Kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kecil N12, DUN Penanti memang telah dijangka. Mansor Othman yang dikatakan wakil PKR paling sesuai untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang mendapat 6,052 undi meninggalkan jauh pencabar-pencabar lain dari Bebas. Nai-Khan Ari mendapat 494 undi, Aminah Abdullah mendapat 392 undi dan Kamarul Ramizu Idris hanya berjaya memperoleh 56 undi. Ketiga-tiga calon Bebas ini hilang wang pertaruhan masing-masing yang menandakan pengundi menolak mentah-mentah wakil Bebas berkenaan walaupun menggunakan simbol yang canggih.
Barisan Nasional (BN) enggan bertanding kerana tidak berkenan dengan sebab-musabab pilihan raya itu diadakan.
Ajakan Ketua Pemuda UMNO yang meminta pengundi Penanti tidak keluar mengundi memberi kesan kepada peratusan undi kali ini yang disifatkan paling rendah dalam sejarah pilihan raya negara.
Sokongan pengundi di Penanti masih tetap bersama Pakatan Rakyat (PR) biarpun telah lama BN menguasai Pulau Pinang melalui Gerakan. Kepimpinan Lim Guan Eng, jika ditafsirkan melalui pilihan raya Penanti adalah diterima umum. Beberapa pendekatan yang dilaksanakan seperti tidak pilih bulu dan mengambil sikap berhemah ketika belanja turut mempengaruhi pengundi untuk memilih calon PKR.
Sokongan kepada Mansor bererti sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kehadiran pemimpin-pemimpin utama PR untuk meraikan kemenangan beliau adalah isyarat jelas kepada BN betapa kukuhnya kerjasama mereka yang dipupuk sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu. Kempen agresif Aminah Abdullah melalui pendedahan VCD penawaran jawatan TKM I tidak memberi kesan langsung kepada pengundi malah menimbulkan rasa cuak kepada masyarakat apakah motif sebenar beliau berbuat demikian. Pengundi Penanti dilihat amat matang dalam menilai tindakan Aminah.
Bagaimana pengaruh BN selepas ini?
Ia kelihatan lebih sukar sama ada Gerakan atau MCA, malah UMNO untuk kembali meraih sokongan pengundi jika sentimen pilihan raya kecil dijadikan ukuran. Pengaruh PR sangat kukuh kerana sentimen anti BN amat ketara di sana. Peranan akhbar dan media milik kerajaan pusat tidak mampu mengajak pengundi memilih BN sebaliknya media alternatif menjadi piihan kerana maklumat yang cepat dan berkesan. Dikatakan semasa krisis politik di Perak dulu, laman web Malaysiakini mendapat kunjungan yang luar biasa kerana liputan berita yang cepat.
Berdasarkan pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Penanti, pengaruh PKR dijangka cepat merebak dalam kalangan pengundi Melayu, Cina dan India ke seluruh negara dan kedudukan BN dijangka terancam. BN pasti tenggelam jika persepsi bersih, tangkas dan berkesan yang dilaksanakan PR berjaya dalam pentadbiran mereka di empat negeri ketika ini.
Pilihan raya kecil di Manik Urai juga dijangka tidak memberi kelebihan kepada UMNO dan BN kerana kedudukan PAS secara tradisi memenangi kawasan berkenaan. Cuma yang akan dinantikan oleh masyarakat ialah berapa banyak undi yang akan diperoleh oleh calon PAS nanti.
Iklim politik di seluruh negara telah berubah selari dengan perubahan taraf hidup rakyat yang dipejuangkan oleh BN. Bagi meraih kembali sokongan, BN harus memikirkan 1000 cara untuk menjadi jaguh khususnya menarik golongan muda. Orang muda amat peduli politik anak-beranak kerana ia menunjukkan tidak ada ketelusan, projek dibolot oleh segelintir pemimpin yang tamak dan membiarkan rakyat jelata hidup merana dan merempat. Rasuah dan sogokan juga bukannya semakin baik malah kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) setiap tahun menunjukkan kemerosotan berbanding Singapura atau Hong Kong. Selagi politik masih berteraskan sahabat karib untuk mendapatkan projek dan kuasa, elemen meritokrasi dan swadaya tidak dapat berfungsi dengan sempurna.
Sebagai contoh, kegagalan sebuah projek mega di Pelabuhan Klang adalah kerana penglibatan tokoh-tokoh politik dalam kerajaan negeri dan pusat. Penglibatan mereka ini disifatkan ada konflik kepentingan kerana ada yang memegang jawatan penting untuk membuat keputusan tender. Ini adalah contoh terkini bagaimana amalan politik minda murahan memberi ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Hari ini dan masa depan, Malaysia memerlukan sistem pentadbiran yang lebih berkesan, bebas daripada amalan rasuah, mampu bersaing dengan negara-negara besar dari segi modal insan dan memiliki rakyat yang rajin belajar. Masyarakat seperti ini adalah idaman kita kerana melalui ilmu sahaja kita akan maju.
Berjaya dalam ekonomi, menjadi peniaga yang kaya-raya bukannya ditentukan oleh bangsa sebaliknya nilai-nilai yang ada dalam diri seseorang. Jika nilai dan sikap sesuatu bangsa terhadap perniagaan adalah positif, sanggup berusaha dan berani mengambil risiko, tentulah bangsa itu akan berjaya. Islam mengajar manusia khususnya umat Islam untuk mengamalkan nilai-nilai jujur dan amanah ketika berniaga, Insya Allah umat Islam akan maju. Namun hari ini, kadangkala peniaga tidak jujur dan sesuka hati menipu pelanggan semata-mata untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak.
No comments:
Post a Comment