Monday, June 29, 2009

Menjana modal insan cemerlang

Penyunting: Asmawati Desa, Zulaiha Ali Othman, Rosmila Senik
Tahun: 2009
Penerbit: Akademi Penyelidikan HALUAN dan Kolej Teknologi Darulnaim
Muka surat: 210
Harga: RM20.00

Penulisan buku ini adalah satu usaha ke arah membicarakan pelbagai aspek yang ada hubungan dengan modal insan. Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

1. Peranan pendidikan dalam menjana modal insan.
2. Keberkesanan pendidikan di IPT dalam menjana modal insan.
3. Pembangunan modal insan daripada perspektif Islam.

Terdapat 13 bab merangkumi pelbagai isu berhubung modal insan. Kebanyakan bab berdasarkan kepada kajian di dalam negara yang telah dijalankan oleh penulis masing-masing. Selebihnya adalah berdasarkan kajian perpustakaan atau terhadap tinjauan literatur berhubung dengan tajuk yang dibincangkan.

Bab-bab dalam buku ini asalnya ialah kertas kerja yang telah dibentangkan di Seminar Modal Insan 2009 (SEMAI 09) yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada Mac 2009. Kertas-kertas kerja yang relevan telah dipilih dan disunting agar dapat dipersembahkan dalam bentuk buku.

Tajuk-tajuk dalam buku ini:

Bahagian 1
Peranan pendidikan dalam menjana modal insan

-Pendidikan dan pembinaan modal insan (Mohamad Zahir Zainudin, Aishah Amirah Zainal Abidin dan Masyitah Nordin)

-Mampukah IPT membentuk modal insan berkualiti? (Asmawati Desa dan Mariyah Ishak)

-Pendekatan bersepadu untuk memulihkan pelajar sastera yang lemah (Nor Azimah Ismail dan Lokman Mohd Fadzil)

Bahagian 2
Keberkesanan pendidikan di IPT dalam menjana modal insan

-IPT di Malaysia & pengeluaran modal insan untuk pasaran global (Megat Saidi Megat Ngah, Solehuddin Shuib dan Ismail Ahmad)


-Penerapan nilai murni: cabaran membentuk modal insan cemerlang di IPTS berasaskan kemahiran (Ismail Saliyan, Mohd.Haidi Hj.Kasran, Nor Aishah. Abd. Aziz, Salbiah Seliman dan Mohd.Fadhli Md. Diah)

-Program pembangunan insan: keberkesanannya dalam menjana modal insan (Asmawati Desa, Abdullah Sudin, Mumtazah Tumian, dan Rosdi Baharom)


-Faktor kejayaan kritikal dalam melahirkan graduan cemerlang di IPTS (Abdul Hakim Mohammed, Noraini Eslah dan Ruqaimi Rabbani Abdullah)

Bahagian 3
Pembangunan modal insan daripada perspektif Islam

-Pembangunan modal insan dalam perspektif islam: keseimbangan antara originality dan kontinuiti (Mohd Akram Dahaman @ Dahlan dan Amani Dahaman @ Dahlan)

-Satu pendekatan holistik kepada pendidikan dan pembelajaran peringkat awal berasaskan akidah (Zulaiha Ali Othman, Siti Hilmiyah Mohd Raf’ii, Roslan Ahmad, Umi Nadrah Ali Othman dan Rosdi Baharom)

-Sumbangan modal manusia terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia (Nur Atiqah Abdullah, Nik Mutasim Hj. Nik Abd. Rahman dan Azizan Ahmad)

-Penulisan motivasi ruhiyah untuk membentuk remaja berkualiti (Mumtazah Haji Tumian, Noraini Eslah dan Abdul Hakim Mohammed)


-Pemikiran kritis: penjana modal insan terbilang (Sakinah Ahmad, Maziahtusima Ishak dan Rezki Perdani Sawai)

Kandungan buku ini sangat menarik dan boleh dijadikan panduan bagi mereka yang berminat untuk melihat pembangunan modal insan sebagai prasyarat kecemerlangan dalam industri yang mereka ceburi.

Sunday, June 28, 2009

Pendidikan moral pelajar terpinggir

Data Kementerian Pelajaran serta statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah salah laku melibatkan remaja masih bersekolah semakin meningkat. Makin membimbangkan bila data-data tersebut menunjukkan pelajar sekolah bukan sahaja sekadar terlibat di dalam kelakuan tidak sopan, melanggar peraturan sekolah seperti bising dalam kelas, datang lewat ke sekolah, ponteng tetapi juga menjangkau kepada perlakuan jenayah seperti gengsterisme, melakukan gangguan seksual, merogol malah hingga kepada membunuh.

Kajian gengsterisme di sekolah menengah harian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan mengenal pasti 459 daripada 1,560 buah sekolah terdedah dengan budaya gengsterisme.

Data Kementerian Pelajaran tahun 2008 menunjukkan 21,060 pelajar dikesan ponteng sekolah, manakala 24,840 pelajar terlibat pada tahun sebelumnya. Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes pada tahun 2007 dan 19,980 kes pada 2006.

Akibat meningkatnya gejala sosial yang semakin serius, maka cadangan mengembalikan semula hukuman rotan sekarang berada di atas meja Peguam Negara. Nampaknya institusi pendidikan seperti sekolah seakan sudah hilang upaya untuk menguruskan masalah gejala sosial melalui pendidikan moral dan agama Islam dan akhirnya bersetuju untuk kembali kepada cara lama menangani masalah remaja. Malah institusi kaunseling secara jujurnya juga seperti tidak terdaya menyelesaikan kerenah isu juvenil ini.

Kesalahan remaja sememangnya masalah pendidikan dan sekolah tidak dapat tidak mesti bertanggungjawab membanterasnya tetapi mengambil langkah menggunakan rotan sama sekali tidak akan menghilangkan masalah sosial. Kajian oleh pakar pendidikan pembelajaran sepakat bersetuju bahawa sistem hukuman rotan bukanlah satu kaedah yang paling baik dan berkesan, malah pelajar yang telah melalui kaedah hukuman rotan ada antaranya yang terus menerus melakukan kesalahan yang lebih besar daripada kesalahan di mana mereka pernah dikenakan hukuman rotan. Kajian di negara ini juga telah banyak dilakukan berkaitan masalah disiplin dalam kalangan remaja.

Kementerian Pelajaran telah mencuba pelbagai kaedah untuk menangani masalah disiplin daripada kempen hinggalah bekerjasama dengan pihak polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Malangnya, impak kepada masalah disiplin sifar nampaknya masih jauh daripada yang diharapkan. Hukuman merotan bukan sahaja ditentang oleh golongan peguam tetapi juga di kalangan pendidik yang mementingkan konsep pendidikan yang murni dan bermaruah.

Kita mungkin berkata merotan akan mendidik pelajar ini supaya tidak akan lagi melakukan perbuatan salah mulai esoknya di sekolah. Maka kita cuba menyatakan jika semua sekolah menjalankan hukuman merotan maka dalam satu jangka nanti akan sangat kurang atau tiada lagi masalah sosial di sekolah kerana pelajar akan takut dikenakan hukuman merotan. Apakah kita percaya ini semua akan berlaku?

Difikirkan semasak-masaknya pelajar yang melakukan masalah disiplin ini sebenarnya adalah mangsa keadaan, sesuatu yang bukan di bawah kawalan mereka. Baik ibu bapa, masyarakat, sekolah, media serta rakan sebaya, semuanya memberikan sumbangan yang kuat ke arah perlakuan dan tingkah laku negatif pelajar. Tetapi bila hukuman hendak dijatuhkan, pelajar ini sahaja yang dipersalahkan, mana ibu bapa, rakan taulan, guru, media yang sentiasa memaparkan adegan ganas dan seks ketika hukuman dilaksanakan.

Banyak faktor lain yang juga mendorong kepada berlakunya masalah ini. Keluarga yang bercerai berai, tuntutan keperluan hidup yang semakin mendesak juga menjadi faktor kepada gejala ini. Malah ada juga menghadapi tekanan membina semula lingkungan rakan sebaya yang kadang kala tersalah pilih kerana tiada bantuan daripada ibu bapa. Tidak cukup dengan itu, anak- anak yang tidak ada potensi akademik tetapi ada potensi sukan, seni dan potensi lain 'digagalkan' oleh sistem pendirian negara kita.

Hanya yang mendapat 5A UPSR, 8A PMR atau 11 A SPM, para pelajar ini diangkat dan dijulang.

Yang lain menjadi seperti orang asing kepada pihak guru dan sekolah. Berapa ramai ibu bapa yang memeluk anak-anak yang mendapat 1A UPSR berbanding yang meleter dan merendah-rendahkan kebolehan anak-anak mereka?

Punca

Masalah disiplin dan krisis moral tentulah berpunca sebahagian besarnya dari amalan pembelajaran pembangunan nilai yang gagal di sekolah. Paling asas ialah kegagalan pendidikan agama serta moral yang dilaksanakan di sekolah. Guru-guru agama dan mata pelajaran moral harapnya jangan marah dengan penulis, tetapi cubalah kita fikirkan bersama, bila semakin ramai orang Muslim-Melayu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mengamalkan pun ajaran yang diwajibkan.

Saya masih ingat seorang kawan sekolah dahulu yang dirotan di dewan perhimpunan mingguan sekolah sehingga kini masih terus menyumpah pihak sekolah. Kesalahannya kerana ditangkap merokok di belakang tandas sekolah. Selepas dirotan guru disiplin memberi amaran supaya beliau berhenti merokok. Tetapi sehingga kini rakan penulis itu masih merokok, tak berniat pun untuk berhenti.

Kita kena membezakan antara hukuman merotan oleh ibu bapa dan pihak sekolah. Konsep merotan yang dilaksanakan oleh ibu kesannya adalah berbeza pada pelajar, tidak sama dengan pihak sekolah. Elemen keterikatan 'pertalian darah antara anak dengan ibu dan ayah' membenarkan anak-anak memahami jika ibu bapa melakukan hukuman tersebut, tetapi jika hukuman tersebut dilakukan oleh pihak sekolah, kadang- kadang hukuman tersebut dilihat sebagaimana menghina, menjatuhkan maruah pelajar dan ramai ibu bapa juga tidak suka anak mereka dirotan. Jangan tanya pendapat awam kerana bukan anak mereka yang dirotan. Mereka semestinya bersetuju dengan hukuman merotan pada anak orang lain.

Satu masa dulu, data menunjukkan lingkungan umur yang paling tinggi melakukan masalah sosial ialah kalangan remaja lelaki antara 15-18 tahun. Namun trend ini dilihat mulai membimbangkan apabila kumpulan pelaku masalah sosial kini semakin rendah tahap umur sehingga ada yang berumur kurang dari 10 tahun terutama berkaitan kes curi, ponteng, merokok dan mencabul pelajar perempuan. Malah remaja wanita juga semakin ramai yang terlibat sebagai pelaku masalah sosial. Menguruskan pelajar perlukan kesabaran para guru, ketelitian dalam berinteraksi dengan kanak-kanak serta secara nasihat berdikit-dikit tetapi konsisten sangat berkesan. Paling penting bermula sejak awal umur kanak-kanak.

Kalaulah merotan terbukti boleh menyelesaikan masalah disiplin, dunia telah lama aman dan sejahtera. Perlakuan jenayah dan gejala sosial menuntut perhatian yang lebih tinggi daripada sekadar mengkaji baik buruknya merotan pelajar. Kanak-kanak pada peringkat muda pada asasnya memerlukan kasih sayang, luangkan masa serta perhatian para ibu bapa dan guru- guru.

