Saturday, October 03, 2015

Tembakan rambang di sekolah Amerika








Di Amerika Syarikat, kejadian tembakan rambang dan pembunuhan di sekolah dan intitusi pengajia tinggi telah membunuh ramai pelajar dan staf sekolah. Kejadian terbaru melibatkan Kolej Komuniti Umpqua, Oregon yang menyebabkan sepuluh orang terbunuh dan beberapa orang lagi cedera.

Siri kejadian tembakan rambang telah berlaku sejak 1999 di Columbine High School, Colorado yang membunuh 13 orang, tahun 2012 berlaku di Sandy Hook Elementary School, Connecticut yang melibatkan 28 kematian dan Virginia Tech yang membunuh 32 orang.

Dalam kajadian terbaru ini, penyerangnya dikatakan berusia 26 tahun dan dilaporkan mati ketika berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan.

Kolej Komuniti Umpqua mempunyai pelajar sepenuh masa dan separuh masa seramai 3,300 orang dalam pelbagai bidang pengajian. Kolej ini dikenali kerana program teater yang baik tetapi berhadapan dengan kekangan belanjawan, pemberhentian staf dan menghadapi kekurangan pelajar kesan daripada peluang pekerjaan yang semakin baik.

Melihat kepada aspek keselamatan, kolej ini mengguna pakai polisi kampus tanpa senjata. Ia bermaksud pengawal keselamatan tidak membawa senjata ketika bertugas.

Tembakan di kawasan sekolah di seluruh Amerika Syarikat dapat dikesan bermula pada tahun 1764 iaitu di Pennsylvania. Selepas itu, ia berlaku saban tahun melibatkan pelbagai peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Maksud tembakan di sekolah adalah suatu kejadian yang mana seorang individu atau
sekumpulan individu melancarkan serangan bersenjata di sebuah institusi pendidikan
seperti sekolah rendah, sekolah menengah, institusi lepasan menengah atau institusi yang berkaitan pendidikan. Takrifan yang lebih terperinci diberikan oleh Perkhidmatan Rahsia dan Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat adalah tembakan di sekolah dan serangan terhadap sekolah yang mana sekolah itu telah dijadikan sebagai lokasi bagi serangan dan bukan semata-mata mendapat peluang yang rawak.

Bagaimanapun definisi ini masih lemah kerana tidak mengambil kira faktor politik atau ideologi sebagai pencetus kepada fenomena ini.

Faktor sakit mental dikenali sebagai penyumbang kepada tembakan di sekolah. Kajian oleh Mother Jones mendapati sekurang-kurangnya 38 daripada 60 tembakan ini bagi tempoh 30 tahun lalu dikaitkan dengan masalah kesihatan mental.

Faktor lain ialah mudah mendapat senjata. Penyelidik percaya wujud hubungan antara senjata dan pembunuhan iaitu lebih banyak senjata akan menjurus kepada lebih banyak kematian.

Serangan pengganas terhadap sekolah dan institusi pendidikan tinggi berlaku juga di negara lain. Penyerang ini menggunakan pelbagai kaedah untuk masuk ke kawasan sekolah seperti menyusup sebagai penjaga pelajar, merempuh pagar sekolah dan menyamar sebagai pemandu van sekolah untuk mengebom pelajar.


No comments:

Post a Comment