Wednesday, July 17, 2013

Teori-teori jenayah

 
 

 

Persepsi jenayah di Malaysia  dalam kalangan orang ramai dikatakan tinggi. Laporan media elektronik, massa dan sosial menunjukkan kebimbangan mereka terhadap kes-kes jenayah yang berlaku di seluruh negara. Di lasang (laman sesawang) Youtube, kita boleh melihat klip video yang memaparkan pencerobohan, rompakan dan kecurian yang dapat dirakam sama ada oleh pemilik premis atau orang ramai melalui telefon bimbit.
 
Kejadian jenayah seperti ini menimbulkan keresahan dan kebimbangan kerana ia melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Nukilan kekecewaan ini dapat diperhatikan melalui blog dan media sosial lain yang menyoal keberkesanan pasukan polis dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
 
Peningkatan kes jenayah tidak boleh diletakkan ke atas persepsi semata-mata kerana jenayah sedang berlaku di hadapan kita, melibatkan rakyat marhaen, kerabat diraja ataupun menteri sendiri. Baru-baru seorang  menteri yang bertanggungjawab dalam program transformasi kerajaan menyatakan bahawa kebimbangan jenayah disebabkan oleh persepsi namun selepas rumah seorang menteri lain dirompak, ia bukan lagi dianggap sebagai persepsi sebaliknya satu realiti. Suatu hari nanti, perompak ini tentu akan datang ke rumah kita pula.
 
Keadaan dan modus operansi penjenayah jauh berbeza berbanding 20 tahun lalu. Dahulu kita jarang mendengar kes rompakan dan bunuh berlaku serentak namun hari ini keadaannya lebih jauh zalim. Penjenayah merompak, merogol, membunuh dan mencampakkan mangsa mereka ke dalam gaung atau membakar mangsa dan dibiarkan sehingga hangus.
 
Negeri yang kecil seperti Perlis dilihat semakin kerap dilaporkan kes-kes jenayah dalam media seperti jenayah berat yang melibatkan pembunuhan selain kes tradisi iaitu penyeludupan.
 
Apakah punca peningkatan kes-kes jenayah dalam masyarakat hari ini?
 
Memahami bagaimana jenayah bermula dapat memberi gambaran kepada kita berkaitan punca dan langkah penyelesaian. Jenayah di Malaysia adalah berkaitan pemerdagangan manusia, penipuan kredit kad, penyeluk saku, ragut, curi kenderaan, rasuah dan pembunuhan kerana pelbagai sebab seperti dendam, hutang dan gangster. Mengetahui kenapa berlaku jenayah memudahkan pasukan polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan.
 
Contohnya, pemerdagangan manusia melibatkan eksploitasi seks terhadap wanita dan kanak-kanak. Kebanyakan mangsa terdiri dari warganegara Mynmar, Thailand, Kemboja, China, Indonesia, Filipina dan Vietnam.  Wanita dari Malaysia pula didagangkan ke China melalui pelbagai cara. Di antara tahun 2005 hingga September 2009, lebih daripada 36,858 wanita telah ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran. Apakah puncanya berlaku pemerdagangan manusia yang merentas sempadan ini sehingga mewujudkan rangkaian antarabangsa?
 
Beberapa teori cuba membantu menerangkan kenapa jenayah berlaku di beberapa kawasan dan tidak di kawasan lain. Contohnya kenapa kadar jenayah lebih tinggi di Kuala Lumpur berbanding di Terengganu atau Kuching. Teori-teori ini dibentangkan oleh Paul dan Patricia Brantingham yang  disatukan di bawah prinsip-prinsip yang berkaitan geografi dengan jenayah.
 
Teori Aktiviti Rutin
 
Teori ini mencadangkan jenayah berlaku apabila pelaku jenayah digerakkan oleh terdapatnya sasaran yang sesuai di samping kekurangan kawalan pada masa dan tempat yang sama. Penjenayah memilih sasaran mereka seiring dengan kegiatan rutin seperti pergi dan balik dari kerja, membeli-belah dan cenderung melakukan jenayah di sekitar mereka sahaja. 
 
Teori Pencegahan Jenayah Situasi
 
Teori ini mencadangkan jenayah dan gangguan awam boleh dicegah melalui pengecilan ruang  kepada perlakuan jenayah. Contohnya, jika jenayah kerap berlaku di kawasan malap, Jabatan Kerja Raya boleh melakukan tindakan menambah kadar kecerahan dan kehadiran polis di kawasan berkenaan.
 
Teori Tingkap Pecah
 
Teori ini menerangkan bagaimana kawasan yang kurang kadar jenayah, tidak diberi perhatian, terpencil, tempat melepaskan stres melalui contengan pada dinding dan papan tanda yang rosak telah mengurangkan keinginan penduduk setempat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka. Keadaan ini menyebabkan kejadian jenayah lebih ketara. Jika polis dapat menyelesaikan kes-kes jenayah di kawasan ini, mereka sudah tentu dapat mengekang jenayah yang lebih serius daripada terus berlaku.
 
Teori Peluang Jenayah
 
Teori ini memberi fokus kepada penjenayah yang melakukan sesuatu jenayah dengan mencari peluang atau sasaran yang lebih praktikal. Contohnya, jika kawasan kejiranan bandar tidak menawarkan tempat letak kereta di tepi jalan, ia boleh menjadi sasaran utama untuk kecurian kenderaan.
 
