Tuesday, July 02, 2013

Melihat sisi Nelson Mandela








oleh Karim Raslan


Kehidupan Nelson Mandela, gergasi Afrika Selatan, kini tampak di penghujungnya.

Pemergian beliau – bila ia berlaku – melambangkan berakhirnya sebuah era. Di sebalik menjadi ikon perpaduan dan harapan, Mandela menonjolkan nama Afrika kepada mata dunia, termasuk Malaysia.

Malahan, MAS merupakan syarikat penerbangan Asia Tenggara pertama yang terbang ke Afrika Selatan selepas berakhirnya Apartheid.

Pada 1998 (sebelum Mandela meninggalkan tampuk kuasa), Malaysia dianggarkan melabur hampir 660 juta dolar Amerika ke Afrika Selatan, hampir 21 peratus daripada jumlah Pelaburan Langsung Asing negara itu.

Malah, Malaysia kini merupakan sumber terbesar Pelaburan Langsung Asing di Afrika berbanding negara-negara membangun, dengan pelaburan sebanyak 19 bilion dolar Amerika pada 2011, kebanyakannya dalam sektor pertanian dan kewangan.

Pada hujung minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetuai delegasi seramai 100 orang ke Dar Es Salaam, Tanzania untuk mempromosi perdagangan dan pelaburan melalui Global Smart Partnership Dialogue (GPSD).

Ini sejurus selepas Presiden AS, Barack Obama melawat benua itu, termasuk Senegal, Afrika Selatan dan Tanzania.

Saya menganggap diri antara pelopor dalam usaha Malaysia melabur di benua Afrika.

Pada pertengahan tahun 1990-an, saya amat bertuah kerana dapat meluangkan beberapa tahun melawat Afrika Selatan, menasihatkan klien-klien di Johannesburg dan Cape Town.


Ia merupakan jangka masa yang menarik dalam sejarah negara itu apabila ia muncul setelah diselubungi Apartheid selama 46 tahun kepada sebuah demokrasi pelbagai kaum di bawah bimbingan Madiba.

Ramai rakyat Afrika Selatan- berkulit putih mahupun gelap- berminat untuk mengulangi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digunakan Malaysia. Walaupun banyak kepincangan, amat menarik bagaimana DEB pernah dan masih dianggap orang luar sebagai sebuah eksperimen memberangsangkan.

Malang sekali, potensi Afrika Selatan setelah zaman Apartheid tampak kian pudar.

Majoriti komuniti gelap Afrika kini terperangkap di tampuk lama – ramai masih terbelenggu dalam negara yang dahulunya mengasing-asingkan penduduknya dengan sumber dan peluang yang terhad serta diketepikan daripada sumber pertanian dan mineral.

Dengan pekali GINI yang pantas meningkat, kini di 0.7 dan kemiskinan mendalam, sukar tampaknya bagi mereka untuk maju ke hadapan walaupun ekonomi telah berkembang sebanyak 2.5 peratus pada 2012.

Tambahan pula, diskriminasi positif yang diterapkan kerajaan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) hanya menyalurkan kekayaan kepada segelintir kumpulan elit berkulit gelap, dengan plutokrat seperti Cyril Ramaphosa dan Tokyo Sexwale antara penerimanya.

Kini golongan kapitalis, mereka sudah amat berkuasa tanpa berlemah-lembut  – seperti disaksikan melalui kes tembak ala zaman aparteid di lombong Marikana tahun lepas.
Bagaimanapun, kebijaksanaan dan prikemanusiaan Mandela 20 tahun lepas telah memberi impak menakjubkan kepada negara yang amat berpecah-belah.

Walau dipenjarakan 27 tahun, beliau muncul sebagai gergasi – sebuah ikon moral – memaafkan pihak yang memenjarakan beliau serta menganiaya komuniti beliau, tanpa melupakan kejahatan mereka.

Keputusan beliau untuk mewujudkan "Truth and Reconciliation Commission" (TRC) memberi peringatan hebat bahawa pentingnya kesudahan serta kesudahan moral, walaupun ia tiada kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebenar.

Walaupun dianggap tidak berkesan, TRC amat bersejarah kerana memberikan suara kepada mangsa dan penganiaya zaman Apartheid. Tidak ada yang dilupakan atau disorokkan.
Keberanian Mandela membuka mata dunia dan rakyat Afrika Selatan bahawa mereka mampu bersatu.

Mengubati luka lama hanya akan berlaku apabila reformasi tanah yang realistik mula muncul. Walaupun dipanggil "Rainbow Nation", kekayaan hanya tertumpu pada orang putih minoriti dan golongan elit kulit gelap.

Namun, kemarahan terhadap persepsi rasuah dan ketidakcekapan ANC kini dirasai semua etnik tanpa mengira batas.

Masih kurang jelas tentang berapa lama ANC, yang bergantung kepada legasi Madiba, mampu kekal di tampuk kuasa terutamanya setelah beliau pergi; Adakah mereka mampu bina semula parti tersebut dan menyediakan kehidupan yang baik untuk semua rakyat seperti yang dijanjikan slogan mereka.


(Sinar Harian, 2 Julai 2013)

 

No comments:

Post a Comment