Friday, June 19, 2009

Bersatu dalam kepelbagaian budaya

oleh Muhammad Hisyam Mohamad

Negara kita yang dihuni oleh pelbagai bangsa yang berlainan agama, adat resam dan budaya, usaha untuk melaksana pembangunan bukanlah satu tugas yang mudah. Jadi satu pendekatan khas perlu dikenal pasti. Pada masa yang sama pendekatan tersebut perlulah bersifat berkecuali dan tidak dilihat sebagai menyebelahi mana-mana kumpulan kaum yang terdapat di negara terbabit.

Apa yang jelas, usaha pembangunan akan menjadi mudah jika sesebuah masyarakat itu diikat dengan unsur kesatuan dan perpaduan. Kesatuan ini akan bertambah kukuh jika mereka bergabung di atas dasar saling percaya mempercayai dengan kumpulan masyarakat yang lain.

Di dalam sejarah awal tamadun Islam, unsur kesatuan adalah asas kekuatan kepada sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk. Unsur kesatuan ini dititikberatkan oleh pemerintah kerajaan Islam pada masa silam dapat diperhatikan melalui fasal-fasal yang terdapat di dalam Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah.

Madinah pada peringkat awal ketibaan Nabi Muhammad SAW adalah sebuah penempatan yang dihuni oleh masyarakat beragama Islam dan bukan beragama Islam (terutamanya suku-suku Yahudi). Jadi sebagai langkah awal untuk mentadbir sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, Nabi SAW telah mewujudkan satu perlembagaan yang dikenali sebagai Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah

Sahifah al-Madinah yang didraf oleh Rasulullah SAW selaku pengasas dan ketua kerajaan Islami Madinah pada waktu itu mengandungi 47 fasal. Apa yang menarik sekali ialah baginda SAW meletakkan unsur kesatuan dan keperluan merujuk kepada satu perlembagaan yang sama yakni Sahifah al-Madinah itu oleh semua penduduk sebagai dua fasal awal kandungan piagam tersebut.

Berikut adalah Fasal 1 dan Fasal 2 yang dimaksudkan:

Fasal 1: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang: Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang yang beriman dan orang yang memeluk agama Islam daripada Quraish dengan penduduk Yathrib dan orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.

Fasal 2: Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia lain.

Apa yang terkandung di dalam dua fasal awal piagam ini dapat diterjemahkan sebagai satu penekanan oleh Nabi SAW terhadap unsur kesatuan dan kesepaduan bagi memastikan masyarakat majmuk dapat menikmati satu kehidupan yang harmoni dan bermutu di dalam sesebuah negara.


Selain itu bagi mengelak sebarang prasangka yang boleh menghakis keutuhan perpaduan kaum, Sahifah al-Madinah turut menyenaraikan jaminan perlindungan keselamatan yang sama rata kepada setiap penduduk Madinah termasuklah kaum Yahudi selama mana mereka mematuhi isi kandungan piagam. Ini dapat dilihat di dalam Fasal ke-15 dan Fasal ke-16. Manakala di dalam Fasal 47 pula, mana-mana pihak yang berlaku zalim atau melakukan kesalahan tidak diberi sebarang keistimewaan atau perlindungan di bawah piagam itu.

Apa yang lebih menarik, walaupun penduduk Madinah ini merupakan satu ummah atau satu bangsa, namun di dalam Fasal ke-25 mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan anutan masing-masing.

Ini merupakan satu bentuk penghormatan yang diberikan oleh agama Islam kepada penganut agama lain untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang gangguan atau sekatan daripada pihak pemerintah Muslim.

Bagaimanapun, sebagai imbalan kepada jaminan pelbagai hak yang diberikan oleh pemerintah, para penduduk dikehendaki bertanggungjawab untuk sama-sama berganding bahu menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran bidang-bidang kewangan, ekonomi dan kemasyarakatan.

Pernyataan ini disebut di dalam Fasal ke-37 seperti berikut: Bahawa orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan.

Ini menggambarkan bahawa satu bangsa yang bersatu bukan sahaja berkongsi negara malah mereka juga perlu berkongsi usaha untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang kehidupan.

Dalam perkembangan terkini di negara kita, pengenalan pendekatan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dilihat sebagai tidak bercanggah dengan semangat kesatuan yang menjadi unsur utama kandungan sahifah yang dibangunkan pada tahun pertama penghijrahan baginda SAW ke kota Madinah.

Selain itu, pendekatan ini turut memperlihatkan unsur-unsur keadilan dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak menerusi satu jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada rakyat di mana di bawah Satu Malaysia tiada ahli masyarakat akan berasa terpinggir kerana semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, sosioekonomi dan budaya dijanjikan satu pembelaan yang sewajarnya oleh pentadbiran Malaysia.

Tidak nampak kewarasan untuk kita menolak pendekatan ini. Ia adalah satu dasar yang amat baik dan patut diberi sokongan padu oleh kita semua bagi memastikan segala matlamat akhir yang disasarkannya iaitu menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat dapat dijelmakan.

Cuma apa yang perlu kita fikirkan bersama ialah apakah alat-alat yang sesuai yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk kita bersatu. Cukupkah dengan janji-janji pemerintah bahawa tiada ahli masyarakat yang akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara dapat menjadikan rakyat Malaysia ini bersatu?

Apakah bentuk-bentuk pelaksanaan yang boleh dilakukan bagi merapatkan hubungan 27 juta penduduk Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan adat resam ini?

Penulis ialah Felo Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia.


[Utusan Online, 19 Jun 2009]

No comments:

Post a Comment