1.0 Pengenalan
Dalam kehidupan kita seharian, pantang larang
telah diwujudkan dan tetap dipatuhi oleh masyarakat sejak turun-temurun agar
dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Pantang larang yang diamalkan dengan
pelbagai bentuk kepercayaan yang berbeza dalam setiap etnik telah diwujudkan di
negara Malaysia yang berbilang kaum.
Amalan pantang larang merupakan suatu bentuk
peraturan yang diwarisi secara turun temurun sejak berkurun-murun lamanya.
Pantang larang juga boleh dikatakan sebagai kepercayaan masyarakat pada zaman
lampau yang berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Menurut
Sheikh Othman bin Seikh Salim dalam Kamus Dewan Edisi Yang Ketiga (hlm. 975),
pantang larang secara ringkasnya bermaksud suatu kepercayaan yang meliputi dari
sejak manusia itu dilahirkan sehinggalah manusia itu dewasa dan akhirnya
meninggal dunia. Kewujudan pantang larang juga adalah untuk mendidik masyarakat
khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik
yang boleh diamalkan dalam kehidupan mereka. Namun, kebanyakan generasi muda
kini tidak tahu pantang larang etnik diri sendiri dan etnik lain di Malaysia.
Hal ini akan menjejaskan keharmonian hidup dan dapat mempengaruhi hubungan
etnik di Malaysia.
1.1 Objektif Kajian
Objektif pelaksanaan kajian ini adalah seperti
berikut iaitu mengenal pasti sejauh manakah kepekaan terhadap amalan pantang
larang dalam kalangan generasi muda, mengetahui faktor-faktor mempengaruhi
amalan pantang larang, memahami implikasi terhadap amalan pantang larang dalam
kalangan generasi muda dan mengetahui
kepentingan amalan pantang larang terhadap masyarakat.
2.0 Metodologi Kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif.
Pandangan dari orang lain adalah penting dalam kajian ini. Kaedah pertama yang dijalankan
adalah mencari maklumat tentang amalan pantang larang melalui rujukan artikel
dan laman sesawang. Kaedah yang kedua
dalam melaksanakan kajian ini adalah temu bual dengan gologan muda yang
berbilang kaum dan menganalisis persepsi mereka terhadap amalan pantang larang.
Melalui kaedah-kaedah tersebut, kajian ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
3.0 Hasil Kajian
Kajian ini telah menemubual tiga orang responden. Responden terdiri
daripada kaum Cina, Melayu dan India yang bergolongan antara umur 20 hingga 25
tahun. Tindakan ini adalah untuk
mendapatkan persepsi mereka terhadap amalan pantang larang pelbagai etnik di
Malaysia. Justeru itu, sebanyak lapan soalan kajian telah ditanyakan kepada
tiga orang responden ini.
Soalan 1: Apakah pandangan anda terhadap amalan pantang larang?
Soalan ini adalah berkaitan dengan objektif yang pertama iaitu dapat
mengenal pasti bahawa sejauh manakah kepekaan terhadap amalan pantang larang
dalam kalangan generasi muda .Melalui temu bual, responden Cina menyatakan
bahawa pantang larang merupakan sesuatu amalan tradisional yang kita harus ikut
dan ia merupakan amalan yang diutamakan oleh masyarakat pada zaman dahulu.
Responden Melayu menyatakan bahawa amalan pantang larang adalah satu amalan
tradisional untuk mencegah perbuatan buruk dan menjaga tingkah laku seseorang.
Menurut Ani Haji Omar (2014), pantang larang merupakan salah satu warisan
budaya masyarakat Melayu tradisional yang amat tinggi nilainya. Manakala
responden India pula menyatakan bahawa amalan pantang larang ini adalah amalan
tradisional daripada nenek moyang pada zaman dahulu untuk mendidik sikap
peribadi seseorang. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, pantang larang
merupakan kepercayaan masyarakat zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya
warisan nenek moyang. Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun-
temurun.
Soalan 2: Pada pandangan anda, bagaimanakah amalan pantang larang dapat
memainkan peranan dalam generasi muda
pada masa kini?
