Thursday, July 25, 2013

Kaji isu jemput imam Tarawih







Tindakan mengundang imam dari negara bergolak seperti Mesir dan Palestin untuk memimpin solat Tarawih sepanjang Ramadan di negara ini perlu dikaji semula, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Idris Haron.

Katanya, tindakan itu boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dalam kalangan masyarakat yang mengikuti perkembangan dunia Islam ketika ini.

Sepatutnya, kita (Malaysia) menghantar tokoh agama ke negara mereka untuk memimpin solat atau berceramah mengenai keamanan, bukannya mereka datang ke sini” Idris Haron, Ketua Menteri Melaka.

“Kita bukan tidak mahu ilmuan agama datang ke negeri ini pada Ramadan, tetapi oleh kerana negara mereka sendiri sedang bergolak, adalah tidak wajar mereka meninggalkan negara masing-masing semata-mata mahu menjadi imam Tarawih di negara kita.

“Sepatutnya, kita (Malaysia) menghantar tokoh agama ke negara mereka untuk memimpin solat atau berceramah mengenai keamanan, bukannya mereka datang ke sini,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri peringkat Parlimen Kota Melaka di Masjid Kampung Bukit Pegoh, Telok Mas di sini, semalam.

Terima sumbangan

Lebih 400 golongan fakir, miskin, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak yatim sekitar Parlimen Kota Melaka menerima sumbangan kerajaan negeri itu.


Hadir sama, isterinya, Datin Wira Fadilah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhammad serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Wira Latiff Tamby Chik.

Sepanjang Ramadan ini, Melaka menerima kunjungan dua imam, masing-masing seorang dari Mesir dan Palestin untuk memimpin solat Tarawih di negeri ini.

Imam dari Mesir itu ditaja seorang ahli perniagaan, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membiayai khidmat imam dari Palestin.

Selain itu, seorang imam dari Makkah, Mohamed Syariff Al-Imrani sudah berkhidmat di Melaka sejak 14 tahun lalu.

Idris yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) meminta Othman meneliti setiap permohonan mengundang imam daripada negara terbabit pada masa akan datang.

"Saya minta Datuk Wira Othman lihat dan kaji semula perkara ini. Pastikan tiada imam dari negara bergolak di Asia Barat seperti Mesir, Palestin, Syria dan Libya diundang ke negeri ini selepas ini (pada masa depan) kerana ia seolah-olah menunjukkan mereka mahu lari daripada masalah dalaman negara mereka ketika ini," katanya.


(Berita Harian, 25 Julai 2013)
 

1 comment:

  1. Pada saya ada pro dan kontranya. iman yang dijemput boleh menceritakan situasi yang sebenar yang berlaku di negara dan saudara muslim di sana. tetapi harus ada kuata kemasukan mereka ke negara ini. mereka boleh juga belajar bagaimana negara Malaysia mentadbir untuk dibawa ke negara mereka.

    ReplyDelete