Pasar raya Tesco di Alma baru-baru ini menjadi perhatian kerana mempamerkan sifat prihatin yang sangat menyentuh hati. Mereka bukan sahaja berjaya menangkap seorang pencuri malah menawarkan pekerjaan untuk pencuri tersebut setelah mengenal pasti masalah sebenar yang menyebabkan pencuri itu bertindak mencuri.
Punca sebenar kecurian itu adalah faktor kemiskinan dan masalah keluarga.
Keprihatinan pasar raya itu dipanjangkan lagi dengan mengambil berat keperluan keluarga dan anak-anak lelaki yang ditangkap itu.
Kes seperti ini jarang-jarang berlaku. Biasanya pencuri akan mengambil kesempatan jika ada peluang dan waktu yang sesuai. Pencuri seperti ini bukan sahaja orang muda, malah merangkumi sesiapa sahaja yang mengharapkan lebih banyak peluang untuk mereka mencuri.
Tujuan mencuri berbagai-bagai. Ada yang mencuri kerana hendak penuhi keinginan diri seperti membeli barangan mewah dan melancong. Penagih dadah juga boleh dikategorikan dalam kelompok ini. Habis kasut jemaah yang bersolat di masjid dicuri kerana mahu memenuhi keinginan gian mereka.
Ada juga yang mencuri kerana memang mahu mencuri. Pencuri jenis ini melibatkan sindiket terancang merentas sempadan negeri atau negara. Contohnya mencuri kereta mewah untuk eksport. Curi jenis ini melibatkan semua jenis aktiviti "dosa" seperti menyogok kakitangan awam, menipu dokumen dan palsukan nombor kenderaan.
Dalam kes curi, tidak dapat dinafikan kemiskinan merupakan faktor yang menyumbang kepada aktiviti mencuri. Tanpa pekerjaan, seorang pencuri tidak ada pendapatan untuk membeli barang keperluan lalu kaedah paling mudah ialah mencuri. Dalam keadaan demikian, seseorang yang tidak berniat mencuri pasti akan terdesak mengambil barang bagi mengelak kelaparan. Orang yang dalam keadaan lapar tidak mampu berfikir lebih jauh kerana yang difikirkan ialah mengisi perut.
Langkah pasar raya Tesco bertepatan dengan konsep ehsan iaitu menjaga kebajikan. Kita berharap pencuri berkenaan dapat mengubah tingkah lakunya dan menghargai bantuan yang diberikan.
No comments:
Post a Comment