Thursday, June 25, 2009

Mengurus perubahan dalam persekitaran dunia dinamik

Hati rasa gembira apabila teksi yang dinaiki menyeberangi Sungai Charles yang mengalir di tepi Universiti Harvard, universiti terbaik di dunia. Cuaca yang nyaman pada pagi Sabtu mencecah 25 Celsius, sekali gus meriangkan lagi suasana.

Jelas di sebelah kiri jalan tersergam bangunan Mc Arthur yang pernah menjadi kediaman saya selama tiga bulan pada hujung 2001. Ketika itu saya berkursus di Harvard Business School dan kehadiran saya disambut dengan tragedi keruntuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September.

Kali ini tempat kediaman adalah berbeza kerana kursus dianjur oleh Kennedy School of Government.

Walaupun kursus hanya akan bermula pada Isnin, Ahad digunakan untuk mengatasi ‘jet lag’ dan membaca kes yang diberikan sebagai bacaan awal yang dihantar secara online.


Pada Isnin, ketika majlis pengenalan, keadaan agak menyeronokkan apabila berjumpa 65 peserta lain dari 36 negara di seluruh dunia. Ada tiga menteri dan dua duta turut mendaftar sebagai peserta kursus ini.

Kebanyakan peserta adalah pegawai tinggi kerajaan. Kursus bertajuk Leaders in Development: Managing Change in a Dynamic World ini popular kepada ramai pemimpin tinggi kerana ia memberi peluang kepada peserta mendapat pandangan rakan seluruh dunia di samping apa yang diajar dalam kelas tutorial.

Sebagai contoh, seorang pegawai Kementerian Luar Taiwan bercerita pengalamannya di Iran dari kaca mata seorang bukan Islam. Beliau memberitahu bagaimana rakyat Iran marah kepada tindakan George W Bush tetapi suka kepada cara hidup orang Amerika.


Mereka suka filem Amerika dan makanan Amerika seperti burger dan ayam goreng Kentucky. Yang anehnya beliau juga memberitahu bahawa gadis Iran tidak malu untuk bertentangan mata dengan beliau. Ini tidak sama dengan sikap gadis Asia yang lebih pemalu.

Begitu juga pandangan seorang Timbalan Menteri dari Equador mengenai negara di Asia Tenggara. Ia membuka mata kita bagaimana dunia melihat kita.

Beliau kagum dengan perkembangan pesat negara di Asia Tenggara berbanding negara Amerika Latin dan Afrika. Koordinator kursus, Profesor John Thomas yang mempunyai pengalaman luas mengajar di seluruh dunia, dibantu beberapa profesor lain yang tidak kurang hebatnya.

Pembantunya, Profesor Matt Andrews juga hebat dengan pengalaman berkhidmat di beberapa negara Afrika dan Amerika Selatan. Andrews juga pernah bekerja dengan Bank Dunia.

Andrews beberapa kali mengatakan bahawa dia berhenti kerja dengan Bank Dunia kerana kurang senang dengan cara pentadbiran bank terbabit.

Seorang calon Presiden Venezuela, seorang bekas Menteri Ekonomi dan juga bekas Datuk Bandar La Paz di Bolivia, yang sekarang bertugas di Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), turut membantu pensyarah-pensyarah yang sudah banyak pengalaman.

Ini membuatkan sesi pembelajaran menyeronokkan. Banyak kajian kes yang dibincang ditulis sendiri oleh pensyarah.

Universiti Harvard memang terkenal dengan teknik pembelajaran menggunakan kajian-kajian kes. Tambahan pula kajian kes yang dijadikan bahan pembelajaran adalah sangat bermutu tinggi.

Penggunaan perkataan ‘pemimpin’ diharamkan di dalam kelas Profesor Marty Linski. Linski mengatakan bahawa perkataan itu terlalu banyak disalah guna oleh mereka yang ingin memanggil diri mereka pemimpin.

Linski menganggap hanya mereka yang berani mengambil risiko dan membuat keputusan di luar sempadan kuasa yang diberi layak dipanggil pemimpin. Bukunya Leadership on the Line dijadikan bahan bacaan untuk peserta.

Kes kajian yang pertama berhubung dengan pembinaan empangan Bujagali di Uganda, mendedahkan betapa dunia sudah berubah. Walaupun keputusan pembinaan dibuat oleh kerajaan dan mendapat sokongan Bank Dunia, pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan beberapa organisasi bukan kerajaan telah meminda keputusan yang diambil terdahulu.

Sesuatu isu sudah tidak boleh dilihat secara berasingan. Pendidikan dan teknologi membuat kita jadi saling bergantungan. Di samping peranan kerajaan untuk membangunkan infrastruktur untuk rakyat dan peranan NGO tempatan, institusi kewangan dunia yang memberi pinjaman dan NGO antarabangsa juga jelas menunjukkan pengaruh masing-masing.

Pembangunan dalam sesuatu negara bukan lagi menjadi hak milik negara itu semata-mata. Banyak penekanan diberi kepada teori perubahan polisi. Kes perubahan polisi pendidikan di Costa Rica dan perubahan polisi tangga gaji terendah di Perancis juga menjadi tumpuan kajian.

Kebanyakan perubahan polisi gagal bukan kerana ia tidak baik. Ia gagal kerana kurang mendapat penerimaan daripada mereka yang terbabit. Teori perubahan polisi memerlukan tiga ‘A’ iaitu penerimaan (acceptance), kuasa (authority) dan keupayaan (ability).

Banyak perbincangan yang dibuat, tetapi mereka juga menerima hakikat bahawa memang ada perbezaan pandangan di kalangan pensyarah sendiri. Profesor Ken Winston yang memberi syarahan mengenai etika dan kepemimpinan dengan jelas memberi pandangan berbeza daripada Linski.

Koordinator kursus, Thomas memberitahu bahawa Kennedy School of Government tidak berniat untuk memberi jawapan kepada semua persoalan yang ditimbulkan. Mereka hanya menyediakan beberapa kerangka yang diharap dapat memandu peserta membuat keputusan mengikut konteks dan persekitaran dan bagaimana agenda perubahan dapat dilaksanakan.

Ini membabitkan proses konseptualisasi, permulaan, transisi dan menginstitusikan perubahan.

Universiti Harvard, sungguhpun universiti terbaik di dunia, juga tidak mempunyai jawapan kepada semua perkara.

Namun apa yang diharapkan ialah pengalaman yang diperoleh melalui percambahan pemikiran yang sangat menarik akan membuat kita lebih matang dan yakin ketika membuat sebarang keputusan. Insya-Allah.

Datuk Seri Idris Jusoh ialah bekas Menteri Besar Terengganu yang mengikuti kursus ‘Leaders in Development: Managing Change in a Dynamic World’ di Universiti Harvard

No comments:

Post a Comment