Puasa untuk melatih diri dengan nilai-nilai murni |
Kehilangan Pahala
Kehilangan
pahala adalah sesuatu yang amat merugikan. Jika kita faham betapa berertinya
pahala bagi seorang insan yang akan bertemu Tuhan, kita akan dapat menilai
besarnya erti pahala.
Pahala
membawa ke syurga, sementara dosa membawa ke neraka. Jika puasa itu diandaikan
sebagai satu pekerjaan dan pahala sebagai gajinya, maka perlanggaran pantang
larang itu sebagai pengurangan atau pemotongan gaji. Namun pahala lebih bererti
dari gaji dalam kehidupan duniawi ini.
Ramai orang
yang beramal dalam dunia ini pulang kepada Allah swt pada Hari Kiamat kelak
dalam keadaan muflis kerana kehabisan pahala amalan disebabkan dosa-dosanya
kepada orang lain. Nabi saw bersabda:
“Tahukah
kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam
kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda:
“Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat
nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh
seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul
seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika
pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil
dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka”
(Riwayat Muslim).
Pelihara Lidah
Lidah adalah
punca terbesar kita kehilangan pahala. Puasa jika dapat mendidik lidah kita
dari mencerca, dusta, menuduh dan memaki hamun orang lain, maka itu satu
kejayaan yang besar.
Manusia yang
beradab tidak mengeluarkan kata-kata kesat dari mulutnya. Dia mungkin tegas,
pedas dan tajam penghujahannya, tetapi tidak dusta, kesat dan buruk perkataan.
Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, samada pada
bulan Ramadhan, ataupun selain Ramadhan. Lebih buruk lagi jika
dilakukan dalam masjid ataupun di luar masjid. Sangat hina dan jelek
sekali.
Dalam
riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir bahawa Nabi saw pernah hadir dalam
suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka
memaki hamun. Nabi saw pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan
fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.
Ramadhan mendidik kita menjaga perkataan. Ini termasuklah antara pasangan suami
isteri. Ada orang yang memelihara lidahnya dari memaki orang lain, tetapi tidak
kepada isterinya. Padahal kepada isteri lebih patut dijaga perkataan kerana dia
seorang muslimah dan ada perintah-perintah khusus dalam al-Quran dan as-Sunnah
untuk menjaga hubungan dengannya. Maka peliharalah pahala kita dalam Ramadhan
dan luar Ramadhan!
(Pusat Islam UTeM)
No comments:
Post a Comment