Ucapan perasmian oleh YBhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM di Mesyuarat Perwakilan Haluan Malaysia pada 6 Jun 2009 di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum wbt.
Terima kasih kepada Yang Mulia pengerusi majlis, Yang Dihormati Dr Abdullah Sudin bin Abdul Rahman, Presiden Haluan Malaysia dan pimpinan Haluan, Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Sabbri bin Mohd Din, Pengerusi Jawatankuasa Program, para tetamu, para perwakilan, dan tidak tertinggal saya lihat di atas sana ramai anak-anak kita, barisan pewaris Haluan.
1. Pertama kali mengenal Haluan, saya sangka Haluan adalah kelab 40-an, tetapi ternyata anggapan saya kurang tepat, kerana ada anak-anak kita di sana yang akan menjadi generasi pelapis pada Haluan, saya ucap tahniah kepada pimpinan Haluan. Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk bertemu tuan-tuan dan puan-puan ahli Haluan seterusnya memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Haluan Malaysia kali ke-20. Saya rasa terharu juga kerana dapat bersua dengan teman lama saya, Yang Berbahagia Ustaz Mohd Darus, Alhamdulillah dapat berjumpa hari ini, juga teman-teman lama saya, ada wajah sahabat-sahabat lama, ada yang saya lihat semakin handsome, ada saya lihat makin tua, tetapi saya bersyukur kerana dikurniakan kesihatan, dengan nikmat kesihatan itu kita boleh meneruskan usaha untuk mendidik dan berbakti, saya pinjam tema mesyuarat tema kali ini.
2. Tema ini mengingatkan saya kepada dua kalimah penting. Kalau kita sebut mendidik, tentunya asasnya adalah berakhlak yang mengingatkan kita semua kepada satu kalimat iaitu tarbiyah. Apabila Haluan memilih satu lagi kalimah berbakti, saya teringat kepada satu kalimah teras yang ada sandaran nasnya, iaitu manfaat. Hidup kita akan menjadi sentiasa mulia kalau kita terus mempunyai keinginan jiwa untuk sentiasa mendidik dan berbakti. Maknanya kita mengikut jejak pendidik agung, murabbi yang agung, nabi kita Muhammad SAW yang melaksanakan tugas setelah menyempurnakan tugas dakwah terus-menerus mendidik iaitu menjalankan tugas tarbiyah. Proses itu berjalan minal mahdi ilal lahdi, berterusan, sepanjang hayat. Namun, peranan ini akan lengkap sempurna sekiranya ia benar-benar memberi kesan, lebih-lebih lagi membawa perubahan melalui khidmat yang bermanfaat kepada masyarakat. Kita berbakti dan amal bakti itu membawa manfaat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang boleh membawa manfaat kepada orang lain. Khairunnas tanfa’u binnaas, sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
Yang dihormati tuan-tuan dan puan-puan,
3. Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada perwakilan termasuklah ahli-ahli Haluan yang hadir. Saya bertanya kepada Tuan Haji Mohd Sabbri tadi berapa ramai yang ada pagi ini, beliau memaklumkan 700 orang. Tahniah kepada semua, mudah-mudahan ikatan ukhuwwah islamiah semakin kuat dan dengan cara itu hala tuju kita, haluan kita akan lebih terarah dan bererti. Saya teringat apabila kita mendalami, mengkaji dan menghayati sirah nabawiah, kita dapat merasakan betapa hebatnya pemimpin agung Muhammad Rasulullah SAW. Di sebalik kehebatannya, baginda tetap dibantu dan disokong oleh golongan as-shabah. Para ulamak sejarah telah mengkategorikan golongan atau generasi as-sahabah ini, biasa menggunakan istilah kibaaru assahabah. Sahabat-sahabat kalau diterjemahkan, adalah sahabat-sahabat kanan, sahabat-sahabat yang bersama dengan pimpinan di saat suka dan duka, disanjung dan dicela. Dalam sebuah organisasi ada ketikanya, peranan dan sumbangan kita kelihatan dihargai dan disanjungi, tetapi kita tidak boleh melupakan kemungkinan aktiviti kita itu juga terdedah kepada celaan, cemuhan atau paling tidak pandangan-pandangan yang sinis, diremeh-remehkan. Dalam konteks JAKIM, ada ketika aktiviti kita itu dihargai, ada ketika orang marah, ada ketika orang sindir-sindirkan, tetapi orang yang hebat ini adalah orang yang tidak terkesan dengan celaan tukang pencela. Bak kata manusia ini dilahirkan di dunia ini kerjanya hanya untuk menjadi pencela separti mana adanya makhluk di lautan atau di sungai kerjanya hanya mencari mangsa dan ada makhluk yang Allah SWT ciptakan yang hanya kerjanya untuk mencari bangkai sahaja. Jadi, ini adalah suatu realiti.
