Sunday, October 04, 2015

Sampai bila jerebu nak selesai?







Jerebu yang sudah berlarutan dua bulan lepas entah bila akan berakhir. Hari ini saja, pandangan di Lebuh Raya Utara Selatan khususnya di Seremban menghala ke selatan tidak lebih daripada lima kilometer.

Jerebu yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia, Singapura dan Brunei berasal dari Indonesia sejak 30 tahun lalu. Penyebab utama jerebu ialah pembakaran hutan secara terbuka kerana kos yang sangat murah. Di tempat bermulanya jerebu, Indeks Pencemaran Udara melebihi paras 1000.

Saban tahun kita menerima “produk” Indonesia ini kerana Indonesia tidak berupaya mengawal pembakaran hutan sama ada melalui penguatkuasaan atau pendidikan. Mereka gagal mengambil langkah pencegahan setiap tahun kerana tidak mempunyai mekanisme berkesan dalam melupuskan hutan disebabkan pemikiran peneroka dan peniaga yang memikirkan cara mudah untuk membersihkan hutan mereka.

Pendidikan juga tidak diterapkan dalam kalangan masyarakat Indonesia menyebabkan masyarakat tidak bangun menyatakan rasa tidak puas hati dengan tahap kesihatan semasa jerebu. Kita hanya mendengar kerajaan Indonesia berjanji dan terus berjanji untuk mengatasi masalah yang berlaku tanpa ada mesej ketegasan untuk tidak mengulangi perkara yang serupa.

Kesan jerebu sangat ketara kepada kesihatan manusia. Sebaik sahaja bacaan Indeks Pencemaran Udara dikeluarkan, masayrakat Malaysia sudah mula mengambil langkah keselamatan. Mereka mencari topeng muka, memastikan anak-anak tidak terdedah dengan aktiviti luar yang melampau, mengunjungi klinik kesihatan jika terdapat simptom pernafasan dan agensi kerajaan bertindak menutup sekolah bagi tempoh tertentu.

Setiap kali jerebu, banyak industri terjejas. Pesawat tidak dapat terbang dan mendarat, kereta dan lori tidak dapat berjalan lebih jauh dan aktiviti sukan juga terjejas.

Keluarga mengambil keputusan mengurangkan makan bersama di luar, gerai makanan yang dijual secara terbuka juga semakin berkurangan dan aktiviti membeli-belah tidak lagi rancak.

Pendek kata, jerebu menyebabkan banyak kesan kepada ekonomi dan sosial masyarakat di negara yang terjejas. Indonesia wajar menjadikan teknologi moden sebagai pilihan untuk mereka mengatasi masalah jerebu yang berlaku bertahun-tahun lalu.



No comments:

Post a Comment