Tuesday, July 23, 2013

232 kanak-kanak kutip sedekah diselamatkan dalam empat tahun









Seramai 232 orang kanak-kanak berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa eksploitasi pihak tertentu untuk mengutip dana atau meminta sedekah di seluruh negara dalam tempoh 2008 hingga 2012.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, kejayaan itu hasil usaha bersepadu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antaranya dengan polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi mengutip dana akan diselamatkan berdasarkan kepada perenggan 17 (1)(k) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ditempatkan di tempat selamat.

"Manakala mereka yang didapati mengeksploitasi kanak-kanak tersebut akan ditahan dan disiasat oleh polis sebelum didakwa di bawah Seksyen 32 akta sama.

"Mereka yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narasshid (BN-Kota Tinggi) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
 
Noor Ehsanuddin ingin tahu tindakan kementerian bagi mengatasi masalah eksploitasi kanak-kanak yang dijadikan peminta sedekah.
 
Azizah menambah, ibu bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan pula perlu menyempurnakan bon dengan perintah mahkamah bagi kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab sewajarnya terhadap anak mereka.
 
Dalam perkembangan sama, katanya, kementerian melalui JKM turut bekerjasama dengan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Bhd. bagi mencegah aktiviti eksploitasi terhadap kanak-kanak yang mengutip dana atau derma di hentian rehat dan rawat (R&R) di bawah syarikat itu. 
 
"Dalam hal ini, pihak PLUS bersetuju untuk membantu JKM menyelamatkan kanak-kanak tersebut dengan mengasingkan kanak-kanak berkenaan sementara menunggu ketibaan pelindung iaitu pegawai JKM yang diwartakan," katanya.
 
(Utusan Malaysia, 23 Julai 2013)

No comments:

Post a Comment