Sunday, October 18, 2015

Jalan-jalan di Ho Chi Minh City, Vietnam (Hari 4)








Hari keempat iaitu hari terakhir di Ho Chi Minh City, masa untuk membeli-belah masih ada lagi. Kalau boleh memang hendak diborong semua barang yang ada.

Semasa turun dari hotel untuk bersarapan, saya membawa sekali beg pakaian dan meminta petugas hotel membalut tiga beg yang akan dimasukkan dalam bagasi kapal terbang. Tanpa mengira saiz, setiap beg dikenakan caj RM10. Saya bayar dalam Ringgit Malaysia. Lebih mudah kita membalut beg di hotel berbanding di lapangan terbang kerana harga lebih mahal dan mengambil masa.

Saya bersarapan pagi di Restoran Haji Osman, berhadapan hotel dan menggunakan konsep terbuka.

Untuk ke lapangan terbang, saya mengambil teksi Vinasun Taxi dengan bayaran hampir 200,000VND bagi perjalanan sejauh 20 hingga 25 minit. Pemandu teksi ini meminta tip, jadi saya berikan 30,000VND.

Sepanjang empat hari di Ho Chi Minh City, banyak pengajaran yang saya dapat. Pertama, membuat persediaan awal khususnya pembelian tiket. Lebih baik jika dapat membeli tiket setahun lebih awal atau membeli tiket semasa Matta Fair kerana bagi empat orang, perjalanan sehala lebih kurang RM300 sahaja.

Kedua, persediaan kewangan juga penting. Saya tidak menjangkakan kejatuhan nilan ringgit yang begitu ketara. Nasib baik, hampir setahun saya membeli USD100 setiap bulan ketika nilai ringgit masih tinggi. Ketika ringgit jatuh, saya menukar dolar kepada ringgit dan mendapat lebih banyak wang untuk belanja di Vietnam. Denga adanya USD700 hingga USD1000, saya berupaya membuat lebih banyak pembelian dan tidak risau dengan jumlah yang terpaksa dikeluarkan untuk makan dan bayaran teksi.

Ketiga, pasar Ben Thanh menyediakan pelbagai pilihan barangan dari topi, beg hinggalah kain. Bijak membuat penawaran adalah kunci mendapat harga yang murah. Cara tawar-menawar ialah meletakkan harga sepertiga jauh lebih rendah. Contohnya jika baju–T berharga 210,000VND, kita minta 70,000VND, kalau tidak dapat, kita kata tak mahu beli dan mahu pergi. Biasanya penjual akan bersetuju dengan harga lingkungan tawaran kita.

Keempat, jika kita tidak suka tawar-menawar, kita boleh ke bahagian harga tetap yang dikawal oleh kerajaan. Banyak pilihan di sini cuma tidak begitu menarik. Harganya saya kira boleh tahan dan masih lagi murah.

Kelima, memakai baju berlengan panjang bagi lelaki. Di pasar Ben Thanh ini, penjual wanita selalu menguis lengan kerana mereka ingin menarik perhatian kita untuk singgah di kedai mereka. Apabila selalu sangat dikuis, saya sentiasa mengelak atau berjalan menjauhi penjual-penjual ini supaya “tidak batal air sembahyang”.

Keenam, keselamatan pejalan kaki mesti menjadi keutamaan. Tabiat penunggang motosikal di sini ialah tidak akan memberhentikan motosikal mereka walaupun ada pejalan kaki di lintasan pejalan kaki. Saya perlu berhati-hati melihat kiri dan kanan supaya tidak dilanggar. Tidak kira siapa yang melintas, penunggang motosikal tidak akan berhentikan motosikal mereka. Jika kita membawa anak-anak, pastikan keselamatan mereka.

Ketujuh, bergerak dan berjalan dalam kumpulan. Walaupun masyarakat Vietnam menghormati pelancong, perkara-perkara di luar dugaan boleh saja berlaku. Pastikan barang berharga sentiasa dimasukkan dalam beg sendeng yang menghadap ke hadapan. Bilangan motosikal yang banyak membuka ruang kepada hal-hal yang tidak diingini.


No comments:

Post a Comment