Saturday, June 27, 2009

Kaum Musyrikin ingkari perjanjian damai Hudaibiah

oleh Hashim Ahmad

Perjanjian Hudaibiah yang dimeterai antara Nabi Muhammad SAW dan orang Quraisy Makkah pada Zulkaedah tahun keenam Hijrah adalah perjanjian damai pertama dalam sejarah perkembangan Islam.


Perjanjian itu mengambil sempena tempat bernama Hudaibiah di mana rombongan Muslimin yang dipimpin Nabi Muhammad SAW berhenti, sementara menunggu izin daripada penduduk Makkah untuk melakukan haji dan umrah.

Kaum Muslimin tidak jadi menunaikan umrah pada tahun itu tetapi dibenarkan membuat haji pada tahun depan. Sesungguhnya Perjanjian Hudaibiah itu pada lahirnya dianggap merugikan kaum Muslimin dan banyak menguntungkan orang Quraisy.


Bagaimanapun, bagi Nabi Muhammad SAW, perjanjian ini penting untuk faedah jangka panjang kepada kaum Muslimin dan perkembangan Islam. Lima perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu:

1. Tidak ada lagi serang menyerang antara kaum Muslimin di Madinah dan kaum Quraisy di Makkah selama 10 tahun.

2. Setiap orang yang lari dari Makkah ke Madinah wajib di kembalikan kepada kaum Quraisy di Makkah.

3. Setiap orang yang lari dari Madinah ke Makkah tidak boleh dikembalikan ke Madinah.

4. Kaum Muslimin pada tahun itu harus pulang ke Madinah dan tidak boleh meneruskan hajat untuk menunaikan haji di Makkah.

5. Kaum Muslimin boleh datang ke Makkah untuk mengerjakan haji pada tahun depan, tetapi tidak boleh tinggal di Makkah lebih daripada tempoh menunaikan haji iaitu selama tiga hari. Mereka tidak boleh membawa senjata perang kecuali membawa pedang di dalam sarungnya saja.

Kesan segera daripada perjanjian itu amat menyayat hati kaum Muslimin kerana pada hari itu juga muncul seorang pelarian dari Makkah bernama Abu Jandal bin Suhail yang sudah masuk Islam di Makkah tetapi ditahan oleh orang Quraisy Makkah dan diseksa dalam penjara.


Dia meminta diselamatkan oleh Nabi Muhammad SAW sedangkan tangannya masih terikat dan badannya penuh dengan luka serta calar akibat diseksa orang Quraisy. Dengan serta-merta wakil orang Quraisy menuntut Abu Jandal diserahkan kembali kepada mereka berdasarkan perjanjian Hudaibiah yang baru dimeterai antara mereka.

Walaupun Nabi Muhammad SAW menawarkan wang untuk membeli Abu Jandal dengan tujuan membebaskannya, kaum Musyrikin menolak tawaran itu. Dengan air mata berlinang, Nabi Muhammad SAW serta sahabat terpaksa melepaskan Abu Jandal untuk menunjukkan tanda ikhlas dan jujur kaum Muslimin pada perjanjian yang sudah dipersetujui.

Beberapa hari kemudian, datang pula seorang lelaki yang baru masuk Islam iaitu Abu Basir bersama dua orang lain tetapi Nabi Muhammad SAW juga terpaksa menolak mereka.

Dalam perjalanan ke Makkah, seorang daripada mereka dibunuh oleh orang Quraisy. Lalu Abu Basir dan temannya yang tinggal, dibenar Nabi Muhammad SAW pergi ke satu tempat di pinggir Laut Merah untuk tinggal di sana kerana daerah itu tidak terbabit dengan Perjanjian Hudaibiah.

Tidak lama berselang, muncul kembali Abu Jandal yang dapat meloloskan diri dari tahanan orang Quraisy dan beliau membawa 70 orang Islam bersamanya.

