Sebaik turun dari kapal terbang di lapangan
terbang antarabangsa Ho Chi Minh City, saya mengambil teksi Saigon Air Taxi ke
Hotel Tan Thu, berhampiran pasar Ben Thanh yang popular. Bayaran perjalanan ini
ialah 200,000VND (Vietnam Dong). Pemanduan kenderaan di Vietnam adalah sebelah
kiri, jadi jangan terkejut dan janggal jika kita sebagai penumpang berada di
sebelah kanan pemandu.
Di lapangan terbang ini terdapat pelbagai
jenis teksi dan kita boleh pilih mana-mana yang kita suka. Sebaik sahaja kita
melangkah keluar dari balai ketibaan, ada beberapa kaunter kecil yang
menyediakan perkhidmatan teksi dengan harga 180,000VND.
Suasana malam Ho Chi Minh City bergemerlapan
dengan cahaya. Namun saya rasa kenderaan agak berkurangan mungkin kerana sudah
lewat malam. Waktu di Vietnam ditolak satu jam dengan waktu Malaysia, maknanya
jika di Vietnam pukul 8 malam, di Malaysia ialah 9 malam.
Untuk tempahan hotel, saya menggunakan
tempahan atas talian Agoda.com. Sampai di hotel, saya terus tunjukkan salinan
bayaran dan diberikan bilik di tingkat lapan tanpa ada tingkap. Rupa-rupanya
bilik bertingkap ada harga yang berlainan.
Bilik 802 tidaklah besar, hanya ada satu
katil, mini peti sejuk, dua pasang selipar Jepun, cerek dan bilik air yang ada
saluran paip. Jika hendak tambah satu tilam, bayaran yang dikenakan ialah USD5
semalam. Hotel ini memilih jenama LG untuk set televisyen yang dilekatkan pada
dinding. Di atas peti sejuk, tanda harga bagi sebotol air mineral adalah
20,000VND. Rasanya lebih baik beli air mineral dari luar.
Keadaan bilik air nampak kemas, disediakan air
panas dan sejuk tetapi untuk mandi, seakan-akan tekanan air tidak begitu kuat.
Hotel Tan Thu merupakan hotel popular
pelancong Malaysia. Boleh dikatakan hampir keseluruhan penghuni hotel adalah
rakyat Malaysia. Ada juga pelancong Brunei yang datang. Selain harganya yang
berpatututan, hotel ini juga sangat dekat dengan pasar Ben Thanh.
Waktu subuh di Ho Chi Minh City ialah 4.37
pagi.
No comments:
Post a Comment