Pengerusi majlis, pimpinan Exco Haluan Pusat, para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian.
Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana mengizinkan kita untuk menjayakan mesyuarat perwakilan tahunan Haluan kali ke-20 pada tahun ini. Selawat dan salam kita sampaikan kepada junjungan yang mulia, Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat mereka yang berada di jalan dakwah.
Saya juga mengalukan-alukan kehadiran Exco Haluan sesi 2008-2009, para perwakilan negeri, para pemerhati yang sentiasa mengikuti perkembangan Haluan seterusnya saudara-saudari yang hadir pada hari ini. Di atas kehadiran dan komitmen ahli-ahli Haluan pada kali ini, saya ucapkan jaza kumullahu khairan kathira, tahniah dan amat menghargai perngorbanan berkenaan.
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
1. Perubahan demi perubahan semakin mendewasakan dan mematangkan kita. Kehadiran kita dalam masyarakat semakin dirasai. Kerja-kerja yang kita laksanakan selama ini tanpa jemu dan bosan telah meninggalkan impak yang tidak sedikit meskipun dalam keadaan-keadaan tertentu, kita tidak punya kekuatan apa-apa lagi selain kekuatan doa dan harapan kita kepada Allah SWT. Ukhuwwah dan kasih sayang yang dipupuk, disemai dan dibina selama ini menjadikan kita bertambah cekal dan tabah untuk terus menerus menampilkan diri, menyeru dan mengajak masyarakat kepada suatu kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat.
2. Tema ucapan dasar Mesyuarat Perwakilan Haluan pada kali ini ialah Bersama Mendidik dan Berbakti. ‘Mendidik dan Berbakti’ telah menjadi dasar penting Haluan sejak tahun 2002 lagi. Dasar mengutamakan masyarakat masih kita terus suburkan dan sehingga kini menabur bakti kebajikan, membentuk dan mendidik masyarakat menjadi fokus kegiatan kita. Haluan adalah sebahagian daripada masyarakat dan tidak ada makna kita hidup dan berorganisasi tanpa bermasyarakat. Juga tidak ada erti kita hidup tanpa memberi khidmat kepada masyarakat. Bahkan seperti yang disebut-sebutkan sebelum ini, ahli-ahli Haluan harus sinonim dengan masyarakat.
3. Bersama dalam tema di atas bermaksud membangunkan kerjasama atau taawun atas dasar penghayatan iman yang mendalam dan ukhuwwah yang sejati. Di sana mesti ada dan nampak kerjasama antara ahli dalam setiap kerja atau amal yang dilaksanakan. Bukan sekadar dakwaan atau retorik tapi dijelmakan dalam bentuk praktik dan tindakan. Wujud semangat kerja berpasukan tanpa ada rasa tidak selesa apatah lagi perasaan negatif antara satu sama lain. Semuanya bergerak menuju satu hadaf, satu cita-cita dan satu azam iaitu untuk mencari keredhaan ilahi. Elakkan perpecahan kerana berpecah tidak mempunyai kekuatan, tetapi sedikit yang bersatu (dalam hakikatnya) itulah yang memiliki kekuatan. Manakala Mendidik ialah proses membawa, mencipta, menjana dan merealisasikan perubahan, mengenali dan menggembeling seluruh potensi diri yang ada dan merancang ke arah kecemerlangan. Mendidik melibatkan taadib, rabba, tarbiah, taalim dan irshad. Pendidikan semestinya tidak sama dan tidak akan sama dengan pelajaran. Proses pendidikan melahirkan manusia atau insan yang terbentuk aqal, budi dan jasadnya atas asas iman kepada Allah SWT. Dalam Haluan, mendidik harus mengambil kira kesesuaian antara apa yang disasarkan dengan potensi yang dimiliki individu serta persekitaran yang ada dan biaah yang dihajatkan. Barulah output daripada proses pendidikan itu akan mempengaruhi perkembangan organisasi pada masa depan. Program yang disusun dan dilaksanakan dari semasa ke semasa seperti halaqah, daurah, rehlah, mukhayyam, katibah, nadwah dan mu’tamar merupakan medan, sarana dan ramuan-ramuan penting untuk melahirkan jiwa-jiwa yang kental yang sanggup mengharungi jalan yang disifatkan sebagai panjang, mendaki dan penuh ranjau. Melalui dan melibatkan diri dengan jalan-jalan ini semestinya diambil serius setiap ahli.