Kasih sayang pada pelajar perlu ditunjukkan dengan mendengar dan menyokong bukannya dengan meleter, mengungkit atau merotan pelajar. Para pelajar jika sudah biasa dirotan akan juga menganggap bentuk didikan 'ganas' adalah yang terbaik dan akan melakukannya apabila mereka pula mempunyai anak-anak satu hari nanti. Mereka juga akan percaya apabila wujudnya konflik dengan rakan sebaya di sekolah cara bergaduh dan memukul jugalah yang seharusnya digunakan.

Tindakan yang seringkali dicadangkan oleh pakar pendidikan ialah kecilkan saiz pelajar di dalam bilik darjah supaya perhatian kepada pembangunan sahsiah pelajar akan menjadi lebih baik, tingkatkan kualiti pengurusan pelajar di kalangan guru supaya mereka memahami dengan tepat secara teori dan amalan, atau 'know what' dan 'know how' berkaitan pembangunan pelajar di bawah tanggungjawab mereka, sediakan sistem sokongan kewangan dan khidmat nasihat untuk pelajar, outreach programme di mana kumpulan guru melawat ke rumah pelajar yang menunjuk tanda- tanda masalah di peringkat awal supaya perbincangan dengan ibu bapa dapat dilakukan lebih awal.

Pada masa yang sama guru juga akan dapat membuat penilaian berkaitan keluarga pelajar tersebut. Apalah gunanya di dalam sebuah sekolah jika dengan hanya beberapa orang pelajar mencapai kecemerlangan akademik tetapi pada yang sama ramai pula yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah yang sama.

Biarlah kalau Peguam Negara masih ingin meluluskan undang-undang hukuman merotan ini, biarlah kalau ada sekolah masih juga ingin meneruskan hukuman ini tetapi percayalah masih ramai ibu bapa di luar sana termasuk penulis sendiri sangat percaya bahawa jika anak-anak ini dirotan kerana kesalahan mereka maka kitalah yang sebenarnya gagal mendidik moral kepada mereka.

Anuar Ahmad ialah pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti PendidikanUniversiti Kebangsaan Malaysia.


[Utusan Online, 28 Jun 2009]

Saturday, June 27, 2009

Kaum Musyrikin ingkari perjanjian damai Hudaibiah

oleh Hashim Ahmad

Perjanjian Hudaibiah yang dimeterai antara Nabi Muhammad SAW dan orang Quraisy Makkah pada Zulkaedah tahun keenam Hijrah adalah perjanjian damai pertama dalam sejarah perkembangan Islam.


Perjanjian itu mengambil sempena tempat bernama Hudaibiah di mana rombongan Muslimin yang dipimpin Nabi Muhammad SAW berhenti, sementara menunggu izin daripada penduduk Makkah untuk melakukan haji dan umrah.

Kaum Muslimin tidak jadi menunaikan umrah pada tahun itu tetapi dibenarkan membuat haji pada tahun depan. Sesungguhnya Perjanjian Hudaibiah itu pada lahirnya dianggap merugikan kaum Muslimin dan banyak menguntungkan orang Quraisy.


Bagaimanapun, bagi Nabi Muhammad SAW, perjanjian ini penting untuk faedah jangka panjang kepada kaum Muslimin dan perkembangan Islam. Lima perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu:

1. Tidak ada lagi serang menyerang antara kaum Muslimin di Madinah dan kaum Quraisy di Makkah selama 10 tahun.

2. Setiap orang yang lari dari Makkah ke Madinah wajib di kembalikan kepada kaum Quraisy di Makkah.

3. Setiap orang yang lari dari Madinah ke Makkah tidak boleh dikembalikan ke Madinah.

4. Kaum Muslimin pada tahun itu harus pulang ke Madinah dan tidak boleh meneruskan hajat untuk menunaikan haji di Makkah.

5. Kaum Muslimin boleh datang ke Makkah untuk mengerjakan haji pada tahun depan, tetapi tidak boleh tinggal di Makkah lebih daripada tempoh menunaikan haji iaitu selama tiga hari. Mereka tidak boleh membawa senjata perang kecuali membawa pedang di dalam sarungnya saja.

Kesan segera daripada perjanjian itu amat menyayat hati kaum Muslimin kerana pada hari itu juga muncul seorang pelarian dari Makkah bernama Abu Jandal bin Suhail yang sudah masuk Islam di Makkah tetapi ditahan oleh orang Quraisy Makkah dan diseksa dalam penjara.


Dia meminta diselamatkan oleh Nabi Muhammad SAW sedangkan tangannya masih terikat dan badannya penuh dengan luka serta calar akibat diseksa orang Quraisy. Dengan serta-merta wakil orang Quraisy menuntut Abu Jandal diserahkan kembali kepada mereka berdasarkan perjanjian Hudaibiah yang baru dimeterai antara mereka.

Walaupun Nabi Muhammad SAW menawarkan wang untuk membeli Abu Jandal dengan tujuan membebaskannya, kaum Musyrikin menolak tawaran itu. Dengan air mata berlinang, Nabi Muhammad SAW serta sahabat terpaksa melepaskan Abu Jandal untuk menunjukkan tanda ikhlas dan jujur kaum Muslimin pada perjanjian yang sudah dipersetujui.

Beberapa hari kemudian, datang pula seorang lelaki yang baru masuk Islam iaitu Abu Basir bersama dua orang lain tetapi Nabi Muhammad SAW juga terpaksa menolak mereka.

Dalam perjalanan ke Makkah, seorang daripada mereka dibunuh oleh orang Quraisy. Lalu Abu Basir dan temannya yang tinggal, dibenar Nabi Muhammad SAW pergi ke satu tempat di pinggir Laut Merah untuk tinggal di sana kerana daerah itu tidak terbabit dengan Perjanjian Hudaibiah.

Tidak lama berselang, muncul kembali Abu Jandal yang dapat meloloskan diri dari tahanan orang Quraisy dan beliau membawa 70 orang Islam bersamanya.

Oleh sebab mereka tidak dibenar tinggal di Madinah, mereka pun bersatu dengan Abu Basir dan berazam menentang orang Quraisy dengan melakukan perang gerila terhadap rombongan dagang mereka yang sering melalui daerah pinggir Laut Merah itu dalam perjalanan ke Syria.

Akhirnya gerombolan mereka bertambah kuat dengan lebih 300 pejuang setiap masa menyerang dan mengganggu perjalanan kafilah dagang kaum Quraisy sehingga akhirnya kemakmuran kota Makkah terhenti dan beransur-ansur menjadi kota mati.

Penduduk Quraisy menjadi gelisah dan hidup mereka tambah terhimpit. Mereka tidak boleh berdagang keluar negeri kerana tidak lagi merasa selamat daripada serangan gerombolan Abu Jandal dan Abu Basir.

Kini mereka sedar bahawa Perjanjian Hudaibiah itu merugikan mereka. Orang yang menyerang mereka bukan dari Madinah dan Nabi SAW tidak boleh dibabitkan dalam perbuatan itu. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW tidak berkuasa menghentikan serangan ke atas kafilah perdagangan Makkah.

Akhirnya, datanglah utusan bangsa Quraisy kepada Nabi SAW meminta supaya fasal dua dan tiga daripada Perjanjian Hudaibiah itu dihapuskan. Mereka juga meminta gerombolan Abu Jandal dan Abu Basir itu dipanggil balik ke Madinah.

Rasulullah SAW menerima baik cadangan itu dan pasukan pejuang pimpinan Abu Jandal dan Abu Basir disatukan dengan kekuatan tentera Muslimin di Madinah sehingga kaum Muslimin merasa lebih kuat dan selamat.

Walaupun fasal dua dan tiga dari perjanjian itu terbatal, kaum Muslimin masih boleh pergi menunaikan haji mulai tahun depan kerana keamanan masih berterusan selama 10 tahun.

Bagaimanapun, pembatalan dua fasal dalam perjanjian itu ditafsirkan kaum Quraisy sebagai kelemahan di pihak Muslimin. Mereka menyangka kaum Muslimin kini takut berperang kerana mungkin mereka merasa lemah dan kecewa oleh perjanjian itu.

Anggapan itu menimbulkan rasa berat di hati mereka sehingga sanggup merancang untuk melanggar perjanjian damai 10 tahun itu. Mereka menyiapkan diri untuk menyerang kaum Muslimin yang dijangka datang menunaikan haji ke Makkah tidak lama lagi.

Pengkhianatan mereka itu dilaporkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kesan balasan tentulah dapat diduga. Ketika Baginda SAW menyiapkan kumpulan kaum Muslimin yang akan berangkat ke Makkah pada musim haji tahun berikutnya, Baginda memperlengkapkan mereka dengan senjata, bukan sekadar untuk perlindungan diri tetapi untuk peperangan yang dijangka berlaku.

Azam Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin kali ini ialah sama ada mereka dibenar menunaikan haji atau akan ditentang oleh kaum Quraisy. Namun mereka akan pergi juga pada tahun itu. Secara kebetulan, kekuatan kaum Muslimin ketika itu sudah besar kerana ramai yang memeluk Islam.

Ini termasuk beberapa pembesar Quraisy seperti Abbas, bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang selama ini memimpin pasukan Quraisy melawan Baginda dan Abu Sufian yang dianggap sebagai ketua besar kaum Quraisy Makkah sesudah kematian Abu Jahal.

Ketika rombongan besar kaum Muslimin hampir sampai ke Makkah, Nabi Muhammad SAW mengirim perutusan yang dituju kepada penduduk kota itu. Pengumuman itu dibuat berdasarkan keyakinan bahawa peperangan akan meletus dan dalam peperangan itu tentu ada jiwa yang terkorban.

Perutusan Nabi SAW itu adalah satu jaminan keselamatan bagi penduduk Makkah dalam pertempuran nanti. Pengumuman itu berbunyi: "Siapa saja yang masuk atau berlindung di rumah Abu Sufian di Makkah akan terlindung daripada serangan kaum Muslimin. Dan siapa yang tinggal di dalam rumah sendiri akan aman. Akan aman juga daripada sebarang bencana siapa yang berlindung dalam Masjidil Haram di sekitar Kaabah."

Nabi Muhammad SAW mempersilakan Abu Sufian sendiri menyampaikan pengumuman itu kepada penduduk Kota Makkah sebelum pasukan besar kaum Muslimin sampai ke sana. Lalu pergilah Abu Sufian bersama beberapa orang pilihannya ke Makkah.

Beliau menyampaikan pengumuman penting itu yang berbunyi: "Wahai penduduk Makkah! Seperti yang kamu tahu, aku sudah memeluk agama Islam. Muhammad akan tiba ke sini sebentar lagi dengan angkatan perang yang besar. Jika kamu masih berazam untuk mempertahankan bumi Makkah daripada kemasukan kaum Muslimin, tiada guna kamu menentang mereka sebab kamu tidak akan berupaya.

"Oleh itu, Muhammad memberi jaminan kepada kamu supaya aku sampaikan. Siapa yang masuk berlindung ke dalam rumahku akan terselamat daripada bencana; siapa yang tinggal dalam rumah sendiri atau berlindung di pekarangan Kaabah (dalam Masjidil Haram juga akan terselamat daripada serangan kaum Muslimin."

Penduduk Makkah yang merasa ketakutan menanti kedatangan tentera Muslimin itu terus merasa lega. Mereka berkumpul dalam Masjidil Haram atau di rumah Abu Sufian. Ramai enggan tinggal di rumah sendiri. Mereka yang enggan tunduk mengambil keputusan melarikan diri keluar Makkah.

