Barisan kabinet yang mempunyai 26 kementerian akan memberi kesan kepada jentera pelaksanaan kerajaan Barisan Nasional. Apatah lagi dengan lima negeri ditadbir oleh pembangkang, agak sukar bagi menteri dan timbalan menteri hendak melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Kerjasama oleh PAS, PKR dan DAP untuk menerima kehadiran menteri dan timbalan menteri lebih-lebih perdana menteri sama seperti yang diterima di Kelantan. Malah dalam banyak majlis anjuran kerajaan pusat, amat jarang menteri besar dijemput bersama.
Kemenangan yang kecil memberikan desakan yang besar ke atas Barisan Nasional bagi menghadapi cabaran dan asakan. Sebaik sahaja YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO mendapat mandat membentuk kerajaan, sudah ada suara yang meminta beliau berundur dan meletakkan jawatan. Ada juga kain rentang yang dipasang di sekitar Kampung Baru dan Jalan Tun Razak yang meminta beliau berundur segera. Malah masih ada penyokong kuat UMNO di Johor yang menyifatkan UMNO adalah sebuah parti "sendirian berhad" berbanding untuk orang Melayu secara umum.
Orang Melayu mula menolak UMNO dan Barisan Nasional kerana pemimpin parti itu tidak menjaga hak dan kepentingan mereka. Pendidikan yang membebankan, hidup yang semakin perit, jenayah bertambah dan wakil rakyat yang lebih suka "buat duit" daripada berkhidmat kepada rakyat adalah di antara penolakan ini dilakukan secara besar-besaran.
Di Kedah dan Kelantan, dua buah negeri yang ditadbir oleh PAS, kerajaan pusat tidak akan beri kerjasama sepenuhnya dalam pembangunan walaupun ada banyak projek. Jika diambil Kelantan sebagai contoh, ketika majlis kerajaan pusat yang dihadiri oleh perdana menteri atau timbalan perdana menteri, yang hadir adalah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di samping pegawai dari Jabatan Pembangunan Persekutuan. Dijangkakan kaedah yang sama akan digunakan oleh Barisan Nasional di empat buah negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Kerajaan pusat terpaksa bertindak untuk menjaga kepentingan politik dan memastikan faedah pembangunan turut dikecapi oleh rakyat. Mereka juga perlu berusaha menarik kembali sokongan rakyat terutama orang Melayu yang merupakan kelompok majoriti. Jika semua urusan pembangunan diserahkan kepada kerajaan negeri, lambat-laun Barisan Nasional akan menjadi pembangkang.
Pilihan raya 2008 mencatatkan rekod kepada orang Melayu. Mereka tidak lagi memikirkan kesan jangka panjang ke atas kuasa dan suara mereka di parlimen dengan memberi undi kepada parti etnik Cina iaitu DAP yang umum mengetahui amat anti kepada Melayu dan Islam. Tindakan Lim Kit Siang yang meminta semua wakil rakyat DAP memulaukan majlis angkat sumpah menteri besar di Perak adalah satu contoh ketaksuban ideologi mereka. Malah perjuangan Malaysian Malaysia yang didokong oleh parti itu sedikit pun tidak membawa faedah kepada perjuangan umat Islam untuk menjadi khalifah di dunia.
Kegusaran orang Melayu di Pulau Pinang dan Perak terhadap masa depan hidup mereka ditunjukkan melalui demonstrasi. Apakah yang mereka hendak risaukan? Adakah mereka tidak cukup makan atau tidak dapat bekerja? Adakah juga mereka bimbang suara mereka tidak lagi akan didengari?