Soalan ini berkaitan dengan objektif yang keempat iaitu dapat mengetahui
kepentingan amalam pantang larang. Responden Cina berpendapat bahawa pantang
larang dapat mengawal sikap generasi muda kini dan memastikan seseorang tidak
akan membuat sesuatu yang tidak baik. Amalan ini mengajar seseorang remaja untuk
berdisiplin dan menjaga sikap mereka setiap hari. Amalan pantang larang dapat
mengelakkan seseorang melakukan sebarang perkara yang tidak disiplin dengan
kepercayaan yang diwarisi daripada nenek moyang. Responden Melayu berpendapat
bahawa media teknologi dapat membantu amalan pantang larang memainkan peranan
dalam generasi muda kini. Pada pandangannya, amalan pantang larang merupakan
salah satu alternatif bagi mengajar ataupun menjadi panduan bagi generasi muda
menjalani hidup yang lebih baik dengan akhlak yang baik. Responden India
berpendapat bahawa pelbagai kaum mempunyai pantang larang yang tersendiri,
amalan ini yang diwarisi oleh nenek moyang merupakan perbuatan yang sopan. Jika
seseorang tidak mengamalkan pantang larang, akan dianggap sebagai tidak sopan.
Soalan 3: Pada pandangan anda, mengapakah pantang larang semakin
diabaikan?
Soalan ini berkaitan dengan salah satu objektif tugasan iaitu dapat
mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pantang larang. Merujuk
kepada responden Cina, beliau telah menjawab bahawa pantang larang diabaikan
pada masa kini adalah kerana ibu bapa tidak memainkan peranan yang penting
dalam mengamalkan pantang larang. Hal ini kerana mereka kurang percaya terhadap
pantang larang disebabkan ia tidak mempengaruhi kehidupan mereka pada zaman
moden kini. Merujuk responden Melayu pula, beliau menjawab bahawa bukan semua
keluarga pada masa kini mengamalkan amalan pantang larang terutamanya di
kawasan bandar. Sekiranya sesebuah keluarga tidak mengamalkan amalan pantang
larang, generasi muda dalam keluarga tersebut tidak akan tahu apa itu pantang
larang serta kepentingannya dan tidak akan mengamalkan selama-lamanya. Merujuk
kepada responden India pula, beliau menjawab bahawa amalan pantang larang
diabaikan adalah kerana masyarakat kini semakin mengejar zaman kekayaan dan bersikap
materialistik. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk melakukan
amalan pantang larang yang sepatutnya diaplikasikan.
Soalan 4: Bilakah pantang larang sesuai diaplikasikan dalam kehidupan
seharian dasawarsa ini?
Soalan ini adalah berkaitan dengan objektif yang ketiga iaitu memahami
implikasi terhadap amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda.
Responden Cina menyatakan pantang larang sesuai diaplikasikan sejak kecil lagi.
Hal ini kerana jika amalan ini diamalkan sejak kecil nescaya mereka akan mengamalkannya
sampai ke dewasa. Responden Melayu pula menyatakan bahawa amalan pantang larang
perlu diaplikasikan pada zaman dahulu dan pada zaman kini. Hai ini kerana
amalan pantang larang mengandungi adat dan kepercayaan kaum masing-masing yang
dapat mengajar kita untuk menjadikan sikap dengan lebih baik. Responden India
menyatakan bahawa amalan pantang larang dapat diaplikasikan dalam kehidupan
seharian melalui perayaan, perkahwinan serta dalam rumah. Generasi muda akan
tahu cara yang sopan dan baik dalam melakukan setiap perkara. Hal ini dapat
melahirkan pemuda yang berpengetahuan dan rasional.
Soalan 5: Di kawasan manakah pantang larang semakin diabaikan pada masa
kini sama ada kawasan bandar atau pedalaman?