Tidak lama kemudian, sampailah kumpulan besar kaum Muslimin yang bersenjata lengkap itu ke kota Makkah. Penentangan hebat yang dibincangkan Nabi Muhammad SAW tidak berlaku. Nabi memasuki Makkah dengan aman.

Seluruh Kota Makkah sunyi sepi dan orang yang kelihatan hanya berpusu-pusu di sekitar Masjidil Haram. Tidak ada seorang pun kelihatan di jalan-jalan kota itu yang mahu menentang kaum Muslimin walaupun pada mulanya mereka berazam untuk menentang habis-habisan.

Selepas Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin tawaf serta masuk ke dalam Kaabah sambil membersihkan Kaabah daripada segala macam patung berhala yang mengotori kesuciannya selama ini, Baginda pun berdiri pada sebuah tiang masjid dan berkhutbah kepada orang ramai.

Antara isi kandungan khutbah Baginda SAW ialah: "Hai penduduk Kota Makkah. Tindakan apakah yang akan saya lakukan sekarang sesudah mencapai kemenangan atas nama Allah ini. Demikian pertanyaan yang tentu kamu tanyakan dalam hati kamu masing-masing. Tindakan saya sebenarnya lain tidak, hanya supaya kamu pulang ke rumah masing-masing, bebas daripada segala tuntutan dan pembalasan."

Dengan hati yang lega dan puas, penduduk Makkah bersorak menyatakan rasa gembira dan memuji sikap nabi yang tidak diduga mereka sebelum ini. Sejak saat itu berduyun-duyun orang Quraisy memeluk Islam, dari rakyat pada peringkat paling rendah hingga ke peringkat paling tinggi.

Ramailah panglima perang Quraisy yang dahulunya memusuhi Nabi SAW dan kaum Muslimin dengan tulus ikhlas menyerahkan jiwa raga mereka bagi mempertahankan Islam sebagai pahlawan Allah yang riwayat hidup mereka terukir dengan tinta emas dalam sejarah perkembangan Islam dari dulu hingga kini.

[Berita Harian Online, 27 Jun 2009]

Friday, June 26, 2009

Generasi muda semakin liberal

Generasi muda Melayu dan CIna sedang mengalami perubahan dalam pemikiran yang sangat ketara selepas Malaysia mencecah kemerdekaan yang ke-52 tahun ini. Kelompok yang berumur 23 hingga 25 tahun ini memiliki watak diri yang lebih liberal dan menunjukkan kecenderungan ke arah mementingkan diri sendiri.

Penyelidikan ringkas ke atas 12 bakal guru yang melibatkan kaedah pemerhatian dan temubual mendapati enam peserta Melayu lebih pentingkan agama manakala lima peserta Cina sangat pentingkan diri dan keluarga, seorang lagi peserta Cina lebih pentingkan negara. Berdasarkan temubual yang dijalankan, mereka melihat faktor pendidikan dan politik menjadi alasan kenapa pemikiran dan sikap berkenaan menjadi semakin liberal.

Masa depan Malaysia terletak pada kepimpinan yang berkesan dan dapat memberi jaminan keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyat. Proses pembentukan polisi yang mengukuhkan hubungan kaum mesti dinilai dari semasa ke semasa dengan lebih kerap. Kecenderungan masyarakat muda dari kaum Cina yang mementingkan diri adalah petunjuk kepada gelombang masyarakat moden yang tidak memberi kesan langsung ke atas kuasa politik mereka.

Tiga tahun yang lalu, seorang pensyarah dari Universiti Malaya mengeluarkan unjuran populasi penduduk Malaysia sehingga tahun 2050. Dalam unjuran berkenaan, kadar kelahiran kaum Melayu/Bumiputera terus bertambah dan menjadi lebih ramai. Kadar kelahiran kaum Cina semakin malar.

Daripada unjuran itu juga, dijangkakan pengaruh kuasa politik kaum Cina akan berkurangan di sebalik penguasaan ekonomi negara.

Thursday, June 25, 2009

Mengurus perubahan dalam persekitaran dunia dinamik

Hati rasa gembira apabila teksi yang dinaiki menyeberangi Sungai Charles yang mengalir di tepi Universiti Harvard, universiti terbaik di dunia. Cuaca yang nyaman pada pagi Sabtu mencecah 25 Celsius, sekali gus meriangkan lagi suasana.

Jelas di sebelah kiri jalan tersergam bangunan Mc Arthur yang pernah menjadi kediaman saya selama tiga bulan pada hujung 2001. Ketika itu saya berkursus di Harvard Business School dan kehadiran saya disambut dengan tragedi keruntuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September.

Kali ini tempat kediaman adalah berbeza kerana kursus dianjur oleh Kennedy School of Government.

Walaupun kursus hanya akan bermula pada Isnin, Ahad digunakan untuk mengatasi ‘jet lag’ dan membaca kes yang diberikan sebagai bacaan awal yang dihantar secara online.


Pada Isnin, ketika majlis pengenalan, keadaan agak menyeronokkan apabila berjumpa 65 peserta lain dari 36 negara di seluruh dunia. Ada tiga menteri dan dua duta turut mendaftar sebagai peserta kursus ini.

Kebanyakan peserta adalah pegawai tinggi kerajaan. Kursus bertajuk Leaders in Development: Managing Change in a Dynamic World ini popular kepada ramai pemimpin tinggi kerana ia memberi peluang kepada peserta mendapat pandangan rakan seluruh dunia di samping apa yang diajar dalam kelas tutorial.

Sebagai contoh, seorang pegawai Kementerian Luar Taiwan bercerita pengalamannya di Iran dari kaca mata seorang bukan Islam. Beliau memberitahu bagaimana rakyat Iran marah kepada tindakan George W Bush tetapi suka kepada cara hidup orang Amerika.


Mereka suka filem Amerika dan makanan Amerika seperti burger dan ayam goreng Kentucky. Yang anehnya beliau juga memberitahu bahawa gadis Iran tidak malu untuk bertentangan mata dengan beliau. Ini tidak sama dengan sikap gadis Asia yang lebih pemalu.

Begitu juga pandangan seorang Timbalan Menteri dari Equador mengenai negara di Asia Tenggara. Ia membuka mata kita bagaimana dunia melihat kita.

Beliau kagum dengan perkembangan pesat negara di Asia Tenggara berbanding negara Amerika Latin dan Afrika. Koordinator kursus, Profesor John Thomas yang mempunyai pengalaman luas mengajar di seluruh dunia, dibantu beberapa profesor lain yang tidak kurang hebatnya.

Pembantunya, Profesor Matt Andrews juga hebat dengan pengalaman berkhidmat di beberapa negara Afrika dan Amerika Selatan. Andrews juga pernah bekerja dengan Bank Dunia.

Andrews beberapa kali mengatakan bahawa dia berhenti kerja dengan Bank Dunia kerana kurang senang dengan cara pentadbiran bank terbabit.

Seorang calon Presiden Venezuela, seorang bekas Menteri Ekonomi dan juga bekas Datuk Bandar La Paz di Bolivia, yang sekarang bertugas di Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), turut membantu pensyarah-pensyarah yang sudah banyak pengalaman.

Ini membuatkan sesi pembelajaran menyeronokkan. Banyak kajian kes yang dibincang ditulis sendiri oleh pensyarah.

Universiti Harvard memang terkenal dengan teknik pembelajaran menggunakan kajian-kajian kes. Tambahan pula kajian kes yang dijadikan bahan pembelajaran adalah sangat bermutu tinggi.

Penggunaan perkataan ‘pemimpin’ diharamkan di dalam kelas Profesor Marty Linski. Linski mengatakan bahawa perkataan itu terlalu banyak disalah guna oleh mereka yang ingin memanggil diri mereka pemimpin.

Linski menganggap hanya mereka yang berani mengambil risiko dan membuat keputusan di luar sempadan kuasa yang diberi layak dipanggil pemimpin. Bukunya Leadership on the Line dijadikan bahan bacaan untuk peserta.

Kes kajian yang pertama berhubung dengan pembinaan empangan Bujagali di Uganda, mendedahkan betapa dunia sudah berubah. Walaupun keputusan pembinaan dibuat oleh kerajaan dan mendapat sokongan Bank Dunia, pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan beberapa organisasi bukan kerajaan telah meminda keputusan yang diambil terdahulu.

Sesuatu isu sudah tidak boleh dilihat secara berasingan. Pendidikan dan teknologi membuat kita jadi saling bergantungan. Di samping peranan kerajaan untuk membangunkan infrastruktur untuk rakyat dan peranan NGO tempatan, institusi kewangan dunia yang memberi pinjaman dan NGO antarabangsa juga jelas menunjukkan pengaruh masing-masing.

Pembangunan dalam sesuatu negara bukan lagi menjadi hak milik negara itu semata-mata. Banyak penekanan diberi kepada teori perubahan polisi. Kes perubahan polisi pendidikan di Costa Rica dan perubahan polisi tangga gaji terendah di Perancis juga menjadi tumpuan kajian.

Kebanyakan perubahan polisi gagal bukan kerana ia tidak baik. Ia gagal kerana kurang mendapat penerimaan daripada mereka yang terbabit. Teori perubahan polisi memerlukan tiga ‘A’ iaitu penerimaan (acceptance), kuasa (authority) dan keupayaan (ability).

Banyak perbincangan yang dibuat, tetapi mereka juga menerima hakikat bahawa memang ada perbezaan pandangan di kalangan pensyarah sendiri. Profesor Ken Winston yang memberi syarahan mengenai etika dan kepemimpinan dengan jelas memberi pandangan berbeza daripada Linski.

Koordinator kursus, Thomas memberitahu bahawa Kennedy School of Government tidak berniat untuk memberi jawapan kepada semua persoalan yang ditimbulkan. Mereka hanya menyediakan beberapa kerangka yang diharap dapat memandu peserta membuat keputusan mengikut konteks dan persekitaran dan bagaimana agenda perubahan dapat dilaksanakan.

Ini membabitkan proses konseptualisasi, permulaan, transisi dan menginstitusikan perubahan.

Universiti Harvard, sungguhpun universiti terbaik di dunia, juga tidak mempunyai jawapan kepada semua perkara.

Namun apa yang diharapkan ialah pengalaman yang diperoleh melalui percambahan pemikiran yang sangat menarik akan membuat kita lebih matang dan yakin ketika membuat sebarang keputusan. Insya-Allah.

Datuk Seri Idris Jusoh ialah bekas Menteri Besar Terengganu yang mengikuti kursus ‘Leaders in Development: Managing Change in a Dynamic World’ di Universiti Harvard

Konflik etnik, keselamatan negara

oleh Ibrahim Ali

Keselematan negara perlu menitikberatkan aspek keselamatan insan. Ini wajar untuk mencegah dilema etnik kerana fenomena ini berbahaya, mengancam kemajmukan rakyat, menyebabkan pribumi terancam identitinya, tergugat keunggulan politiknya, dinafikan peluang ekonominya dan terhakis teras sosio-budayanya.

Fenomena ini juga berpotensi untuk menjejaskan ketahanan nasional, perpaduan rakyat, mencetuskan keganasan, menggugat ketenteraman awam serta mengharu-birukan keselamatan negara.

Contoh yang terbaru mengenainya adalah konflik berdarah di selatan Thailand. Malaysia pun pernah dilanda konflik etnik yang parah pada 13 Mei 1969.

Menurut Majlis Gerakan Negara (1969:ix), faktor pencetus konflik tersebut adalah perbezaan tafsiran terhadap Perlembagaan Persekutuan, terutamanya mengenai Bahasa Melayu (Perkara 152) dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153).