Tidak ada asas kepada kebimbangan ini walaupun media menyiarkan pelbagai isu hangat berkenaan ketuanan Melayu di Malaysia. Apa yang dapat diperhatikan ialah demonstrasi berkenaan adalah tindak balas spontan kerana kekhuatiran mereka mengenai nasib dan masa depan. Tidakkah mereka sedar di mana nasib mereka sebelum ini? Barangkali masa hadapan mereka lebih baik. Tindakan yang mereka wajar lakukan ialah memberi kerjasama bagi memastikan hak dan masa depan mereka terjamin dan pada masa yang sama dapat mendidik pemimpin Cina untuk menghormati hak orang Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Kuasa Melayu di Selangor turut berkurangan kerana menteri besar hanyalah simbol kepada kekuasaan manakala exco yang berperanan melaksanakan keputusan. Tanpa kerjasama exco, menteri besar akan mendapat imej buruk. Justeru, DAP akan memberi tekanan kepada pemimpin Melayu untuk mengikut telunjuk mereka dan memang diketahui, Cina lebih mementingkan hak mereka dan tidak begitu peduli apa yang berlaku ke atas kaum lain.
Kemenangan PAS-PKR-DAP adalah permulaan awal kepada penghakisan kuasa Melayu yang didominasi oleh UMNO. Keadaan ini berlaku tidak disebabkan oleh pembangkang tetapi kerana sikap dan perlakuan wakil rakyat UMNO sendiri. Rakyat sudah muak dengan sikap mereka yang lebih mementingkan diri dan anak-beranak berbanding rakyat marhaen. Jika difikirkan secara rasional, apakah seorang calon pembangkang yang masih muda, tidak ada pengalaman politik dan hanya dikenali sebaik sahaja video Lingam didedahkan, tiba-tiba menang dan menjadi orang politik sekelip mata. Jika rakyat masih sayang kepada UMNO, tentu perkara ini tidak akan berlaku.
Orang Melayu kecewa kerana Barisan Nasional gagal menyelesaikan banyak masalah yang berkaitan dengan hidup mereka. Melayu di Kedah, Perak dan Selangor membuat keputusan untuk beralih angin kerana mereka tidak yakin dan tidak ada harapan pada UMNO. Nikmat hidup yang dihajati tidak dapat dikecapi kerana kemewahan hanya berlegar di sekitar beberapa orang sahaja.
Konsep ketuanan Melayu berbeza dengan politik Islam. Pilihan raya 2008 kita dapat lihat anak-anak muda, orang Cina dan India yang bersemangat membantu kemenangan PAS. Walaupun bukan Islam mengundi bagi kemenangan parti Islam, ianya tidak menggambarkan kemenangan Islam biar pun tentunya ia lebih baik daripada UMNO. Penyelidik melihat kemenangan PAS di Kedah dan Kelantan belum lagi mencapai tanda aras yang boleh diisytiharkan sebagai kemenangan Islam tetapi perkembangan ini sedang merintis kepada kejayaan Islam pada masa hadapan.
Orang Melayu sangat unik. Ketika pada awal merdeka dahulu mereka inginkan perubahan hidup. Kemiskinan, tahap pendidikan yang rendah dan kehadiran mereka di bandar menjadi keutamaan kerajaan untuk mengubahnya. Apabila taraf hidup mereka lebih baik, mereka mendesak pula kerajaan untuk mempastikan ajaran dan dan amalan agama mesti menjadi keutamaan dan sebahagian daripada sistem pentadbiran negara. Jadi wujudlah perbankan Islam, mahkamah syariah, pendidikan Islam dan universiti Islam. Kini keadaan hidup mereka bertambah baik. Dasar-dasar kerajaan yang pro Melayu membantu mempercepatkan perubahan ini.
Sekarang, mereka hendakkan keadaan yang lebih baik untuk agama dan bangsa mereka. UMNO tidak mampu memimpin Melayu untuk kuat beragama, menjadi lebih soleh dan yang penting anak-anak generasi muda tidak menjadi mat rempit, penagih dadah atau terjebak dalam masalah sosial. Berapa ramai anak-anak muda Melayu yang telah punah akhlaknya, tidak lagi kenal sejadah dan tidak pernah solat? Sebab itulah sekolah agama sering mendapat perhatian dan ibu bapa berlumba-lumba untuk menempatkan anak-anak di situ kerana sekolah agama adalah benteng kukuh untuk membina jati diri anak-anak Melayu bagi menghadapi kerosakan akhlak.