Soalan ini berkaitan dengan objektif pertama iaitu dapat mengenal pasti
bahawa sejauh manakah kepekaan kepada amalan pantang larang dalam kalangan
generasi muda. Responden Cina menyatakan bahawa kebanyakan orang dari kawasan
bandar mengabaikan pantang larang berbanding dengan orang di kawasan pedalaman
kerana fikiran orang bandar lebih moden dan pantang larang tidak dapat
dibuktikan secara saintifik. Responden Melayu berpendapat bahawa orang kawasan
bandar terdedah kepada teknologi ataupun kemudahan-kemudahan yang zaman
sekarang dan rasa mereka tidak memerlukan amalan pantang larang. Responden
India menyatakan bahawa kawasan bandar semakin mengabaikan amalan pantang
larang ini kerana mereka yang sibuk bekerja dan menyebabkan tidak ada masa
untuk mendidik anak-anak mereka amalan pantang larang. Dalam masyarakat yang
kompetitif, banyak orang dewasa memilih meluangkan kebanyakan masa untuk kerja.
Masalah ini telah menenggelamkan kebudayaan yang semakin kurang difahami dan
dikenali oleh golongan muda pada zaman kini.
Soalan 6: Sejauh manakah amalan pantang larang mempengaruhi kualiti
hidup anda?
Soalan ini berkaitan dengan objektif tugasan ini iaitu dapat mengetahui kepentingan
amalan pantang larang. Responden Cina berpendapat bahawa pantang larang dapat
mengelakkan sesuatu kemalangan berlaku pada beliau dan akan sikap lebih positif
dalam kehidupan dengan mengamalkan pantang larang. Responden Melayu berpendapat
bahawa amalan pantang larang telah mendidik beliau untuk mengekalkan kehidupan
yang baik sejak kecil lagi. Menurut Ummu Iman (2013), pantang larang digunakan
untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Merujuk kepada responden India pula, beliau menjawab bahawa amalan pantang
larang mempengaruhi kehidupannya dengan melahirkan seseorang yang lebih
bersopan santun, berdisiplin dan hormat terhadap orang-orang tua. Selain itu,
amalan ini juga mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga.
Soalan 7: Adakah anda rasa bersalah jika tidak mengikut pantang larang
masyarakat anda?
Soalan ini adalah berkaitan dengan pengetahuan mengenai kepentingan
amalan pantang larang. Responden Cina menyatakan bahawa jika beliau tidak
mengikut amalan pantang larang, beliau akan rasa bersalah. Beliau menyatakan
bahawa amalan pantang larang adalah satu budaya tradisional dan jika tidak
mengikutinya generasi yang akan datang juga tidak akan mengamalkan amalan
pantang larang. Responden Melayu pula menyatakan perasaan rasa bersalah itu
bergantung kepada individu masing-masing. Jika keluarganya terdiri darpida
orang yang mengamalkan budaya amalan pantang larang maka mereka akan rasa
bersalah jika tidak mereka akan rasa tidak bersalah. Namun, keluarga beliau
tidak mengamalkan amalan ini, maka beliau tidak berasa bersalah. Responden
India pula menyatakan bahawa beliau akan rasa bersalah. Ini kerana,beliau
menyatakan amalan pantang larang ini adalah amalan warisan kaum dan jika tidak
mengikutinya menujukkan bahawa beliau tidak hormat kepada kaumnya.
Soalan 8: Bagaimanakah pantang larang dalam masyarakat anda dapat
dikekalkan?
Soalan ini berkaitan dengan objektif pertama iaitu dapat mengenal pasti
bahawa sejauh manakah kepekaan kepada amalan pantang larang dalam kalangan
generasi muda. Responden Cina berpendapat bahawa peranan ibu bapa penting dalam
memupuk amalan pantang larang ini. Sebagai ibu bapa, mereka harus memupuk
anak-anak mereka mengamalkan pantang larang sejak kecil lagi dan memberitahu
anak mereka kepentingan atau kebaikan amalan pantang larang. Responden Melayu
menyatakan bahawa menganjurkan aktiviti ataupun program di kawasan perumahan
dapat mengekalkan amalan pantang larang. Melalui aktiviti-aktiviti ini,
generasi muda terutamanya di kawasan bandar yang mengabaikan amalan ini dapat
diajar amalan pantang larang. dengan teliti. Seterusnya, responden India
berpendapat bahawa pantang larang dalam masyarakat boleh dikekalkan oleh pihak
ibu bapa khususnya mengaplikasikan dan menjadi tunjuk ajar kepada anak-anak
mereka supaya amalan ini dapat diwarisi dalam keturunan mereka.
