Kali pertama menaiki Malindo Air amat menarik. Bertolak dari KLIA ke Kota Kinabalu terasa amat selesa kerana syarikat penerbangan tambang murah ini menggunakan pesawat Boeing yang selesa, ruang duduk yang luas dan setiap tempat duduk terdapat panel multimedia untuk menonton filem atau mendengar muzik.
Perjalanan ke Sabah ini mengambil masa dua jam 30 minit dengan kelajuan lebih 800 km/j kerana pesat yang digunakan adalah baru dan semuanya nampak kemas. Walaupun tambang murah, penumpang dihidangkan roti sandwich dan air mineral, sekurang-kurangnya dapat mengisi perut kosong sementara sampai di KKIA.
Kami sampai ketika cuaca mendung dengan hujan renyai-renyai. Di landasan KKIA juga hujan. Sebaik sahaja juruterbang memaklumkan pesawat akan mendarat, semua penumpang memakai tali pinggang dan bersedia untuk mencecah landasan. Namun, tiba-tiba pesawat yang telah bersedia untuk mendarat dan menghampiri landasan, keadaan dalam pesawat seperti bergoncang dan tidak stabil. Anak-anak kecil ada yang merengek dan menangis tidak berhenti. Penumpang di sebelah sudah berasa cemas dan mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu, wajahnya cukup serius.
Roda pesawat yang hampir mencecah landasan tiba-tiba melantun semula ke udara dan terus memecut masuk ke awan bagi ketinggian 7000 kaki. Deruman enjin pesawat memang keras untuk melonjak ke atas. Suasana agak cemas sedikit.
Selepas pesawat dalam keadaan stabil dan keluar dari lingkungan risiko, juruterbang memaklumkan peristiwa yang berlaku itu. Menurutnya, keadaan angin di landasan terlalu kuat dan menyebabkan pesawat tidak stabil. Pendaratan akan mengundang risiko dan beliau mengambil keputusan untuk membatalkan proses pendaratan kali pertama. Beliau memaklumkan pesawat akan berlegar pada jarak 15 kilometer dari Kota Kinabalu sehingga keadaan mengizinkan untuk pendaratan seterusnya.
Kami berlegar-legar hampir 15 minit dan bersedia untuk percubaan pendaratan kali kedua. Juruterbang meminta semua penumpang bersedia untuk pendaratan ini. Semakin lama pesawat semakin hampir ke landasan dan keadaan pesawat kekal stabil. Dentuman roda pesawat yang menderam mengesahkan pendaratan ini amat berjaya. Semua wajah penumpang berseri-seri kerana baru sahaja melepasi detik-detik yang mencemaskan.
Saya berjalan keluar dan melihat jurutebang tersenyum di pintu kokpit pesawat. Mungkin beliau berhasrat meyakinkan penumpang bahawa penerbangan seterusnya akan lebih baik.
Di imigresen
Semua
penumpang menuju kaunter imigresen untuk pengesahan memasuki negeri Sabah.
Warganegara Malaysia dari semenanjung perlu menunjukkan kad pengenalan dan
diterima masuk untuk tempoh satu hingga tiga bulan. Walaupun satu negara,
kemasukan warganegara Malaysia sama seperti pelancong asing di Sabah, kesan
jangka masa panjang penerimaan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
Bagi
pelancong yang membawa anak kecil tanpa ditemani oleh ibu atau bapa sendiri,
masuk ke Sabah adalah suatu kesalahan dari perspektif imigresen di sini.
Justeru surat kebenaran membawa anak kecil yang ditandatangani oleh ibu atau
bapa anak itu amat penting. Ia mesti dibawa dan ditunjukkan bersama
MyKids. Walaupun pembawa anak kecil itu
merupakan datuk atau neneknya, ia belum menjamin kelulusan masuk dapat diberi
dan semua terpaksa pulang pada hari sama yang sama.
Keadaan
ini tidak patut berlaku kerana kedatangan rakyat dari semenanjung kerana
pelbagai sebab seperti kursus yang ada pesertanya membawa sekali saudara mara bagi kali pertama. Selepas sampai ke
Sabah dan dilarang masuk serta diarahkan pulang kerana tidak cukup dokumen
adalah sangat malang.
Namun,
dalam kes seperti ini, petugas di kaunter yang kurang mesra hanya merumitkan
keadaan berbanding petugas yang bijak. Petugas kurang mesra akan mengatakan tidak
boleh masuk manakala petugas yang bijak akan merujuk pegawai atasan dan dalam
kes seperti di atas, pegawai ini menggunakan budi bicara selepas bertanya
beberapa soalan seperti kenapa ibu atau bapa tidak datang bersama, apa tujuan
datang dan berapa lama tinggal di Sabah. Kalau jawapan munasabah, kebenaran
masuk akan diberi serta-merta. Mungkinkah keadaan yang sama turut berlaku di
Sarawak memandangkan negeri itu turut menggunakan konsep yang sama?
Tempat menarik
Sabah
banyak tempat menarik yang mesti dilihat. Mini aquaria yang terletak di
Universiti Malaysia Sabah, UMS sangat sesuai menjadi santapan minda pada
sebelah pagi. Puluhan ikan dan hidupan laut dikumpulkan di sini, menunjukkan
Sabah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai spesies laut. Dari bandaraya Kota
Kinabalu, kita hanya perlu 10 hingga 15 untuk sampai ke sana.
