Berjaya dan gagal dalam hidup ditentukan oleh cara fikir kita sendiri. Skrip hidup yang diberikan kepada kehidupan kita oleh ibu bapa, guru, majikan dan rakan-rakan menentukan arah haluan hidup yang hendak dituju.
Seorang pelajar yang sentiasa diberi galakan untuk belajar bersungguh-sungguh, cemerlang dalam akademik dan sahsiah, setiap kali ujian mendapat 100 markah, dia akan dibawa bercuti- kita sudah dapat agak dengan tepat bagaimana masa depannya.
Seorang pelajar lagi yang sentiasa dikutuk setiap kali mendapat 30 markah dalam matematik dan sains, asyik bermain, pencapaian akademik dan sahsiah yang lemah, tidak ada siapa yang berminat untuk merai kejayaannya mendapat tempat pertama dalam acara lari 100 meter- kita juga sudah dapat agak dengan tepat bagaimana masa depannya.
Kedua-dua pelajar ini membina cerita hidup mereka dengan cara yang berbeza. Perjalanan hidup juga tentu berakhir dengan hala tuju berbeza. Kita boleh kaitkan cerita mereka berdua dengan kisah seekor belalang liar yang cuba melepaskan diri daripada dikurung.
Jika kita meletakkan belalang itu ke dalam balang kaca yang ditutup, tidak sampai lima saat ia akan terbang untuk melepaskan diri. Lama-kelamaan kepalanya tentu akan sakit dan ia tidak lagi punya tenaga untuk berusaha. Keesokan harinya mungkin belalang itu sudah mati.
Usaha belalang ini amat berkait dengan semangat hidup manusia. Apabila kita berasa sudah hampir gagal dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diharapkan, kita hanya menyerah kepada takdir tanpa ada keberanian memikirkan hal-hal baru. Seperti belalang, orang yang sudah fikir dia telah habis memikirkan kaedah untuk berusaha pasti akan putus asa dan enggan bangkit daripada kekalahan.
Ia adalah kesan daripada pembentukan sangkar minda yang berlegar-legar di sekitar hidup kita sejak kecil. Perkataan ‘jangan’, ‘tak boleh’ dan ‘ikut saja’ menjadi kukuh dalam fikiran kita sehingga tidak mahu mencuba. Apa yang penting ialah mengubah semua perkara yang kita percaya melalui cara berfikir. Benda besar yang mengawal hidup kita ialah fikiran, bukannya sesuatu dari luar. Rasulullah SAW juga mengingatkan umat Islam betapa pentingnya peranan hati atau qalbu hinggakan ada hadis khusus berkaitan hati ini.
Selagi kita percaya sesuatu dalam hidup ini ada bencana, kepercayaan itu akan berkembang terus sebagai bencana. Setiap bencana dalam hidup kita bukanlah sebenarnya bencana tetapi situasi yang menanti kita mengubah pandangan kita terhadapnya, barulah hidup menjadi indah dan bahagia.
No comments:
Post a Comment