Konflik tersebut menjadi mercu pengeksploitasian isu-isu Perlembagaan Persekutuan mulai tahun 1963, menerusi slogan Malaysian Malaysia, yang memuncak sewaktu kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.

Dilema Etnik

Etnik merujuk kepada kumpulan manusia yang berkongsi sejarah, bahasa, agama, kepercayaan, adat resam, dan nilai-nilai kehidupan. Shamsul Amri (2007:10) mendefinisikan etnik sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam.

Malaysia ketika ini seolah-olah sedang menuju ke arah konflik etnik yang serius, jika kerajaan tidak membendungnya mulai sekarang. Ini kerana pribumi Malaysia kini dibelenggu dilema siasah dan ekonomi yang cukup ketara.

Kedua-duanya boleh mencetuskan dilema dan konflik etnik. Keadaan ini membimbangkan, terutamanya bila ada sesetengah pemimpin politik, termasuk Melayu dan Islam, mencari pengaruh menerusi peniupan sentimen etnisiti atau perkauman.

Golongan ini mempertikaikan keistimewaan pribumi yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Ada juga yang mengadu-dombakan pribumi supaya tidak bersatu padu.

Contohnya adalah kenyataan memprovokasi kemarahan majoriti orang Melayu mengenai Chin Peng. Individu-individu tertentu, termasuk Melayu, yang menyemarakkan isu ini seolah-olah cuba membarakan sentimen pribumi supaya mencetuskan konflik etnik.

Kelompok yang kononnya liberal ini membelakangkan sejarah dan seolah-olah mahukan pertumpahan darah, negara porak-peranda, rakyat kacau-bilau, politik terumbang-ambing, ekonomi terjejas dan keselamatan negara terancam.

Rakyat yang cintakan damai perlu menyingkirkan kelompok ini. Waris kepada ribuan wira yang terkorban atau cacat akibat kekejaman pengganas komunis pimpinan Chin Peng wajar menolak kelompok ini.

Konflik

Semua pihak juga perlu diingatkan, konflik etnik di seluruh dunia sejak 1945 sampai sekarang telah mengorbankan lebih 10 juta nyawa. Ini termasuk di negara-negara Balkan, Rwanda, Burundi, Sudan, Indonesia, Timur Tengah, Afghanistan dan Ireland Utara (Caselli and Coleman II 2006:2).

[Utusan Online, 25 Jun 2009]

Monday, June 22, 2009

Syumul

Penulis: Azmah Nordin

Melalui novel Syumul, saya cuba memproses-kreatifkan latar dunia telekomunikasi. Mengungkapkan perasaan watak protoganisnya, Leonei (seorang feminis dari zaman silam yang seolah-olah dihantui cucunya lewat buku latihan usang yang ditulis ala diari dalam tulisan jawi). Cucunya, wanita korporat cemerlang itu juga menghadapi konflik gender apabila soal kewanitaan dianggap sebagai satu hambatan mencapai kejayaan dalam dunia korporat.

Makna persahabatan, kasih sayang sesama insan, manusia berinteraksi denganTuhannya, manusia berinteraksi dengan alam dan manusia berinteraksi sesama manusia turut cuba diutarakan lewal novel ini. llhamnya diperoleh semasa saya membeli surat khabar di kaki lima kedai buku, berhampiran beberapa kakitangan telekomunikasi yang tercegat di tepi kenderaan syarikat mereka sambil berseloroh sesama sendiri. Salah seorang daripada mereka seakan merungut tentang radio perhubungan kereta syarikat yang tidak berfungsi dengan baik.

"Macam manalah kamu orang ni – membaik pulih hubungan telekomunikasi yang serba canggih, boleh – tapi membaiki radio perhubungan sendiri yang jauh lebih simple, tak boleh!”

Pekerja telekomunikasi yang seorang lagi hanya tersengih-sengih, mungkinmenyedari bahawa ada pendengar ketiga (saya la tu!) yang turut terdengar teguran sinis itu. Saya kenal lelaki itu. Dia sebenarnya, khabarnya, tidak mampu berkomunikasi sesama ahli keluarganya sendiri. Suasana rumahya sepi sesepi di tanah perkuburan, jika bukan pada musim hari lebaran.

Syumul! getus hati saya, didatangi ilham. Dan sama seperti proses kreatif penulisan novel yang lain, kali ini saya meneliti dan menghayati kehidupan manusia yang terlibat dalam dunia telekomunikasi pula. Watak-watak utama diambil daripada watak-watak manusia di dunia realiti (dengan menukarkan nama dan jawatan mereka, tentunya), dipindahkan ke dalam karya kreatif Dan berdasarkan pembacaan yang bukan sedikit, berusaha mengkaji dan memahami bahan ilmu/disiplin bantu hasil homework/fieldwork yang dilakukan, saya lalu mengetik keyboard komputer untuk memulakan proses kreatif penulisan novel Syumul.

Benar, pada ketika menulis manuskrip novel Syumul, pada hakikatnya, Malaysia memang belum lagi memiliki satelit sendiri. Tapi hati ini begitu teringin melihat ia menjadi kenyataan. Mungkin kerana itulah, lewat manuskrip Syumul, saya berusaha menggambarkan seolah-olah negara kita benar-benar sedang dalam proses memiliki satelit sendiri yang projek berkumpulannya diketuai oleh wanita (cucu Leone). Setelah karya itu siap diproses, tidak kisahlah sama ada karya itu dianggap sebagai karya fiksyen sains oleh segelintir pengkritik berwibawa lagi dihormati, yang sempat menilainya. Yang penting, impian saya menjadi kenyataan. Tidak beberapa tahun selepas menghasilkan manuskrip novel Syumul, Malaysia terbukti mampu dan sudah pun memiliki satelit sendiri. Cuma nama satelitnya saja sedikit berbeza, iaitu Mesat :).. dalam Syumul, saya namakan MalSat.

Melewati proses kreatif penulisan novel Syumul adalah salah satu pengalaman yang menyeksakan, sungguh! Saya bukan saja terpaksa mempelajari akan erti sebenar Syumul, malah perlu menerokai kehidupan masyarakat dalam dunia telekomunikasi yang serba canggih lagi kompleks. Begitu rumit untuk saya menanggapi segalanya dalam masa yang singkat.

Sumber: azmahnordin.blogspot.com

Sunday, June 21, 2009

Aku bukan Superman

Ketika mengendalikan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk bakal-bakal guru dari institut perguruan di Kuala Lumpur, kami membincangkan perihal cabaran-cabaran guru semasa berhadapan dengan pelajar. Salah satu cabaran tersebut ialah gejala sosial yang melibatkan golongan pelajar seperti merokok, buli, gaduh dan khalwat.

Dalam hal khalwat, saya teringat berita-berita semasa di surat khabar yang mendedahkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah punya kekasih hati atau girlfriend. Apatah lagi pelajar yang berusia belasan tahun, tentu mereka juga sudah memiliki kekasih hati masing-masing.

Lalu saya teringat lagu yang istimewa, dinyanyikan oleh kumpulan Lucky Laki iaitu ‘Aku bukan Superman’. Lagu ini dinyanyikan oleh tiga orang kanak-kanak yang masih belum pecah suara. Melihat persembahan mereka di Youtube atau Metacafe, lirik lagu ini menceritakan kegagalan seorang anak lelaki menahan air matanya setelah girlfriend nya lari. Ayahnya berkali-kali memberitahu bahawa seorang lelaki tidak boleh menangis, mesti kuat, mesti tangguh dan tahan sukar. Namun sakitnya cinta membuatkan kanak-kanak ini menangis.

Lagu ini memberi mesej ketabahan seorang lelaki tidak kebal apabila ditinggalkan kekasih hati. Emosi lelaki akan lebur juga kerana perbuatan seorang perempuan. Nasihat ayah kepada anak-anak adalah sangat baik namun ia perlu disusuli dengan kasih sayang yang berterusan. Insya Allah, doa ibu dan ayah kepada anak-anak yang menghadapi masalah sosial khususnya dalam peringkat umur remaja dapat membantu mereka melayari hidup dengan lebih baik.

Saturday, June 20, 2009

Kali Sulphuricum

Bertindak pada peringkat akhir keradangan, jangkitan pada saluran pernafasan, hingus, resdung dan jangkitan pada telinga. Ciri-cirinya ialah mukus kekuningan. Oxaluria (kehadiran asid oksalik khususnya kalsium oksalat dalam air kencing). Penawar yang berperanan dalam mengekal dan memelihara kulit yang sihat. Juga membantu Ferum Phos untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan dan dalam kes letusan kulit yang kecil dan hidung berair.

Kepala: Sakit kepala rheumatik, mula pada sebelah petang dan dalam bilik panas. Kelemumur mengelupas.

Telinga: Discaj kekuningan; otitis media.

Hidung: Sejuk dengan discaj kekuningan dan berlendir. Hilang daya bau.

Muka: Rasa sakit dalam bilik panas, lega dalam bilik sejuk atau tempat terbuka. Kanser kulit (epithelioma).

Perut: Lidah berbalut kuning dan licin. Rasa hambar. Gusi sakit. Rasa dahaga, loya dan muntah. Rasa ada benda tertentu dalam perut. Cirit-birit. Sembelit dengan buasir.

Seks lelaki: Radang buah zakar.

Seks perempuan: Haid terlalu lewat, melekat dengan rasa berat dalam abdomen.

Pernafasan: Bunyi meretih dari paru-paru yang agak kasar. Bunyi mukus berdetar-detar dalam dada dengan sesak nafas dan batuk-batuk. Batuk teruk di sebelah petang dan persekitaran yang panas. Serak-serak dan batuk. Radang tekak.

Kakitangan: Sakit di leher, belakang dan kaki tangan; teruk dalam bilik hangat. Sakit bila digerakkan.

Demam: Psoriasis. Kudis; panas terbakar, gatal ruam dan jerawat pecah. Ruam nettle (tompok merah pada kulit seperti kena miang). Kanser kulit. Kudis selepas campak.

Melarat: Petang, bilik hangat.

Lega: Tempat sejuk dan ruangan terbuka.

Patologi: Abses (darah kotor); batuk; kahak; campak (mencegah dari berkudis); cirit-birit sebelah malam; discaj berair kuning; kembung perut; psoriasis; lidah berselaput kuning; tahi mata kuning; tahi telinga kuning kehijauan dan melekat-lekat; keputihan; haid.

Friday, June 19, 2009

Bersatu dalam kepelbagaian budaya

oleh Muhammad Hisyam Mohamad

Negara kita yang dihuni oleh pelbagai bangsa yang berlainan agama, adat resam dan budaya, usaha untuk melaksana pembangunan bukanlah satu tugas yang mudah. Jadi satu pendekatan khas perlu dikenal pasti. Pada masa yang sama pendekatan tersebut perlulah bersifat berkecuali dan tidak dilihat sebagai menyebelahi mana-mana kumpulan kaum yang terdapat di negara terbabit.

Apa yang jelas, usaha pembangunan akan menjadi mudah jika sesebuah masyarakat itu diikat dengan unsur kesatuan dan perpaduan. Kesatuan ini akan bertambah kukuh jika mereka bergabung di atas dasar saling percaya mempercayai dengan kumpulan masyarakat yang lain.

Di dalam sejarah awal tamadun Islam, unsur kesatuan adalah asas kekuatan kepada sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk. Unsur kesatuan ini dititikberatkan oleh pemerintah kerajaan Islam pada masa silam dapat diperhatikan melalui fasal-fasal yang terdapat di dalam Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah.

