Tuesday, July 02, 2013

Gaji berasaskan prestasi dapat sokongan







Gaji berasaskan prestasi mendapat sokongan meluas di Asia Pasifik, termasuk Malaysia, demikian menurut Indeks Tenaga Kerja Kelly (KGWI), kaji selidik tahunan global.

Gaji berasaskan prestasi termasuk sebarang perkiraan melibatkan elemen jumlah ganjaran yang terikat untuk memenuhi sasaran prestasi termasuk komisen jualan dan bonus prestasi perkongsian keuntungan.

Pengarah Urusan Kelly Services Malaysia, Melissa Norman dalam satu kenyataan berkata, trend itu mencerminkan pengiktirafan yang meluas bahawa organisasi dan individu yang melakukan yang terbaik apabila kepentingan mereka diselaras.

"Terdapat banyak pekerja yang jelas yakin dengan keupayaan mereka untuk menjalankan tugas mereka dengan baik, dan mahu peluang untuk dibayar ganjaran mengikut prestasi," katanya

Indeks berkenaan antara lain, mendapati kira-kira 87 peratus daripada pekerja Malaysia dalam jualan, sudah berada dalam perkiraan gaji berubah-ubah, manakala lebih separuh daripada responden di Malaysia berkata mereka akan menjadi lebih produktif jika mereka juga demikian.

Sebanyak 72 peratus daripada responden di Malaysia mempunyai gaji yang terikat kepada beberapa bentuk prestasi atau sasaran produktiviti.

Keputusan kaji selidik di Malaysia itu juga menunjukkan 67 peratus daripada responden memilih gaji atas prestasi berbanding dengan kerja lebih masa (25 peratus).

Pembayaran gaji ikut prestasi adalah lebih tinggi dalam kalangan pekerja muda dalam demografi Gen Y dan Gen X, dalam kalangan lelaki, dan dengan pekerjaan profesional atau teknikal.

Hanya 45 peratus daripada mereka yang ditinjau di Malaysia bersetuju yang gaji semasa mereka adalah saksama.

Antara sektor pekerjaan, kadar tertinggi berasaskan prestasi di Malaysia dalam keselamatan (73 peratus), pendidikan (64 peratus), matematik (58 peratus), dan penjagaan kesihatan (49 peratus).

Ini berbeza dari Asia Pasifik, dengan kadar tertinggi berasaskan prestasi dalam jualan (80 peratus), pemasaran (71 peratus), kejuruteraan (67 peratus) dan IT (61 peratus).

Beliau berkata tumpuan yang baharu mengenai cara-cara untuk meningkatkan produktiviti dalam perusahaan telah memberi penekanan tambahan terhadap peranan imbuhan dalam meningkatkan prestasi perniagaan.

(Utusan Malaysia, 2 Julai 2013)

No comments:

Post a Comment