4. Oleh kerana itu, ashabul fadhilah sekalian, kalaulah kita memikirkan dan menganalis fenonema masyarakat, izinkan saya untuk mengelaskan ada tiga keperluan yang diperlukan oleh masyarakat kita sama ada muslim atau bukan muslim. Ada satu kelompok yang amat mengharapkan bantuan-bantuan kebajikan, mereka dalam keadaan memerlukan bantuan. Kumpulan seumpama ini mengharapkan lahirnya sebahagian dari kelompok masyarakat, manusia yang ad-dakwah ilal khair, mesti ada di tengah-tengah masyarakat . Orang yang suka buat kerja kebajikan. Kalau pun paling lemah mereka tidak membawa kebajikan kepada orang lain, sekurang-kurangnya dia dapat bersama orang lain menyeru dan membangkitkan kesedaran kepada orang lain untuk buat kerja kebajikan.
5. Kategori kedua ialah orang yang mungkin keperluan asasi hidupnya sudah cukup baik, mendapat pendidikan yang baik, kualiti hidup yang baik. Golongan seperti ini mengimpikan masyarakat yang baik, hidup dalam budaya ma’ruf. Sebab itu perlu ada satu kumpulan yang kerjanya al-amru bilma’ruf, sentiasa mengajak kepada kebenaran Allah SWT. Sebenarnya terjemahan saya ini saya kira kurang tepat, kalau al-amru bilmakruf diterjemah sebagai mengajak kepada perkara makruf. Dalam kalangan kita mesti ada orang-orang yang cinta kepada kerja-kerja al-amru bil makruf, bukan mengajak kepada makruf, tetapi memerintahkan ke arah makruf, al-amru itu perintah, perintah maknanya mencari jalan, mengasak, menolong dan kita berada dalam satu kedudukan yang menggunakan kuasa, kuasa yang bijaksana. Kuasa kasih sayang ahli keluarga kita sehingga anak-anak tunduk, patuh kerana menghargai kasih sayang atau hormat kepada kita. Itu kuasa kita. Kita memimpin suatu organisasi, menjadi guru besar, pengetua, profesor. Kita ada kuasa, anak-anak murid kita, menggunakan kuasa. Paling tidak kuasa mempengaruhi, bukannya kuasa dari perspektif undang-undang. Tentulah kalau ada kuasa di sisi undang-undang, kita guna kuasa dari segi perundangan.