Oleh sebab mereka tidak dibenar tinggal di Madinah, mereka pun bersatu dengan Abu Basir dan berazam menentang orang Quraisy dengan melakukan perang gerila terhadap rombongan dagang mereka yang sering melalui daerah pinggir Laut Merah itu dalam perjalanan ke Syria.

Akhirnya gerombolan mereka bertambah kuat dengan lebih 300 pejuang setiap masa menyerang dan mengganggu perjalanan kafilah dagang kaum Quraisy sehingga akhirnya kemakmuran kota Makkah terhenti dan beransur-ansur menjadi kota mati.

Penduduk Quraisy menjadi gelisah dan hidup mereka tambah terhimpit. Mereka tidak boleh berdagang keluar negeri kerana tidak lagi merasa selamat daripada serangan gerombolan Abu Jandal dan Abu Basir.

Kini mereka sedar bahawa Perjanjian Hudaibiah itu merugikan mereka. Orang yang menyerang mereka bukan dari Madinah dan Nabi SAW tidak boleh dibabitkan dalam perbuatan itu. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW tidak berkuasa menghentikan serangan ke atas kafilah perdagangan Makkah.

Akhirnya, datanglah utusan bangsa Quraisy kepada Nabi SAW meminta supaya fasal dua dan tiga daripada Perjanjian Hudaibiah itu dihapuskan. Mereka juga meminta gerombolan Abu Jandal dan Abu Basir itu dipanggil balik ke Madinah.

Rasulullah SAW menerima baik cadangan itu dan pasukan pejuang pimpinan Abu Jandal dan Abu Basir disatukan dengan kekuatan tentera Muslimin di Madinah sehingga kaum Muslimin merasa lebih kuat dan selamat.

Walaupun fasal dua dan tiga dari perjanjian itu terbatal, kaum Muslimin masih boleh pergi menunaikan haji mulai tahun depan kerana keamanan masih berterusan selama 10 tahun.

Bagaimanapun, pembatalan dua fasal dalam perjanjian itu ditafsirkan kaum Quraisy sebagai kelemahan di pihak Muslimin. Mereka menyangka kaum Muslimin kini takut berperang kerana mungkin mereka merasa lemah dan kecewa oleh perjanjian itu.

Anggapan itu menimbulkan rasa berat di hati mereka sehingga sanggup merancang untuk melanggar perjanjian damai 10 tahun itu. Mereka menyiapkan diri untuk menyerang kaum Muslimin yang dijangka datang menunaikan haji ke Makkah tidak lama lagi.

Pengkhianatan mereka itu dilaporkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kesan balasan tentulah dapat diduga. Ketika Baginda SAW menyiapkan kumpulan kaum Muslimin yang akan berangkat ke Makkah pada musim haji tahun berikutnya, Baginda memperlengkapkan mereka dengan senjata, bukan sekadar untuk perlindungan diri tetapi untuk peperangan yang dijangka berlaku.

Azam Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin kali ini ialah sama ada mereka dibenar menunaikan haji atau akan ditentang oleh kaum Quraisy. Namun mereka akan pergi juga pada tahun itu. Secara kebetulan, kekuatan kaum Muslimin ketika itu sudah besar kerana ramai yang memeluk Islam.

Ini termasuk beberapa pembesar Quraisy seperti Abbas, bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang selama ini memimpin pasukan Quraisy melawan Baginda dan Abu Sufian yang dianggap sebagai ketua besar kaum Quraisy Makkah sesudah kematian Abu Jahal.

Ketika rombongan besar kaum Muslimin hampir sampai ke Makkah, Nabi Muhammad SAW mengirim perutusan yang dituju kepada penduduk kota itu. Pengumuman itu dibuat berdasarkan keyakinan bahawa peperangan akan meletus dan dalam peperangan itu tentu ada jiwa yang terkorban.