4. Pendidikan selalunya dikaitkan dengan kasih sayang. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, ‛Man la yarham, la yurham’ yang bermaksud ‘Barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi’ (HR Muslim). Menyayangi tidak dapat dipisahkan daripada perbuatan baik bagi menzahirkan rasa kasih sayang, hormat dan berjasa dalam menawarkan sesuatu yang memberi faedah. Daripada kasih sayanglah terbitnya keinginan untuk berbakti. Manakala Berbakti semestinya diasaskan pada hati yang bersih, suci dan ikhlas kerana Allah SWT dan untuk mencapai keredhaan Allah SWT. ‘Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai’ (Ali Imran ayat 92). Berbakti diberikan sehingga ke peringkat kita berasa bahagia apabila berbakti. Rasa bahagia dengan memberi khidmat untuk melihat orang lain bahagia. Bahagia bukan sahaja nampak pada ekspresi wajah dan tubuh tetapi pada penghayatan di hati. Orang yang bahagia adalah orang yang dapat menikmati dan merasai kemanisan hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dalam realiti masyarakat hari ini, rasa bahagia muncul apabila orang memberi khidmat kepada kita. Ada orang memberi wang ringgit, kita rasa bahagia dan gembira. Ada orang memberi bantuan tenaga, kita rasa bahagia dan ceria. Namun, rasa bahagia seperti ini tidak sempurna kerana sebaik-baiknya ialah kita menjadi golongan yang bahagia dalam memberi. Dalam keadaan tidak ramai orang yang berusaha, bersedia dan rela untuk memberi, kita berlumba-lumba dengan kemampuan yang ada untuk membantu orang lain. Bantuan diberi tanpa meletakkan harga dan disusuli ungkitan. Mungkin ada dalam kalangan yang dibantu ini kita kenal dan tidak kenal. Usaha Haluan menghantar relawan bagi membantu mangsa Tsunami di Aceh dan Sri Lanka serta gempa bumi di Pakistan dan Yogyakarta adalah contoh bakti yang sangat mulia. Dalam konteks ini Allah SWT berfirman,
‘Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajah mu ke arah timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan, peminta-peminta dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menpati janji apabila berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa’ (Al-Baqarah ayat 177).
5. Bersama mendidik dan berbakti melambangkan kebesaran dan kemuliaan jiwa dapat dilihat dari kerelaan memberi pengorbanan dan bersusah payah bagi mendapat redha Allah SWT. Orang yang berjiwa besar sentiasa bersungguh-sungguh berusaha membaiki diri, meningkatkan potensi diri dan tabah semasa menghadapi saat-saat sukar. Beliau juga cekal dan tidak membiarkan diri hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan. Di samping itu beliau akan meneruskan agenda Haluan untuk membantu pihak-pihak lain dalam menangani kemelut permasalahan sosioekonomi yang kian meruncing dalam kehidupan masyarakat terutama dalam aspek penanganan gejala sosial, pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, penyaraan keluarga tunggal, anak-anak yatim dan miskin dan seumpamanya dalam rangka memberikan sumbangan ke arah melahirkan keharmonian dan kerukunan dalam kehidupan masyarakat. Alhamdulillah, dalam konteks ini, baru-baru ini Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah meluluskan peruntukan sebanyak RM375,480.00 kepada Haluan Malaysia untuk membiayai Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP) dan Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) bagi negeri Kedah dan Sabah. Baru minggu lepas kita telah mengadakan seminar gejala sosial bersama pihak JAKIM. Dalam konteks ini Haluan akan terus iltizam untuk meneruskan agenda mendidik dan berbakti. Awal tahun ini, Haluan Malaysia juga dipilih untuk menguruskan dana bantuan berjumlah RM4 juta untuk masyarakat Gaza di Palestin dalam projek Tube Well dan Microcredit bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan yang lain. Sesungguhnya tanggungjawab ini menggambarkan kepercayaan dan keyakinan pihak berkenaan terhadap kemampuan ahli-ahli Haluan dalam melaksanakan tugasan seperti itu. Saya berharap kepercayaan ini kita tidak sia-siakan bahkan akan memberi dorongan dan motivasi kepada semua ahli Haluan untuk lebih bersungguh-sungguh lagi bekerja dan meningkatkan keupayaan masing-masing bukan sahaja dari aspek organik tapi juga dari sudut profesionalisme dalam berorganisasi.
