Monday, July 29, 2013

Jenayah jejas imej negara





Keamanan perlu dipelihara


Bukit Aman mengambil tindakan pantas dalam kes tembakan yang melibatkan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R. Sri Sanjeevan. Penubuhan jawatankuasa khas siasatan kes ini boleh disifatkan sebagai minat mendalam pihak polis untuk mendapatkan maklumat dan akses yang lebih luas terhadap kejadian berkenaan.
 
MyWatch adalah pertubuhan bukan kerajaan yang acapkali mendedahkan kepincangan pasukan polis dalam pelbagai hal. Antaranya ialah berkaitan statistik jenayah yang dikatakan kurang tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam masyarakat. Beliau pernah menerima ugutan selepas membuat laporan polis berkaitan aktiviti perjudian di Simpang Pertang. 
 
Kenapa polis begitu berminat dengan Sri Sanjeevan?
 
Isu ini merupakan isu besar yang kebetulannya sedang menjadi bualan hangat. Tembak-menembak berlaku di mana-mana sahaja hari ini. Kejadian terbaru melibatkan pembunuhan seorang tokoh bank iaitu Hussain Ahmad Najdi, pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia. Beliau maut ditembak selepas bertemu dengan seorang lelaki bagi membincangkan urusan jual-beli saham berhampiran tokong Cina di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.
 
Di sebalik komitmen polis untuk menyelesaikan sindiket jenayah berat ini, kejadian pembunuhan lebih kerap berlaku. Ia boleh dilihat kesungguhan polis dalam membanteras kejadian ini merupakan sebahagian daripada siasatan khas bagi kes MyWatch ini. Penglibatan Bukit Aman akan merungkai misteri kemunculan secara mendadak beberapa kes tembakan profil tinggi yang menggugat keselamatan awam.
 
Isu keselamatan dalam negara pernah menjadi kebanggaan ketika ekonomi Malaysia berada dalam keadaan sangat baik 15 tahun lalu. Tidak banyak kes jenayah berat yang berlaku namun situasi itu kini telah berubah dan polis perlu dibantu untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan pasukan itu. Kita tidak mahu melihat trend pembunuhan demi pembunuhan berlaku setiap masa kerana tidak sentiasa berfikir siapakah yang akan menjadi mangsa esok hari. Mereka mungkin kenalan kita, jiran kita atau saudara-masa kita sendiri.
 
Jika kejadian ini tidak diatasi segera, Malaysia akan mendapat imej negatif sebagai sebuah negara yang tidak selamat untuk didiami atau urusan perniagaan.

 

No comments:

Post a Comment