Madinah pada peringkat awal ketibaan Nabi Muhammad SAW adalah sebuah penempatan yang dihuni oleh masyarakat beragama Islam dan bukan beragama Islam (terutamanya suku-suku Yahudi). Jadi sebagai langkah awal untuk mentadbir sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, Nabi SAW telah mewujudkan satu perlembagaan yang dikenali sebagai Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah

Sahifah al-Madinah yang didraf oleh Rasulullah SAW selaku pengasas dan ketua kerajaan Islami Madinah pada waktu itu mengandungi 47 fasal. Apa yang menarik sekali ialah baginda SAW meletakkan unsur kesatuan dan keperluan merujuk kepada satu perlembagaan yang sama yakni Sahifah al-Madinah itu oleh semua penduduk sebagai dua fasal awal kandungan piagam tersebut.

Berikut adalah Fasal 1 dan Fasal 2 yang dimaksudkan:

Fasal 1: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang: Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang yang beriman dan orang yang memeluk agama Islam daripada Quraish dengan penduduk Yathrib dan orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.

Fasal 2: Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia lain.

Apa yang terkandung di dalam dua fasal awal piagam ini dapat diterjemahkan sebagai satu penekanan oleh Nabi SAW terhadap unsur kesatuan dan kesepaduan bagi memastikan masyarakat majmuk dapat menikmati satu kehidupan yang harmoni dan bermutu di dalam sesebuah negara.


Selain itu bagi mengelak sebarang prasangka yang boleh menghakis keutuhan perpaduan kaum, Sahifah al-Madinah turut menyenaraikan jaminan perlindungan keselamatan yang sama rata kepada setiap penduduk Madinah termasuklah kaum Yahudi selama mana mereka mematuhi isi kandungan piagam. Ini dapat dilihat di dalam Fasal ke-15 dan Fasal ke-16. Manakala di dalam Fasal 47 pula, mana-mana pihak yang berlaku zalim atau melakukan kesalahan tidak diberi sebarang keistimewaan atau perlindungan di bawah piagam itu.

Apa yang lebih menarik, walaupun penduduk Madinah ini merupakan satu ummah atau satu bangsa, namun di dalam Fasal ke-25 mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan anutan masing-masing.

Ini merupakan satu bentuk penghormatan yang diberikan oleh agama Islam kepada penganut agama lain untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang gangguan atau sekatan daripada pihak pemerintah Muslim.

Bagaimanapun, sebagai imbalan kepada jaminan pelbagai hak yang diberikan oleh pemerintah, para penduduk dikehendaki bertanggungjawab untuk sama-sama berganding bahu menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran bidang-bidang kewangan, ekonomi dan kemasyarakatan.

Pernyataan ini disebut di dalam Fasal ke-37 seperti berikut: Bahawa orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan.

Ini menggambarkan bahawa satu bangsa yang bersatu bukan sahaja berkongsi negara malah mereka juga perlu berkongsi usaha untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang kehidupan.

Dalam perkembangan terkini di negara kita, pengenalan pendekatan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dilihat sebagai tidak bercanggah dengan semangat kesatuan yang menjadi unsur utama kandungan sahifah yang dibangunkan pada tahun pertama penghijrahan baginda SAW ke kota Madinah.

Selain itu, pendekatan ini turut memperlihatkan unsur-unsur keadilan dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak menerusi satu jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada rakyat di mana di bawah Satu Malaysia tiada ahli masyarakat akan berasa terpinggir kerana semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, sosioekonomi dan budaya dijanjikan satu pembelaan yang sewajarnya oleh pentadbiran Malaysia.

Tidak nampak kewarasan untuk kita menolak pendekatan ini. Ia adalah satu dasar yang amat baik dan patut diberi sokongan padu oleh kita semua bagi memastikan segala matlamat akhir yang disasarkannya iaitu menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat dapat dijelmakan.

Cuma apa yang perlu kita fikirkan bersama ialah apakah alat-alat yang sesuai yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk kita bersatu. Cukupkah dengan janji-janji pemerintah bahawa tiada ahli masyarakat yang akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara dapat menjadikan rakyat Malaysia ini bersatu?

Apakah bentuk-bentuk pelaksanaan yang boleh dilakukan bagi merapatkan hubungan 27 juta penduduk Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan adat resam ini?

Penulis ialah Felo Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia.


[Utusan Online, 19 Jun 2009]

Wednesday, June 17, 2009

Menangani eksploitasi kanak-kanak

Husin Jazri


Tidak dapat dinafikan alam siber merupakan ruang komunikasi bagi kita berkongsi maklumat. Namun ia juga boleh menjadi tempat di mana bahan-bahan lucah disebarkan dan ada di antaranya melibatkan pornografi kanak-kanak atau apa sahaja yang bersifat eksploitasi terhadap golongan cilik tersebut.


Isu pornografi kanak-kanak bukanlah sesuatu yang baru. Gejala ini telah lama menular di kalangan masyarakat Barat. Mereka yang mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak atau dikenali sebagai “fidofilia” ini sering menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa. Kanak-kanak dijadikan subjek untuk menghasilkan bahan pornografi sebelum ia disebarkan secara meluas.


Golongan fidofilia ini juga wujud di kalangan masyarakat kita. Ada di antara mereka ini telah mencapai tahap kronik sehingga sanggup merogol atau melakukan jenayah seksual lain terhadap kanak-kanak.


Negara beberapa kali telah digemparkan dengan insiden menyayat hati membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Ada yang bukan sekadar dirogol malah didera secara seksual dengan pelbagai cara.


Keadaan-keadaan itu biasanya tercetus kerana dorongan nafsu pelik di kalangan fidofilia selain berpunca daripada penyebaran bahan lucah yang berleluasa di alam siber.


Usaha mengatasi penyebaran pornografi kanak-kanak sedang giat dijalankan kini. Di peringkat antarabangsa, kerjasama antara negara diadakan bagi mencari jalan menghapuskan pornografi kanak-kanak.


Kempen kesedaran tentang keselamatan kanak-kanak di alam siber juga dipertingkatkan. Hukuman berat dikuatkuasakan kepada mereka yang memiliki dan menyebarkan bahan lucah yang melibatkan kanak-kanak.


Institusi-institusi kewangan pula memberi sokongan dengan tidak memberikan pinjaman kepada laman-laman web berbentuk lucah termasuk berkaitan pornografi kanak-kanak.


Di Jepun, “content filtering” bagi telefon bimbit dilaksanakan oleh kerajaan. Semua telefon bimbit di sana tidak dapat melayari laman-laman web lucah.


Selain itu, telefon bimbit juga boleh dijadikan alat bagi mengesan kedudukan kanak-kanak tersebut dengan menggunakan teknologi GPS (Global Positioning System) ketika mereka tidak berada di dalam perhatian ibu bapa.


Di Malaysia, cadangan untuk meminda undang-undang bagi membendung jenayah pornografi kanak-kanak sedang diberi perhatian oleh pihak berwajib.


Bagaimanapun, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian dan pengawasan kepada anak-anak dalam soal penggunaan Internet. Satu cara untuk membendung masalah ini ialah ibu-bapa digalakkan menasihati anak-anak supaya tidak berkomunikasi dengan individu yang tidak dikenali di alam siber.


Pembaca yang ingin mendapatkan nasihat dan panduan keselamatan Internet dengan lebih lanjut, bolehlah melayari www.esecurity.org.my atau www.cybersecurity.my.


Orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan masalah keselamatan siber dengan menghantar e-mel ke cyber999 @cybersecurity.my. Sebarang pertanyaan berkenaan keselamatan siber juga boleh dibuat menerusi e-mel kepada ceo @cybersecurity.my.


LT. KOL. (B) HUSIN JAZRI ialah Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia

[Utusan Online, 17 Jun 2009]

Akhbar Harian Metro jadi kitab rujukan kaki judi

Harian Metro nama akhbar yang gah. Antara akbar harian yang luas penyebarannya di seluruh Malaysia. Akhbar yang berpengaruh, berwibawa dan sentiasa sensasi.

Saya suka membaca Harian Metro, kerana konsepnya yang tidak menonjolkan berita dan artikal tentang permasalahan politik kerana kadang-kadang kita juga ingin lari dari membaca tentang sinario politik yang semakin membosankan.

Satu yang perlu kita ingat, Harian Metro adalah akhbar berbahasa Melayu dan saya rasa 99 peratus pembacanya adalah Melayu Islam. Tetapi nampaknya pihak akhbar ini tidak mempunyai sensitiviti terhadap pembaca Islam yang inginkan kemuliaan hukum Islam diletak di atas sekali.

Apa tidaknya, setiap kali saya membelek Harian Metro, selalunya di ruangan iklan ... akan terpampang begitu banyak kolum iklan tentang cara-cara mahu mendapatkan keputusan nombor ekor, merangkumi semua kategori, 4D, Toto, Magnum. Isi iklan itu keseluruhannya mengajar pembaca cara-cara untuk melanggan keputusan nombor ekor melalui SMS. Pembaca boleh menaip beberpa code nombor dan keputusan nombor ekor terkini akan diberi melalu sms.

Terjah.com ingin bertanya, apakah tujuan pengiklanan ini semua? Wajarkah iklan-iklan berkaitan judi di dalam akhbar berbahasa Melayu? Mungkin faktor keuntungan punca pihak Harian Metro lupa diri, maka terpaksalah agama diterajang ke tepi.

Harus diingat, judi adalah salah satu dosa besar, sama tarafnya dengan arak, zina dan bertenung nasib. Jika iklan judi boleh disiarkan mengapa tidak siarkan juga iklan arak atau iklan pelacur? Dan saya tidak nampak iklan arak di akhbar ini.

Mengapa dengan arak begitu sensitif sebaliknya dengan judi dianggap remeh? Tidakkah pihak Harian Metro, tahu pembaca Harian Metro adalah 99 peratus Melayu Islam? Apa perlunya iklan judi ini dalam akhbar ini? Adakah anda ingin menjadi penggalak kepada judi atau ingin jadikan akhbar anda sebagai kitab rujukan kaki-kaki judi Melayu?

Harap pihak akhbar Harian Metro fikirkan masalah ini. Saya berharap iklan keputusan nombor ekor ini, tidak lagi disiarkan di akhbar kesayangan saya ini. Harapan juga kepada para pengurus Harian Metro yang saya yakin rata-rata muslim, peka dengan masalah ini. Jadikanlah akhbar anda juga sebagai penyumbang pembangunan agama, bukan sebagai penggalak melakukan dosa-dosa besar.

Sumber: www.terjah.com

Peristiwa hitam Tanah Melayu 16 Jun 1948

Oleh Jamhariah Jaafar

Rakyat tempatan terutama generasi selepas merdeka sudah pasti tidak meletak sebarang keistimewaan kepada tarikh 16 Jun, walaupun mata pelajaran Sejarah Tingkatan 3 ada mencatat tarikh berkenaan dan peristiwa yang tercetus pada hari terbabit 61 tahun lalu.

Tanggal 16 Jun 1948 adalah hari bermulanya komunis Tanah Melayu mengganas tanpa ampun dan Kerajaan British ketika itu, menjalankan gerak gempur secara habis-habisan dengan mengisytiharkan darurat di bumi tercinta ini.

Pada pagi hari malang 61 tahun lalu itu, pengganas komunis menyerbu ke Estet Elpil, di Sungai Siput, Perak, dan tanpa teragak-agak menembak mati pengurusnya, Arthur E Walker, 50.

Pada masa sama, satu kumpulan lain menyerang ladang getah bersebelahan dengan membunuh pembantu pengurus, Ian Deare Christian, yang baru berusia 21 tahun, sebelum menembak mati pengurusnya, John Mun Allison.