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
6. Mengapa dituntut kita melaksanakan proses mendidik dan berbakti bersama-sama? Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mendidik dan berbakti telah kita sepakati sangat penting kepada Haluan sebagai sebuah organisasi yang ingin hidup dan berinteraksi bersama masyarakat. Kita tidak dapat meminggirkan diri apabila melihat masyarakat khususnya umat Islam yang masih banyak ketinggalan dalam banyak perkara. Kerosakan sedang melanda umat Islam dalam pelbagai sudut kehidupan – agama, sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Sememangnya tugas dan tanggungjawab berbuat baik atau mengislah adalah suatu yang tidak mudah. Ianya bukan kerja ‘Sendirian Berhad’ tapi kerja ‘korporat’ yang menuntut kesepaduan dalam berfikir, menilai dan bertindak. Meskipun kerjanya berat, namun, di sana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar.
‘Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.’ (Surah Al-Qasas ayat 77)
7. Memerhati dengan lebih dekat sistem pendidikan yang ada pada hari ini, kita lihat sistem pendidikan sedia ada hanyalah proses mengisi tong-tong kosong. Apabila musim peperiksaan, segala isi dalam tong dibuang. Sistem pendidikan tidak dapat melahirkan insan yang terdidik, boleh mendidik dan berbakti kepada masyarakat. Sama ada di dalam ataupun luar negara, sistem pendidikan sedia ada tidak mampu melahirkan individu terpelajar yang mempunyai jiwa luhur yang ingin berbudi dan berbakti. Harvard University sendiri dalam konteks ini pernah digelar secara sinis sebagai ‘Harvard produce brain without soul’.
8. Jadi, kita hendak membina individu yang mempunyai kemampuan mendidik dan boleh berbakti melalui sistem pendidikan yang kita lakukan ketika ini. Para pelajar yang melalui proses pendidikan kita itu diharap boleh menjadi insan berkualiti dalam semua segi- intelek, fizikal dan spiritual. Kita sedar, banyak cabaran yang kita tempuh baik secara jangka pendek mahupun jangka panjang. Namun kita tetap istiqamah, berdoa dan terus bekerja dengan hikmah dan bijaksana supaya individu yang lahir dalam sistem ini adalah individu serba boleh dan dapat pula berbakti kepada masyarakat.
9. Dalam politik, sistem yang diwarisi daripada penjajah masih tidak dapat membuka ruang dan peluang kepada potensi menyeluruh umat Islam untuk berkembang dan meningkat. Pemikiran dan tindakan majoriti umat masih diikat kukuh dengan kehendak penjajah. Keupayaan umat untuk membina sistem politik sendiri berteraskan Islam dibayangi ketidakyakinan terhadap Islam yang syumul. Lahirlah apa yang dikatakan ‘rasuah politik’ yang menggugat kestabilan politik negara kerana tujuan dan pelaksanaan politik yang tidak bertunjangkan kehendak dan amanah Allah SWT.
10. Ekonomi umat Islam pula masih di tahap lama iaitu bukan dipihak yang menyumbang tapi masih mengharapkan sumbangan. Walaupun usaha kerajaan membasmi kemiskinan mutlak dalam negara dijangka menampakkan hasil positif sekitar tahun 2010, namun rata-rata golongan miskin masih didominasi oleh masyarakat Islam khususnya di luar bandar. Kemelut kegawatan ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia, tempiasnya turut melanda negara ini. Petunjuk-petunjuk ke arah itu kini semakin jelas. Mengikut data Bank Negara Malaysia yang terkini, pertumbuhan ekonomi untuk suku pertama tahun 2009 misalnya dilaporkan menguncup sebanyak 6.2 peratus. Penguncupan juga berlaku dalam kebanyakan sektor. Sektor eletrik dan eletronik menurun sebanyak 41.4 peratus manakala industri berorientasi eksport merudum sebanyak 23 peratus. Meskipun kadar inflasi agak bertahan dan terkawal, pengangguran terutamanya dalam sektor pembuatan pastinya akan meningkat disebabkan kekurangan permintaan global. Keadaan ekonomi yang merudum tentunya akan menghasilkan kesan negatif dalam kehidupan ekonomi dan sosial masyarakat.
