1.0 Pengenalan
Etnik
Bugis merupakan salah satu etnik yang terdapat di Malaysia. Menurut sejarah, masyarakat Bugis terkenal
dengan kepakaran dan kehandalan dalam bidang maritim dan ilmu laut. Mereka juga
terkenal dengan sifat kepahlawanan dan lanun yang digeruni pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka. Tujuan kajian dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada
golongan muda generasi kini dari segi sejarah, kebudayaan, amalan tradisional
etnik Bugis yang kian ditelan zaman moden. Melalui pemahaman yang baik terhadap
budaya sesebuah etnik, kerjasama dan perpaduan dalam sesebuah masyarakat dapat
dipupuk. Hubungan harmonis antara pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah
masyarakat Malaysia yang teguh dan dapat merealisasikan impian 1Malaysia. Dalam
proses mengkaji dan menganalisis ciri-ciri yang membentuk kumpulan etnik Bugis,
aspek akar umbi kepada motivasi yang membentuk batas kumpulan perlu difahami.
1.1 Objektif Kajian
Ojektif kajian ini adalah mengetahui
asal usul serta latar belakang masyarakat Bugis di Malaysia, mengetahui
penguasaan orang Bugis dalam pentadbiran di Malaysia pada abad ke-18 dan mengenal
pasti adat, budaya, kesenian serta sosial etnik Bugis di Malaysia. Hasil
daripada kajian yang dijalankan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan
kefahaman tentang etnik Bugis di Malaysia. Individu yang memahami budaya lain
tidak akan mempunyai masalah untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan
individu yang berlainan agama dan bangsa. Selain itu, individu itu juga tidak
akan mengalami kejutan budaya jika berada di kawasan masyarakat yang berlainan
bangsa dan agama.
2.0 Metodologi Kajian
Kajian ini telah
menggunakan kaedah kualitatif untuk mengumpulkan maklumat agar dapat
menghasilkan satu laporan kajian yang lengkap. Maklumat berkaitan tajuak kajian
diperolehi melalui rujukan interner, berita
dan jurnal. Namun, rujukan internet merupakan rujukan utama dan paling berkesan
untuk mencari maklumat. Melalui informasi dan maklumat yang diperoleh, kajian
ini dapat dianalisis secara mendalam untuk memperkukuhkan tajuk kajian kami
melalui sumber-sumber yang kami perolehi.
Di samping itu, rujukan
kedua adalah melalui rujukan buku ilmiah. Antara buku ilmiah yang dirujuk adalah
“Modul Hubungan Etnik” edisi kedua terbitan Shamsul Amri Baharuddin untuk
memahami lebih mendalam konsep kesepaduan etnik dalam sesebuah masyarakat untuk
membentuk kesejahteraan serta keharmonian dalam masyarakat.
Rujukan ketiga yang
digunakan adalah melalui artikel. Rujukan artikel yang diambil adalah dari
sumber yang boleh dipercayai seperti artikel terbitan universiti awam lain. Artikel
ini dianalisis dan dibandingkan supaya tepat dan sahih.
Rujukan terakhir adalah
melalui temu bual. Kaedah ini telah dijalankan ke atas pelajar-pelajar
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berketurunan Bugis. Kaedah temu
bual ini dijalankan dengan sesi soal jawab merangkumi keempat-empat aspek
kajian iaitu asal usul etnik Bugis, perayaan, makanan serta cabaran yang dihadapi
etnik Bugis pada masa kini.
3.0 Dapatan Kajian
3.1 Sejarah dan latar belakang etnik Bugis di Malaysia
Masyarakat Bugis mempunyai
suatu tradisi dalam kehidupan mereka iaitu belayar, mengembara, berdagang dan
merantau. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penghijrahan mereka, salah
satunya ialah penjajahan Belanda di Indonesia. Terdapat dua tahap migrasi orang
Bugis ke Tanah Melayu. Tahap pertama ialah migrasi pada pertengahan kurun ke-16
akibat tekanan penjajah. Migrasi tahap kedua berlaku ketika Sulawesi mengalami
kemiskinan dan gejala sosial yang serius. Pada masa yang sama, faktor tarikan
dari Tanah Melayu seperti peluang pekerjaan dan pembukaan tanah baru yang
menjamin masa depan.
3.2 Penguasaan orang Bugis dalam politik dan pentadbiran di Johor,
Kedah dan
Perak
Penglibatan
orang Bugis di Johor
Sultan Abd. Jalil IV dan
puteranya, Raja Sulaiman berperang
dengan Raja Kechil (Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah) dan dimenangi oleh Raja
Kechil. Raja Sulaiman dilantik menaiki
takhta kerajaan menggantikan Sultan Abd Jalil IV dengan gelaran Sultan Sulaiman
Badrul Alam Shah. Kenaikan takhta Sultan Sulaiman ini secara langsung telah
mengiktiraf penglibatan orang Bugis dalam politik di Johor. Orang Bugis telah mengubah sistem kerajaan Johor kerana Sultan
Sulaiman yang telah menjadi sultan Johor bukan lagi keturunan diraja tetapi
keturunan bendahara. Secara tidak langsung, ia telah menghapuskan warisan Kesultanan
Melayu Melaka di Johor. Perkahwinan
lima Bugis bersaudara dengan kerabat Diraja Johor telah mengukuhkan lagi
pengaruh mereka dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya peranan orang-orang
Bugis dalam politik dan pentadbiran Johor.
