Friday, December 04, 2015

Bisnes jus buah delima









Setiap petang jumaat saya akan pergi ke KLIA2. Biasanya saya menggunakan kenderaan hibrid saya kerana tempat letak kereta untuk kenderaan hibrid sangat hampir dengan pintu masuk di samping cajnya tidak berapa mahal. Tempat letak kereta hibrid atau elektrik tidak pernah penuh berbanding kereta lain. Pengguna kereta hibrid seperti saya tidak perlu bersusah-susah mencari tempat letak kereta di KLIA2 ini.

Petang jumaat kali ini agak berbeza. Di sini, KLIA2, saya berjumpa sebuah model perniagaan yang sangat menarik. Menarik kerana ianya ringkas, mudah dan boleh menjana keuntungan yang lumayan.

Model bisnes ini sangat menarik. Bermodalkan sebuah alat pemerah jus buah delima, botol kaca dan berkotak-kotal buah delima berkualiti, pemuda ini telah dapat menjalankan perniagaannya sendiri di sebuah pasar raya. Beliau hanya perlukan sebuah meja untuk meletakkan pemerah jus, botol dan sedikit ais.

Penjual jus buah delima ini orang muda. Nampak berminat dengan bisnes dan bukannya orang tempatan. Sekali-sekalia beliau akan meneriak “sila-sila” untuk menarik perhatian pengunjung yang lalu di hadapannya.

Setiap botol jus buah delima yang telah diperah dijual dengan harga RM9.90. Ia sama seperti kita membeli dua biji buah delima dan dimakan begitu sahaja.

Buah delima yang dijual ini diimport dari Turkey, bersaiz lebih besar daripada delima India atau China. Bijinya sangat merah dan segar.

Berniaga menggunakan model ini dapat memberi pendapatan yang besar. Sepanjang pemerhatian saya, dalam tempoh 30 minit, hampir tujuh hingga lapan botol telah dibeli, maknanya beliau hampir mendapat RM80. Jika beliau meneruskan lima hingga enam jam sehari, sudah tentu akan mendapat pulangan modal dalam tempoh yang singkat.

Orang-orang muda yang masih tercari-cari model perniagaan wajar menjadikan bisnes jual jus buah delima ini sebagai model kerana modal awal tidaklah begitu besar. Saya fikir tidak sampai RM1000 untuk memulakan perniagaan ini.

Selain buah delima, bisnes ini juga boleh dipelbagaikan kepada jus limau, epal, tembikai dan sebagainya.



No comments:

Post a Comment