Perutusan Nabi SAW itu adalah satu jaminan keselamatan bagi penduduk Makkah dalam pertempuran nanti. Pengumuman itu berbunyi: "Siapa saja yang masuk atau berlindung di rumah Abu Sufian di Makkah akan terlindung daripada serangan kaum Muslimin. Dan siapa yang tinggal di dalam rumah sendiri akan aman. Akan aman juga daripada sebarang bencana siapa yang berlindung dalam Masjidil Haram di sekitar Kaabah."

Nabi Muhammad SAW mempersilakan Abu Sufian sendiri menyampaikan pengumuman itu kepada penduduk Kota Makkah sebelum pasukan besar kaum Muslimin sampai ke sana. Lalu pergilah Abu Sufian bersama beberapa orang pilihannya ke Makkah.

Beliau menyampaikan pengumuman penting itu yang berbunyi: "Wahai penduduk Makkah! Seperti yang kamu tahu, aku sudah memeluk agama Islam. Muhammad akan tiba ke sini sebentar lagi dengan angkatan perang yang besar. Jika kamu masih berazam untuk mempertahankan bumi Makkah daripada kemasukan kaum Muslimin, tiada guna kamu menentang mereka sebab kamu tidak akan berupaya.

"Oleh itu, Muhammad memberi jaminan kepada kamu supaya aku sampaikan. Siapa yang masuk berlindung ke dalam rumahku akan terselamat daripada bencana; siapa yang tinggal dalam rumah sendiri atau berlindung di pekarangan Kaabah (dalam Masjidil Haram juga akan terselamat daripada serangan kaum Muslimin."

Penduduk Makkah yang merasa ketakutan menanti kedatangan tentera Muslimin itu terus merasa lega. Mereka berkumpul dalam Masjidil Haram atau di rumah Abu Sufian. Ramai enggan tinggal di rumah sendiri. Mereka yang enggan tunduk mengambil keputusan melarikan diri keluar Makkah.

Tidak lama kemudian, sampailah kumpulan besar kaum Muslimin yang bersenjata lengkap itu ke kota Makkah. Penentangan hebat yang dibincangkan Nabi Muhammad SAW tidak berlaku. Nabi memasuki Makkah dengan aman.

Seluruh Kota Makkah sunyi sepi dan orang yang kelihatan hanya berpusu-pusu di sekitar Masjidil Haram. Tidak ada seorang pun kelihatan di jalan-jalan kota itu yang mahu menentang kaum Muslimin walaupun pada mulanya mereka berazam untuk menentang habis-habisan.

Selepas Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin tawaf serta masuk ke dalam Kaabah sambil membersihkan Kaabah daripada segala macam patung berhala yang mengotori kesuciannya selama ini, Baginda pun berdiri pada sebuah tiang masjid dan berkhutbah kepada orang ramai.

Antara isi kandungan khutbah Baginda SAW ialah: "Hai penduduk Kota Makkah. Tindakan apakah yang akan saya lakukan sekarang sesudah mencapai kemenangan atas nama Allah ini. Demikian pertanyaan yang tentu kamu tanyakan dalam hati kamu masing-masing. Tindakan saya sebenarnya lain tidak, hanya supaya kamu pulang ke rumah masing-masing, bebas daripada segala tuntutan dan pembalasan."

Dengan hati yang lega dan puas, penduduk Makkah bersorak menyatakan rasa gembira dan memuji sikap nabi yang tidak diduga mereka sebelum ini. Sejak saat itu berduyun-duyun orang Quraisy memeluk Islam, dari rakyat pada peringkat paling rendah hingga ke peringkat paling tinggi.

Ramailah panglima perang Quraisy yang dahulunya memusuhi Nabi SAW dan kaum Muslimin dengan tulus ikhlas menyerahkan jiwa raga mereka bagi mempertahankan Islam sebagai pahlawan Allah yang riwayat hidup mereka terukir dengan tinta emas dalam sejarah perkembangan Islam dari dulu hingga kini.

[Berita Harian Online, 27 Jun 2009]

No comments:

Post a Comment