Tuesday, October 20, 2015

Impak beca terhadap sektor pelancongan di Melaka








1.0 Pengenalan

Pelancongan mempunyai pelbagai maksud megikut perspektif dan pandangan pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak lagsung dengan industri pelancongan. Ini termasuklah pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan pengakutan, organisasi pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya.

Perkataan “tourism” datang daripada perkataan Latin iaitu “tornare” dan juga Greek iaitu “tornos” yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “suatu kajian manusia yang bertindak balas pada keperluan mereka dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran”. Pengertian yang meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam membangunkan industri ini.

Oleh itu, wujud definisi lain yang cuba memberi penjelasan secara mendalam mengenai pelancongan. Sebagai contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebihkurang satu hari”. Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan secara khususnya. Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran, manusia, kawasan, ekonomi dan dinamik.

Negeri Melaka merupakan tempat pelancongan yang banyak menyumbang kepada sektor pelancongan negara. Melaka mempunyai banyak tempat bersejarah yang dapat menarik minat pelancong sama ada pelancong tempatan atau pelancong luar negara. Terdapat satu faktor selain daripada faktor tempat untuk menarik pelancong iaitu faktor pengangkutan dan ia bukan pengangkutan yang moden dan canggih tetapi ia merupakan pengangkutan yang bersejarah lama iaitu beca. Ini tidak boleh dinafikan, beca telah menjadi salah satu faktor menarik minat pelancong utama dalam sektor pelancongan di Melaka. Terdapat ramai pelancong melawat ke Melaka disebabkan oleh keunikan beca di Melaka.


1.1  Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti asal usul beca, mengenal pasti beca di Melaka berbanding dengan tempat lain, mengenal pasti keunikan beca pada pandangan pelancong dan mengenal pasti fungsi beca kepada penduduk setempat.


2.0 Sorotan Literatur

Beca merupakan satu kenderaan beroda tiga yang umumnya ditemukan di Asia. Kapasiti normal beca adalah dua penumpang dan satu pengemudi.

Menurut sumber, beca dikatakan bermula dari kenderaan serupa yang pertama kali beroperasi di Jepun iaitu “jinrikisha” yang membawa maksud jin-manusia, riki-daya atau tenaga dan sha-kenderaan pada sekitat tahun 1868ketika era pemerintahan maharaja Meiji. Terdapat dua versi pendapat mengenai orang menggunakan beca.

Versi pertama datang dari sumber pertama iaitu “Jinrikisha” ditemui oleh Albert Tolman, seorang tukang besi dari Amerika Syarikat tahun 1848 di Worcester, Massachussets, untuk kepentingan pekerjaannya sebagai mubaligh manakala sumber kedua pula melibatkan  seorang mubaligh Amerika Syarikat di Jepun, Jonathan Scobie membuat beca sekitar tahun 1869 sebagai alat pengangkutan bagi isterinya yang cacat. Suatu ketika dia berfikir bagaimana cara isterinya yang cacat kaki boleh mengikutnya berjalan-jalan. Bagi menyelesaikan masalah itu, dia tahu ia perlu sebuah kenderaan yang tidak perlu ditarik oleh haiwan kerana hanya untuk membawa satu penumpang sahaja. Kemudian ia mulai menggambarkan sebuah kereta kecil tanpa bumbung di atas sehelai kertas. Jadi orang-orang Jepun yang melihat kenderaan peribadi ditarik oleh manusia itu menamakannya “jinrikisha”.

Versi kedua pula adalah berkaitan kepercayaan orang-orang Jepun “jinrikisha” yang dicipta oleh tiga orang iaitu Izumi Yosuke, Suzuki Tokujiro dan Takayama Kosuke pada tahun 1868. Mereka mendapat inspirasi dari penggunaan kereta kuda penarik yang popular ketika itu. Sejak tahun 1870, kerajaan Jepun telah memberi keizinan untuk mengeluar dan menjual “jinrikisha” kepada mereka. Sejak tahun1872, sekitar 40,000 “jinrikisha” beroperasi di bandar Tokyo.