11. Umat Islam di Malaysia ketika ini juga sedang berhadapan dengan krisis nilai kesan daripada pengaruh globalisasi dan modenisasi. Nilai-nilai yang menjadi teras kepada semangat kental dan daya juang kini diganti dengan budaya hedonisme dan mudah putus asa. Musuh-musuh Islam mencaturkan cara bergaul anak-anak muda kita, cara pakai mereka juga menjadi ikutan dengan fesyen mendedah aurat dianggap moden dan glamer. Belum ada nilai-nilai konstruktif yang menjadi teras dalam masyarakat Islam menyebabkan setiap hari kita terpaksa memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila melihat bayi yang baru lahir dijumpai dalam tong sampah, mangsa ragut menjadi trauma dan anak-anak remaja kita merempit siang dan malam. Kajian oleh Universal McCann Malaysia yang bertajuk ‘Nilai-nilai moral kian terhakis?’ menyatakan pencapaian dunia seperti pembangunan fizikal dan ekonomi yang rancak dicacati oleh senario gaya hidup moden yang membelakangkan kemurniaan akhlak dan keluhuran budi. Demi mengecap kejayaan, ada yang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mengenepikan nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi pegangan hidup setiap individu. Oleh sebab itu, keadaan sosial di dalam masyarakat menjadi penyebab mengapa kita perlu menjadikan ‘mendidik dan berbakti’ sebagai fokus.
12. Kajian penyelidik sosial ke atas penghuni pusat pemulihan akhlak lelaki dan perempuan di seluruh negara mendapati mereka terlibat dalam 24 jenis gejala sosial seperti merokok, menonton video lucah, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, tonton filem lucah, pil khayal, berjudi, simpan gambar lucah, hubungan jenis luar nikah, peras ugut, pecah rumah, hisap dadah, rogol, samun, rasuah, maksiat, bercerai dan jenayah bunuh. Selain daripada gejala sosial di atas, penghuni lelaki turut terlibat dalam seks rambang, bohjan dan homoseksual manakala penghuni perempuan terlibat dalam bohsia, lesbian, pelacur, gugur anak dan buang anak. Dalam kajian lain, sebanyak 1.13 peratus remaja dilaporkan terlibat dengan kes buang bayi, 40 peratus menonton bahan lucah, 16 peratus berjudi, 70 peratus merokok, 14 peratus terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 25 peratus mengambil minuman keras dan 18 peratus melakukan seks bebas.
13.Kita wajar melihat realiti masyarakat hari ini dengan lebih simpati. Fikiran dan jiwa mereka sedang sakit. Tanpa dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar, bala Allah SWT akan turun. Maksudnya, jika kita tidak bersama melaksanakan kerja mendidik dan berbakti ini maka Allah akan beri bala kepada kita. Dalam keadaan orang buat maksiat, kita tidak laksanakan proses mendidik dan berbakti ini maka Allah SWT akan memberi bala kepada kita. Sebagai contoh, statistik Agensi Antidadah Kebangsaan menyatakan secara purata 2,334 rakyat Malaysia terlibat dengan penagihan dadah setiap bulan dan bagi setiap 29 minit akan muncul seorang penagih baru. Inilah sebahagian daripada beban yang masyarakat keseluruhan terpaksa tanggung akibat daripada kurangnya usaha dakwah dan tarbiyah.
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
14.Ke mana kita hendak bawa masyarakat dalam proses mendidik dan berbakti ini? Asasnya ialah ke arah memakmurkan dunia dan mencapai kesejahteraan hidup akhirat. Ia bererti kita ada arah tuju. Kita hendak memakmurkan negara dengan memberi khidmat kepada masyarakat sehingga kita dapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Sejahtera diri dan keluarga kita, sejahtera masyarakat dan negara kita. Kepada ahli-ahli Haluan, kita selalu membaca surah Al-Fatihah yang menyeru kepada jalan yang lurus: ‘tunjukilah kami jalan yang lurus’. Ini cukup memberi isyarat kepada kita supaya setiap usaha mendidik dan berbakti menjurus kepada memakmurkan dunia dan membawa kesejahteraan akhirat.
No comments:
Post a Comment