasa dan selepas perkahwinan. Mereka juga mengatakan
terlalu banyak adat perkahwinan kaum Cina jika betul-betul untuk diikuti.
Soalan 5: Adakah masyarakat muda zaman sekarang
masih mengamalkan adat dan pantang larang sebelum kahwin seperti yang diamalkan
oleh nenek moyang mereka?
Berdasarkan soalan
terakhir, adakah generasi muda masih mengamalkan pantang larang dan adat semasa
perayaan, responden yang lebih tuan berkata tidak semua generasi muda masih
mengikuti amalan ini. Contohnya, tidak boleh mencuci rambut. Generasi muda
sekarang sudah tidak mengendahkan pantang larang ini. Namun adat semasa
perayaan masih diamalkan oleh generasi muda. Contohnya, berpakaian berwarna
merah, kunjung-mengunjungi dan lain-lain. Manakala generasi muda pula menjawab
yang mereka masih mengamalkan adat-adat ini. Cuma terdapat beberapa pantang
larang yang sudah tidak diikuti generasi muda sekarang.
Dari aspek perkahwinan,
masyarakat Cina akan merancang dan mengatur sesuatu perkahwinan dengan
sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka, pasangan yang berkahwin tanpa
mengikut aturan adat dianggap tidak sah tetapi ini tidak lagi relevan pada
zaman teknologi sekarang. Menurut responden wanita iaitu Cik Wong yang telah ditemu
bual, beliau mengatakan bahawa jika beliau berkahwin, beliau tetap akan
mengikuti adat dan pantang larang ini jika ia bersesuaian dan tidak akan
mengikutinya jika tidak bersesuaian.
Kesimpulannya, adat dan
pantang larang ini masih lagi diikuti oleh masyarakat Cina zaman sekarang
tetapi bilangannya semakin hari semakin sedikit. Ia bergantung pada kesesuaian
adat dan pantang itu sendiri serta kepentingan adat itu. Selain itu, tempat
tinggal juga mempengaruhi pengamalan adat dan pantang larang. Kebanyakan
masyarakat Cina yang menetap di kawasan bandar sudah kurang mengikuti adat dan
pantang larang kerana kemajuan pesat di bandar dan faktor cara hidup keluarga
manakala masyarakat Cina di kampung masih lagi yang mengamalkan adat dan
pantang larang nenek moyang mereka ini.
5.0 Kesimpulan
Melalui kajian ini, dapat
dirumuskan bahawa setiap adat dan pantang larang mempunyai tujuan
masing-masing. Generasi muda yang serba moden kini tampak masih mempercayai dan
mengamalkan adat dalam kehidupan seharian mereka khususnya dalam upacara
kematian, perkahwinan dan juga perayaan. Hal ini disebabkan pegangan yang utuh
daripada warisan turun-temurun nenek moyang mereka membuatkan ia masih lagi
dijadikan amalan pada zaman sekarang.
Kajian ini juga
menunjukkan segelintir orang muda kurang mempraktikkan adat dan pantang larang
semasa kematian iaitu memberi benang, malah mereka juga ada yang tidak
mengetahui tentang adat-adat tersebut kerana ianya sudah tidak dipraktikkan
lagi dalam keluarga mereka. Anak-anak muda sekarang telah banyak dipengaruhi
oleh kehidupan moden justeru mereka tidak lagi menitikberatkan kepentingan adat
dan pantang larang dalam kehidupan mereka seoalah-olah ia telah luput ditelan
zaman. Hal ini dapat dilihat melalui kepentingan ibu bapa dan setiap ahli
keluarga itu sendiri yang merupakan salah satu faktor penting dalam memastikan
kesinambungan adat dan pantang larang dalam keluarga mereka. Hal ini kerana ibu
bapa merupakan contoh teladan yang baik dan paling dekat dengan anak-anak untuk
dijadikan ikutan sehingga mereka dewasa dan menjadi warisan akhir zaman.
Masyarakat Cina mempunyai
adat dan pantang larang yang agak unik. Kepentingan adat resam dalam hidup
masyarakat tidak kira bangsa apa sekali pun tidak dinafikan. Pantang larang
yang dikenakan oleh orang tua-tua ini bertujuan untuk mendidik masyarakat
khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik
yang boleh diamalkan di dalam kehidupan. Selain itu, pantang larang sebenarnya
diperturunkan untuk kebaikan kaum itu sendiri dan setiap daripadanya mempunyai
keistimewaan. Adat resam yang merangkumi semua aspek kehidupan bermula dari
kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian sememangnya masih lagi diamalkan oleh
semua masyarakat di Malaysia tidak kira bangsa Melayu, Cina mahupun India namun
ia juga bergantung kepada kesesuaian adat resam itu sendiri agar selaras dengan
masa dan juga situasi tertentu.
Rujukan
Ann,
W. S. (2011). Perayaan Orang Cina.
Shah Alam: Fajar Bakti.
Amdun, H.
(2015). Kamus Pelajar Bahasa Malaysia
Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamzah, R. K.
(2006). Menjadi Remaja Berbudaya Positif.
Ampang: PTS Litera Utama.
Kadir, T. A.
(2006). Hari Perayaan Penduduk Malaysia.
Petaling Jaya: Pelanduk Publications.
Budaya Masyarakat Cina Di Malaysia. (t.t.). Diakses pada November 25,
2015, dari http://www.scribd.com/doc/70154179/Budaya-Masyarakat-Cina-Di-Malaysia
Gan Ah Mey.
(August 20, 2010). Sehati Sejiwa Berkasih Mesra, diakses
pada 12 November 2015 dari http://cintaakanbudaya.blogspot.my/2010/08/pantang-larang-perkahwinan-masyarakat_20.html
Jelajah Edisi
Daus. (September, 2010). Adat Dan Budaya Etnik Di Malaysia,
diambil pada 10 November 2015 dari http://bmpengurusan2010.blogspot.my/2010/09/kaum-cina.html
Joan D'Arcy, (March 25,
2006), Daya Family Tree (Adat
Perkahwinan Masyarakat Cina Bhg.2) diambil pada 12
November 2015 dari http://dayafamilytree.blogspot.my/
Seminar Sosiobudaya Antara Kaum – Kenali Sebahagian Adat Orang Cina.
(n.d.). Diakses pada November 25, 2015, dari http://www.abuanasmadani.com/seminar-sosiobudaya-antara-kaum-kenali-sebahagian-adat-orang-cina/
Tan Su Lin. (Januari 31, 2014). Adat
Resam Dan Pantang Larang Tahun Baru Cina, akses pada 20 November 2015 dari http://www.astroawani.com/gaya-hidup/adat-resam-dan-pantang-larang-tahun-baru-cina-29179
Wynne Loke. (February 13, 2002). Konsep
Angpau Dalam Perayaan Tahun Baru Cina, diakses pada 26 November 2015 dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm
MZ Zainudin, Nor Fatin Izzati Che Wahab, Nurfilza Zulkarnain Helmi, Nur Shakira
Suhana Abu Bakar, Nur Syahirah Zakaria, Siti Hajjar Hamdi
No comments:
Post a Comment