Tuesday, July 30, 2013

Iktibar dari perkembangan di Guinea





 

oleh Karim Raslan
 
Rakyat Malaysia sewajarnya mengambil iktibar daripada perkembangan semasa di benua Afrika, apatah lagi syarikat-syarikat Malaysia merupakan pelabur negara membangun terbesar di Afrika dengan jumlah pelaburan sebanyak USD19 bilion.

Afrika salah satu destinasi memiliki potensi ekonomi yang luas. Menurut Bank Dunia, 5 dari 10 negara yang paling pesat membangun di dunia pada 2012 berasal dari Afrika. Namun begitu, risiko politik masih lagi menjadi faktor pertimbangan utama para pelabur.

Saya berkata sedemikian disebabkan pengalaman sebagai salah seorang ahli lembaga Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), sebuah organisasi yang bertujuan mengurangkan konflik global.

Bekas koloni Perancis ini kaya dengan sumber asli besi. Meskipun kaya dengan sumber semula jadi, Guinea merupakan negara yang miskin dan berpecah-belah. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 4 daripada setiap 5 orang rakyat Guinea hidup dalam keadaan miskin tegar.

Tambahan lagi, konflik antara kaum juga berleluasa. Pada minggu lepas, keganasan etnik tercetus di antara warga Guezre yang majoritinya beragama Kristian dan animisme dengan warga Muslim Konianke di rantau tenggara Guinea. Konflik tersebut telah meragut 100 nyawa.

Selain itu, menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2012 yang dikendalikan Transparency International, Guinea tersenarai antara negara paling korup di dunia - menduduki tangga ke-154 dari 174 negara.

Saya menyaksikan sendiri situasi di Guinea ketika temani salah seorang usahawan tersohor Asia Tenggara melawat negara tersebut kurang 20 tahun lalu. Kami telah berkunjung ke Ghana dan Republik Guinea – kedua-dua negara kaya dengan sumber semula jadi tetapi mempunyai situasi berbeza.

Di  Conakry, ibu kota Guinea, kami berpeluang bertemu dengan Lansana Conté, Presiden Guinea ketika itu - seorang bekas Jeneral. Saya masih ingat keadaan kota Conakry ketika itu yang dibelenggu dengan kemiskinan.

Ketika itu saya belum cukup memahami keadaan politik di Guinea dan boleh dikatakan sebagai “pemerhati” semata-mata.

Namun setelah beberapa tahun kemudian, saya lebih arif tentang situasi yang berlaku di sana dan mengapa Guinea masih dibelenggu konflik.

Untuk lebih memahami, kita harus mendalami sejarah perlombongan di Guinea. Simandou, yang terletak di bahagian tenggara Guinea merupakan kawasan yang kaya dengan deposit besi. Besi Guinea adalah besi yang berkualiti tinggi dan mendapat permintaan tinggi terutamanya dari China.

Di bawah pemerintahan Conté, sebahagian daripada hak perlombongan di Simandou telah dijual kepada syarikat Beny Steimetz Group Resources (BSGR) yang dimiliki usahawan Israel, Beny Steinmetz.

Keputusan Conté timbulkan kontroversi kerana merugikan penduduk Guinea. Pada 2010, BSGR menjual 51% daripada hak milik perlombongannya kepada syarikat perlombongan gergasi Vale dari Brazil dengan nilai USD2.5 bilion. Pada awalnya, BSGR membeli hak melombong di Simandou dengan hanya USD165 juta!

Seterusnya, setelah pelantikan Presiden Guinea baru, Alpha Condé, suatu siasatan rapi  dijalankan ke atas syarikat BSGR. Sepanjang siasatan tersebut, seorang ejen BSGR ditahan oleh FBI atas tuduhan memberi arahan kepada balu mantan Presiden Conté untuk memusnahkan sebarang bukti mengaitkan BSGR dengan aktiviti rasuah. Tambahan pula, Presiden Condé mendakwa BSGR terlibat dalam percubaan bunuh terhadapnya pada tahun 2011.

Hal ini berbeza dengan Ghana - pulangan daripada sektor perlombongan meningkat sebanyak dua kali ganda antara 2010 dan 2011, dari USD210 juta kepada USD400 juta. Malah pada 2012, ekonomi Ghana berkembang sebanyak 7.9% berbanding hanya 4.8% di Guinea.

Walaupun Ghana pernah bergelumang dengan pelbagai konflik, negara tersebut beransur mengamalkan demokrasi dan mengambil pelbagai langkah untuk meyakinkan para pelabur antarabangsa.

Antaranya adalah penyertaan mereka dalam Inisiatif Ketelusan Industri Ekstraktif (EITI), iaitu sebuah badan antarabangsa yang bertujuan mewujudkan ketelusan dalam industri yang berkait dengan sumber semula jadi.

Oleh itu, persoalannya bukan sama ada sektor perlombongan adalah suatu sektor yang mendatangkan manfaat atau tidak, tetapi sama ada sesebuah negara itu mempunyai institusi yang mampu memastikan aktiviti perlombongan mendatangkan manfaat kepada rakyatnya.

Untuk itu, aturan perundangan dan penguatkuasaan yang efektif adalah penting untuk memastikan hal itu berlaku.

Negara yang memiliki nilai-nilai ini mampu memastikan bahawa sumber semula jadi negara diurus dengan sebaiknya.

Bagi negara yang masih belum mempunyai institusi ini, mungkin perkara yang terbaik untuk mereka adalah dengan menyimpan sumber yang sedia ada untuk generasi masa depan, atas harapan pemimpin generasi itu akan mampu menguruskan sumber kekayaan ini dengan penuh tanggungjawab.
 
(Sinar Harian, 30 Julai 2013)

 

No comments:

Post a Comment