Tiga tragedi pada pagi itu bukan saja mengejutkan penghuni ladang getah, bukan saja di Perak bahkan ke seluruh ladang di Tanah Melayu, yang hampir semuanya milik Inggeris dan ia dilihat sebagai kempen keganasan komunis yang memang sengaja disasarkan kepada bangsa British yang berada di tanah air ketika itu.

Mengimbau sejarah awal, ideologi komunis tiba di Tanah Melayu pada 1920-an terutama sekitar 1925. Imigran Cina membawa buku dan risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu.

Hasil kegiatan mereka, guru dan pelajar sekolah Cina menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada 1926 dan ideologi komunis mula disebarkan, berpaksikan Parti Kuomintang (KMT) yang bekerjasama dengan Parti Komunis China (PKC), di China.

Perpecahan KMT-PKC pada 1927 menyebabkan PKC menghantar lima wakilnya ke Tanah Melayu dan berjaya menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada 1927, sebelum mewujudkan Parti Komunis Malaysia (PKM) pada 6 April 1930, yang beribu pejabat di Singapura.

PKM diarah untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan Indonesia, selain menjalankan kegiatannya di Tanah Melayu dan parti itu diletakkan di bawah Biro Komunis Antarabangsa Timur Jauh, yang berpusat di Shanghai.

Pada 6 Mac 1933, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Singapura yang membuat ketetapan bahawa matlamat utama perjuangan PKM ialah menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Sejak itu, PKM melancarkan gerakan aktif, mempengaruhi kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Mereka berjaya menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja ketika zaman kemelesetan ekonomi 1930-an.

Antara strategi untuk melumpuhkan ekonomi dan politik Tanah Melayu ialah dengan mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan mogok. Mogok terburuk berlaku di lombong bijih timah Batu Arang, Selangor pada 1937, di mana 6,000 pekerja merampas lombong terbabit.

Berikutan peristiwa itu, Kerajaan British mengisytiharkan Ordinan Buang Daerah (Banishment Ordinance) pada 1937 yang mengharamkan tindakan mogok. Hasilnya, ramai pemimpin dan anggota PKM ditangkap dan dikenakan hukuman sama ada dipenjara atau dihantar pulang ke China. Peristiwa ini sekali lagi melemahkan PKM.

Bagaimanapun, apabila Jepun menyerang China pada 1937, PKM memainkan peranan penting dalam membangkitkan perasaan anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu.

PKM semakin mendapat ramai pengikut apabila Jepun menyerang Tanah Melayu, kerana ramai menganggap ia sebagai pelindung orang Cina daripada penindasan Jepun.

Sebelum Tanah Melayu dikuasai Jepun, anggota PKM yang dipenjarakan oleh British telah dibebaskan oleh British dengan harapan PKM yang anti-Jepun akan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun.

PKM menubuhkan pasukan tentera anti-Jepun yang dikenali sebagai Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). Mereka mendapat latihan dan bantuan seperti makanan, senjata dan perubatan dari Pasukan Berikat. MPAJA juga mempunyai hubungan baik dengan Pasukan 136 yang ditubuhkan oleh British.

Apabila Jepun menyerah kalah, anggota PKM keluar dari hutan dan mengambil alih pentadbiran sebelum ketibaan pihak British dan pemerintahan selama dua minggu itu dikenali sebagai ‘Bintang Tiga’.

PKM meraikan kekalahan Jepun sebagai kemenangan mereka dan mendakwa merekalah bertanggungjawab mengalahkan Jepun di Tanah Melayu. Mereka merampas senjata tentera dan membalas dendam ke atas orang yang enggan bekerjasama, terutama yang menjadi ‘tali barut’ Jepun.

Akibat tindakan PKM, berlaku pergaduhan di antara kaum Melayu dengan Cina terutama di Perak dan Johor selepas pemerintahan Jepun. Apabila British kembali ke Tanah Melayu, mereka mengambilalih pentadbiran dari Bintang Tiga dan MPAJA dibubarkan.

Anggota MPAJA diminta menyerahkan senjata mereka kepada British. Bagaimanapun, ramai anggota MPAJA yang tidak menyerahkan senjata kerana tidak yakin dengan dasar British terhadap PKM.

PKM menuntut supaya mereka diberi hak dalam pentadbiran dan kerana mengenangkan jasa PKM bekerjasama dengan British menentang Jepun, PKM diterima sebagai parti yang sah.

Sejak itu, PKM mula menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu dan semakin galak dalam misi untuk mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya.

PKM menjalankan gerakan secara aktif mempengaruhi parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan Cina dan sekolah Cina, dengan menubuhkan pelbagai kesatuan - tidak kurang 300 mogok umum dilancarkan kesatuan sekerja antara 1946-1947.

Pada 6 Mac 1947, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Singapura bagi mengkaji semula dasar dan taktik PKM. Ketika itu, setiausaha agung PKM, Lai Tak menghilangkan diri bersama duit parti dan PKM jatuh ke tangan golongan radikal yang dipimpin Ong Boon Hua atau lebih dikenali rakyat Malaysia sebagai Chin Peng.

Pada 18 dan 19 Februari 1948, satu persidangan komunis diadakan di Calcutta, India dan dihadiri oleh perwakilan komunis dari Asia serta Australia. Persidangan Calcutta membuat ketetapan bahawa pemberontakan bersenjata mesti dijalankan bagi menjayakan matlamat perjuangan komunis.

Chin Peng yang ternyata terlalu ghairah untuk mewujudkan sebuah Republik Komunis Malaysia, tidak membuang masa mula mengubah taktiknya dengan memulakan kempen pemberontakan bersenjata.

PKM asalnya berhasrat memulakan revolusi bersenjata pada September 1948, tetapi disebabkan beberapa anggotanya tidak berdisiplin, tragedi 16 Jun 1948 telah berlaku.

Berikutan peristiwa ini, Kerajaan British mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948 dan Undang-undang darurat dikeluarkan pada 23 Julai 1948 - PKM diharamkan.

Akibat pengisytiharan darurat, anggota PKM melarikan diri ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang tanpa mengira pasukan keselamatan atau orang awam; pejabat kerajaan serta balai polis menjadi sasarannya; sistem hubungan jalan raya dan jalan keretapi dimusnahkan.

Turut menjadi mangsa keganasan PKM ini ialah Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney, yang ditembak mati pada 6 Oktober 1951, ketika dia dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Ia menjalankan kutipan derma dan menggalakkan pemuda Cina di Tanah Melayu kembali ke China untuk menentang Jepun.

Hasilnya, PKM mula mendapat sokongan ramai terutama rakyat Cina di Tanah Melayu dan menjelang 1939, ia memiliki 37,000 ahli berdaftar.

Mengikut strategi ini, Chin Peng berharap dapat menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan kerajaan amat lemah, sebelum menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya, seterusnya menyerang serta menguasai seluruh Tanah Melayu.

[Berita Harian Online, 16 Jun 2009]

Sunday, June 14, 2009

Melihat kematian

Kunjungan saya ke Hospital Sungai Buloh baru-baru ini ada iktibar yang sangat mendalam. Perjalanan dari rumah selepas menunaikan solat asar melalui lebuh raya sangat lancar kerana tidak banyak kenderaan ketika musim cuti sekolah ini. Sekali-sekala boleh memecut laju membelah jerebu yang membuatkan pandangan agak kabur.

Sampai di Wad 5B, jam hampir menunjukkan pukul 6.45 petang. Lalu saya mendapatkan emak saudara yang terlantar di atas katil selepas sedar dari pembedahan di bahagian abdomen pada sebelah paginya. Rupan-rupanya dia terkenan hernia atau bahasa kita dipanggil uluran. Usianya pun sudah lanjut namun proses pembedahan yang dilalui sangat berjaya. Beberapa sentimeter usus kecilnya dipotong supaya bahagian abdomen dapat kembali berfungsi dengan baik. Insya Allah dua tiga hari besar kemungkinan dibenarkan pulang ke rumah.

Selain saya, anak-anak dan saudara-mara yang lain turut mengelilinginya di samping memberi sokongan untuk cepat pulih.

Bertentangan dengan beliau, seorang wanita tua bangsa Cina terlantar di atas katil selepas menjalani pembedahan di bahagian abdomen kerana barah kanser. Anak-anak dan adik-beradik yang lain turut datang melihatnya. Saya dimaklumkan seorang lagi anaknya dari Pahang sedang dalam perjalanan ke hospital setelah dimaklumkan oleh doktor supaya semua anaknya datang segera kerana peluang untuk hidup sangat tipis.

Mukanya dipakaikan topeng pernafasan. Ternyata beliau tercungap-cungap bernafas persis nyawa-nyawa ikan. Naik turun dagunya jelas kelihatan kerana terpaksa bernafas melalui mulut. Makin lama kain kencang. Matanya separuh terbuka dan tidak dapat lagi memberi sebarang maklum balas apabila namanya dipanggil. Alat pemantau degupan jantung disambungkan kepada badannya. Kadangkala bacaannya 156, kadangkala 123 dan sekali-sekala turun sehingga 96. Grafnya pula tidak sekata, ada kala bergerigi rapat-rapat, ada kala renggang. Tenyata, keadaannya sedang nazak!

Jam menunjukkan pukul 7.05 petang. Beliau tidak lagi bernafas tercungap-cungap seperti tadi. Muncul seorang jururawat lelaki datang membawa alat ukur tekanan darah, sphygmomanometer dan dicuba beberapa kali bagi mendapatkan bacaan yang tepat. Namun tidak berjaya. Datang seorang lagi jururawat perempuan dan kedua-duanya cuba mengambil tekanan darah yang tepat. Akhirnya mereka mengambil bacaan purata sahaja. Saya yakin tekanannya agak rendah ketika itu.

Di mesin pemantau degupan jantung, keadaannya semakin kritikal apabila bacaannya tidak menentu dan sekejap grafnya bergerigi, sekejap hanya garis lurus. Ketika ini suasana menjadi kelam-kabut. Anak menantu wanita tua itu sudah tidak dapat menahan diri daripada mengalirkan air mata. Seorang anak perempuannya yang baru tadi bercakap dengan saya terpaksa ditenteramkan oleh suami yang memeluk dan menepuk-nepuk bahunya. Ketua jururawat bertugas meluru ke arah katil wanita itu dan meminta salah seorang jururawat yang ada untuk melihat jam dan meminta dipanggilkan doktor yang bertugas.

Tugas mereka amat profesional. Dalam keadaan pesakit hampir meninggal dunia, mereka mengambil langkah-langkah yang wajar. Bagi mengelakkan pelawat dan pesakit lain menjadi panik, tirai di sekitar katil pesakit ditarik untuk menutup pandangan ramai dan mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik.

Pukul 7.13 petang, seiring dengan garisan lurus yang berterusan pada mesin tersebut, degupan jantung wanita tua itu berhenti. Sangat jelas wajahnya tidak menunjukkan tanda-tanda seperti orang yang masih hidup. Kepalanya tersandar pada bantal yang ditegakkan 45 darjah dan hayatnya berakhir di situ.

Pukul 7.18 petang iaitu enam minit sebelum waktu maghrib, wanita tua Cina itu meninggal dunia.

Saat-saat cemas melihat kematian orang bukan Islam adalah kali pertama saya alami sendiri. Semasa tiba di wad tersebut, tanda-tanda nyata beliau berada dalam keadaan nazak, di kelilingi anak-anak dan saudara-mara. Seorang anak lelakinya saya lihat memegang pergelangan tangan kanan ibunya, mungkin sedang merasa nadi. Mukanya nampak risau dan cemas. Manakala yang lain hanya melihat dan berharap agar umur wanita itu panjang. Sukar bagi saya untuk bertanya kerana apa yang ada di fikiran mereka ialah kerisauan dan tidak perlu kita berkecil hati jika pertanyaan tidak dilayan.