Penglibatan
dan penguasaan orang Bugis di Kedah
Perang saudara antara
adik-beradik Raja Kedah telah menyebabkan wujudnya orang Bugis di Kedah. Perang
ini melibatkan Raja Kedah yang tua dan Raja Kedah yang muda. Raja Kedah yang
tua telah meminta bantuan dari orang Bugis dan sebagai pembalasan, baginda telah
memberi habuan kepada orang Bugis berbentuk wang ringgit sebagai tanda terima
kasih. Selain itu, Daeng Perani dinikahkan dengan adik Raja Tua Kedah. Peristiwa ini menunjukkan penglibatan dan
penguasaan orang Bugis terhadap politik dan sosial Kedah.
Penglibatan
dan penguasaan orang Bugis di Perak
Pada tahun 1728, Daeng Merewah dan Yamtuan Muda Johor bersama-sama
orang Bugis telah membantu Sultan Perak untuk memerangi abangnya Sultan
Alauddin Mughayat Syah di Selangor. Malangnya, Daeng Merewah terbunuh dalam
peperangan tersebut dan jawatan Yamtuan Muda diserahkan kepada Daeng Chelak.
Justeru itu, orang-orang Bugis telah melibatkan diri mereka dalam bidang
politik, pentadbiran dan sosial di negeri Perak. Di samping itu, pertabalan Sultan
Mahmud sebagai Sultan Perak pada tahun 1766 mengukuhkan lagi penguasaan Bugis
di Tanah Melayu terutamanya di Selangor.
Bahasa
dan tulisan orang Bugis
Bahasa Bugis adalah salah
satu bahasa nusantara yang terdapat dalam austronesia iaitu salah satu
bahasa yang dikatakan berasal dari keluarga Malayo-Polynesia ataupun
dikenali sebagai bahasa ugi. Tulisan Bugis dikenali sebagai lontara
atau aksara Bugis. Lontara adalah tulisan kuno Bugis yang ditulis
di atas sejenis daun palma kering dan ditulis dengan garisan-garisan tajam.
Kegiatan
sosioekonomi orang Bugis
Kegiatan komuniti Bugis di
Sulawesi adalah menjalankan pertanian secara aktif. Antara tanaman utama mereka
adalah padi, jagung, pelbagai jenis ubi, kekacang dan sayur-sayuran. Orang-orang
Bugis juga menceburi dalam bidang perdagangan dan perikanan. Orang-orang Bugis adalah
antara saudagar-saudagar yang terbaik di kepulauan Timur dan nilai kargo mereka
sangat tinggi sehingga menyebabkan kaum peniaga sentiasa menunggu-nunggu
ketibaan mereka.
Orang-orang Bugis juga
memonopoli kawasan bijih timah dan penanaman gambir di Tanah Melayu. Mereka
mula melibatkan diri dalam aktiviti perlombongan bijih timah sedekad lebih awal
sebelum orang-orang Cina membukanya secara besar-besaran pada abad ke-20.
Agama dan adat budaya
orang Bugis
Dalam konteks agama,
masyarakat Bugis di Sulawesi mempercayai Tuhan yang digelar Dewa. Masyarakat Bugis di Sulawesi mempercayai dewa
tertinggi yang dinamakan sebagai Patoto‘e (Dewa Yang Menentukan Nasib) atau Dewata
seuwa’e (Dewa Yang Tunggal). Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan
bahawa pada awalnya komuniti Bugis di Sulawesi beragama Buddha sebelum memeluk
Islam. Komuniti Bugis dan Makassar telah meninggalkan kepercayaan asal mereka
dan akhirnya memeluk Islam.
Pada awal abad ke-17,
orang-orang Bugis telah memeluk agama Islam bersama-sama orang-orang Aceh dan
Minangkabau dari Sumatera, orang-orang Melayu dari Mindanao, orang-orang Banjar
dari Borneo dan orang-orang Sunda dari Jawa Timur. Setelah memeluk Islam, amalan,
adat dan budaya yang diwarisi oleh etnik Bugis sejak zaman berzaman
kebanyakannya sudah ditinggalkan dan ditukar dengan budaya lain serta ditambah
dengan permodenan. Antaranya ialah adat perkahwinan dan adat naik buai bagi
bayi yang baru dilahirkan. Orang-orang Bugis juga amat menggalakkan perkahwinan
sesama etnik untuk mengekalkan budaya dan bahasa mereka. Di samping itu, mereka
juga mahu kekayaan yang mereka perolehi hanya dapat dikekalkan dalam kalangan
keluarga mereka sahaja.