Penyelidik melihat senario ini hampir sama dengan apa yang berlaku kepada masyarakat Melayu Patani yang begitu bersungguh-sungguh mengukuhkan institusi pondok dan madrasah dengan harapan dapat mengekalkan jati diri masyarakat Islam daripada pengaruh jahat penjajah Thailand.
Disebabkan UMNO gagal melihat perkara ini sedang berlaku di peringkat akar umbi, keghairahan masyarakat Melayu ini disalurkan kepada PAS yang dilihat mampu dan lebih agresif. Watak dan ketokohan Mursyidul Am parti tersebut, Datuk Nik Aziz begitu terserlah dan sentiasa menjadi harapan kepada Melayu Islam yang lebih alim dalam beragama, lebih kuat dalam usaha dan lebih bijak dalam mentadbir hidup. Ada yang membandingkan Haji Hadi Awang, Presiden PAS dengan Datuk Nik Aziz dan membuat rumusan: jika Haji Hadi wataknya sama seperti Nik Aziz, sudah lama Terengganu jatuh ke tangan PAS. Orang Melayu tidak lagi berfikir hanya cukup makan, tidak sakit atau keluarga okey sebaliknya mula sedar hak dan kepentingan mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.
Dijangkakan kesedaran politik orang Melayu di Kedah dan Perak akan lebih terserlah dan mencipta keajaiban pada masa depan. Ruang sedang diberi kepada tokoh-tokoh muda yang lebih cerdik, berwibawa dan mahu kepada penghayatan Islam yang tentunya bakal menjadi cabaran kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Semasa Barisan Nasional mentadbir, kita lebih banyak mendengar larangan tokoh-tokoh agama tertentu memberi kuliah daripada gesaan memberi kuliah di masjid dan surau. Kini larangan berkenaan tidak lagi wujud dan peluang untuk masyarakat Islam mendapat penjelasan tentang politik dan Islam menjadi lebih luas. Dalam jangka masa panjang, orang Melayu akan mendapat nafas segar untuk membina kefahaman mereka dalam beragama.
Daripada analisis ringkas ini, perubahan politik Malaysia pada peringkat awalnya disambut dengan meriah. Tetapi setelah diperhalusi dari pelbagai perspektif, kesedaran untuk mengekalkan kuasa Melayu kembali menjelma. Keadaan ini bukanlah kekurangan atau menunjukkan Melayu amat lemah membuat percaturan tetapi sebagai proses pembelajaran supaya peranan mereka bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.
Cina, India, Iban dan Kadazan adalah sumber terbesar kepada dakwah dan tarbiyah. Peranan PAS adalah mendidik dan memperkenalkan kefahaman Islam kepada mereka. Untuk mengharapkan DAP dan PKR melakukan dakwah, ia umpama jauh panggang dari api. DAP dengan ideologi sempitnya manakala PKR ada sedikit sinar tetapi malang tidak ada wawasan yang jelas tentang kekuatan umat Islam dan sumbangan kepada gerakan politik Islam di peringkat global.
Kini, Melayu sudah pandai, sudah jadi jutawan dan sudah sampai ke angkasa lepas. Apa lagi yang menghalang mereka daripada terus menentukan nasib dan masa depan bangsa Melayu melainkan mereka sendiri. Mereka ada kitab al-quran yang salah satu daripada ayatnya berbunyi begini: Kami turunkan kepadamu Al-Qur’an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam. (Surah Al-Nahl, ayat 89)
Jadi, apa lagi yang mereka risau dan bimbang tentang masa depan? Melayu di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor perlu membuang jauh-jauh pemikiran buruk dan melihat masa depan sebagai milik mereka.