Pukul 7.30 petang, waktu melawat berakhir dan saya berjumpa emak saudara dan anak-anaknya untuk mengucapkan selamat tinggal dan kemudian beredar.

Dalam perjalanan pulang, fikiran saya sesak dengan peristiwa kematian itu. Dalam hati berkata, ‘O... begini rupanya orang bukan Islam meninggal dunia. Walaupun fizikalnya nampak tenang tapi degupan jantungnya sangat kencang.’ Fahamlah saya sekarang, ketika keadaan nazak, malaikat maut memang datang dengan rupanya.

Friday, June 12, 2009

Nah 40 ringgit dan roti, baliklah

Perompak meluru masuk ke dalam kedai sambil memegang kayu besbol dan menjerit diberikan wang. Pemilik kedai memandang muka perompak dengan cemas dan perlahan-lahan menundukkan badan untuk mencapai senapang di bawah meja kaunter. Sebaik sahaja senjata dicapai, sepantas kilat muncung senapang diacukan tepat ke muka perompak yang tiba-tiba menjadi panik dan mula merengek seperti bayi.

‘Jangan tembak aku... tolong!’ Rayu perompak.

‘Aku lapar.. di rumah tidak ada makanan. Aku perlu merompak untuk mengisi perut,’ rengekan perompak mengharap simpati.

Apabila keadaan menjadi tenang sedikit, pemilik kedai mula menyoal perompak itu. Lalu diberikan US$40 dan sebungkus roti sambil mengingatkan perompak berkenaan supaya tidak mengulangi lagi perbuatannya itu.

Kisah ini berlaku di Amerika Syarikat baru-baru ini. Pemilik kedai itu bernama Mohammad Sohail, berasal dari Pakistan dan telah menetap di A.S selama 20 tahun. Susah payah bekerja di negara orang akhirnya menjadikan Sohail seorang usahawan. Beliau seorang Islam dan tidak bercadang membuat laporan polis.

Layanan Sohail ke atas perompak kedainya mendapat liputan luas media A.S kerana jarang-jarang perompak dapat melepaskan diri dalam situasi kritikal berkenaan. Apabila ditanya kenapa beliau memberi wang dan roti, Sohail berkata dia sangat memahami betapa susahnya hidup tanpa wang dan makanan di rumah.

Sohail mengingatkan kita kepada peristiwa-peristiwa lama yang berkaitan dengan Rasulullah SAW, Sheikh Abdul Qadir Jailani dan seorang ulama yang wara’.

Dalam seerah Rasullah SAW, semasa hendak berbincang dengan orang-orang Quraisy, baginda bertanya siapa yang menjadi ketuanya. Lalu diberitahu orang berkenaan namanya Sohail. Baginda SAW berharap perbincangan berkenaan akan dimudahkan kerana maksud Sohail ialah ‘mudah’.

Sheikh Abdul Qadir Jailani turut mempunyai sedikit persamaan iaitu beliau dirompak semasa dalam perjalanan. Sejak kecil beliau diasuh dengan nilai-nilai mulia. Ketika perompak memintanya memberitahu berapa banyak wang yang ada, Sheikh Abdul Qadir Jailani memberi semua wang emas pemberian ibunya dan tindakan berkenaan sangat mengejutkan perompak tersebut.

Bagi orang biasa seperti kita, tindakan yang difikirkan wajar ketika itu ialah menyembunyikan apa yang ada lebih-lebih lagi jika barang tersebut sangat berharga.

Kisah satu lagi ialah perompak yang memunggah barang-barang dari dalam rumah seorang ulama yang wara’. Ulama itu turut membantu perompak mamasukkan barang-barang rompakan ke dalam karung yang dibawa sehingga perompak tersebut keletihan. Selepas berpuas hati dengan hasil rompakan, perompak itu baru menyedari seseorang telah membantunya, lalu beliau bertanya, ‘Siapa kamu?’ Jawab ulama, ‘Akulah tuan rumah ini’. Perompak itu terkejut dan panik.

Orang yang merompak, mencuri atau menyamun berhadapan dengan masalah hidup. Dalam kes Sohail, perompak itu sangat miskin, kelaparan dan di rumahnya tidak ada makanan. Dengan sifat pemurah Sohail, dia berjanji akan menjadi orang yang baik-baik sepertimana yang ditunjukkan oleh Sohail.

Dari perspektif yang lebih luas, kewujudan perompak atau pencuri adalah manifestasi kegagalan negara mempastikan rakyatnya dapat hidup dengan aman dan makmur. Siapa yang patut mengambil tanggungjawab jika ada keluarga yang seharian tidak makan, tidak cukup pakaian atau bercerai-berai kerana tidak ada wang untuk membeli makanan? Ia bukan salah ketua kampung sebaliknya salah negara yang tidak mengambil berat keperluan hidup rakyatnya.

Sistem yang diguna pakai untuk mengurus kehidupan rakyat tidak ada nilai-nilai rabbani, yang ada ialah nilai-nilai kroni yang menyapu bersih tanah-tanah dan rumah-rumah kediaman rakyat yang hidup susah dan menderita.

Amerika Syarikat boleh berasa bangga kerana memiliki seorang Sohail yang menunjukkan nilai-nilai mulia kepada seorang perompak. Kisah Sohail dicanangkan ke seluruh dunia dengan muslihat tertentu seperti Islam Amerika adalah Islam yang berkualiti- dan kualitinya adalah Sohail yang meminta perompak mengubah dirinya sendiri.

Di negara kita, kejadian seperti itu belum pernah kita dengar walaupun pernah terjadi seorang pencuri kelaparan dalam sebuah kedai runcit kerana sudah tiga hari tidak dapat mencari pintu keluar. Khabarnya, mata pencuri itu menjadi kabur kerana pemilik kedai menggunakan ilmu pendinding setelah kedainya dirompak beberapa kali sebelum itu.

Bagi mempastikan tidak ada perompak atau pencuri di negara kita, negara mesti mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan setiap orang rakyatnya. Jika tidak, rakyat mula berfikir adakah pemimpin mereka mementingkan diri atau rakyat.

Thursday, June 11, 2009

Bersama Mendidik dan Berbakti (2)

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

15. Siapakah yang perlu mengambil tanggungjawab mengislahkan masyarakat ini? Tidak lain dan tidak bukan, ianya menjadi tugas dan tanggungjawab ahli-ahli Haluan. Namun, kita juga mesti berkongsi usaha dengan rakan-rakan kita yang lain baik agensi kerajaan ataupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyedari bahawa tugas yang dipikul ini akan lebih berkesan jika dilakukan secara kolektif. Kita juga perlu mengajak individu-individu yang prihatin dan mengambil berat keadaan masyarakat untuk turut bergabung dengan kita. Dalam erti kata lain, dari pemimpin hinggalah penyokong Haluan wajar bersama-sama dengan kepimpinan masyarakat melaksanakan amanah ini supaya akan lahir kelak sebuah masyarakat yang sejahtera, merasai nikmat hidup dan dapat menjalankan peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT (maksud ayat 30 surah Al-Baqarah).

16. Semasa Rasulullah SAW hadir dalam kalangan masyarakat Makkah, jahiliyah berleluasa. Manusia bertuhankan berhala dan jauh daripada mengenal Allah SWT. Masyarakat tidak kenal yang hak dan bathil sehingga menyebabkan mereka tidak dapat membezakan yang mana satu permata dan yang mana satu kaca. Rasulullah SAW membawa dakwah bersama-sama peribadi yang dimantapkan dengan empat sifat iaitu sidq, amanah, tabligh dan fathonah. Persediaan ini juga menjadi prasyarat yang sangat mustahak kepada ahli Haluan jika ingin mengubah masyarakat. Sifat-sifat ini boleh dibentuk tetapi perlu melalui proses pentarbiyahan yang betul dan mantap. Sifat-sifat ini adalah sifat nabi yang perlu dikuasai. Ia juga melambangkan penguasaan diri melalui tahap kepimpinan yang terpuji.

17. Dalam buku ‘Developing The Leaders Around You' oleh John C. Maxwell, beliau berkata: ‘Tidak ada organisasi yang boleh berjaya tanpa barisan kepimpinan yang baik. Peranan pemimpin yang paling utama ialah melatih dan membentuk barisan pelapis seterusnya memimpin orang lain pula. Modal insan adalah aset paling berharga kerana suatu sistem yang diamalkan sampai masanya menjadi usang, bangunan menjadi buruk dan mesin menjadi haus tetapi modal insan dapat berkembang, terus membangun dan menjadi lebih produktif dan efektif jika organisasi memiliki barisan pemimpin yang baik dan dapat memahami nilai yang ada pada pengikutnya.’ Buku ini memberi beberapa panduan yang sangat kritikal untuk menjadi pemimpin yang boleh membangunkan pengikut dan kualiti modal insan. Antara persoalan dan isu yang dibangkitkan yang relevan untuk difikirkan ialah: Am I raising up potential leaders? Creating climate for potential leaders, Identifying potential leaders dan Nurturing potential leaders. Sesebuah organisasi tidak dapat meningkatkan nilai atau produktiviti tanpa memiliki sumber manusia yang berkualiti. Potensi organisasi berkait langsung dengan potensi modal insan.

18. Maknanya, membentuk pemimpin dan kepemimpinan mesti dilaksanakan agar organisasi benar-benar boleh berfungsi dengan cemerlang. Hal ini yang kurang diutamakan pada hari ini. Sedangkan ketika Barat datang dulu, mereka lakukan proses kepimpinan dari peringkat asas lagi. Mereka wujudkan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang memilih pelajar-pelajar terbaik untuk diberi pendidikan dan peluang melanjutkan pelajaran. Individu-individu yang lahir daripada sistem ini akhirnya mendapat jawatan dan kedudukan istimewa. Mereka menjadi perancang dan pembuat polisi kepada British. Mereka nampak macam kita tetapi sebenarnya adalah mewakili British. Sistem pendidikan Rasulullah SAW yang bermula di institusi ‘Arqam bin Abi Arqam’ telah berjaya melahirkan saf kepimpinan berwibawa. Sebenarnya kita masih jauh ketinggalan dalam proses melahirkan saf kepimpinan yang diperlukan. Setakat ini kita hanya nampak proses pendidikan yang lebih menonjol. Walaupun usaha ini baik tetapi proses pendididikan itu mesti menuju ke arah melahirkan kepimpinan.

19. Dalam mendidik, Rasulullah SAW memberi latihan pandidikan yang komprehensif tentang nilai-nilai agung (sublime values) seperti semangat berpasukan, persaudaraan, menyayangi orang lain kerana Allah SWT, membersihkan hati, berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan diri kepada Allah SWT, menyayangi negara dan masyarakat, dan mengambil berat serta memahami perkembangan dunia semasa. Semua nilai ini sangat berkaitan dengan apa yang dikemukakan dalam al-quran iaitu;

-semangat berpasukan


‘Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.’ (Al-Asr ayat 1-3)

- mengambil berat serta memahami perkembangan dunia semasa


‘Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan,
Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya, Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira.’ (Ar-Ruum ayat 1-4)

- berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan diri kepada Allah SWT


‘Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.’ (Al-An’am ayat 59)

20. Catatan seerah banyak menjelaskan kepada kita bahawa para sahabat belajar untuk menyayangi negara mereka, belajar untuk bersabar dan mengelak daripada membalas dendam. Dalam Surah Hud digambarkan cerita para nabi yang melalui pelbagai tekanan, sebagai pengajaran untuk para sahabat bersabar dan cekal hati dalam perjuangan. Dalam Surah Yusuf, diterangkan bagaimana Nabi Yusuf AS yang difitnah dan dipenjarakan namun baginda bersetuju untuk menolong mereka yang jahat ke atasnya demi negara dan rakyat. Kita juga wajar belajar daripada Nabi Yusuf AS yang tidak membalas dendam walaupun baginda ada kesempatan berbuat begitu. Nabi Isa AS juga menjadi bahan celaan dan lontaran kata-kata kutukan semasa baginda berdakwah dari kampung ke kampung. Walaupun Nabi Isa AS sentiasa memperkatakan yang baik kepada orang ramai, kata-kata nista dan cercaan masih lagi di bibir mereka. Lantas para sahabat bertanya apakah rahsia dan sebab kejadian tersebut. Isa AS menjawab: ‘setiap orang itu akan membelanjakan (mengeluarkan) apa yang ada pada dirinya’.

