Monday, October 12, 2015

Kesepaduan Sosial Rakyat Malaysia









Penyunting: Mohamad Zahir Zainudin, Mohamad Bokhari
Tahun: 2015
Penerbit: Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Muka Surat: 155


Buku “Kesepaduan Sosial Rakyat Malaysia” ini adalah gabungan lapan buah artikel yang telah dihasilkan oleh dua belas orang penulis dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Apabila membaca buku ini, para pembaca akan dapat mengetahui, memahami dan merasai betapa kesepaduan sosial dalam konteks kepelbagaian etnik masyarakat Malaysia adalah sangat penting. Kepentingan kesepaduan sosial rakyat Malaysia wujud kerana Malaysia mempunyai lebih daripada 200 etnik dan subetnik walaupun Malaysia adalah sebuah negara kecil di Asia Tenggara. Tambahan pula, setiap etnik dan subetniknya memiliki keunikan budaya yang sangat rencam. Bahkan, setiap etnik dan subetnik itu pula memiliki kepercayaan dan agama yang berbeza-beza.  

Buku “Kesepaduan Sosial Rakyat Malaysia” ini dapat memaparkan beberapa isu yang telah digarap dengan baik oleh penulis-penulisnya untuk direnungi bahawa isu kesepaduan sosial rakyat Malaysia perlu dibangunkan dengan baik dan sempurna. Bab 1 berjudul “Hubungan Etnik Di Malaysia: Ke Arah Mengurus Pembentukan Masyarakat Berintegriti”  oleh Mansor Mohd Noor menyentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah dijadikan sebagai dasar pembangunan negara. DEB telah  memberi kesan besar ke atas perubahan stratifikasi sosial dalam negara hingga ke hari ini. Kumpulan etnik Melayu dan India mengambil kira elemen bahasa, budaya, agama dan ikatan kekeluargaan sebagai batas kumpulan etnik mereka dengan parameter agama sebagai elemen pemutus dalam membina jati diri kumpulan mereka. Manakala kumpulan etnik Cina tidak memberi keutamaan kepada elemen agama tetapi meletakkan elemen bahasa dan budaya sebagai asas dan elemen bahasa sebagai pemutus dalam membina jati diri kumpulan etniknya pula.

Manakala, Bab 2 yang ditulis oleh Teo Kok Seong berjudul “Pengukuhan Integriti Masyarakat Dalam Konteks 1Malaysia” mengisahkan realiti integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah “sukar tetapi tidak mustahil” dicapai. “Integriti umum” mudah dan cepat dapat diamalkan oleh masyarakat Malaysia tanpa banyak masalah tetapi “integriti unggul” yang memerlukan gabungan semua akhlak yang tinggi dan semua dimensi nilai murni yang ulung untuk diamalkan oleh individu masyarakat Malaysia (sebagai insan biasa) adalah terlalu ideal. Walau bagaimanapun, “integriti unggul” tidak mustahil dalam kalangan mereka yang sangat baik dan berdisiplin tinggi.

Bab 3 hasil nukilan Nor Azilah Ahmad dan Nor Fazilah Abdul Hamid yang berjudul “Perlembagaan Teras Pemantapan Hubungan Etnik Di Malaysia” menyatakan perlembagaan merupakan teras utama ke arah pemantapan hubungan etnik dalam kalangan masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Perlembagaan amat penting dihayati dan dipatuhi oleh negara yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik bagi melahirkan masyarakat yang harmonis, saling bekerjasama dan bersefahaman dalam menghayati perjanjian sosial (kontrak sosial) yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan. Perjanjian sosial ini berbeza dengan perjanjian ekonomi atau harta tanah yang mungkin mempunyai nilai tertentu yang boleh dikira junlahnya tetapi perjanjian sosial yang telah dilaksanakan tersebut lebih besar manfaatnya kepada masyarakat Malaysia untuk terus mematuhi Perlembagaan Malaysia. Hal ini disebabkan mematuhi Perlembagaan Malaysia dapat mewujudkan semangat kejiranan yang tinggi, melahirkan sikap hormat-menghormati, bertoleransi dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

Seterusnya Bab 4 yang ditulis oleh Sazelin Arif berjudul “Aplikasi Maqasid Al-Syari’ah Dalam Memelihara Hubungan Antara Kaum” menyatakan bagi mencapai keharmonian hubungan antara kaum, Islam meletakkan dua syarat dalam usaha menyemai sikap toleransi tanpa mengabaikan tanggungjawab memelihara agama. Pertama, umat Islam hendaklah menjadikan agama Islam yang paling tinggi dan agama lain tidak boleh mengatasinya di samping memahami konsep kebebasan beragama. Kedua, umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan jangan membiarkan agama lain menyebarkan dakyah mereka kepada umat Islam. Walau bagaimana pun, Islam memberikan hak yang sepatutnya kepada orang bukan Islam dalam aspek agama. Dalam konteks hubungan antara kaum, Islam mewajibkan individu menjaga keselamatan diri dan pada masa yang sama melarang keras perbuatan yang boleh mengancam keselamatan nyawa diri sendiri atau orang lain. Islam melarang perbuatan membunuh orang tanpa hak kerana orang (manusia) adalah mempunyai has asas untuk hidup.