2.1 Sejarah Beca di Malaysia

Beca merupakan kenderaan beroda tiga yang berasal dari lanca. Menurut rekod bertulis, beca bermula di Singapura pada tahun 1914 apabila 15 buah beca didaftar dan diperkenalkan sebagai basikal roda tiga di Taman Upton, Singapura. Beca ini mempunyai pengayuh di belakang atau di hadapan penumpang. Bumbung juga dipasang bagi memberi teduhan kepada penumpang. Pada 1920-an hingga 1950-an, penggunaan beca semakin bmenarik dan ia telah berfungsi dengan efektif semasa Perang Dunia Kedua. Ia digunakan sebagai kenderaan laju menerusi jalan hutan.

2.2 Perbezaan Beca Melaka

Di Melaka, reka bentuk dan cara hiasan beca amat berbeza daripada negeri lain. Banyak komponen telah digunakan semasa menghiaskan beca seperti bunga. Oleh itu,  harga beca mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah bergantung kepada kelengkapan yang ada padanya seperti bateri dan alat perhiasan seperti lampu dan set radio.

Bagaimanapun, di kebanyakan tempat seperti Kelantan dan Terengganu, harga beca sekitar RM800 hingga RM1,000 sahaja kerana hanya dilengkapi barangan asas seperti tempat duduk penumpang dan penutup bahagian atas. Dianggarkan ada kira-kira 300 beca di Melaka, manakala hanya tinggal kurang 30 beca di Kelantan dan Terengganu. Di Melaka, bayaran kira-kira RM20 hingga RM30 dikenakan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman menaiki beca bagi pusingan tidak sampai satu kilometer manakala untuk bergambar saja sekitar RM20. Bayaran itu jauh berbeza berbanding diterima penarik beca bagi mengangkut barang serta penumpang di Kelantan dan Terengganu, iaitu hanya RM2 bagi jarak kurang dua kilometer dan RM5 hingga RM10 bagi jarak lapan hingga 10 kilometer. 


3.0 Metodologi Kajian

Soal selidik dilakukan dengan cara mengedarkan soalan serta pendapat melalui borang kaji selidik. Satu set soalan kaji selidik telah dihasilkan sebanyak 30 helaian untuk diedarkan kepada respoden. Responden seramai 30 yang terdiri daripada 15 orang atau 50 peratus mahasiswa dari fakulti FTMK dan 15 orang atau 50 peratus mahasiswi dari fakulti FTMK, Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Mengikut bangsa pula, 15 orang atau 50 peratus berbangsa Melayu, 14 orang atau 47 peratus berbangsa Cina dan seorang atau tiga peratus berbangsa lain-lain. Kenyataan mengandungi empat pilihan jawapan iaitu ‘tidak pasti’, ‘tidak setuju’, ‘setuju’ dan ‘sangat setuju’. Borang soal selidik mengandungi sepuluh soalan. Setiap soalan mengenai tentang beca.

3.1 Kaedah Rujukan

Rujukan dilakukan dengan mencari maklumat-maklumat yang berkaitan di internet dan melalui kajian-kajian yang telah dilakukan terdahulu. Setiap maklumat dikaji kesahihan terlebih dahulu supaya tidak berlaku kekeliruan. Rujukan juga diambil dari hasil kajian pensyarah-pensyarah di universiti lain.

Kaedah tinjauan dengan melawat ke tempat yang beca berkumpul iaitu kawasan pelancongan. Kami juga melawat dan meninjau ke tempat-tempat terdapatnye beca-beca berkumpul untuk mengenali lebih dekat penarik beca dan juga hiasan pada beca mereka. Kaedah ini juga dapat menilai tarikan beca terhadap pelancong. Keunikan beca di Melaka ini adalah hiasannya. Hiasan pada beca yang memainkan peranan untuk menarik pelancong. Oleh itu, tidak hairan penarik beca sanggup manghabiskan beratus malah ribuan ringgit untuk menghiasi beca mereka. Pelancong juga tidak peduli dengan bayaran yang dikenakan oleh penarik beca bagi mereka yang penting kepuasan menaiki beca. Bagi penarik-penarik beca di negeri ini, biarpun pendapatan mereka diibaratkan seperti nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan laut, namun kegembiraan serta keseronokan berkongsi pelbagai cerita dengan penumpang memberikan kepuasan tersendiri