21. Kembali kepada sistem pendidikan Rasulullah SAW. Apa lagi yang kita tahu tentang sosok Al-Arqam? Adakah beliau seorang pemimpin tentera? Orang berilmu? Kita tahu Rasulullah SAW hanya memilih orang yang unik, namun apakah keunikan Al-Arqam? Keunikan beliau hanyalah menawarkan sebuah rumah- itulah yang membuatkan beliau unik. Baginda SAW memilih individu ini dengan pemilihan yang teliti, melakukan satu bentuk pembersihan terhadap anggota jemaah sehingga mereka dapat dijadikan sebagai satu kekuatan dalam proses perubahan yang dilakukannya.

22. Al-Arqam tidak ada yang istimewa untuk ditawarkan kecuali rumahnya dan beliau lakukan dengan bersungguh-sungguh. Terlibat secara aktif dalam masyarakat tidak bermakna akan mengehadkan kerja-kerja mendidik dan berbakti. Usaha ini akan lebih bermakna apabila rasa bahagia ketika memberi melebihi segala-galanya. It is when the giving is taking; extending your life to that of every life that benefits from your benevolence.

23. Al-Arqam memberi contoh bagaimana masyarakat kita, khususnya anak-anak muda remaja dapat dibimbing ke arah horizon hidup yang baru. Pada masa yang sama kita boleh mengambil iktibar dari sudut apa yang boleh kita sumbangkan dalam usaha mendidik dan berbakti kepada masyarakat – dalam bentuk yang paling ‘simple’.

24. Justeru dalam hal kepimpinan, kita perlu meletakkan fokus untuk membentuk individu-individu seperti yang dilahirkan dari rumah Arqam bin Abi Al-Arqam. Bagaimana ianya harus dilaksanakan? Kita lihat institusi-institusi yang kita ada ketika ini. Antaranya ialah institusi ekonomi dan institusi pendidikan. Kita juga ada institusi kebajikan. Ringkasnya, pelaksanaan adalah melalui institusi-institusi seumpama ini. Dalam institusi pendidikan, saya ambil contoh Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Ketiga-tiga elemen iaitu ekonomi, pendidikan dan kebajikan kita gabungkan di satu tempat. KTD bukan hanya fokus kepada pendidikan malah lebih luas daripada itu. Aspek ekonomi, kita mencari wang untuk membina dan mengukuhkan KTD seperti yang dapat kita lihat hari ini. Kita berjumpa ramai orang, meraih sokongan dan komitmen mereka untuk membantu kita. Aspek pendidikan, kita merangka dan melaksanakan model pembangunan individu yang menyeluruh. Aspek kebajikan, kita membiayai pendidikan dan keperluan golongan yang susah. Hal ini kita nyatakan secara jelas pada motto KTD iaitu ‘Profesional, Berketrampilan, Beretika’. Orang profesional tetapi tidak berakhlak akhirnya akan rosak. Manakala akhlak yang baik tapi tidak boleh memberi manfaat maka tidaklah mencukupi. Biarlah pelajar-pelajar KTD yang keluar ke masyarakat sebagai profesional yang mempunyai kesedaran untuk membantu orang lain sehingga membentuk mata-mata rantai yang bantu-membantu. Motto ini kita terjemahkan ke dalam ayat yang lebih bermakna iaitu: Belajar biar pandai, perangai biar berakhlak dan hidup biar orang lain boleh tumpang (menyumbang kepada orang lain).

25. Walaupun KTD hanyalah IPTS yang masih kecil, berusia setahun jagung, namun di sebalik itu tersembunyi cita-cita yang besar untuk menjadi sebuah IPTS yang unggul di peringkat dunia. Ahli-ahli perlu ingat dan yakin bahawa tanggungjawab pendidikan adalah tanggungjawab bersama. Meskipun nampak jauh dan seolah-olah satu mimpi, tapi yakinlah bahawa segala yang besar itu bermula dari yang kecil. Cuma masa yang menentukan iaitu sama ada cepat atau lambat. KTD merupakan organisasi kita yang harus kita merasai ‘ownership’nya. KTD adalah kilang pembentukan peribadi, pendokong dan penyokong Haluan. KTD adalah jalan pintas untuk menjadikan masa depan Haluan menjadi kenyataan dengan izin Allah SWT. KTD mampu menghasilkan gelombang besar yang berupaya meruntuhkan apa saja yang menghalang cita-cita kita seandainya segala potensinya dimaksimumkan, Insya Allah.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

26. Dalam setiap perancangan ke arah mencapai matlamat, kita perlukan persiapan yang lengkap. Apakah persiapan yang kita perlu lakukan? Pertama, menyiapkan diri dan organisasi kita dengan ilmu syara’ dan waqi’. Kedua-dua elemen ilmu ini akan membentuk keseimbangan sehingga melahirkan peribadi-peribadi yang dikehendaki oleh Allah SWT, sakhsiah yang akrab dan rapat dengan Allah SWT dan digelar insan rabbbani dari segi tauhid, fikrah dan sahsiah. Dalam Risalah Ta’alim, Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan lebih dari 30 kewajipan al-akh muslim. Salah satu daripadanya ialah cekap membaca dan menulis. Sehubungan dengan ini, beliau menyarakan agar setiap Muslim menyediakan perpustakaan sendiri serta meningkatkan pengkhususan dalam satu-satu bidang. Penguasaan ilmu ini dapat meningkatkan kefahaman dan membolehkan seseorang benar-benar memahami sesuatu isu atau permasalahan semasa dan seterusnya menentukan penyelesaian yang sesuai dengan fikrah.

27. Kedua, kemahiran insaniah (soft skils) seperti komunikasi, kerja berkumpulan dan perhubungan awam. Kemahiran insaniah ini merupakan proses melahirkan ahli haluan yang berpengetahuan, inovatif, memiliki jati diri, beretika, terlatih dan berjaya dalam setiap gerak kerja. Ilmu dan kemahiran bergerak seiring dengan persiapan ketiga iaitu akhlak. Asas akhlak ialah iman, Islam, taqwa dan ihsan. Kesemunya mesti dilaksanakan dalam bentuk praktikal supaya terbentuk nanti individu yang menjadi contoh kepada masyarakat. Rasulullah SAW adalah contoh akhlak terbaik untuk diikuti seperti sabdanya yang bermaksud, ‘Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’ (HR Malik, Ahmad, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari).

28. Sheikh Mustafa Masyhur berkata: ‘perbaiki dirimu dan serulah orang lain kepada dakwah’. Perbaiki diri termasuk berusaha menguasai diri dengan ilmu dan kemahiran seterusnya menghiasi diri dengan akhlak mulia. Dalam realiti hari ini, akhlak sudah tidak memberi makna yang signifikan dalam kepimpinan. Pemimpin yang terlibat dengan masalah moral, rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih diberi tempat dalam pentadbiran negara menyebabkan saf kepimpinan itu sendiri tidak lagi dihormati. Sebagai ahli Haluan, kita, Insya Allah, akan terus berusaha meningkatkan akhlak pada diri kita dan pada masa yang sama berusaha membangunkan akhlak dalam kalangan individu yang kita didik supaya kesegaran akhlak yang berasaskan Islam, iman dan ukhuwwah menjadi penyelamat kepada kemarau dan kekusutan model kepimpinan ini. Usaha yang dilakukan khususnya oleh Haluanita iaitu menganjurkan kem motivasi remaja, Pesona Remaja telah dirangka untuk membimbing remaja bagi meningkatkan jari diri, sakhsiah dan pembelajaran efektif. Program ini juga mendedahkan mereka cabaran-cabaran hidup untuk memantapkan diri sebagai pelajar muslim yang mempunyai akhlak yang tekal dan tahu hala tuju masa depan mereka. Sesungguhnya, pelaksanaan tanggungjawab ini bukan suatu yang mudah untuk dilakukan. Di sana akan sentiasa wujud halangan dan hambatan. Justeru, sudah semestinyalah pengorbanan dituntut. Kejayaan umat Islam dahulu adalah berpaksikan pengorbanan apa saja yang ada pada mereka– tenaga, masa, harta hatta jiwa sekalipun. Sesungguhnya antara resepi penting bagi kejayaan ialah pengorbanan. Tidak ada kejayaan tanpa pengorbanan.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,

29. Setiap saat kehidupan yang dilalui, kita akan ditanya di hadapan Allah SWT. Kita bertanggungjawab ke atas tindak-tanduk yang dilakukan. Usaha-usaha kita bersama dalam mendidik dan berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat adalah amal yang sangat bermakna untuk kita bawa bertemu Allah SWT nanti. Kita memohon mudah-mudahan Allah SWT akan memberi petunjuk-Nya semasa kita bekerja ini supaya dipermudahkan kerja-kerja kita, ‘Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya walau sedikit pun’ (An-Nuur ayat 40.) Marilah kita bersama-sama di semua peringkat, bersatu di dalam saf yang kukuh, menyegerakan tanggungjawab persaudaraan dengan rasa kasih dan sayang, menghargai, bantu-membantu, lengkap melengkapi, mengutamakan orang lain, merasa bahagia dengan memberi dan bekerja menyebarkan dakwah di mana-mana sahaja. Persiapkan diri kita dengan menjadikan Rasululah SAW sebagai model dan contoh ikutan, membuat perancangan yang berkesan dan sentiasa memberi fokus dalam setiap usaha yang kita lakukan.

30.Rebut sepenuhnya ruang-ruang yang dibenarkan oleh realiti bagi menterjemahkan hakikat Ad-Din, agar masyarakat boleh faham Ad-Din melalui Al-Hal (realiti @ kehidupan). Manakala dalam melaksanakan kerja-kerja ma’ruf yang dibenarkan dalam ruang realiti yang ada, kita perlu sentiasa beringat agar ma’ruf yang besar itu tidak diabaikan. Dalam menjelaskan al-ma’ruf al-akbar ini fahami dan kuasai sungguh realiti dengan menggunakan kaedah-kaedah yang dibenarkan oleh Islam.

31. Akhirnya, saya berdoa supaya kita dapat melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan ini dengan baik dan berkesan dan mudah-mudahan suatu hari nanti Haluan akan berada di pesada masyarakat secara waqi’ dan menyeluruh. Mereka melihat Haluan sebagai sebuah organisasi yang dapat menawarkan penawar penyelesaian kepada permasalahan semasa seterusnya memayungi kehidupan mereka dengan pelbagai kebajikan melalui pendidikan dan khidmat. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita demi memartabatkan maruah bangsa, negara dan Ad-Din, Insya Allah.

Waasalamu’alaikum warah matullahi wabarakatuh.