Teori Percampahan Sosial
 
Teori ini menunjukkan bahawa jenayah berlaku apabila hubungan antara masyarakat dan institusi tempatan menjadi gagal atau tidak wujud langsung. Contohnya kawasan kejiranan yang mewah tetapi kurang interaksi sesama sendiri berisiko lebih tinggi berhadapan dengan penjenayah berbanding kawasan kejiranan yang mempunyai interaksi yang kerap dan mengambil tahu keadaan masing-masing.
 
Teori Corak Jenayah
 
Teori ini mengintegrasikan jenayah dalam konteks geografi yang menunjukkan bagaimana kehidupan persekitaran komuniti dan pengaruh jenayah ke atas kehidupan mereka. Teori ini memberi tumpuan khusus kepada tempat dan kawasan yang kekurangan kawalan sosial atau langkah-langkah penjagaan rasmi yang diperlukan untuk mengawal jenayah. Contohnya, kawasan kejiranan pinggir bandar boleh menjadi tempat panas untuk kecurian kerana rumah mempunyai perlindungan yang tidak mencukupi dan tiada siapa yang menjaga rumah berkenaan.
 
Kejadian jenayah seperti rompakan semakin canggih. Rompakan yang ketara ialah melibatkan kehilangan wang ratusan ringgit melalui pemecahan dan pembakaran mesin wang automatik (ATM). Perompak yang menyasarkan ATM memiliki kepakaran khusus untuk memecahkan mesin berkenaan dalam tempoh yang singkat tanpa melibatkan kehilangan nyawa. ATM sudah tentu mempunyai wang berbanding melakukan rompakan di rumah atau premis perniagaan. Kes seperti ini boleh dilihat di sini.

Ada juga perompak yang sangat berani. Perompak jenis ini akan memilih sasaran yang lemah dan diyakini memiliki wang. Rompakan dibuat dibuat ketika mangsa seorang diri atau di khalayak. Jika mangsa melawan, perompak tidak akan teragak-agak mencederakan mangsa sehinggalah mendapat wang atau barang kemas. Kes seperti ini boleh dilihat di sini.

Perompak juga bergerak secara kumpulan. Beberapa bulan lalu muncul Geng Susu Kangkang yang memilih susu kanak-kanak bermutu tinggi untuk dibawa keluar dari pasar raya. Mereka bergerak dalam empat hingga enam ahli yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Penjenayah perempuan akan memakai pakaian bersaiz besar dengan ciri khas di celah kangkang untuk menyeludup keluar susu yang dikenal pasti. Biasanya tiga perempuan akan keluar masuk beberapa kali. Penjenayah lelaki bertindak sebagai pemerhati di dalam dan luar premis memastikan operasi mereka tidak dikesan oleh pengurus atau staf pasar raya. Kes seperti ini boleh dilihat di sini.

Jenayah pasti meningkat pada tahun-tahun yang akan datang seiring dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Mengelakkan jenayah bererti kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan yang bersungguh-sungguh. Pertama, mencari punca sebenar berlaku jenayah seperti mengenal pasti kelompok yang cenderung melakukan jenayah, memperinci latar belakang diri dan keluarga penjenayah, menentukan keadaan sosial penjenayah, menyiasat tahap pendidikan dan pendapatan golongan yang disyaki, menyelidik corak sosial seharian dan sejauh mana hubungan penjenayah dengan amalan agama mereka. Kerajaan wajar menyediakan sejumlah peruntukan kepada institusi pengajian tinggi supaya ahli akademik dan penyelidik dapat merungkai kelompok masyarakat yang cenderung dan berisiko melakukan jenayah. 
 
Kedua, budaya kesukarelaan wajar diperluas supaya masyarakat memiliki keinginan untuk bersama-sama mencegah jenayah tanpa bergantung kepada agensi penguatkuasa. Walaupun secara formal terdapat polis bantuan dan anggota Rela, galakan kesukarelaan boleh diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan melalui geran, latihan dan khidmat komuniti supaya idea memberi khidmat ini diamalkan di semua peringkat hidup masyarakat.
 
Ketiga, instrumen penguatkuasaan menyumbang kepada penurunan kadar jenayah. Ketegasan petugas agensi yang terlibat menjadi elemen penting dalam mengekang aktiviti jenayah dari semasa ke semasa. Seharusnya mereka yang terlibat dalam usaha ini diberi pendedahan, kefahaman dan peningkatan kemahiran melalui kursus jangka pendek dan jangka panjang supaya pada akhirnya dapat membentuk sebuah pasukan pencegahan jenayah yang cekap dan berkesan.
 
Jenayah yang berlaku dalam masyarakat sama ada di bandar ataupun luar bandar tidak mengenal mangsa. Kanak-kanak, remaja dan warga emas juga menjadi mangsa penjenayah yang tidak ada belas ehsan sesama manusia. Tanggungjawab mencegah jenayah tidak sahaja menjadi tugas polis dan agensi penguatkuasa yang lain malah menuntut penglibatan masyarakat dalam pelbagai bentuk seperti penyaluran maklumat, penyediaan tempat perlindungan dan kempen kesedaran awam.

 

No comments:

Post a Comment