Friday, July 26, 2013

TPP: Lebih banyak untung dari rugi, kata pakar







Perdebatan hangat yang tercetus tentang Perjanjian Perkongsian Ekonomi Trans-Pasifik (TPP) tidak harus dibiarkan menenggelami faedah-faedah yang nyata bagi Malaysia.
 
Ini adalah dari segi akses pasaran kepada lebih 700 juta pengguna, import yang berpotensi lebih murah dan peluang untuk membida bagi kontrak kerajaan di ekonomi-ekonomi negara anggota.
 
Kontraktor Malaysia boleh membida bagi kontrak pemerolehan kerajaan di negara-negara jiran dalam perjanjian TPP, khususnya di Brunei, Singapura serta Australia dan New Zealand, kata seorang pakar perdagangan.
 
Dr Sufian Jusoh, seorang Felo Kanan dan Profesor Madya Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, meskipun pihak-pihak berkepentingan mungkin berasa bimbang tentang kemungkinan firma asing membolot kontrak-kontrak tempatan dan ekoran itu terus mencanangkan tentang kerugian yang bakal dialami, namun tumpuan juga harus diberikan kepada faedah daripada sebuah pasaran serantau yang diperluaskan.
 
Contohnya, pasaran pemerolehan kerajaan Malaysia dianggarkan bernilai AS$28.1 bilion pada 2012, sedangkan pasaran tergabung bagi pemerolehan kerajaan dalam kesemua 12 pasaran TPP bernilai AS$2.74 trilion.
 
Perjanjian TPP penting bagi Malaysia disebabkan daya tahannya dalam perdagangan dan industri, peluang-peluang yang meningkat bagi pelaburan langsung asing, daya saingan yang lebih tinggi dan kebolehan membina perniagaan dan kapasiti teknikal.
 
"Malaysia akan juga menikmati tarif yang lebih rendah atau kadar sifar bagi barangan dan akses pasaran bagi perkhidmatan.
 
"Di samping itu, kerajaan boleh berunding bagi syarikat-syarikat tempatan mendapatkan akses kepada bantuan teknikal untuk menaikkan taraf masing-masing, seperti dalam pertanian atau perikanan dari ekonomi-ekonomi perjanjian TPP yang lain," katanya semasa ceramah, "A Creature Called TPP (Makhluk Bernama TPPA)" di Wisma Bernama, semalam.
 
Ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan berkepentingan lain telah menyelar penyertaan Malaysia dalam rundingan perjanjian TPP dan mendakwa, antara lain, bahawa ia akan menggugat kepentingan Bumiputera dan kira-kira 600,000 syarikat asing akan memasuki pasaran domestik.
 
Realitinya, Malaysia boleh mengehadkan akses kepada kontraktor asing dari sudut pemerolehan kerajaan atau mempunyai hak dalam bidang-bidang sensitif tertentu yang dikenali sebagai "carve-out" dalam lampiran peraturan yang tidak mengikut kehendak perjanjian, yang mengehadkan entiti dalam lampiran Bab Pemerolehan Kerajaan, atau meletakkan threshold yang tinggi bagi akses kepada pemerolehan kerajaan.
 
Malaysia menjadi tuan rumah kepada pusingan ke-18 rundingan perjanjian TPP di Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.
 
"Faedahnya lebih daripada tarif," kata Sufian, yang juga Perunding Luar dan Felo Kanan di Institut Perdagangan Dunia di Bern, Switzerland.
 
Beliau juga berkata, kebimbangan bahawa Malaysia akan kehilangan kedaulatannya apabila menandatangani perjanjian TPP tidak tepat kerana teks perjanjian itu adalah hasil usaha bersama oleh negara-negara yang berunding dan tidak didominasi oleh mana-mana satu kuasa besar ekonomi seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
 
Semasa menderaf teks perjanjian, negara-negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia, akan berpeluang mengemukakan cadangan masing-masing meskipun negara-negara secara individu mempunyai kedudukan yang kuat dalam sektor
perdagangan tertentu.
 
Contohnya, beliau menyebut tentang bagaimana AS mempunyai pendirian yang kukuh tentang farmaseutikal, terutama tentang lanjutan tempoh bagi ubat yang dipaten.
 
"Tetapi kebanyakan negara berunding membantah kedudukan AS, yang bererti ada kemungkinan cadangan itu tidak dimasukkan dalam perjanjian itu," tegas beliau.
 
Beliau berkata sekali pun farmaseutikal dimasukkan dalam perjanjian TPP, kerajaan Malaysia boleh mengekalkan dasar pembeliannya dan mempunyai kebebasan untuk membeli ubat generik yang lebih murah bagi ubat bukan paten berbanding ubat dipaten yang mahal.
 
"Daripada AS, Malaysia sebaliknya harus berhati-hati dalam rundingan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah, terutamanya Switzerland, yang tahap pengeluaran farmaseutikal dan eksport ubat dipatennya lebih tinggi.
 
"Eropah menempatkan banyak pengeluar ubat dunia dan sektor farmaseutikal merupakan sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) dan ini bererti ia akan melakukan segala yang mungkin untuk melindungi industri itu," kata Sufian.
 
Beliau juga menolak dakwaan oleh ahli-ahli politik dan NGO tempatan serta kumpulan berkepentingan bahawa syarikat-syarikat multinasional akan menentukan terma-terma kepada Malaysia dalam perkara-perkara seperti pelaburan, malah menyaman negara ini jika syarat-syarat mereka tidak dipenuhi.
 
"Mereka hanya boleh menyaman bagi timbang tara kerana melanggar obligasi-obligasi tertentu di bawah perjanjian TPP," katanya, sambil memberikan jaminan bahawa pasukan perunding Malaysia terdiri daripada tokoh-tokoh yang berpengalaman dan tidak akan menggadaikan negara seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
 
Ditanya sama ada perjanjian itu akan ditandatangani dalam tahun ini, Sufian berkata, beliau tidak yakin ia akan ditandatangani pada 2013,  kerana masih banyak bidang dalam rundingan itu yang masih belum diputuskan. - Bernama


(Sinar Harian, 26 Julai 2013)

 

No comments:

Post a Comment