4.0 Hasil Kajian

Rajah 1:  Beca merupakan salah satu warisan budaya di Melaka

Berdasarkan Rajah 1, didapati seramai 43 peratus daripada responden sangat bersetuju dan 27 peratus bersetuju bahawa beca merupakan salah satu warisan budaya di Melaka. Sebanyak 10 peratus memilih untuk menjawab tidak setuju dan baki 20 peratus menjawab tidak pasti dengan soalan yang di atas. Ini jelas menunjukkan bahawa masih terdapat segelintir bilangan dalam masyarakat kita yang kurang peka dengan warisan budaya di Melaka.


Rajah 2: Hiasan pada beca membawa sebarang makna dan melambangkan warisan budaya

Rajah 2 menunjukkan hasil soal selidik soalan kedua di mana responden ditanya tentang unsur-unsur hiasan yang tedapat pada beca. Sebanyak 10 peratus sangat bersetuju dan 23 peratus bersetuju dengan persoalan yang diberikan manakala sebanyak 13 peratus tidak bersetuju dan 54 peratus memilih untuk menjawab tidak pasti dengn soalan berkenaan. Ini bermakna lebih separuh daripada responden ini tidak tahu mengenai hiasan pada beca. Hiasan pada beca sebenarnya membawa makna yang sangat mendalam di samping mahu menarik perhatian pelancong-pelancong yang berkunjung ke Melaka. Berbeza dengan beca di Pulau Pinang yang mana beca di sana tidak mempunyai sebarang corak hiasan, hanya mempunyai bentuk yang seragam.


Rajah 3: Beca merupakan tarikan utama pelancong di Melaka

Rajah 3 menunjukkan hasil kajian bagi soalan ketiga iaitu adakah beca merupakan tarikan utama pelancong di Melaka? Hasil dapatan menunjukkan sebanyak 35 peratus memilih sangat bersetuju dan 50 peratus bersetuju dengan persoalan berikut. Sebanyak 10 peratus memilih tidak bersetuju dan baki tujuh peratus tidak pasti dengan soalan kajian. Ini jelas membuktikan bahawa masyarakat Malaysia sememangnya berpendapat bahawa beca merupakan tarikan utama di Melaka sejak beberapa dekad yang lalu. Beca berkembang daripada awal kemunculannya sebagai pengangkutan utama kepada sebahagian warisan sejarah Melaka.


Rajah 4: Beca pernah dikatakan mampu menyumbang kepada ekonomi negara

Rajah 4 menunjukkan hasil kajian bagi soalan keempat iaitu beca pernah dikatakan mampu menyumbang kepada ekonomi negara. Sebanyak 17 peratus daripada responden telah memilih sangat bersetuju dan 30 peratus setuju terhadap soalan yang dinyatakan manakala 17 peratus tidak bersetuju dan baki 36 peratus memilih tidak pasti dengan persoalan berikut. Beca sebenarnya pernah memberi sumbangan besar terhadap ekonomi negara pada waktu kegemilangannya sekitar lewat tahun 90-an. Harga yang dikenakan bagi perkhidmatan beca ialah RM15 sejam. Tidak hairanlah sekiranya pendapatan seorang penarik beca mampu mencecah RM100 sehari. Justeru, beca mampu menyumbang kepada ekonomi negara.


Rajah 5: Peningkatan sistem pengangkutan telah menenggelamkan sektor beca

Rajah 5 menunjukkan hasil kajian bagi persoalan kami iaitu peningkatan sistem pengangkutan telah menenggelamkan sektor beca. Seramai 13 peratus responden sangat bersetuju dan 47 peratus memilih bersetuju dengan pernyataan berikut. Sebanyak 17 peratus pula memilih tidak bersetuju manakala 23 peratus tidak pasti dengan soalan yang ditanyakan. Beca sememangnya semakin dilupakan dan kurang mendapat sambutan rentetan kemajuan sistem pengangkutan pada abad ini. Pelancong memilih untuk menggunakan pengangkutan yang lebih pantas dan efisien seperti teksi dan bas. Justeru, semakin ramai generasi muda yang tidak berminat untuk meneruskan warisan budaya beca ini di Melaka.