6. Di sebalik perkara-perkara al khair, atau al-khairat, al-ma’ruf yang kedua, realiti yang mesti kita hadapi bersama ialah akan ada dalam kalangan kita ini yang kerjanya suka bermuka-muka, memang tidak elok, bisnesnya adalah kemungkaran. Buka pusat judi, pusat hiburan, karaoke dan mereka tidak akan selesa dengan kita sepertimana pemegang saham syarikat-syarikat berhala zaman Rasulullah SAW yang tidak suka sama sekali orang yang bawa aqidah tauhid kerana akan mengancam bisnes mereka. Siapa yang hendak suka dengan JAKIM kalau JAKIM asyik hendak memerangi gejala ajaran sesat. Siapa yang nak gemar atau selesa dengan program yang hendak buat kerja yang baik dalam keadaan dia membawa atau mengembangkan industri kemungkaran. Kemungkaran sekarang ini sudah menjadi satu industri yang berpotensi dalam media. Banyak orang memberi petua kalau hendak cepat kaya jangan terbitkan buku ilmiah. Terbitkan buku kecil yang penuh dengan gosip, akhbar-akhbar nyamuk, bawa cerita-cerita pergi luar negeri dengan si pulan, putus tunang, laga-lagakan antara para cendekiawan, para ulama dan pemimpin, mungkin sebulan dua bulan boleh jadi kaya-raya. Kita berada dalam situasi ini. Kita menyeru para ilmuan, para pendidik dan aktivis untuk bersama-sama menganalisis senario yang wujud sekarang. Kita hendak masuk kumpulan ini. Kita ikut potensi dan keupayaan yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Ada orang yang menghabiskan sisa usia untuk buat kerja-kerja Islam. Saya terharu melihat rakan-rakan yang saya kenal sejak lama masih keluar negera untuk berkorban. Pantang ada gempa bumi atau peperangan. Lebih hebat daripada orang muda. Ada orang yang fokus kepada kerja-kerja kebajikan dan ada orang yang fokus kepada kerja-kerja amal ma’ruf, kerja-kerja yang lasak dari segi intelektual. Memperbetulkan kefahaman yang salah, menyelaraskan kesatuan fikiran (wahdatul fikh), mendidik masyarakat termasuk ahli-ahli masing-masing. Dalam memimpin pelbagai persatuan dan organisasi, jangan asyik merendah-rendah usaha sahabat kita yang lain. Beri sedikit ruang masing-masing memilih organisasi yang sesuai dengan potensi atau kebolehan. Kita tidak boleh anggap organisasi kita sahaja yang terbaik di dunia dan akhirat sehingga tidak boleh langsung kita terlibat dengan aktiviti-aktiviti lain di luar organisasi kita. Sifat-sifat ketaksuban seumpama ini yang sebenarnya merekahkan dan memecahkan masyarakat.
7. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan inilah antara perkara yang saya ingin lontarkan. Saya ucapkan terima kasih kepada Haluan kerana baru-baru ini HALUAN bersama-sama dengan Bahagian Dakwah JAKIM menganjurkan ‘Seminar Menangani Gejala Sosial’ di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang diadakan baru-baru ini. Dalam seminar itu saya ada menawarkan kerjasama dengan pihak Haluan dan izinkan saya untuk mengulang supaya maklumat ini dapat dikongsi dengan lebih ramai oleh perwakilan Haluan pada pagi ini. Kebetulan JAKIM ada sedikit sebanyak kemudahan dan institusi yang boleh tuan-tuan dan puan-puan manfaatkan. Kalau di Semenanjung kita ada ILIM di Bandar Baru Bangi, di Sabah kita juga ada beberapa-beberapa pusat latihan. Pusat latihan yang sesuai untuk latihan Islam ialah di Kundasang iaitu di pertengahan ke puncak Gunung Kinabalu. Di Sarawak kita ada pusat latihan di bawah seliaan JAKIM Sarawak. Kita boleh sama-sama menganjurkan aktiviti-aktiviti untuk menghakis al-munkar dan kita boleh sesuaikan aktivit-aktiviti ini sama ada yang serius ataupun yang santai bersesuaian dengan sasaran kita.