4.0 Kesimpulan
dan Cadangan
Dalam kajian ini, kita telah memahami persepsi generasi muda terhadap
pantang larang pelbagai etnik di Malaysia pada masa kini. Melalui kajian ini, kita
juga telah mengenal pasti bahawa
kebanyakan generasi muda kini masih peka terhadap amalan pantang larang kerana
mereka menerangkan amalan pantang larang merupakan warisan nenek moyang yang
penting dan harus diamalkan oleh generasi muda kini terutamanya yang di kawasan
bandar. Kajian ini telah menjelaskan bahawa peranan ibu bapa dan keluarga
merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pantang larang dalam kalangan
generasi muda kini melalui ketiga-tiga responden ini. Kajian ini juga telah
menonjolkan bahawa implikasi amalan pantang larang dalam kalangan generasi muda
adalah baik.
Kepentingan amalan pantang larang juga telah diterangkan melalui kajian
ini. Amalan pantang larang merupakan amalan yang penting dan baik melalui
persepsi generasi muda kini. Masalah amalan pantang larang harus dibendung
dalam masa yang singkat supaya amalan ini dapat dikekalkan selama-lamanya.
Semua pihak haruslah bersatu-padu mengamalkan amalan pantang larang pada zaman
kini agar amalan ini terus membawa manfaat kepada kita dan mempercepatkan
negara Malaysia mencapai Wawasan 2020
dengan maju.
Dalam
memastikan golongan muda mengamalkan amaln pantang larang, pihak kerajaan harus
mengadakan kempen-kempen yang berkaitan amalan pantang larang di kawasan
penempatan masyarakat dan memberi tumpuan dalam penyebaran pengetahuan amalan
pantang larang pelbagai etnik melalui media massa.
Guru-guru harus mengajar para pelajar tentang amalan pantang larang pelbagai
kaum di Malaysia serta memberitahu kepentingan amalan tersebut kepada mereka. Ibu bapa perlu memupuk
amalan ini terhadap anak mereka sejak kecil lagi. Akhirnya, pemikiran golongan
generasi muda terhadap amalan pantang larang haruslah berubah dan harus sedar
bahawa amalan ini merupakan warisan nenek moyang mereka.
Rujukan
Uthaya Sankar SB (2012).
Kepercayaaan ‘karut’ kaum India. Diambil 5 November 2015, dari www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/03/26/kepercayaan-karut-kaum- india/
JELANI, H.
(2009). Blog sumber
guru pendidikan sivik dan kewarganegaraan sekolah rendah: kepentingan mengekalkan budaya warisan
bangsa. Psksksd.blogspot.my.
Diambil 5 November 2015, dari psksksd.blogspot.my/2009/08/kepentingan-mengekalkan-buadaya-warisan.html
Zegaugustin1228.blogspot.my,. (2015). Usaha
Mengekalkan warisan budaya. Diambil 5 November 2015, dari zegaugustin1228.blogspot.my/
Temu bual
bersama En Hew Khai Sheng, En.Varneshwaran a/l Seathuraman serta
En.Fazal Amsyar bin Suznan
pada 31 Oktober dan 2 November 2015.
Iman, U., Iman, U., & profile, V. (2013). Yang
Istimewa.....Pastinya Teristimewa.: PANTANG LARANG MASYARAKAT MELAYU - SUBJEK
EDU3106. Pendidik-istimewa.blogspot.my. Diambil 5 November 2015,
dari pendidik-istimewa.blogspot.my/2013/02/pantang-larang-masyarakat-melayu-subjek.html
Academia.edu,. (2015). Konsep bdya,
msyarkt, kbdyaan. Diambil 4 November 2015, dari http://www.academia.edu/6329359/Konsep_bdya_msyarkt_kbdyaan
Bmk12010.blogspot.my,. (2010). Pantang
Larang Kaum Melayu, Cina,dan India. Diambil 5 November 2015, dari bmk12010.blogspot.my/
MZ Zainudin, Chong Hong Leong, Yap Joon Ping, Adam Syafiq Mohd Ghazali, Mohd Imran Suran,
Muhammad Affan Abibullah
No comments:
Post a Comment