Rajah 6: Generasi muda tidak berminat untuk mengusahakan sektor beca adalah kerana kurang mendapat sambutan

Berdasarkan Rajah 6 di atas, didapati bahawa sebanyak 14 responden daripada 30 responden bersetuju dengan generasi muda tidak berminat untuk mengusahakan sektor beca adalah kerana kurang sambutan. Walaupun kebanyakan mahasiswa bersetuju dengan soalan ini, tetapi terdapat juga kebanyakan mahasiswi tidak setuju soalan ini. Pada pandangan pengkaji, menunggang beca merupakan kerja yang amat memenatkan kerana memerlukan tenaga yang banyak jika berbanding dengan sektor pengangkutan lain seperti teksi, dan bas. Antara sebab mereka yang tidak bersetuju dengan soalan ini adalah disebabkan pendapatan bagi sektor ini adalah tidak tetap. Dengan itu, mereka beranggapan bahawa pendapatan itu hanya dapat menyara diri dan mungkin tidak dapat menyara hidup keluarganya. Hal ini dapat dirujuk daripada dapatan kajian pada Rajah 7. Oleh itu, generasi muda tidak berminat untuk mengusahakan sektor beca bukan sahaja disebabkan kerja ini kurang mendapat sambutan, bahkan juga ia amat memenatkan kerana memerlukan tenaga yang banyak. Tambahan pula, pendapatan bagi bidang itu adalah tidak tetap.


Rajah 7: Perkhidmatan beca hanya mampu bertahan di bandar-bandar bersejarah dan ini jelas menunjukkan industri ini bergantung sepenuhnya sektor pelancongan negeri

Rajah 7 menunjukkan perkhidmatan beca hanya mampu bertahan di bandar-bandar bersejarah dan ini jelas menunjukkan industri ini bergantung sepenuhnya sektor perlancongan negeri. Kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi bersetuju dengan soalan ini, iaitu 21 responden setuju. Hal demikian kerana beca hanya wujud di beberapa bandar-bandar bersejarah di Malaysia seperti Pulau Pinang dan Melaka. Keadaan ini disebabkan pelancong ingin menikmati pemandangan sambil menumpang beca. Konklusinya, perkhidmatan beca hanya mampu bertahan di bandar-bandar bersejarah dan ini jelas menunjukkan industri ini bergantung sepenuhnya sektor pelancongan negeri.


Rajah 8: Pelancong asing lebih menggunakan perkhidmatan beca berbanding dengan pelancong Malaysia sendiri

Rajah 8 menunjukkan bilangan pelancong asing menggunakan perkhidmatan beca adalah lebih tinggi jika berbanding dengan pelancong Malaysia sendiri. Berdasarkan Rajah 8, didapati bahawa kebanyakan responden bersetuju dengan soalan ini, iaitu sebanyak 19 responden daripada 30 responden. Hal ini demikian kerana banyak negara lain boleh dikatakan tidak mempunyai perkhidmatan beca. Justeru, mereka cenderung akan menggunakan perkhidmatan beca. Tambahan pula, mereka dapat menikmati pemandangan tempat pelancongan dengan masa yang lama. Di samping itu, cuaca Malaysia adalah lebih panas jika berbanding dengan negara lain. Justeru, mereka cenderung menumpang beca untuk melindungi kulit mereka daripada sinar matahari apabila mereka sedang menumpang beca sambil menikmati tempat-tempat yang bersejarah. Situasi ini menunjukkan pelancong asing lebih cenderung menggunakan perkhidmatan beca berbanding pelancong Malaysia sendiri.


Rajah 9: Pengekalan perkhidmatan beca mampu memberi impak terhadap pelancongan di Malaysia

Menurut Rajah 9, 27 daripada 30 mahasiswa dan mahasiswi tidak setuju terhadap soalan pengekalan perkhidmatan beca mampu memberi impak terhadap pelancongan di Malaysia. Merujuk kajian ini, didapati bahawa bilangan penunggang beca di Melaka adalah lebih banyak berbanding penunggang beca di Pulau Pinang. Pengekalan perkhidmatan beca kurang dapat memberi sumbangan terhadap sektor pelancongan. Perkhidmatan beca dapat menarik pelancong untuk menggunakannya seperti beca di Melaka yang mempunyai perhiasan yang unik dan cantik. Walau bagaimanapun, sumbangan perkhidmatan beca bagi sektor pelancongan di Malaysia adalah sangat kecil kerana perkhidmatan itu hanya wujud di Melaka dan Pulau Pinang. Oleh itu, pengekalan perkhidmatan beca hanya mampu memberi impak terhadap pelancongan di Melaka dan bukan untuk seluruh Malaysia.