8. Pimpinan Haluan sama ada di peringkat pusat ataupun di peringkat negeri, saya tawarkan untuk bekerjasama dengan pihak JAKIM khususnya melalui Bahagian Dakwah JAKIM ataupun melalui Bahagian KESUMA iaitu Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Pengurusan Masjid. Secara khusunya mengkaji bahagian sosial. Kita boleh bekerjasama, Insya Allah sama ada aktivti-aktiviti kecil yang low profile, tidak semestinya yang besar asalkan kena dengan sasarannya ataupun tuan-tuan dan puan-puan mempunyai aktivit-aktiviti yang lebih besar memerlukan tenaga kerja yang banyak. Saya ingin mengucapkan tahniah kerana Haluan mempunyai pelbagai bentuk aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat, aktiviti penyelidikan dan pengajian. Namun, yang penting adalah sumbangan tuan-tuan dan puan-puan akan dikabulkan oleh Allah SWT dan memastikan aktiviti kita ini diberi pendedahan kepada golongan pelapis supaya mereka dapat menyambung perjuangan ini. Bagi orang yang aktif dalam dunia perniagaan dan perdagangan sudah tentulah mereka amat sayang syarikat ataupun empayar yang telah dibina. Mereka mengharapkan anak-anak dapat meneruskan perjuangan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Jika apa yang kita dah buat hari ini tidak diteruskan, kita tak dapat bayangkan apa yang akan terjadi. Kita bernasib baik kerana masih dapat hidup dalam suasana hari ini, kerana kita hidup sesama ahli HALUAN atau pun dengan kawan-kawan kita dalam jemaah yang lain. Tapi cuba pergi ke Kajang, Dataran Merdeka atau di sekitar KLCC, barangkali kita rasa seolah-olah kita berada Jakarta. Lebih teruk lagi di sesetengah tempat kita rasa seperti berada di tengah-tengah kota kosmopolitan Manila. Sebab itu kita janganlah memiilih aktiviti-aktiviti yang selesa pada hati kita. Kita juga terpaksa pada masa-masa tertentu menjalankan aktiviti yang kita tidak suka tetapi wajib kita laksanakan. Saya secara peribadi merasakan usia seperti saya ini sudah tentu tidak suka pergi lepak-lepak, kalau pergi shopping pun hantar isteri sahaja. Tetapi rupa-rupanya dalam kerja dakwah itu tidak betul. Kita kena turun mendekati anak-anak yang kita kasihi. Kita perlu melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menawan hati dan fikiran mereka. Saya percaya ahli-ahli Haluan yang dianggotai oleh para cendekiawan boleh memberi saranan dan bantuan kepada JAKIM untuk sama-sama memikirkan aktiviti-aktiviti untuk menawan hati anak-anak ini.
10. Akhir sekali, saya ambil peluang ini untuk kempen saluran radio khas yang tidak ramai sedar kewujudannya. Buat masa ini memanglah JAKIM masih menumpang siaran radio yang dikenali sebagai Radio Malaysia Salam FM. Bersiaran melalui gelombang 91.9 di Lembah Klang. Waktunya sangat menarik dan sangat mahal iaitu dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi. Seandainya Haluan ingin mengendalikan beberapa rancangan yang bersesuaian, kami amat alu-alukan. Banyak rancangan untuk golongan orang dewasa, anak-anak, remaja atau wanita. Paling tidak menjadi tetamu kepada rancangan-rancangan yang kita terbitkan.
11. Saya tahu ramai dalam kalangan tuan-tuan dan puan-puan menjadi kaunselor bertauliah atau khusus dalam bidang-bidang tertentu. Kemahiran berkenaan boleh disumbangkan kepada radio JAKIM. Usaha terkini JAKIM ialah memiliki stesen televisyen sendiri. Kami berazam kuat dengan izin Allah SWT untuk memulakan siaran ini pada awal Muharram tahun depan. Ini bukan kerja mudah. Di samping televisyen, kita akan bangunkan web TV. Insya Allah, usaha ini akan berjaya jika semua pihak menyumbang ke arah pejayaan pelaksanaannya.
12. Dengan itu saya ucap terima kasih kepada pimpinan Haluan kerana sudi mengundang saya pada hari ini dan saya memohon maaf jika terdapat salah dan silap dalam menyampaikan ucapan ini. Dengan lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’ saya merasmikan Mesyuarat Perwakilan Haluan Malaysia kali ke-20 pada tahun ini.
Wassalamu’alaikum wbt.
No comments:
Post a Comment