Bab 5 pula hasil tulisan Mohamad Zahir Zainudin berjudul “ Sumbangan Media Terhadap Kematangan Etnik Di Malaysia” menyentuh perkara internet dan media digital telah memberi ruang serta peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membina jaringan komunikasi antara satu sama lain, merentas kelas sosial, agama dan budaya. Manakala, di negara-negara yang berhadapan dengan masalah hubungan etnik yang tegang seperti Palestin-Isreal, Bosnia-Herzegovina dan Rwanda, peperangan adalah jalan keluar kepada rasa benci dan meluat di antara etnik. Namun, masyarakat Malaysia sangat bertuah kerana kedua-dua media elektronik dan cetak memainkan peranan penting di negara ini bagi membina kesedaran dan galakan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Misalnya, pada setiap musim perayaan, berita di muka hadapan akhbar dan televisyen akan memaparkan wajah-wajah pelbagai etnik sedang meraikan perayaan masing-masing.

Bahkan dalam Bab 6 yang berjudul “ Pengaruh Gaya Pembelajaran Dan Personaliti Terhadap Pencapaian Akademik Etnik” tulisan Mohamad Bokhari menyatakan isu berkaitan pencapaian atau prestasi akademik pelajar-pelajar pelbagi etnik di Malaysia amat dititikberatkan dan mendapat perhatian dalam kalangan pelbagai etnik khususnya etnik Melayu, Cina dan India. Pelajar sama ada etnik Melayu, Cina dan India yang sering mendapatkan bantuan guru, pensyarah dan kawan-kawan sekelas akan memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam akademik sama ada di peringkat Ujian Penilian Sekolah Rendah (UPSR), Penilain Menengah Rendah (PMR) mahupun di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Pelajar-pelajar yang mempunyai kekuatan asertif dan ketegasan diri dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran, tidak bergantung kepada orang lain, suka berinteraksi, gemar berkomunikasi dan tidak selesa duduk bersendirian akan mencapai prestasi akademik yang tinggi. Prestasi pembelajaran yang lemah bukan berpunca dari aspek personaliti kerana sebahagian besar pelajar menunjukkan personaliti yang seimbang di mana mereka mampu berusaha untuk mendapatkan yang terbaik dalam setiap perkara. Pelajar pelbagai etnik di Malaysia yang berpegang pada prinsip “Saya sering mendapatkan bantuan guru, pensyarah dan rakan-rakan sekelas adalah sangat membantu mereka dalam mencapai prestasi akademik yang cemerlang”.

Seterusnya dalam Bab 7, hasil tulisan Shahrulanuar Mohamad dan Norun Najjah Ahmat berjudul “Isu-isu Hubungan Etnik Dalam Novel Sandera” menyatakan isu keakraban antara pelbagai etnik dalam novel Sandera dapat dilihat apabila Andang iaitu seorang pemuda Melayu telah bergabung dengan bangsa Cina menentang pihak Jepun. Watak Busad digambarkan sebagai sangat ramah dengan masyarakat pelbagai etnik. Manakala watak Zahid yang mempunyai semangat juang yang tinggi telah menyeru agar semua bangsa yang mendiami tanah Melayu bersatu padu menentang penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan Negara. Penulis novel Sandera juga menggambarkan bahawa masyarakat berbilang kaum bersama-sama menghadiri sambutan kemerdekaan pada Hari Kemerdekaan dengan berpakaian mengikut kaum masing-masing yang unik.  

Akhir sekali dalam Bab 8 yang berjudul “Asimilasi Budaya Masyarakat Pluraliti Ke Arah Mewujudkan Kesepaduan Sosial: Pengalaman Di Melaka” tulisan Zawiah Mat dan Hanipah Hussin menyatakan Bahasa Melayu telah digunakan oleh masyarakat Baba-Nyonya. Masyarakat baba bertutur dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan gaya Bahasa Baba yang mempunyai keunikan yangb tersendiri. Begitu juga, Bahasa Chetti telah diasimilasikan dengan Bahasa Melayu. Dialek Melayu Chetti mengandungi perbendaharaan kata Bahasa Tamil. Dialek bahasa ini dituturkan di rumah dan dalam proses interaksi serta komunikasi dalam kalangan anggota masyarakat pelbagai etnik. Asimilasi budaya juga berlaku antara etnik di Melaka dalam elemen pakaian. Masyarakat Baba-Nyonya kebanyakannya berpakaian kebaya dan sarung. Masyarakat Chetti pula memakai kain batik dengan baju kebaya labuh atau kebaya pendek. Dalam aspek makanan, masyarakat Baba-Nyonya mengasimilasikan makanan Melayu seperti nasi lemak, kuih apam balik, kuih koci, cendol dan tapai pulut.

Kesimpulannya, kesepaduan sosial masyarakat pelbagai etnik di Malaysia sangat unik dan mampu menyatupadukan mereka ke arah membina negara Malaysia yang harmonis, maju dan berdaya saing. Kini masyarakat Malaysia hidup penuh toleransi, bekerjasama dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Walaupun terdapat konflik kecil namun ianya tidak melibatkan pertumpahan darah. Rakyat Malaysia suka bertelingkah menyuarakan pelbagai suara hati namunya meraka hanya sekadar bertikam lidak tetapi tidak berparangan atau berbunuh-bunuhan.


No comments:

Post a Comment