Rajah 10: Sektor perkhidmatan beca perlu dihentikan demi membuka peluang kepada sektor pengangkutan yang lain

Rajah 10 merupakan soalan tentang sektor perkhidmatan beca perlu dihentikan demi membuka peluang kepada sektor pengangkutan yang lain. Soalan ini tidak disetujui oleh kebanyakan responden, hanya enam responden daripada 30 responden setuju soalan ini. Perkhidmatan beca tidak patut dihentikan dan perlu dikekalkan lagi kerana ia telah menjadi suatu budaya yang unik di Melaka dan ia juga merupakan suatu kenangan bagi orang tempatan terutama bagi orang tua tempatan. Tambahan pula, generasi akan datang akan berpeluang untuk menumpang beca dan memahami budaya dan kehidupan orang dulu jika perkhidmatan ini dikekalkan. Selain itu, perkhidmatan ini dapat mengindahkan bandar-bandar bersejarah dan menarik lebih ramai pelancong untuk melawat ke Melaka dan Pulau Pinang. Kesimpulannya, sektor perkhidmatan beca tidak perlu dihentikan demi membuka peluang kepada sektor pengangkutan yang lain.


5.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, beca memberi impak yang besar kepada pelancongan di Melaka kerana ia merupakan salah satu tarikan utama di sini. Beca di Melaka juga lebih menarik jika dibandingkan dengan beca di Pulau Pinang berdasarkan corak pengubahsuaian dan juga penarik beca itu sendiri. Akhir sekali, keunikan beca di Melaka haruslah dijadikan sebagai khazanah di Melaka kerana ianya sudah bertapak sejak zaman 20-an lagi. Pada pendapat pengkaji, pihak Kementerian Pelancongan perlu lebih menitikberatkan tentang hal ini dan menekankan tentang beca kepada pelancong dari luar dan dalam negara. Oleh kerana, Melaka merupakan tempat pelancongan yang amat bersejarah, kami berpndapat bahawa pihak kerajaan perlu menitikberatkan dalam pemuliharaan kebudayaan di Melaka. Selain itu, pengurangan pembinaan bangunan moden di sekeliling kawasan tempat bersejarah dan menggantikan pengangkutan awam moden dengan beca di kawasan tempat pelancongan. Usaha ini dapat memastikan kebanyakan pelancong mengetahui dan memahami budaya di Melaka. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh melatih pengemudi beca menjadi sebagai pemandu pelancong. Keadaan ini boleh memudahkan pelancong yang datang ke Melaka bagi kali pertama, dan ini akan meninggalkan tanggapan yang baik kepada pelancong. Jadi pelancong yang mendapat perkhidmatan yang mesra dan baik akan berasa berbaloi untuk melancong ke Melaka dan mereka akan membantun dalam mempromosikan pelancongan Melaka secara tidak langsung dengan memberitahu pengalaman mereka kepada orang lain.


Rujukan

Shalan Cheong (19 Februari 2010) “Trishaws & Rickshaws: Taxicabs of the East”

“History of Japan: A Guide to Japan's Past and Present”

Sa’arah binti Mohd Taib (Mei 2007) “Beca Generasi Baru Untuk Melaka Maju 2010”

Norliza Mohamad Zakaria (28 Mei 2013) “Beca Melaka Tumpuan Pelancong”


ku_ayu (1 November 2012) “Beca/ Trishaw”


MZ Zainudin, Siew Kok Yee, Mohd Afiq Irfan Bin Arjumaliktuah,
Aniq Aiman Bin Imran, Muhammad Syazwan Bin Mohammed Amin, Leong Chan Yee



No comments:

Post a Comment