Anak-anak aset negara |
Ramai yang berfikir bagaimana seorang ibu boleh terlupa dan meninggalkan anaknya dalam kereta di bawah panas terik matahari untuk menghadiri mesyuarat di sekolah? Selain alasan "dijemput Izrael" kejadian baru-baru ini turut melibatkan faktor cuai dan lalai.
Kereta yang dinaiki dua beranak tersebut tidaklah besar untuk tidak mempeduli kehadiran anak dalam kereta. Sedikit rengekan dan panggilan anak sudah boleh didengari. Malangnya ia tidak seperti itu.
Insiden kanak-kanak meninggal dunia dalam kereta kerana kecuaian ibu bapa dan penjaga menunjukkan trend meningkat akhir-akhir ini. Mungkin ada kejadian lain yang pernah berlaku tetapi tidak melibatkan kematian. Sekali-sekala terkunci di dalam kereta mungkin pernah berlaku.
Kejadian ini seharusnya ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa. Dakwaan ke atas ibu bapa dan penjaga patut disegerakan supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat wajar mengadakan kempen kesedaran dan keselamatan kanak-kanak di dalam kereta kerana sehingga kini kita belum pernah nampak iklan seperti itu disiarkan di media.
Jabatan Pengangkutan Jalan hanya mengiklankan kempen memakai tali pinggang bagi penumpang belakang kenderaan dan mengklik tali penghubung topi keledar.
Pihak polis perlu segera mendakwa mereka yang cuai ini. Walaupun hukuman penjara dan denda diperuntukkan, sangat memadai dikenakan denda kerana trauma kematian anak dan persepsi negatif cukup untuk menginsafkan pesalah.
No comments:
Post a Comment