Konsep budaya dalam
masyarakat Bugis adalah berteraskan tiga konsep utama iaitu pisse (sikap
setiakawan yang kukuh), siri’ (
harga diri dan maruah diri) serta syara
(syariat Islam). Tiga konsep utama ini telah menjadikan masyarakat Bugis hidup
bermuafakat, mempunyai jati diri yang kuat di samping menjalani kehidupan
mengikut landasan Islam.
Makanan dan seni tarian
orang Bugis
Barongko adalah makanan penutup
khas suku Bugis, dibuat daripada adunan pisang yang dihaluskan, santan dan
telur yang kemudian dibungkus dengan daun pisang. Ais pallu butung
adalah makanan yang dibuat dari pisang matang dan dimasak dengan santan yang
dicampur gandum, gula pasir, vanila, daun pandan dan sedikit garam, kemudian
disajikan dengan ais kisar dan sirap. Lawa adalah makanan khas daerah
Luwu yang dibuat daripada jantung pisang yang ditumbuk halus, dicampur dengan
ikan segar dan kelapa parut.
Bagi seni tarian pula, tarian
pelangi atau dikenali dengan tarian hujan kerana tujuannya untuk memanggil
hujan. Tarian paduppa bosara, biasanya dilakukan untuk menunjukkan tanda
hormat dan kesyukuran terhadap tetamu. Tarian pattentung yang
melambangkan wanita sedang menenun, juga melambangkan ketekunan dan kesabaran
wanita-wanita Bugis.
3.3 Hasil Temu Bual
Kajian ini berjaya
menemubual empat pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang
berketurunan Bugis dan satu temu bual panjang berjaya direkodkan sebagai bukti
kajian ini. Tiga daripadanya berasal dari Johor dan seorang dari Sabah. Hasil
daripada temu bual tersebut, didapati ketiga-tiga pelajar dari Johor tidak
mengetahui serta tidak mengamalkan budaya dan adat Bugis. Mereka hanya mengaku
berketurunan Bugis melalui pertalian dengan ahli keluarga. Pelajar yang berasal
dari Sabah mengetahui serba sedikit serta masih mengamalkan adat Bugis kerana
saudara-saudara beliau masih berpegang dengan gaya hidup etnik Bugis. Ada
beberapa perkampungan Bugis di Semenanjung yang masih mengamalkan budaya etnik Bugis.
Manakala di Sabah, penempatan orang-orang Bugis terletak di Tawau.
4.0 Kesimpulan
Kajian ini dapat
memberikan maklumat dengan lebih terperinci tentang etnik Bugis. Hasil daripada
kajian ini menunjukkan kehebatan orang Bugis pada zaman terdahulu dan keunikan
bahasa mereka. Ilmu-ilmu laut yang mereka dapati membuatkan mereka terkenal
dalam kalangan pedagang. Barang-barang yang mereka dagangkan hasilnya baik dan
mereka mendapat reputasi yang tinggi dalam kalangan pedagang-pedagang di
kepulauan Timur. Perisai dan senjata yang mereka gunakan juga mempunyai
ciri-ciri unik tersendiri. Senjata mereka yang terkenal ialah badik.
Bahasa mereka iaitu bahasa ugi, merupakan salah satu bahasa yang unik.
MZ Zainudin, Muhammad Naim Omar,
Mohammad Nizarman Jusoh, Haqeem Shah Firdaus Shamsudin, Mohammad Amar Mohd
Rosli, Mohd Zulfadhli Noor Azman
Nice
ReplyDeleteOrang Bugis Sabah masih kuat pertalian dengan tanah leluhur mereka dan majoriti masih mengekalkan ciri2 etnik Bugis. Orang Bugis di Semenanjung pula sudah beratus tahun berasimilasi dengan etnik lain dan beradaptasi dengan budaya Melayu. Ciri-ciri demografi di Sabah adalah berasaskan suku dan etnik masing-masing dan tidak wujud satu bangsa dominan Melayu seperti di Semenanjung. Maka setiap etnik tersebut masih berpegang kuat dengan budaya dan adat resam etnik masing-masing yang tersendiri.
ReplyDeleteApakah perayaan kaum bugis?
ReplyDeleteKebanyakan yg Ada di Semenanjung adalah keturunan Melayu Bugis, yg telah kedua etnik beratus Tahun berasimilasi semenjak Abad ke-17, apabila berlakunya perkahwinan campur dua etnik drpd rumpun yg sama ini. Bermula circa zaman 5 Daeng bersaudara ambil bahagian dalam politik kerajaan Melayu. Adaptasi budaya sudah berlakunya lama, kecuali sebahagian yg mmg masih mengamalkan sedikit2 adat Dan bahasa Bugis, it goes the same withJavanese descendants.. mostly sudah pan nusantara...
ReplyDelete