Tempat
makan malam tidak sukar kerana banyak restoran dan gerai menyediakan pilihan
makanan laut yang segar dan murah. Saya pilih Likas Highway Corner untuk makan
malam berbanding gerai makan yang lain. Pelayan di sini amat mesra dan sedia
menawarkan masakan istimewa mereka. Antara yang sedap ialah ketam dan udang
goreng serta sayur kailan segar. Selain minuman, kita juga boleh makan ABC yang
enak. Untuk kanak-kanak, banyak mainan dijual sekitar Anjung Selera ini yang
menghadap Teluk Likas.
Rumah
Terbalik adalah ikon terkini di Tamparuli. Kedudukan di tepi jalan memudahkan
orang ramai melawat rumah ini yang serba-serbinya terbalik. Di luar dan dalam
rumah semuanya terbalik. Tiket masuk dewasa RM10 dan lawatan mengambil masa 20
hingga 30 minit. Perkarangan rumah ini terdapat kereta Kancil, kereta sorong,
basikal, kebun dan tandas yang terbalik. Sehingga kini terdapat lebih 140 ribu
oengunjung yang sudah masuk ke dalam rumah terbalik sejak dibuka pada 2011.
Sebelum masuk kita diberikan peluang memukul gong dan bergambar. Tidak
dibenarkan mengambil gambar atau video di dalam rumah, jika kedapatan, ia akan
dicaj RM100 dan gambar akan dipadam. Berdasarkan pertanyaan, rumah terbalik
tidak ada falsafah tetapi khusus untuk tarikan pelancong. Pengunjung boleh beri
falsafah mereka sendiri.
Gunung
Kinabalu di Kundasang adalah tarikan paling hebat. Banyak resort dan inap desa
di sekitar gunung dan perlu ditempah lebih awal, katakan tiga bulan. Antara
tempat menarik ialah Kinabalu Pine Resort. Kedudukannya betul-betul di hadapan Gunung
Kinabalu yang gah. Masa terbaik melihat puncak gunung ini ialah sekitar jam 7
hingga 9 pagi kerana puncaknya tidak dilitupi awan. Selepas itu gerombolan kabus dan awan akan
bergerak dan menutup keseluruhan gunung sedikit demi sedikit. Selain Kinabalu
Pine Resort, berpuluh-puluh hotel dan rumah penginapan terdapat di sekitar
pekan Kundasang dengan bayaran dan perkhidmatan yang kita ingini.
Kita
juga boleh mengunjungi Taman Kinabalu iaitu pintu masuk ke Gunung Kinabalu.
Berkereta sehingga ke Pondok Timpohon sangat mengasyikkan kerana di kiri dan kanan
jalan penuh dengan pokok rendang dan angin segar. Berada di paras 2000 kaki
memberi pengalaman indah dan sukar dilupakan. Di papan kenyataan Pondok
Timpohon terdapat nama-nama peserta yang telah mendapat pertama hingga ketiga
dalam pertandingan mendaki Gunung Kinabalu 2012 yang rata-ratanya terdiri
daripada orang luar.
Perjalanan
pulang ke Kota Kinabalu terasa sangat pantas kerana tidak banyak kenderaan yang
bergerak di sepanjang laluan yang berliku. Satu yang dapat diperhati di laluan
ini ialah papan tanda yang menunjukkan gereja di simpang-simpang jalan. Papan
tanda yang menunjukkan tanda masjid atau surau tidak kelihatan langsung, lalu
mengesahkan bahawa penduduk di sekitar laluan ini terdiri daripada penganut
agama kristian. Satu-satunya masjid yang ada ialah di pekan Kundasang yang
dapat dilihat dengan jelas. Kemungkinan besar kampung dan desa masih didominasi
masyarakat kristian walaupun ada sebilangan kecil orang Islam di kawasan
pedalaman.
Sebelum
sampai ke Kota Kinabalu, adalah lebih baik singgah makan lokan bakar di Jalan
Sulaman. Di sini semuanya menjual lokan bakar dengan tiga saiz berbeza. Rasanya
sangat lazat dan cuba sekali tentu hendak tambah lagi. Di kiri dan kanan laluan
ini memang banyak gerai lokan dan boleh juga mencuba nasi goreng seafood.
Barang
yang mesti dibeli di Kota Kinabalu untuk dibawa pulang ialah kuih kering,
makanan laut dan sayur-sayuran segar. Pasar Filipina yang menjadi tempat
tumpuan pelancong dari semenanjung sudah maklum dan berkotak-kotak makanan laut
dan kuih yang boleh dibeli di sini.
Pengalaman
berada di Kota Kinabalu memberi pengalaman baru yang segar dan menarik kerana
Sabah memiliki banyak daya tarikan yang perlu diketengahkan. Pulau, makanan,
keramahan masyarakat dan kepelbagaian agama memberi ruang kepada pemahaman yang
mendalam terhadap hubungan sosial masyarakat di sini. Kejayaan Sabah hari ini
tentulah disumbangkan oleh kestabilan politik dan kebijaksanaan pengurusan
sosial masyarakat yang menjamin setiap penduduk di sini mendapat peluang untuk
memajukan diri masing-masing. Penerbangan dengan Malindo Air sangat dihargai
apabila keluar dari pesawat, juruterbang sendiri yang mengucapkan terima kasih
kepada penumpang, suatu layanan yang tidak ada pada penerbangan lain.
No comments:
Post a Comment